Doa buat ikhwah tersayang

30 September 2011-  ISMA Jordan mengucapkan selamat menjalani rawatan kepada penyakit yang dialami akh Mohammad Faiq Nabil bin Ramli. Buat pengetahuan umum, akh Faiq sebelum ini mengalami jangkitan kuman pada telinga kanannya. Mudah-mudahan Allah memberikan rahmat dan kasih sayang buat akh Faiq dalam menghadapi dugaan ini.

ISMA Jordan mendoakan supaya akh Faiq Nabil semoga cepat sembuh dan sentiasa bersemangat dalam menempuhi ranjau kehidupan. Dikau hanyut dalam lautan doa kami.

Akulah Aset Ummah!

stacks of gold bars“Seronoknya kalau aku dapat jadi macam dia tu. Pandai, cantik, keluarga kaya, bakal suami pun hensem”, ujar seorang teman. Kata-kata yang membuat saya terfikir, “aku pula nak apa, dan nak jadi macam siapa?”

Mengintai rezeki orang lain

Melihat seseorang lain dengan rezeki-rezeki yang Allah untaikan untuk dikecapi memang mengasyikkan. Amat bagus kerana ia membuatkan si pemerhati dapat mengagumi kekuasaan Allah yang Maha Bijaksana mengatur dan menyusun keperluan seseorang manusia itu sebaiknya. Ia menjadi salah apabila memerhatikan rezeki orang lain membangkitkan iri hati dalam diri lantas mengejar-ngejar keinginan nafsu sehingga mengabaikan apa yang dikendong.

Biar saya terjemahkan dengan satu situasi. Seorang pelajar perakaunan yang sedang membina nama dan kepakaran dalam bidangnya terhenti langkah dek kerana mengejar populariti dalam bidang pertanian setelah melihat seseorang berjaya dalam bidang tersebut. Akhirnya, dia terpaksa belajar semula dari perkara asas tani sehinggalah kepada menjayakannya. Proses ini mengambil masa yang lama dan malang sekali apabila telah melalui beberapa tahun, dia tiba-tiba melihat bidang pengacaraan pula merupakan bidang yang makin hangat di pasaran. Lalu, tergendalahlah projek pertaniannya dek kerana merasakan bidang pengacaraan adalah bidang terbaik pada masa itu.

Sesuailah dengan kata-kata yang diperturun dari nenek moyang kita dulu: Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Budaya melihat orang lain lebih baik dari kita dan merasa rendah diri dengan apa yang ada pada diri sudah menjadi budaya Melayu rata-ratanya. Memang bagus kalau dilihat dari segi penekanan Islam dalam sikap merendah diri, qanaah dan tawadhu’. Tetapi menjadi beban apabila konsep merendah diri ini disalahgunakan bilamana dengan perasaan ini, umat Islam sentiasa layu, tidak bangkit-bangkit memegang pos-pos pakar dalam bidangnya seperti mana yang pernah kita miliki pada zaman kegemilangan Islam dahulu.

Tahukah anda, sebenarnya, kita boleh sahaja merasa izzah tatkala kita mengusahakan bidang-bidang kepakaran kita tanpa merasa bersalah dengan ‘berbangga diri kah aku?’, ‘terlalu mengejar dunia, kah aku?’ kalau telah betul niat sedari awalnya?

Kerana itulah setiap amal itu adalah dengan niatnya! Perkara pertama yang harus dilihat adalah, bidang yang kita ceburi dan ingin diusahakan adalah diniatkan semata-mata hanya kerana Allah, untuk Islam dan umatnya. Bukan untuk diri kita sendiri. Kalau lapangan tersebut sejelas-jelasnya memberikan keuntungan kepada diri kita sendiri pun, harus dilihat bahawa, keuntungan untuk diri kita adalah sumbangan untuk ummah. Dengan niat yang benar, kita hakikatnya bukan merasa izzah pada diri sendiri atau pada bidang yang kita ceburi, tetapi kita merasa izzah dengan matlamat yang ingin kita capai, iaitu izzah dengan agama Islam itu sendiri.

Biarlah orang lain berjaya dengan bidang mereka kerana kepelbagaian bidang adalah fardhu kifayah buat kemaslahatan ummah. Yakinlah bahawa, kita hakikatnya sangat diperlukan dalam bidang yang sedang kita ceburi, cuma perlu kreatif berfikir bagaimana ceburan bidang itu mampu diterjemahkan sebagai bidang yang mampu menyumbang untuk ummah. Hakikat menjawab persoalan ‘bagaimana’ ini, akhirnya berbalik pada persoalan, ‘bagaimana kita membentuk peribadi kita untuk beramal dalam setiap lapangan yang diceburi dengan hasil-hasil hebat untuk kemaslahatan umat?’.

Berhenti melihat orang lain kalau melihat orang lain itu tidak mampu membuatkan kita lebih dekat pada Allah. Lihat dan renung diri sendiri dan fikirkan dalam-dalam, adakah aku sudah cukup berusaha untuk menjadi aset ummah?

Menjaga pos-pos kawalan sebaiknya

Satu analogi yang sering tak lekang dari fikiran saya adalah, setiap umat Islam itu memegang pos-pos dengan panji-panjinya sendiri. Bayangkan dalam sebuah daerah yang dikepung dengan musuh Islam, dan setiap inci sempadan daerah itu diagih-agihkan pada setiap umat Islam. Tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa, kawasan yang ditaklifkannya itu tidak dimasuki oleh musuh. Perlu perhatikan siapa yang masuk, siapa yang keluar supaya tiada musuh Islam yang ingin membinasakan tidak terlepas masuk. Bayangkanlah kalau lama di satu posisi, mudah saja untuk merasa bosan. Kita sudah sedia maklum kalau kita menjaga sebetul-betulnya kawasan kita, kita sememangnya menyumbang untuk Islam. Tetapi, bagaimana pula kita meraikan semangat kita supaya kekal membara?. Kita boleh memilih untuk berdiri tegak memegang panji sambil memerhati, tapi berapa lama kita mampu bertahan dengan posisi yang sama? Cara untuk kita kekal lama semestinya dengan mempelbagaikan cara pengawalan.

Kita boleh memilih untuk berdiri tegak sambil memegang panji dan memerhati ataupun membina kubu dengan pengawasan kamera litar 24 jam atau menjaga pos sambil mengadakan hebahan yang mampu menggerunkan musuh daripada memasuki daerah Islam tersebut dan pelbagai cara lagi yang mampu dipelbagaikan!

Kalau dilihat, pos masih terkawal rapi, cuma bagaimana cara kita mempelbagaikan cara supaya kita terus kekal menyumbang untuk ummah. Disamping maslahah (kebaikan) untuk ummah, kita juga memberi maslahah kepada diri kita sendiri supaya terus bersemangat untuk menjaga pos tersebut dalam erti kata lain, tidak merasa bosan dan lemah semangat.

Kesimpulannya, sebelum melihat apa lagi lapangan lain yang boleh diceburi, cerminkan dahulu pada apa yang sedang berada di tangan kita. Allah Yang Maha Mengetahui pastinya tidak sewenang-wenangnya mendatangkan ‘peluang’ yang telahpun kita garap kalau bukan kerana kita mampu membuat yang terbaik. Bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling kita, kerana sekecil-kecil perkara mampu digilap hebat oleh tangan-tangan yang nantinya akan menyentuh syurga!

