Wacana Ummah : Bangkitkan Kesedaran Survival Umat Islam

 

Irbid, 30 Januari– Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan telah menganjurkan satu wacana ummah : Survival Umat Islam di Malaysia yang diadakan di Mujamma’ Naqobat dan telah dihadiri lebih 200 orang mahasiswa di seluruh Jordan.

Wacana ummah ini telah menampilkan seorang figura yang tidak asing di Malaysia, Tuan Haji Aminuddin bin Yahaya, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Beliau juga merupakan Ketua Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia dan juga Pengerusi  Pertubuhan–pertubuhan  Pembela Islam (PEMBELA).

Wacana ummah ini turut dihadiri oleh oleh wakil-wakil persatuan pelajar Malaysia Jordan seperti Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ), Persatuan Mahasiswa irbid (PERMAI), Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-Bayt (PRISMA), Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PERMATA), Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA), Ikatan Anak Negeri Sarawak (IANERIS), Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan (BKMPJ).

Berikutan asakan demi asakan oleh musuh Islam, ISMA Jordan telah mengambil inisiatif untuk mengadakan wacana ini bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada mahasiswa mengenai keadaan umat Islam di Malaysia. Selain itu, agenda-agenda luar yang jelas bertentangan dengan Islam telah diperjelaskan kepada mahasiswa seterusnya menggesa mahasiswa untuk memikirkan solusi terbaik bagi mengatasi permasalahan tersebut.

Majlis dimulakan pada jam 8.00 minit malam dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan diserikan dengan gemaan wahyu oleh saudara Shahir Ridzuan. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah Program, Ahmad Safwan Johari.

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia, kini menghadapi satu keadaan yang sangat gawat dan kritikal, dikelilingi oleh musuh yang sedang berusaha untuk menewaskannya lantas menyebabkan umat Islam itu berada di persimpangan jalan yang sukar dalam mengekalkan risalah Islam yang sebenar.

Beliau berkata, orang Melayu khususnya harus mempunyai kuasa rundingan (Bargaining Power) yang dominan, agar segala isu berkaitan umat melayu Islam dapat diselesaikan dengan baik tanpa merugikan umat Islam itu sendiri.

Antara noktah penting yang lain, bersempena pilihan raya yang akan datang, beliau menggariskan beberapa kriteria sebagai panduan untuk memilih calon yang terbaik.

“Kita melihat kepada ciri-ciri calon yang bertanding tersebut bukannya parti. Pilihlah calon yang berwibawa iaitu 5 perkara berakhlak, amanah, sederhana, kesetiaan dan kesejahteraan.”

Penguasaan ekonomi oleh musuh Islam merupakan kekuatan mereka yang paling utama pada masa kini.

Rentetan itu, beliau turut menggesa supaya mahasiswa menceburi bidang penulisan yang dilihat sebagai salah satu medium yang berkesan untuk menyebarkan fikrah Islam yang tulen.

 Saya berpendapat bahawa wacana ini berjaya membuka mata mahasiswa tentang ancaman musuh Islam dan pentingnya kita menyusun strategi dan mula bertindak. ujar seorang peserta, Siti Zafirah Mat Nawi, seorang pelajar perubatan tahun 3.

45 minit pada akhir majlis telah diperuntukkan kepada hadirin untuk soal sesi jawab. Majlis berakhir dengan majlis penyampaian cenderahati kepada penceramah seterusnya sesi bergambar bersama penceramah jemputan.

Majlis berakhir tepat pada pukul 10.45 malam. Diharapkan semua hadirin menjadi lebih cakna dan sedar tentang gerakan-gerakan musuh yang cuba menembusi benteng  kekuatan umat Islam seterusnya berusaha memainkan peranan di posisi masing-masing dalam memartabatkan Islam khususnya di Malaysia.

ODYSSEY 2013 : Membentuk Mahasiswa Cakna

AQABAH, 4 Februari – Pada 31 Januari hingga 2 Februari  2013 bertempat di Pantai Aqabah, Ikatan Muslimin Malaysia Jordan (ISMA JORDAN) telah mengadakan sebuah aktiviti tahunan berbentuk ‘outdoor camping’ , Odyssey 2013 dengan tema ‘Brace Yourself’

Odyssey pada kali ini mencipta rekod dan sejarah yang tersendiri setelah berjaya menghimpunkan seramai 213 orang peserta dari seluruh mantiqah di Jordan menjadikan jumlah peserta teramai setelah 3 kali penganjurannya secara berturut-turut pada tahun 2011, 2012 dan 2013.

Kehadiran dua tokoh ISMA dari Malaysia iaitu Tuan Hj Aminuddin Yahya selaku Timbalan Presiden ISMA dan Ustazah Elyah selaku ahli Biro Tarbiyah ISMA Pusat turut menambah seri kepada penganjuran Odyssey. Selain kehangatan modul dan aktiviti yang pelbagai, tema warna oren yang dipilih menambah keseronokan para peserta sepanjang program Odyssey.

Pada hari pertama dan kedua, peserta didedahkan dengan isu survival ummah terutamanya pendedahan tentang pelbagai bentuk ancaman dalaman dan luaran yang semakin hari semakin jelas mencabar kedaulatan agama Islam di bumi Malaysia. Selain itu, penyampaian modul oleh Tuan Hj Aminuddin ini juga kerapkali menyuntik jiwa para peserta agar punya rasa ‘izzah pada agama yang kita kasihi ini.

Selain pengisian berbentuk ilmiah, aktiviti diteruskan lagi dengan ‘Outdoor Games’ dan ‘Mega Explorace’ bertempat di persisiran pantai yang menguji ketangkasan minda dan kemampuan fizikal para peserta. Pelbagai bentuk permainan yang bukan sahaja mendidik peserta ke arah qawiyyul jism yang hakiki, tetapi juga berjaya menyuburkan rasa ukhuwwah dan kasih sayang yang tinggi dalam kalangan peserta.

Bagi peserta akhawat pula, peserta sempat diberikan ruuh taujihat oleh Ustazah Elyah agar terus menggerakkan peribadi muslimah di samping menekankan peranan wanita ke arah pembinaan Daulah Islamiyah yang kukuh suatu hari nanti.

Hari terakhir Odyssey 2013 diteruskan dengan majlis penutup yang dihadiri Pengarah EMJ Jordan, Prof Madya Dr. Mohd Azidan b Abdul Jabar. Hadiah turut diberikan kepada kumpulan terbaik bagi pihak ikhwah dan akhawat. Selain itu, anugerah peserta terbaik jatuh kepada saudara Mohd Faiz Nazim yang telah berjaya membawa pulang sebuah ‘smartphone’ Samsung S3 Mini yang ditaja oleh Sulbah Inc Corporation.

Program tamat dengan rasminya pada 2 Februari 2013 menyaksikan pulangnya 213 orang jundullah yang bakal mencorak arus perubahan di bumi Malaysia suatu hari nanti. Harapan kami, semoga program seperti ini diteruskan pada masa-masa akan datang dengan kelibat peserta yang kian bertambah dan semangat memacu agama yang terus bercambah. Brace Yourself!

Disediakan oleh :
Sakinah bt Zulkarnain,
Setiausaha,
Outdoor Camp Odyssey 2013,
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan 

Wakil ISMA Jordan Hadiri Mukhayam Murabbi Anjuran ISMA Mesir

MADINAH 6 OCTOBER, 28 Jan – Seramai 19 orang wakil ISMA Jordan telah menghadiri program Mukhayam Murabbi anjuran ISMA Mesir. Program yang dihadiri kira-kira seramai 200 orang peserta daripada Mesir, Jordan dan Australia ini bertujuan untuk memberi latihan dan memantapkan kefahaman para murabbi ISMA di luar negara dalam membentuk kepimpinan yang akan mengesani masyarakat.

Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat dalam ucapan penutup telah menegaskan bahawa peranan dakwah ini adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita yang perlu kita sambut dan laksanakannya dengan bersungguh-sungguh. “Setiap amanah yang diturunkan kepada manusia adalah besar apatah lagi amanah untuk memikul risalah dan mendidik umat ini”.

Beliau telah meletakkan harapan yang tinggi kepada setiap ahli ISMA agar berusaha menanamkan jiwa murabbi yang mampu membentuk jiwa generasi manusia untuk kembali kepada Allah. “Masa depan umat Islam di Malaysia berada di tangan kita semua kelak”, tegas beliau.

RM 49,000 Untukmu Gaza

BANGI, 10 Disember – Aman Palestin cawangan Jordan dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan dengan kerjasama  Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) telah melaksanakan KUTIPAN DERMA KILAT UNTUKMU GAZA bagi membantu masyarakat Gaza yang diserang Israel baru-baru ini. Projek yang dimulai pada 19 November 2012 ini telah berlangsung sehingga 2 Disember 2012 dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari mahasiswa-mahasiswi seluruh Jordan.