Akulah aset ummah

Saya teringat kata-kata dalam buku karangan ‘Aidh al-Qarni: “Wanita yang bijaksana adalah wanita yang mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang subur dan indah”

Dengan kata-kata itu, saya juga selalu membayangkan tangan yang saya miliki ini bagai dongengan Raja Midas yang tatkala menyentuh apa sahaja mampu mengubahnya menjadi emas. Bukanlah emas yang saya inginkan, tetapi yang lebih dari itu: Di mana sahaja diletakkan kita, baka bertambah indah, bertambah bermakna, bertambah terang dan bercahayalah ia. Biar seteruk mana pun asalnya lapangan itu pada awalnya.Yang paling penting, semua keindahan yang dapat dilihat pada masa ini, sehalus-halusnya direntet dengan peringatan Syariat. Apalah guna kalau mampu menukar indah dunia kalau sedikit pun tak dinilai untuk mengecap Syurga? Betapa ruginya!

Maka, yakinlah! Kita perpotensi besar untuk melonjakkan diri kita dalam bidang yang kita ceburi. Potensi manusia itu adalah tahapan khalifah, taklifan yang ditolak oleh makhluk-makhluk lain, tapi diterima oleh kita, manusia. Terpulang pada kita bagaimana kita melihat diri kita sendiri, kerana siapa diri kita yang kita fikirkan adalah siapa diri kita di luar sana. Anda adalah apa yang anda fikirkan!

Pos mana yang anda jaga? Sejauh mana anda mampu menyumbang untuk ummah?

Pos seorang pelajar? Isteri? Anak? Pensyarah? Akauntan? Guru? Usahawan? Penulis? Sebutkan apa sahaja ruang pos kawalanmu, asalkan kita semua yakin bahawa kita layak digelar aset ummah! Supaya aset-aset ini akan pulang berbondong-bondong ke Syurga nan indah bersama-sama.

Hasil Nukilan:

Siti Balqis Syed Mohamad Noor
Media Wanita ISMA
ISMA DHL

http://wanitaisma.net/v2/?p=1120

Sedar..

Dihujung Ramadan lalu aku dikejutkan beberapa soalan. “ Apakah aku benar-benar sudah memiliki keikhlasan hakiki”.? Apakah amal-amal aku selama ini lahir daripada hakikat penyerahan yang bulat kepada Allah? Apakah aku benar-benar menjadikan al-Quran sebagai Petunjuk?

Ketika Allah mengatakan bahawa ; “sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri peringatan ataupun tidak mereka tidak akan beriman”.  Bagaimanakan perasaan aku? Apakah ayat itu tidak ditujukan kepada aku? Apakah aku tidak perlu bimbang kalau-kalau itulah hakikat diri aku.

Bagaimana pula dengan firman Allah : “ dan ada dikalangan manusia yang berkata kami telah beriman kepada Allah dan hari akhirat sedangkan mereka tidak beriman”.  Apakah aku sudah terselamat?. Apakah apa yang aku imani, apa yang aku hayati, apa yang aku utamakan, apa yang aku lakukan masih selari dengan ad din yang dihayati oleh Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat bersamanya dan tidak terseleweng?  Benarkah dakwaan aku? Benarkah aku meletakkan hati aku benar-benar sebagai seorang hamba suruhan dihadapan firman-firman Allah? Sudahkah aku membuka dada aku, mengosongkannya daripada sifat-sifat ujub, takabbur dan riya’ dan mengisi dengan cahaya kebenaran yang diturunkan Allah di dalam al-Quran?

Samakah masa yang aku berikan untuk mentelaah buku-buku motivasi, novel-novel, majalah, akhbar, nota-nota kuliah, buku-buku keprofesionalan aku dengan masa yang aku peruntukkan bagi meneliti setiap ayat-ayat al-Quran dan maknanya? Sudahkah aku benar-benar bersedia menerima didikan Allah melalui wahyunya.? Apakah yang aku lakukan selama ini.? Atau masih ada di sana dorongan-dorongan lain disebabkan oleh talbis iblis. Atau disana masih ada rantai-rantai nafsu yang mengikat dan menarik aku tertambat di dunia dan aku belum melangkah walau selangkah menuju Allah? Atau aku mendabik dada dan berkata aku dah tahu semua itu?

Al kisah pada suatu hari seorang ahli ibadah yang sudah berpuluh tahun menunaikan solat jamaah disaf yang pertama tiba-tiba pada satu waktu beliau terlewat datang dan terpaksa menunaikan solat berjamaah disaf yang terakhir. Situasi ini menjadikannya merasa teramat malu dilihat berada disaf terakhir. Perasaannya itu menjadikan beliau mengenali hakikat keikhlasannya dan merasakan bahawa solatnya selama puluhan tahun disaf yang pertama adalah sia-sia kerana dorongan ibadahnya itu bukannya ikhlas kepada Allah tetapi kerana malu untuk dilihat bersolat disof terakhir yang boleh menjatuhkan martabatnya sebagai seorang ahli ibadah.

Apakah yang mendorong tindakan aku selama ini. Apakah ia adalah penerusan tradisi yang aku hanya menyangka akan kebenarannya, Apakah yang aku percaya selama ini? Adakah ia lahir daripada kefahaman aku terhadap ayat-ayat Allah atau ia adalah sangkaan dan ajaran orang-orang yang terdahulu yang aku juga tidak yakin kebenarannya? Kini banyak perkara telah berubah, sistem pemerintahan, cara melantik pemimpin, sistem pendidikan, cara hidup, pemikiran, semangat, emosi, keutamaan, kepercayaan, sikap, aktiviti harian dan sebagainya.

Apakah semua perubahan ini tidak menyeleweng daripada ad Din? Apakah aku benar-benar ikhlas dan mempunyai bukti dalam al-Quran bahawa aku masih dilandasan agama yang diredai Allah.?

Fikirkan sejenak !

Blog: http://renungan2u.wordpress.com

Manfaatkan Kekuatan, Jangan Peduli 'Masalah'

Saya tengok, ramai orang yang hebat-hebat, tapi dia tak manfaatkan kekuatan dia. Dia lebih banyak berkeluh kesah dengan kelemahan, berbanding memanfaatkan kelebihan yang Tuhan bagi. Akhirnya, dia tak ke mana. Padahal, Tuhan dah bagi pakej yang cukup untuk dia berjaya.

Kisah Budak Kampung Terer

Masa di kampus dulu, saya ada seorang sahabat pelajar terbaik sekolah luar bandar. Budak kampung, tapi terer English, iaitu subjek yang paling digeruni oleh budak-budak kampung di Kelantan macam saya. Sampaikan dia tahu dan boleh cakap English American ataupun British. Pasal grammar tu tak payah cerita, dia boleh hurai lagi bagus dari lecturer yang ajar subjek English.