Kutipan telah dijalankan di seluruh mantiqah di Jordan iaitu Amman, Irbid, Mafraq dan Mutah melalui wakil setiap kawasan dan telah memperolehi jumlah sebanyak 11,475 JD bersamaan RM 49,000 dalam tempoh dua minggu kutipan ini dilancarkan.

Pihak Aman Palestin dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua mahasiswa Jordan dari setiap mantiqah yang telah memberikan sumbangan dan kerjasama. Sumbangan sebanyak RM 49,000 tersebut telah selamat diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman oleh wakil Aman Palestin Jordan, Ustaz Mohd Sofee Mustafa di Pejabat Aman Palestin Berhad, Bangi.

Sumbangan ini akan terus disalurkan kepada rakyat Palestin di bumi Gaza dengan diuruskan sendiri oleh Pejabat Aman Palestin di Gaza  yang telah ditubuhkan secara rasmi sejak tahun 2010 lagi.

Sambutan kutipan ini membuktikan bahawa mahasiswa Jordan merupakan mahasiswa yang  amat cakna dan mengambil berat tentang  isu dan masalah ummah di Palestin yang memerlukan sumbangan dari kita yang mempunyai kemampuan. Moga segala sumbangan yang diberikan diganjari dan diberkati oleh Allah.

“Keikhlasan Anda, Ketelusan Kami.”

AHMAD NU’MAN BIN MAZLAN
Pengurus Aman Palestin Jordan

Kem Kepimpinan dan Pembinaan Jati Diri 2012 : Membentuk Pimpinan Berjiwa Mujahid


AJLOUN, 22-24 November – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan telah mengadakan sebuah Kem Kepimpinan dan Pembinaan Jati Diri. Program tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Kem Muaskar Husin di Ajloun, dan melibatkan penyertaan seramai 53 orang pimpinan ISMA Jordan.

Beberapa objektif telah digariskan dalam Kem Kepimpinan dan Pembinaan Jatidiri ini;

  1. Mengasah skil kepimpinan ahli dalam mengurus & mentadbir organisasi.
  2. Membina disiplin ahli dari sudut masa dan gerak kerja dalam organisasi.
  3. Membina kekuatan jati diri ahli yang mampu menghadapi segala aspek cabaran.

Pelbagai aktiviti outdoor dan indoor  telah disusun oleh ahli jawatankuasa, demi mencapai tiga objektif kem. Antaranya adalah perbarisan kawad, mendaki bukit Ajloun, aktiviti qiamullail berjemaah pada malam hari dan beberapa lagi aktiviti lasak lain. Peserta juga telah diberikan beberapa tugasan secara individu dan berkumpulan untuk membina kekuatan jatidiri dan melatih kerjasama dalam kumpulan.

Pada hari terakhir kem, Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof Madya Dr. Mohd Azidan Abdul Jabar telah hadir ke kem ini bersama seisi keluarga, untuk memenuhi jemputan bagi slot khas bertajuk “Profesionalisme dalam Organisasi”.  Dalam slot selama sejam itu, beliau telah berkongsi banyak pengalaman menarik dalam arena pengurusan organisasi. Kelihatan para peserta sangat proaktif mengajukan soalan kepada beliau pada slot soal jawab seusai perkongsian tersebut. Beliau turut merasmikan majlis penutup Kem Kepimpinan & Pembinaan Jatidiri ISMA Jordan 2012.

Tahniah buat para peserta dan semua yang terlibat!

 

Gambar sekitar program :

 

 

 

 

 

Disediakan oleh :

AHMAD BIN KHAIRUDDIN
Pengarah,
Kem Kepimpinan dan Pembinaan Jati Diri 2012
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan

ISMA Jordan Menyerahkan Sumbangan Qurban untuk Pelajar Thailand

 IRBID, 26 Oktober – Sempena Hari Raya Aidiladha yang mulia ini Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan telah membuat sembelihan qurban sebanyak lima ekor kambing demi mengejar tuntutan sunnah yang telah disyariatkan Allah s.w.t.

Sebahagian daripada hasil qurban tersebut telah disumbangkan kepada pelajar Thailand yang juga sedang menuntut ilmu di bumi Jordan ini demi mengeratkan ukhuwwah atas dasar ikatan aqidah yang merentasi sempadan negara.