Cuma kekurangan dia ialah dia lemah subjek-subjek yang saya terer iaitu subjek kira-kira macam Matematik. Kalau subjek menghafal, bahasa, management, itu semua dia score! Tapi kalau subjek Matematik, Akaun, itu giliran saya! Kalau datangnya subjek bahasa, atau perlukan menghafal, menghurai, memang saya agak kecut perut dengan dia. Tapi saya fikir, saya akan kuat dengan subjek yang saya kuat, dan yang lemah tu saya buatlah seadanya… Dan akhirnya, saya juga ‘dinobatkan’ sebagai best student untuk batch ketika tu! (Alhamdulillah…)

Kuatkan Diri Dengan Apa Yang Kita Kuat

Cuma apa yang saya kesian ialah sahabat saya tu surrender separuh jalan. Menjelang final exam semester pertama, dia jadi macam orang tak betul. Dia terlalu nak berjaya dan nak jadi terbaik dari yang terbaik, tapi saya cuma nak jadi diri saya jer. Terbaik dengan apa yang saya ada jer.

Hujung semester dia berhenti belajar sebab nak ambik STPM sebab lebih cepat boleh complete degree berbanding ambik Diploma katanya. Tapi bila fikir balik, dia silap. Dia cancel ambik STPM, dan masuk balik belajar. Final exam dia skip dan terpaksa repeat semester 1 balik, sedangkan saya dapat score 4.0 (four flat) masa sem 1!

Masa saya sem 2, dia masih di sem 1. Dia dok mengeluh sepanjang masa dengan subjek yang dia lemah sampai akhir sekali, dia jadi gila! Terpaksa berhenti belajar, masuk hospital sakit jiwa. Dan berita terakhir yang saya dapat, dia mati kemalangan masa kakaknya bawa dia merawat di Shah Alam. Dia keluar sendirian dari rumah, tapi orang jumpa mati di Nilai… Innalillahi wa inna ilaihi rooji’uun…

Bongkar Kekuatan, Jangan Pedulikan Kelemahan

Ini satu daripada banyak kisah yang saya tengok sendiri dengan mata kepala. Orang yang Tuhan bagi kelebihan, tapi dia tak ‘hargai’ dan manfaatkan kelebihan tu, sebaliknya duduk mengeluh dengan kekurangan. Sedangkan Tuhan bagi setiap orang cukup pakej untuk berjaya, cuma pakej setiap orang tu berbeza.
Saya ada ramai kawan yang terer berniaga, tapi bisnes diorang tak ke mana berbanding kami suami isteri yang memang tak pandai berbisnes asalnya. Puncanya, mereka terlalu LAYAN kelemahan. Sepanjang masa dok cakap dan mengeluh pada apa yang dia lemah.

“I tak boleh buat bisnes sebab husband/ wife tak support!”
“Saya tak boleh buat bisnes sebab ada anak-anak kecik”
“Saya tak boleh buat bisnes sebab sibuk kerja”
“Saya tak bolah buat bisnes sebab tak ada modal”

Bila kita dok fikir tentang kelemahan/ masalah, kita akan jadi lemah tapi kalau kita fokus pada apa yang kita kuat, kita akan jadi kuat… Jangan layan sangat masalah tu sebab sepanjang masa Allah akan bagi kita masalah. Nabi yang Tuhan sayang pun Tuhan bagi masalah, inikan pulak kita orang biasa…

Buat Bodoh Dengan Masalah

Masalah tak akan berhenti… lepas settle satu masalah, Tuhan akan bagi masalah yang lain pulak. Masalah akan sentiasa ada sampailah kita mati sebab Tuhan dah bagi tahu, hidup ni adalah untuk Dia uji siapa yang lebih baik amalannya. Kalau kita tunggu semua masalah selesai baru nak bermula dan berjaya, alamatnya kita tak akan bermula…

Cuba cek betul-betul, siapa yang tak ada masalah?

Kita fikir orang kaya tu tak ada masalah, padahal orang kaya tu lagi banyak masalah daripada kita. Kita fikir ustaz-ustaz tak ada masalah, sedangkan mereka pun ada banyak masalah, cuma beza antara orang berjaya dengan orang biasa ialah mereka tak layan masalah. Tapi orang biasa suka layan masalah.

Ada masalah mengeluh kat facebook. Ada masalah, asyik terfikir-fikir dan mengeluh sepanjang masa. Dalam tak sedar, dia melemahkan diri sendiri dengan kelemahan sendiri. Padahal, kalau dia buat bodoh jer dengan kelemahan/ masalah, dia jadi semakin kuat. Ada masalah, cari jalan selesaikan apa termampu. Dalam masa sama, manfaatkan segala kelebihan yang Tuhan bagi.

Buat Setakat Boleh, Serahkan Pada Tuhan

Kalau ikutkan, kami pun susah nak berniaga. Orang yang ada anak 2 pun dah mengeluh tak ada masa, penat dengan kerenah anak, inikan pulak kami yang ber-anak 5! Nak hantar rumah orang bila nak keluar buat bisnes, siapa berani ambik 5 orang anak kecik sekali gus? Nak hantar dekat keluarga, keluarga pun jauh. Tapi kami buat bodoh jer dengan masalah. Buat seadanya.

Kalau nak disenaraikan masalah, kami boleh buat senarai panjang untuk masalah kami untuk tak libatkan diri dengan bisnes, tapi itu sebenarnya cara membunuh diri! Kita boleh mati sebelum mati kalau dok layan masalah…

Dalam ‘Masalah’, Najdah Untung 200%!

Bulan puasa hari tu, Najdah jual biskut raya. Semua orang ‘wonder’ macam mana Najdah boleh buat biskut sambil layan kerenah anak-anak bulan puasa. Nak kena hantar dan ambik Aisyah sekolah. Nak kena siap-siap Aisyah & Amal pergi sekolah. Nak kena keluar beli baking ingredient. Nak kena dukung Fathi dan Hifdzi sekali gus setiap kali keluar rumah. Bila bawak kereta, Hifdzi nak duduk atas riba. Kereta pulak manual, bukan automatik! Macam mana yer? (Saya pun buntu)…

Kalau ikutkan susah, memang tak berniaga la jawabnya. Tapi Najdah buat bodoh jer dengan susah. Buat apa yang boleh, mintak Tuhan tolong yang selebihnya..

Senaraikan Kekuatan, Manfaatkan Kekuatan

Akhir sekali, alhamdulillah… banyak betul rezeki Najdah dalam masa 2 minggu terakhir Ramadhan… betul-betul luar jangkaan saya. Keuntungan sebenar yang dia dapat lebih 200% dari apa yang saya jangka. Dengan duit biskut raya tu lah Najdah buat beli baju raya kami sekeluarga. Dapat pulangkan balik 100% modal asas yang saya pinjamkan dari core bisnes kami. Dapat tambahkan ‘duit poket’ untuk mentua di kampung. Beli hadiah raya untuk anak-anak sedara. Dan 1/10 dimasukkan ke dalam tabung infaq. Alhamdulillah… Duit lain tak kacau pun…

Apa yang saya nak syorkan sahabat semua ialah buat satu senarai panjang kekuatan atau kelebihan yang Allah bagi pada kalian. Then, manfaatkan kekuatan tu betul-betul… Kalau ada masalah, cari jalan keluar… buat apa yang boleh, selebihnya serah pada Tuhan. InsyaAllah, Tuhan akan lorongkan jalan keluar untuk kalian…

Manfaatkan Bisnes Untuk Mendapat Taqwa

Kejayaan sebenar kita dalam berniaga bukanlah berapa banyak duit yang kita dapat, tapi siapa kita jadi lepas lalui proses berniaga tu. Susah payah dalam berniaga tu adalah proses untuk kita jadi orang lebih baik i.e. bertaqwa… Duit tu cuma ‘reward’ atas kejayaan kita memperbaiki diri. Ia bukan kejayaan sebenar sebab duit tu akhir sekali kita akan tinggalkan, tapi diri kita inilah yang kita akan bawa balik pada Tuhan nanti… Moga dengan berniaga juga kita dapat jadi muslim dan mukmin yang lebih baik di sisi Tuhan, insyaAllah.