Sumbangan qurban telah diserahkan oleh saudara Muhammad Hashemi Dahalan bin Md Razip, Pengerusi ISMA Jordan kepada tiga orang wakil pelajar Thailand iaitu Ustaz Zulkiflee Mustafa bin Alee, Penasihat Pelajar Thailand di Irbid, Ustaz Muhamad Zakee bin Mahmod dan Ustaz Hamzah Kaema. Semoga ikatan ukhuwwah ini berkekalan dan di samping kita menghayati ibrah pensyariatan Qurban di hari mulia ini.

Ustaz Zulkiflee Mustafa bin Alee

Ustaz Muhamad Zakee bin Mahmod

Ustaz Hamzah Kaema

Mahasiswa Jordan Menyumbang RM24,000 untuk Qurban Palestin 1433H

IRBID, 23 Oktober – Aman Palestin dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan telah melaksanakan Projek Qurban Palestin 1433H khas buat mahasiswa seluruh Jordan. Projek yang dimulai pada 7 Oktober 2012 ini telah berlangsung sehingga 21 Oktober 2012 dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari mahasiswa-mahasiswi seluruh Jordan.

Jumlah mereka yang meyertai Qurban sebahagian lembu dan seekor kambing adalah seramai 8 orang manakala Sedekah Qurban pula seramai 16 orang yang berjumlah 3645JD. Kutipan sumbangan umum juga berjaya diperolehi sebanyak 1923 JD.

Hasil dari penyertaan seluruh mahasiswa Jordan, Projek Qurban Palestin kali ini telah berjaya mengumpul sebanyak RM 24,000 atau 5568 JD dalam tempoh dua minggu projek ini dilancarkan.

Pihak Aman Palestin dan juga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan mengucapkan jutaan terima kasih pada semua mahasiswa yang memberikan sumbangan dan kerjasama. Jumlah ini membuktikan bahawa mahasiswa Jordan merupakan mahasiswa yang  amat cakna dan mengambil berat tentang  isu dan masalah ummah di Palestin yang memerlukan sumbangan dari kita yang mempunyai kemampuan. Moga segala sumbangan yang diberikan diganjari dan diberkati oleh Allah.

 

Disediakan oleh :
Ahmad Nu’man bin Mazlan

Wakil Aman Palestin Jordan

Wacana Ummah di Jordan, Mencerah Pemikiran Mahasiswa

IRBID, 20 Okt – Pembentangan kertas kerja “Wacana Ummah : Cabaran Memartabatkan Ekonomi Berlandaskan Syariat” telah disampaikan oleh Ustaz Dr Aznan Hasan, pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)1.  Wacana ini dihadiri lebih 200 orang, dan telah diadakan di Dewan Tarbiyyah, Universiti Yarmuk, Irbid.

Wacana yang bermula sekitar jam 3 petang ini telah dimulakan dengan ucapan Pengerusi ISMA Jordan, saudara Hashemi Dahalan bin Md Razip. Sejurus selepas itu, majlis dirasmikan oleh Pengarah Education Malaysia-Jordan, Prof Dr Mohd Azidan Abdul Jabar, yang diiringi kehadirannya oleh Pegawai Atase Pendidikan Malaysia-Jordan, Ustaz Saifuddin.

Dalam ucaptama perasmian oleh Prof Dr Azidan, beliau mengutarakan rasa kebimbangan akan soal sumber manusia di Jordan, juga kualiti graduan Jordan yang akan dan telah pulang ke Malaysia.

“Kepentingan wujud generasi muslim pakar dan ahli dalam bidang ekonomi & perbankan islam pada hari ini, tidak dapat dinafikan lagi. Namun begitu, apa yang lebih membimbangkan adalah – adakah kualiti mahasiswa, di Jordan terutamanya, dapat menyediakan modal insan yang mencapai par kriteria golongan pakar yang ummah perlukan,” ujar Prof Dr Mohd Azidan Abdul Jabar.

Penyampaian cenderahati selepas itu disampaikan oleh tuan pengerusi ISMA Jordan kepada Prof Dr Azidan dan Ustaz Saifudin atas kesudian mereka menghadiri dan merasmikan majlis ini. Ustaz Dr Aznan pula mengambil tempat berucap sebaik tamat acara perasmian, lalu memulakan sesi pembentangan kertas kerja beliau.