Wallahu a’lam…
Zulkifli
Damansara Heights
5 September 2011
7 Syawal 1432

Kesimpulan:

1. Setiap orang Tuhan bagi pekej yang cukup untuk berjaya. Tapi pakej setiap orang tu adalah berbeza.
2. Tuhan jadikan setiap orang tu hebat, tapi kehebatan setiap orang tu berbeza.
3. Selagi hidup, kita tak akan terlepas daripada masalah. Masalah adalah sebagian daripada kehidupan.
4. Kalau kita fokus pada kekuatan/ kelebihan yang kita ada, kita akan jadi kuat. Tapi kalau kita sentiasa fokus, fikir, layan kekurangan/ kelemahan yang ada, kita akan jadi lemah.
5. Semua masalah yang Tuhan bagi adalah proses untuk jadikan kita lebih baik. Selagi tak melibatkan dosa, masalah bukanlah sebenar-benar masalah.
6. Orang berjaya ialah orang yang memanfaatkan kelebihan yang Tuhan bagi, dan menjadikan setiap masalah yang datang sebagai proses untuk membentuk diri.

Oleh;
Ustaz Abdul Halim
Blog : inijalanku

Cerpen: Sepagi bersama seorang penganut Buddha

Kamu bersolat lima kali sehari, bukan?” Gadis Cambodia itu lancar berbahasa Inggeris. “Ya, saya solat lima kali sehari” kututup buku yang menjadi agenda utama pertemuan santai pagi itu. “Apa yang kamu buat ketika bersolat? Ada colok seperti kami?” Tanyanya, cukup naif. Aku tersenyum, lantas menyatakan dengan bangga, “kami menurut perintah Tuhan dengan solat pada tiap-tiap waktu khusus seperti yang diarahkan. Ambil wudhuk dan solat, ketika itu hanya ada saya dan Tuhan”

“Kami ada sami yang bersolat setiap waktu di ‘pagoda’, kami ada hari holy yang mengumpulkan kami sembahyang di pagoda, tetapi bukan wajib untuk semua, dan tentunya itu bukan menjadi agenda pilihan bagi yang muda-muda seperti kami. Itulah hari yang disediakan untuk orang-orang tua yang perlu bersedia untuk kehidupan seterusnya” dia menjelas, mengupas satu persatu.

“Bagaimana kalau yang muda mati dulu? Contohnya, akibat kemalangan? Bukankah dia belum bersedia dengan amalan untuk mati?” Aku bertanya, benar-benar ingin membaca fikirannya.

“Apa lagi yang mampu dibuat? Itu saja amalan yang kami mampu” jawabnya dengan riak sedikit cuak. Aku sendiri terasa agak kejam bertanyakan soalan begitu.

“…Ketahuilah, Islam agama sebenar. Allah itu Satu. Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad S.A.W itu pesuruh Allah. Akhirat itu pasti. Kau kan rasakan nikmatnya berada dalam Islam. Ketahuilah! Ini agama yang benar…”

Itu yang ingin ku katakan, tetapi hanya hati yang berbisik kencang. Terbayang ketika Saidina Abu Bakar yang baru beberapa lama memeluk Islam, bercerita terus menerangkan perkhabaran gembira pada Bilal. Perkhabaran tentang Islam. Seakan gembira mendapat ganjaran besar dan lumayan, lantas ingin dikongsikan pada semua supaya kemanisannya dapat juga dirasa.

Hijab

“Ini hijab, bukan?” Jemarinya menyentuh hijabku. “Lembutnya” katanya, aku kemudian mengangguk dalam senyum.

“Kamu ada rambut?” tanyanya.

“Sudah tentu” aku tersenyum, tak tersangkakan sampai begitu sekali kepelikannya pada yang berhijab.

“Kamu tahu, saya sangat teringin melihat rambut kamu. Hitam kah? Panjang kah?” “-Aku menjawab sekadar yang boleh diberitahu tentang diskripsi rambutku-”.

“Pasti sangat cantik, rugi orang lain yang tidak dapat melihatnya” ujarnya. Kukira itu sudah menjadi pendirian masyarakat umum. Malah umat islam sendiri ada yang tidak mahu bertudung, lantas menggayakan rambut dengan hebat pada khalayak ramai. Kata mereka, kecantikan perlu dihebahkan dan ditayangkan pada semua. Untuk apa disimpan? Begitulah kalau tidak berpegang pada al-Quran.

“Keluarga saya, adik-adik lelaki saya, ayah saya, adik beradik lelaki kedua ibu bapa saya dan semua perempuan muslim yang lain diizinkan melihat rambut saya. Rasanya, sudah cukuplah mereka saja yang menikmati “kecantikannya”, dan lelaki yang bukan dari keluarga saya, hanya suami yang bakal melihatnya. Tiada yang lain dari itu” aku menjelas.

Dia menundukkan mukanya merapati wajahku, cuba mengintai rambut melalui bukaan tudung di atas wajahku, mengharapkan dapat melihat cebisan rambutku, walau sedikit. Aku menutup mulutku dengan tangan, menahan tawa. “Apa yang kamu cuba lakukan?” aku tertawa.

“Saya ingin melihat rambut kamu. Malah anda juga punya “itu” (menuding ke arah serkup yang kupakai, yang membantu aku menutup auratku sehabis mungkin), sedikit pun tiada yang diizinkan dilihat?” Dia turut menunjuk ‘arm-socks’ yang kupakai. “Kamu sangat tertutup” dia berkata.

“Cukuplah sekadar kamu melihat riak muka saya yang ceria ini” saya berkata dengan nada gurau. Dia membalas dengan ledak tawa. Lantas kami menutup mulut kami sendiri, bila menyedari ada wajah yang berpaling memerhati. Baru teringat, kami berada di dalam library, yang tinggal hanya mata kami yang mengecil dan ketawa yang berdecit. “Baiklah, riak ceria dan ramah kamu sudah cukup untuk saya” ulasnya jujur.

Al-Quran: Panduan Hidup

“Dari mana kamu tahu perihal undang-undang ini?” Tanyanya pelik melihat aku yakin dengan garis panduan yang aku kemukakan. Seakan ada wujud akta yang menggariskannya. “Dari ayat-ayat Tuhanku, dari Al-Quran. Panduan utama hidup kami untuk menuju ke Syurga. Kamu tidak punya garis panduan?”

Dia terdiam menggeleng. “Kami hanya perlu berbuat baik kepada manusia. itu yang bakal menghantar kami ke syurga”.

Ouh.Semudah itu untuk ke Syurga. Bukankah Syurga itu sesuatu yang terlalu indah untuk dicapai dengan mudah? Aku bermonolog sendiri.

“Apa maksud kamu dengan berbuat baik? Bukankah itu terlalu umum. Tiada garis panduan tentang perbuatan baik itu?” Aku sendiri pelik, jika tiada kitab bagaimana mungkin mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan?

“Tidak melakukan kerosakan, tidak mencuri, tidak membunuh dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain, itulah dia kebaikan. Rasanya semua sedia maklum pada terma ‘berbuat kebaikan’. Semua mesti tahu. Jadi, tidak perlukan garis panduan”, ujarnya lancar.

Aku tersenyum. “Kamu pasti mengagumi al-Quran kami yang penuh dengan garis panduan, dan pasti kamu terkejut membacanya kerana apa yang kamu fahami tentang “kebaikan” itu hanyalah secebis dari al-Quran. Banyak lagi perkara “baik” yang tidak diketahui tanpa merujuknya” aku menjelas, tersenyum, bangga, bersyukur, dikurniakan hidayah atas agama Allah.

Peranan Muslim vs Peranan Sami

“Kamu ada sami yang duduk di tempat ibadah seperti kami?” Dia bertanya.

Aku membalas dengan persoalan. Cuba mengumpul fakta sebelum merangka jawapan terbaik buatnya, “Apa yang dilakukan oleh sami kamu?” Aku meminta penjelasannya.

“Menghambakan diri mereka pada Tuhan. Mereka tidak berkahwin, tidak bersuka ria” dia menjelas.

“Oh, dalam Islam, semua Muslim memainkan peranan seperti sami kamu, cuma kami boleh menjalankan aktiviti seperti biasa. Kami boleh berkahwin, belajar, berhibur dalam jalan yang diizinkan Tuhan, dan membuat apa-apa aktiviti yang manusia lain buat. Tetapi dalam setiap perbuatan itu, kami tahu dan sedar bahawa kami ini hamba Tuhan. Malah dalam tiap ketika kami merasa kerendahan hati menjadi seorang hamba, tiada perbezaan dalam amalan setiap seorang Muslim itu. Al-Quran bukan hanya diturunkan untuk golongan tertentu. Semua Muslim wajib menurutinya” kadang-kadang aku sedikit terhilang kata mencari ayat yang sepatutnya aku perkatakan. Sungguh! sangat susah, kini kurasakan betapa dhaifnya aku dalam berbahasa inggeris.

“Maknanya, dalam agama kamu hanya sami yang boleh masuk Syurga tertinggi?” Aku mula ‘menembaknya’, sedaya upaya sehalus mungkin. Dengan tenang, dengan senyuman.

Sungguh, dia terkedu lagi, “semua boleh masuk ke Syurga yang sama” jawabnya.

Aku sekadar tersenyum, membiarkan dia berfikir. “Kami punya utusan yang membawa ajaran dari Tuhan, Muhammad S.A.W. Peranannya adalah untuk menyebarkan risalah Tuhan, al-Quran” aku sekadar membantunya berfikir.

“Dan dia seperti manusia lain? Boleh berkahwin, bekerja dan sebagainya?” Dia bertanya.

Aku mengangguk, mengiyakan. “Dan kini, al-Quran dan segala ajaran Tuhan sampai kepada kami. Peranan Nabi Muhammad disambut dan diteruskan oleh semua Muslim. Menyampaikan risalah Tuhan. Jika tidak, pasti saya tidak memperoleh keyakinan dan keimanan pada agama saya seperti tika ini, dan kini, tanggungjawab itu, saya sendiri pikul. Saya juga wajib meneruskan perjuangan Nabi saya. Menyampaikan” aku menarik nafas, memikirkan perkara yang perlu disampaikan lagi.

“Tahukah kamu, misi kami semua hanyalah membawa manusia kembali kepada al-Quran?. Supaya manusia ada pegangan. Bukan hanya mengikut-ikut budaya persekitaran”, dia diam mendengar dan kadang-kadang tersenyum. Kurasakan pandangannya agak sinis, tapi, husnuzzon.. selagi dia masih berminat mendengar, itu sudah cukup baik. Moga Tuhan melemparkan cebisan hidayah padaNya, dan keterusan hidayah buatku.

Pergaulan lelaki dan wanita bukan muhrim

“Bagaimana hubungan kamu dengan lelaki?” Dia bertanya, lantas dia bercerita bagi pihaknya. “Saya tidak bercakap kosong dengan mana-mana lelaki, dari kecil, hinggalah ke sekolah menengah dan sekarang saya baru belajar untuk berbicara yang penting sahaja”. Aku sendiri kagum dengan kata-katanya, sememangnya nampak, dia seorang yang pemalu.

“Apakah itu yang digariskan dalam agama kamu?” Aku bertanya meminta penjelasan.

“Tidak, itu hanyalah budaya, adab dan kesopanan. Pada zaman dulu, perempuan-perempuan kami hanya duduk di rumah, tidak terdedah pada dunia luar, tidak bercampur gaul dengan lelaki-lelaki lain yang tidak berhak. Tetapi budaya itu telah makin hilang, tiada lagi budaya sepertinya, cuma keluarga saya masih menerapkannya” dia menjelas. Aku tersenyum, menghormati pendiriannya, tetapi, sudah menjadi tanggungjawabku untuk memperkatakan yang benar.

“Sungguh, saya kagum dengan kamu, kami juga dilarang untuk bercampur gaul dengan lelaki-lelaki tanpa tujuan penting. Tetapi, ini bukanlah budaya yang boleh diubah-ubah, itu adalah arahan Tuhan. Biar kami hidup dan dicampakkan di tempat semaju mana pun, pegangan itu tidak boleh diubah. Wajib untuk kami patuhi, sampai bila-bila pun”. “Kamu sangat yakin dengan Tuhan kamu, dan dengan ketegasan ayat-ayat Tuhan kamu” dia pula seakan kagum mendengar hujah-hujahku. “Sudah tentu, sudah tentu kamu juga begitu terhadap agamamu, bukan?” Dia diam dan mengangkat bahu..

“well…” Itu saja yang terpacul keluar dari mulutnya.

Menaggung risalah bukan beban, tapi satu kebanggaan

“Bagaimana kamu boleh sangat yakin dan tidak sedikitpun merasa terbeban dengan aturan-aturan yang banyak dari Tuhan kamu?” Dia bertanya. “Setiap perbuatan kamu ada guideline. semua yang kami buat, tidak semua anda boleh buat. Tidakkah kamu berasa marah atau terpinggir?”