Menurut Ustaz Dr Aznan dalam pembentangan 3 jam itu, mahasiswa dan mahasiswi Jordan yang sedang menuntut di menara gading mestilah melakukan dua perkara berikut;

Pertama, apa yang paling penting adalah kita mendalami ilmu dengan bersungguh-sungguh. Sebagai mahasiswa, sepatutnya kita tidak boleh menjadikan peperiksaan sebagai satu-satunya matlamat pembelajaran, bahkan fikiran kita nyata lebih jauh daripada itu. Niat belajar adalah untuk menyumbang kepada masyarakat, kerana ilmu yang diperoleh hari ini adalah modal untuk menyumbang pada masa hadapan. Jadi, kita perlu bersikap proaktif. Proaktif mencari ilmu dan proaktif menyumbang, terutamanya bagi mahasiswa mahasiswi yang mengambil aliran Fiqh Usul / Ekonomi dan Perbankan Islam / Usuluddin / Bahasa Arab,” tegas Ustaz Dr Aznan.

Kedua, memperbetul niat ketika menceburi bidang ini (ekonomi).  Selagi masih menjadi mahasiswa dan sebelum menjadi graduan universiti, sekurang-kurangnya setiap kita mestilah mempunyai asas pegangan agama yang teguh di dalam hati. Sekarang adalah fasa kritikal untuk mencari asas tarbiah demi pembinaan diri secara serius. Fokus kepada matlamat asal, walau apa pun godaan menggoncang prinsip.“ Beliau berkata demikian ketika menerangkan cabaran dan realiti yang bakal dihadapi oleh pakar ekonomi Islam.

Antara noktah penting lain yang ditekankan oleh Ustaz Dr Aznan semasa pembentangan beliau adalah harapan ummah / masyarakat yang mahu melihat kita (mahasiswa) menerajui bidang ini dan menyambung perjuangan mendaulatkan syariat di dalam aspek ekonomi.

“Kita memandang jauh ke hadapan. Bukan sekadar mahu melihat ekonomi dan perbankan Islam sebagai satu alternatif (sebagaimana yang berlaku hari ini) kepada masalah yang diwujudkan sistem konvensional barat yang rapuh, bahkan memartabatkan sistem Islam sebagai satu-satunya sistem yang dijalankan dalam sektor ini,” jelas beliau.

Satu jam akhir majlis telah diperuntukkan kepada para hadirin untuk sesi soal jawab. Majlis bersurai tepat jam 6.30 petang, selepas sesi bergambar antara peserta, barisan AJK dan penceramah jemputan.

 

Gambar sekitar majlis : Klik di sini

Nota kaki:

1 Ustaz Dr Aznan Hasan juga merupakan Assistant Professor di dalam Perundangan Islam dan bekas ketua Jabatan Perundangan Islam (Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law ) di UIAM. Kini beliau memegang jawatan sebagai Presiden ‘Association of Shariah Advisor in Islamic Finance’ (ASAS) di samping memegang amanah selaku Timbalan Pengerusi, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti dan juga ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia. Beliau turut berkhidmat sebagai perunding Syariah di Maybank Investment Bank, pengerusi Lembaga Penasihat Syariah Bank ACR Retakaful (Malaysia) dan (Bahrain); penasihat Syariah di Barclays Capital (London) ABSA, Islamic Bank (South Africa), Yasaar Limited (UK), Dar al-Istithmar (Dubai), UM Financial (Kanada), Maybank Investment Bank, Amanah Raya Berhad dan Amanah Raya Investment Bank Labuan.

Dr. Aznan telah mendapat Ijazah Syariah dari Universiti Al-Azhar. Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya hingga ke peringkat Master di Cairo University dengan pangkat Mumtaz. Anugerah Ph.D telah diterima beliau di University of Wales, Lamperter, United Kingdom.

Pimpinan ISMA Mengadakan Lawatan Rasmi ke Kedutaan Malaysia Jordan

AMMAN, 17 Okt 2012 – Sebuah pertemuan rasmi telah diadakan antara tiga orang pimpinan ISMA pusat , dua orang pimpinan ISMA Jordan bersama Duta Malaysia di Jordan, Dato Abdul Malek bin Abdul Aziz. Pertemuan bersejarah ini berlangsung dengan jayanya di pejabat kedutaan rasmi Malaysia Jordan, kelmarin.

Bergambar kenangan dalam pertemuan pertama antara Dato Duta di Jordan bersama pimpinan ISMA Pusat dan pimpinan ISMA Jordan

Walaupun pertemuan antara 3 pihak tersebut berlaku secara ringkas, namun inisiatif mengadakan majlis ramah mesra telah diterima baik oleh semua pihak.