“Jika kamu mengucapkan kalimah syahadah, apa yang bakal kamu rasai, hanyalah keyakinanmu pada Tuhan, dan Muhammad S.A.W sebagai utusan. Al-Quran bakal mendidik jiwa dengan keimanan. Keyakinan dan keimanan pada Tuhan itulah yang membuatkan kamu tidak pernah ragu pada kata-kata-Nya. Tidak akan pernah rasa terbeban, malah sebagai satu keindahan. Kami tidak rasa terbeban, malah kami sangat takut dan berhati-hati jika kami ada melanggar perintah Tuhan, kerana kami sangat berharap mendapat keredhaan Tuhan dan akhirnya ke SyurgaNya. Dengan keyakinan inilah segala-galanya tumbuh menjadi amalan. Mungkin kamu merasa pelik, kerana kamu tidak pernah merasai sepertimana apa yang kami yakin pada Tuhan kami. Tetapi, bagi yang baru mengenal Islam, “kepercayaan” dan “keyakinan atas kepercayaan” itulah yang dididik dari awal. Bukan setakat do’s and dont’s” aku menjelas panjang lebar.

“Panjangnya kita bercerita, kamu masih mahu berbincang tentang kerja kita ini?” Dia bertanya seakan mahu pulang cepat. “Saya rasa sudah cukup untuk hari ini, kita sudah tahu apa yang perlu kita lakukan” Aku meraikan keinginannya itu. “Dalam masa dua minggu… heih.. kamu rasa, mampukah kita siapkan sebelum due date?” Dia bertanya, seakan tidak yakin kami mampu menyiapkan tugasan

“insyaAllah, kita mampu” terkeluar perkataan insyaAllah dari mulutku. “Apa itu insyaAllah?”, “Oh, maaf, telah menjadi kebiasaan saya dalam percakapan untuk menyebut insyaAllah. Itu seakan janji untuk menyatakan kesungguhan saya untuk menghadapi kerja yang bakal kita lalui bersama. “In Allah’s will” dengan izin Allah, pasti kita akan menyiapkannya”, dia terkedu lagi.

“Kamu ada Islam dalam setiap perbuatan kamu, ternyata kamu sangat yakin” dia mengomel sendiri. Saya sekadar tersenyum.

Dalam perjalanan pulang aku tidak lagi menyentuh soal agama, topik perbualan aku tukar kepada perihal keluarga dan percutian, risau juga kalau-kalu dia kurang selesa dengan kata-kataku, moga hidayah Allah menaungi kami. Amin…

-Muhasabah diri kita. kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah, tidak setinggi taraf tingginya impian kita untuk menggapai Firdausi. Semoga Allah mencoretkan keberkatan buat amal-amal kita, untuk dijadikan nilaian ke Syurga.. Amin. Wallahualam-

Adaptasi sebuah kisah benar
Hasil nukilan: Siti Balqis Syed Mohamad Noor
Isma Cawangan DHL

Cemas

Bagaimana sikap anda andainya rumah anda terbakar? Nauzubillah minzalik. Di dalam tu ada isteri atau suami dan anak-anak anda. Api tengah marak menyala. Sempatkah lagi anda duduk berfikir dan merancang pelbagai pilihan untuk menyelamatkan keadaan? Call bomba, minta tolong orang kampung atau mencari paip air dan meminjam baldi di rumah jiran? Atau anda terus meluru menyelamatkan apa-apa yang mampu dicapai oleh tangan anda satu persatu ahli keluarga? Cemas… orang yang cemas tak akan banyak berfikir apatah lagi membuang masa kerana setiap saat akan menentukan nyawa ahli keluarganya. Bahkan ia tak sempat pun nak berfikir untuk menyelamatkan harta benda yang ada di dalam rumah tersebut.

Tapi sayangnya masih ramai di kalangan mereka yang meletakkan dirinya di barisan para daie atau setelah ditarbiah bertahun-tahun tidak merasa cemas apabila melihat keadaan ummah dan nasib agamanya. Bahkan ramai yang masih mencari-cari titik permulaan untuk memulakan langkah walaupun sudah khatam al-Muntalaq atau menjadi pemerhati sedangkan umurnya sudah layak memasuki alam mati. Lebih menghairankan ada yang kerjanya duduk di pinggiran jalan dakwah yang kerjanya cuma mengira kerja orang lain dan mengaudit amal mereka lalu mempersoalkan itu dan ini. Seolah-olah ia dilantik mengantikan Raqib dan Atid untuk menentukan pahala dan dosa manusia. Orang begini memang pelik dan apabila ditanya tentang apa yang ia telah buat, ia sendiri tak mampu menceritakan apa-apa. Benar kata orang, mengira kesilapan orang memang senang berbanding melihat kelemahan diri sendiri.

Selagi seorang daie tidak merasa cemas terhadap suasana umat yang ada dan masih banyak masa untuk mengira-gira, berfikir dan berehat-rehat, selagi itu dakwah ini akan bergerak macam siput babi sedangkan seterunya laju bagaikan peluru. Memang tidak senang meletakkan tugas membawa risalah ini menjadi profesion utama dalam hidup kerana ia tidak menjanjikan sebarang pulangan dan gelar. Kerja-kerja lain mampu meletakkan kita memperolehi Mercedes, Profesor, Datuk, Tan Sri, naik haji dan umrah setiap tahun dan melancong ke luar negara. Dakwah dan risalah ini cuma menjanjikan pengorbanan tanpa sebarang janji pulangan keduniaan. Kalaupun ada, syurga yang tak mampu dicapai oleh pancaindera. Untuk mentabrirkan kelemahan tersebut maka lahirlah fiqh dakwah baru bahawa semua itu juga adalah dakwah dan untuk kepentingan dakwah. Mungkin benar teori baru itu tapi setiap teori akan dilihat kebenarannya setelah praktikalnya menghasilkan natijah yang tepat. Kalau akhirnya semua itu dipulangkan semula untuk perjuangan dan risalahnya, benarlah teori tersebut. Andai sebaliknya… pasti Allah akan persoalkan teori tersebut di hadapannya kelak.

Cemas… sifat itu yang telah melajukan para daie awal dalam dakwahnya. Ia cemas dan risau kalau usia yang ada tak mampu digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah fikrah dan tarbiahnya. Masalahnya, ramaikah yang merasakan fikrah dan tarbiah yang ia perolehi itu satu amanah? Sebab ada kalangan sahabat yang menyebut: “Syukur akhi kita ni ditarbiah, sebab tu kita lain dari orang lain. Kita ada skill dan ketrampilan sebab tu kita mudah dapat tempat dalam pekerjaan. Kita laku dan orang mudah angkat kita”. Sedih sekali kalau tarbiah hanya untuk itu dan manfaatnya cuma kembali pada kita bukan pada ummah. Pada perut kita dan bukan perut ummah.

Cemas… kerana usia makin tua dan ummah masih atau juga makin parah. Penyakit yang menimpa mereka makin banyak. Kalau kita tak dihinggapi penyakit tersebut tapi pastikah anak-anak kita akan selamat? Kalau anak-anak kita selamat bagaimana dengan cucu cicit dan keturunan kita? Lagi pelik kalau penyakit itu sudah menjalar masuk ke dalam rumah kita dan menyerang anak-anak kita tapi kita masih lagi mengharapkan bomba dakwah untuk menyelamatkan anak-anak kita. Si bapa dan si ibu tidak merasa cemas dan masih banyak masa untuk mengira-ngira apa lagi yang akan ditambah untuk esok hari.

Daie yang cemas tak akan menjadikan apapun urusan sebagai alasan untuk meninggalkan tanggungjawab sebenarnya membawa risalah yang ia sendiri fahami dan yakini. Daie yang cemas akan menggunakan seluruh pemikiran, tenaga dan apapun yang ia miliki untuk merancang dan menjayakan dakwahnya dalam apa bentuk sekalipun.

Sebenarnya, hari ini aku merasa cemas apabila melihat ramai sahabat-sahabatku sudah tidak cemas melihat keadaan umat yang ada dan masih banyak ruang mencari alasan untuk berehat. Paling aku cemas kalau aku juga sudah tidak merasa cemas dan akhirnya join kelab orang-orang pencen awal tersebut. Cemas…

Photobucket

Oleh: Ustaz Sarip Adul
Yang Dipertua ISMA Kota Kinabalu
Blog: Abu Syifa’

SEED: Program Tafaqquh & Bedah Buku

Bangalore, 27-29 Ogos: ISMA India telah menganjurkan lagi seminar bersiri iaitu Siri Eksplorasi Ad-Deen(SEED). Keistimewaan SEED kali ini adalah ia merupakan satu program dengan kerjasama ISMA Jordan. Dua penceramah jemputan dari Jordan iaitu Ustaz Mohd Sofee Bin Mustafa dan Ustaz Ahmad Bin Khairuddin telah diterbangkan khas untuk mengisi slot-slot SEED yang lebih menumpukan pada Program Tafaqquh & Bedah Buku.
Bertempat di Bayt Hasan Al-Banna, program dimulakan pada 2.00pm(Sabtu, 27 Ogos) dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis. Program diteruskan dengan pembentangan Shadatul Haq oleh Ustaz Mohd Sofee Mustafa. Pembentangan dipecahkan kepada 2 slot. Shahadatul Haq adalah suatu seruan yang dikemukakan oleh Sayyid Abu al-‘Ala al-Maududi dan ditujukan untuk seluruh manusia. Melalui seruan ini, beliau menjelaskan kepada masyarakat tentang dakwah Islamiyyah.

Pada hari kedua, para peserta didedahkan dengan Fiqh Siyam, Fiqh Taharah dan Fiqh Solat oleh Ustaz Ahmad Bin Khairuddin dengan harapan agar para peserta dapat melaksanakan amal ibadah berlandaskan hujah dan nas yang betul dan bukan hanya sekadar bertaklid buta.
Keesokan harinya, program diteruskan dengan pembentangan Haza Deen. Penceramah telah membetulkan salah faham tentang Islam dengan membawa para peserta untuk memahami bahawa agama Islam merupakan dasar yang terbaik bagi manusia dan adanya tuntutan-tuntutan yang perlu dipenuhi sebagai seorang Muslim. Melalui manhaj Islam yang syumul, lahirnya generasi yang unggul dan agung. Para peserta harus berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dan menjadikan manhaj Islam sebagai peraturan hidup. Sejarah telah membuktikan bahawa manhaj ini telah berjaya mencapai kemenangan yang gemilang mengalahkan realiti pada ketika itu dan berjaya mengubah budaya berfikir dan bekerja sedia ada kepada budaya baru yang lebih terurus dan terarah.
SEED kali ini diakhiri dengan penyampaian saguhati daripada pihak ISMA India. Program kali ini telah mencapai objektif yang telah digariskan iaitu untuk memberikan kefahaman asas fiqh ibadah serta memahami studi tentang Islam kepada para peserta. Mereka memberikan respon yang positif serta berharap agar program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang. Pihak ISMA Jordan  gembira dengan kerjasama antara ISMA India dan ISMA Jordan. Moga amal kita semua diterima Allah.

Sabra-Shatila terus merintih….

(Memperingati 29 tahun tragedi hitam Sabra dan Shatila 16-18hb Sept 1982)

Apakah Sabra dan Shatila?

Sabra dan Shatila adalah 2 daripada kem pelarian Palestin di Beirut, Lubnan yang telah didirikan selepas berlakunya peristiwa Nakbah Palestin pada 1948. Kira-kira 3,000 orang pelarian terkorban dalam tempoh 48 jam semasa tragedi hitam tersebut yang berlaku pada 16-18hb September 1982 yang didalangi oleh Zionis dan Phalangist Lubnan.

Bagaimanakah latar belakang Sabra-Shatila?

Pada tanggal 11 September 1982, Menteri Pertahanan Israel Ariel Sharon, arkitek kepada penjajahan Israel ke atas Lubnan telah mengumumkan bahawa terdapat lebih daripada 2000 orang pengganas masih berada di kem-kem pelarian Palestin di sekitar Beirut, Ibu Negara Lubnan.

Bagaikan agenda drama yang kemas dirancang, Presiden Lubnan Bashir Gemayel, telah dibunuh apabila ibu pejabatnya telah diletupkan dengan bom oleh sekumpulan bersenjata pada 14hb September. Beliau merupakan Ketua Parti Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu kuat rejim ZionisIsrael. 4 hari kemudiannya, Rabu 15hb September 1982, tentera Israel telah menguasai Beirut Barat dengan mengelilingi serta mengunci mati laluan ke kem Sabra dan Shatila yang padat diduduki oleh pelarian Palestin dan orang awam Lubnan.

Pada sebelah petangnya, kem-kem pelarian ini telah dikepung sepenuhnya oleh kereta kebal dan tenteraIsraelyang menjaga setiap laluan keluar masuk kem-kem ini untuk rangka memantau setiap orang yang keluar atau masuk ke kem. Laluan ini telah ditutup sepenuhnya pada lewat petang.

Keesokannya Khamis 16hb September, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Unit Militia Phalangist Lubnan, mengundang mereka masuk ke kem pelarian Sabra dan kem Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’. Mesyuarat tersebut telah berakhir pada jam 3 petang.

Bagaimanakah tragedi ini dilakukan?

Menjelang lewat petang 16hb September 1982, lebih kurang 150 orang unit pertama Militia Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu rapat rejim Zionis Israel telah masuk ke kem pelarian tersebut dengan bersenjatakan senapang, pisau dan kapak. Mereka terus membunuh orang-orang awam terutamanya di kalangan pelarian ini dengan mengelar leher mereka, membunuh dengan kapak serta menembak dengan senapang mereka. Ramai dari kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan pelarian yang tidak berdosa ini telah dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu. Pada malam yang sama, pasukan tenteraIsraelmenerangkan kawasan kem dengan cahaya api yang membakar menyebabkan kawasan tersebut terang benderang seumpama stadium bola sepak, menurut saksi yang terselamat dari insiden tersebut.

Dalam masa beberapa jam pertama itu sahaja mereka telah merogol, membunuh dan mencederakan ramai orang-orang awam yang kebanyakannya adalah pelarian Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua yang telah dikepung di dalam kem-kem tersebut.