Sebagai lambang permulaan hubungan kerjasama, majlis pertemuan direncanakan atas dua objektif yang jelas; iaitu merapatkan hubungan antara ISMA Pusat, ISMA Jordan, dan pihak kedutaan Malaysia di Jordan, di samping saling bertukar pandangan tentang isu kemanusiaan yang berlaku di negara-negara jiran, terutamanya pelarian Syria dan Palestin.

 

 

Presiden ISMA, Ust Abdullah Zaik Abdul Rahman menyampaikan cenderahati kepada Dato Abdul Malek Abdul Aziz

 

Pada akhir pertemuan kelmarin, Dato Abdul Malek berharap supaya kewujudan ISMA di Jordan mampu membawa perubahan kepada jatidiri pelajar.  Bukan sahaja memberi penumpuan kepada pelajaran akademik, tetapi juga fokus kepada kemahiran insaniah (softskills) pelajar, sebagai persediaan menghadapi masa depan yang kian mencabar.


REHAB 2012 Menyuntik Semangat Baru

IRBID, 6 Oktober – ISMA Jordan telah mengadakan Rehlah Mahabbah (REHAB) bagi tahun 2012 pada 6 oktober 2012 bertempat di Ma’rakah Yarmouk . Rehlah ini telah disertai seramai 85 mahasiswa dari seluruh mantiqah di Jordan.

Para peserta telah berkumpul di Irbid seawal jam 7 pagi dan bertolak ke destinasi pada pukul 8 pagi. Kira-kira pukul 9.10 pagi, kesemua peserta selamat tiba dan diberikan sedikit taklimat ringkas oleh saudara Nabil Takiyuddin serta ucapan aluan daripada Pengerusi ISMA Jordan, Muhammad Hashemi Dahalan Md Razip.

Para peserta seterusnya diarahkan untuk bergerak menuju ke ‘sight-seeing point’ medan peperangan Yarmouk dan mendengar penerangan mengenai sejarah peperangan Yarmouk, iaitu antara peperangan terbesar dalam sejarah Islam serta kunci utama kepada perluasan kuasa kerajaan Islam juga pembebasan kota Baitul Maqdis dari kuasa Salib. Penerangan mengenai sejarah perang Yarmouk telah disampaikan oleh saudara Muhd Siddiq bin Muhd Nasir , pelajar tahun 6 perubatan JUST.

Penerangan mengenai peperangan Yarmouk daripada saudara Siddiq menyebabkan para peserta begitu khusyuk mendengarnya dan semestinya para peserta mendapat pelbagai ibrah daripada penceritaan sejarah peperangan Yarmouk.

Para peserta kemudian menuju ke sebuah tanah lapang di luar kawasan pintu masuk Ma’rakah Yarmouk untuk meneruskan aktiviti seterusnya iaitu Taaruf atau sesi berkenalan. Bilangan peserta yang agak ramai dan datang daripada pelbagai latar belakang serta berlainan universiti menyebabkan para peserta begitu teruja untuk mengenali antara satu sama lain.

Setelah selesai bertaaruf kesemua peserta kemudiaannya dibahagikan kepada 8 kumpulan untuk aktiviti seterusnya iaitu permainan Caterpillar juga Battlefield Manager. Untuk Permainan Caterpillar kesemua peserta akan diikat kaki sesama mereka dalam kumpulan masing-masing dalam satu barisan yang panjang dan perlu bergerak ke hadapan dan patah balik ke garisan permulaan manakala untuk permainan battlefield manager, separuh daripada ahli kumpulan akan diletakkan dalam satu gelanggang dengan kesemua daripada mereka akan ditutup mata manakala separuh daripada ahli kumpulan tersebut akan memberi arahan untuk merampak bendera pihak lawan ataupun mempertahankan bendera kumpulan ataupun mematikan lawan dengan cara memeluknya.

Setelah selesai kesemua aktiviti, para peserta seterusnya diberikan makan tengah hari sebelum pulang ke Irbid pada pukul 1 tengah hari. Kebanyakan peserta memberikan respons yang sangat baik terhadap segala aktiviti yang dijalankan sepanjang rehlah dan ada juga yang berharap moga-moga dapat menyertai lagi pada masa akan datang.

Disediakan oleh : 
Azry Hafify Bin Mustapa
Pengarah Program REHAB 2012