Pada jam 11.00 malam, satu laporan telah sampai ke ibu pejabat tentera Israel di Beirut Timur yang mengatakan sekurang-kurangnya 300 orang telah dibunuh dalam tempoh 5 jam pertama. Di antara 36 hingga 48 jam kemudiannya, Militia Phalangist telah membunuh kebanyakan penduduk yang menghuni kem pelarian tersebut sementara tentera Israel mengawal laluan keluar kem dan terus memberikan sokongan yang maksimum terhadap pembunuhan ini.

Jumaat 17 September, laluan ke kem Sabra dan kem Shatila masih ditutup namun ada beberapa pemerhati bebas berjaya melepasi sekatan ketat tenteraIsrael. Di kalangan mereka adalah seorang wartawan dan seorang pegawai diplomat dari Norway, Gunnar Flakstad yang menyaksikan operasi pembersihan yang dijalankan oleh Militia Phalangist yang sedang membuang mayat-mayat dari rumah yang musnah dihancurkan.

Militia Phalangist tidak keluar dari kem pada jam 5 pagi Sabtu 18hb September sebagaimana yang diarahkan. Mereka terus melakukan pembunuhan sehinggalah mereka meninggalkan kem Sabra dan kem Shatila pada jam 8.00 pagi 18hb September 1982.Parawartawan asing hanya dibenarkan masuk ke dalam kem pada hari Sabtu, jam 9.00 pagi 18hb September yang menyaksikan ratusan mayat masih bergelimpangan di sekitar kawasan kem dan banyak di kalangan mayat ini yang telah dikelar-kelar anggota badannya.

Apakah di antara testimoni pelarian Palestin yang sempat menyelamatkan diri ?

  • Tentera-tentera tersebut pergi dari satu rumah ke satu rumah dan memberikan amaran akan meletupkan rumah sekiranya mereka tidak keluar dari persembunyian.”
  • ”Ada saksi yang terselamat mendengar bahawa tentera Phalangist memberitahu satu sama lain supaya menggunakan kapak sahaja kerana bunyi senapang akan menyebabkan orang ramai sedar dan akan melarikan diri.”
  • “Mereka membunuh abang ipar saya di depan mata kepala saya sendiri, saya melihat mereka menembak kepada orang ramai. Mereka membunuh kesemuannya dan saya terus melarikan diri”

Tidak diketahui jumlah yang terbunuh secara tepat kerana sumber rasmi dari Israel mengumumkan bahawa ‘hanya’ 700 orang awam terbunuh. Sumber rasmi dari Lubnan pula menjangkakan kira-kira 1900 orang awam terbunuh. Manakala sumber berita Palestin pula mengatakan bahawa di antara 3000-3500 orang pelarian Palestin telah dibunuh, 1000-1500 telah hilang dan kira-kira 1000 orang yang lain telah melarikan diri.

Siapakan arkitek tragedi Sabra dan Shatila ini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah Ariel Sharon yang merupakan bekas Perdana Menteri Israel. Beliaulah pemimpin pengganas yahudi yang pernah berkata,

Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang palestin dari Gaza dan Tebing barat ke Jordan.”

»       (New York Times, 17hb Mei 1982)

Orang Arab yang baik adalah orang Arab yang telah mati

»       (Ha’aretz, 25hb Februari 1983).

“ Saya merasa sedikit kesal terhadap tragedi tersebut tetapi kenapa perlu saya memohon maaf atau merasa bertanggungjawab terhadapnya

»        (“The Accused” BBC- Panorama, 17/6/2001 ).

Bagaimana Sabra-Shatila hari ini?

Kini hampir tiga dekad telah berlalunya tragedi hitam Sabra dan Shatila (16-18hb September 1982) .Kem Shatila yang keluasannya cuma sekangkang kera ini yang padat merupakan satu daripada 12 kem pelarian Palestin yang masih kekal di Lubnan. Ianya dihuni oleh lebih 12 ribu orang pelarian Palestin sejak tahun 1949 lagi. Kem ini merupakan penempatan pelarian yang paling sempit dan daif jika dibandingkan dengan keseluruhan 12  kem-kem pelarian Palestin di Lubnan. Jumlah pelarian Palestin di Lubnan semakin meningkat dan kini telah melebihi 500 ribu orang pelarian.

Rata-rata mereka hidup dengan penuh kepayahan dan keperitan. Bekalan air dan elektrik adalah dalam keadaan yang sangat minimum di penempatan yang sempit lagi dhaif ini. 80 peratus dari kalangan mereka adalah miskin dan saban hari terpaksa mengikat perut kelaparan. Hanya 14 peratus di kalangan anak-anak pelarian ini berjaya menamatkan persekolahan menengah mereka dan majoriti yang dewasa pula adalah penganggur kerana mereka dinafikan daripada memiliki hak-hak asasi mereka untuk bekerja di dalam 72 bidang pekerjaan di Lubnan. Betapa mereka telah terus dizalimi untuk sekian lamanya.

Adakah kebangkitan terkini di Timur Tengah bakal memberikan sinaran mentari baru buatmu wahai Sabra dan Shatila?

Penulis bersama anak-anak pelarian di Kem Shatila

Ikuti coretan harian di :

http://www.facebook.com/pages/Dr-Zainur-Rashid-Zainuddin/155707591143880

Oleh: Dr Zainur Rashid Zainuddin

Sambutan Raya Bersama PEMBINA UNITI & ISMA P.D Meriah

Pada 9 September lalu, ISMA Jordan telah mengadakan majlis sambutan hari raya eidul fitri bersama-sama dengan ahli Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kolej UNITI dan ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Port Dickson.

Sambutan ini dihadiri oleh sekian ramai pemuda-pemudi yang menuntut di kolej yang terletak di Pasir Panjang tersebut bagi meraikan warga ISMA JORDAN yang datang menziarahi mereka, di samping hadirnya para syuyukh  menyampaikan amanat dan nasihat yang sangat berguna buat kami. Hidangan raya juga tak dilupakan, turut memeriahkan suasana majlis ketika itu.

Semoga ikatan yang terbina di antara dua komuniti ini terus subur disirami ukhuwah kerana Allah taala.

Gambar sekitar majlis sambutan raya tersebut:

Tahniah Atas Kelahiran Generasi Harapan

برك لك في الموهوب وشكرت الواهب وبلغ اشده ورزقت بره

“Semoga keberkahan terlimpahkan kepadamu atas kelahiran ini. Bertambah syukurnya kepada Allah Yang Maha Pemberi kurnia. Bisa melihatnya hingga dewasa. Dan dikurniai kebaikan-kebaikannya serta baktinya.”

Warga ISMA JORDAN  mengucapkan tahniah buat pasangan Muhammad Firdaus dan Annis Athirah atas kelahiran ini, dan mendoakan semoga kelahiran bayi ini menjadi penyejuk mata ibu dan ayah, penegak agama, pembela bangsa dan tanah air. Abrar al-Itqan selamat dilahirkan pada jam 4.40 petang hari ini (14 September 2011). Mempunyai berat 2.5kg, bayi ini dilahirkan secara normal meskipun hanya berumur 36 minggu dalam kandungan.

Keluarga Muhammad Firdaus dan Annis Athirah boleh diziarahi di rumah nya hari ini, selepas dikeluarkan dari wad pagi ini.