Isra' Mikraj & Kepentingan Membebaskan Baitul Maqdis

Apa istimewanya 27hb Rejab ini?

Detik ini adalah saat yang sangat bermakna apabila umat Islam di seluruh dunia akan menyambut peristiwa Israk Mikraj. Ianya merupakan satu peristiwa yang cukup besar dalam diari dan sejarah umat Islam yang disambut pada 27 Rejab di setiap tahun. (Pada tahun ini, ianya bertepatan dengan 28 Jun 2011, Selasa malam Rabu). Firman Allah SWT bermaksud: “Maha Suci Allah SWT yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk ayat 1).

Apakah yang dikatakan Israk Mikraj itu?

Israk: Perjalanan malam Rasulullah saw daripada Masjid al-Haram di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin.

Mikraj: Perjalanan naiknya Rasulullah saw dari Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis menembusi langit ke sempadan yang paling tinggi iaitu Sidratul Muntaha.

Apakah peristiwa penting yang berlaku sebelum Israk Mikraj ini?

  1. Peristiwa Israk Mikraj berlaku selepas Rasulullah saw diuji dengan kematian dua orang yang sangat dikasihi yang telah banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
  2. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi semakin bertambah apabila berlakunya penolakan dakwah oleh penduduk Taif.

Nabi telah ‘dihiburkan’ oleh Allah swt dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga Berjaya membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.

Kenapa Israk Mikraj dikatakan sebagai ujian keimanan?

Peristiwa Israk Mikraj ini telah menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran risalah Rasulullah s.a.w. Orang kafir pada ketika itu telah menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi.

Umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat;

  1. Ada yang terus membenarkan Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq
  2. Ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut
  3. Ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam

Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini sangat menongkah arus akal manusia. Inilah juga gambaran yang akan berlaku apabila umat yang keliru akan meletakkan akal sebagai sumber rujukan hidup yang mengatasi sumber al-Quran dan Sunnah.

Apakah pengajaran pertemuan Rasulullah bersama para Anbiya di langit sebelum menjadi Imam kepada semua mereka di Masjid al-Aqsa?

(Di sinilah tempat yang bersejarah apabila Rasulullah telah dipilih untuk menjadi Imam kepada semua para nabi yang terdahulu)

Perjalanan itu adalah perjalanan yang menghubungkan akidah tauhid yang besar sejak Nabi Adam, Ibrahim, Nabi Ismail, Musa, Isa dan lain-lain sehingga kepada Rasulullah saw yang merupakan penghulu dan penyempurna kepada risalah kenabian.

Dr Yusuf a-Qardawi juga telah menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan detik pengisytiharan umum tentang perubahan kepimpinan dunia daripada para anbiya sebelumnya kepada Rasulullah saw. Peristiwa ini telah menolak hujah sebahagian manusia yang mengatakan bahawa Isa a.s adalah pengasas agama kristian dan juga di kalangan orang Yahudi yang mendakwa bahawa Musa adalah nabi yang paling mulia. Sebagai umat Islam kita mesti menginsafi bahawa sifat Islam adalah memimpin dan bukan sekadar berpuas-hati dengan ‘demokrasi’ dan ‘humanism barat’ serta dengan apa yang berlaku di dunia global pada ketika ini.

Kenapa mesti dibawa ke Masjid al-Aqsa, di Baitul Maqdis dahulu dan tidak terus dari Masjid al-Haram ke Sidratul Muntaha?

Perjalanan ini menunjukkan bahawa Baitul Maqdis sangat penting kedudukannya dalam agama Islam.

  1. Masjid al-Aqsa adalah merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ianya dipindahkan ke Masjid al-Haram di Mekah.
  2. Masjid al-Aqsa adalah masjid yang ke 2 dibangunkan di mukabumi
  3. Masjid al Aqsa adalah masjid yang ke 3 suci di dalam aqidah umat Islam
  4. Al-Quran menyebut Masjid al-Aqsa dengan sifatnya yang bermaksud: “Yang Sudah Kami Berkati Sekelilingnya” yang menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.

Masjid Qiblatain di Madinah ialah saksi hidup terhadap pristiwa perpindahan kiblat

Masjid al-Aqsa juga adalah tempat para anbiya dilahirkan, berdakwah dan dikuburkan sehingga Imam Syafi’e (yang dilahirkan di Gaza) pernah berkata pada suatu ketika dahulu, “Saya sangat suka beriktikaf di Masjid al-Aqsa ini lebih daripada mana-mana sekalipun.” Ketika ditanyakan alasannya, beliau menjawab, “Di sinilah tempat berkumpul dan dikuburkannya para Nabi.”

Apakah hubungan Israk Mikraj dan pembebasan Masjid al-Aqsa oleh Solahuddin al-Ayyubi?

Al-Aqsa adalah milik umat Islam secara keseluruhannya. Ianya bukan sekadar isu bangsa Palestin atau bangsa Arab semata-mata. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap kita untuk menyumbang terhadap apa jua cara dan usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi dan Zionis pada ketika ini.

Solahuddin adalah bukti dan saksi bahawa isu perdana ini adalah milik dan tanggung-jawab kita bersama. Beliau telah menghabiskan keseluruhan hayatnya berkorbat dan berkeringat sehingga pembebasan al Aqsa daripada Salib menjadi kenyataan.

Mari kita lihat kembali kisah pembebasan Baitul Maqdis oleh Solahuddin al-Ayyubi ke atas tentera Salib:

Pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah yang bertepatan hari Israk dan Mikraj, Sultan Salahuddin al-Ayyubi memasuki kota Baitul Maqdis. Ibn Shaddad menulis: “Itulah kejayaan bagi segala kejayaan. Satu perhimpunan besar yang terdiri daripada para pembesar, ahli peniaga, alim ulama dan orang ramai berhimpun pada saat yang mengembirakan itu. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada Sultan Solahuddin dan teriakan ‘Allahu Akbar’ serta kalimah ‘La Ilahaillallah’ bergema gagah di angkasa. Setelah 90 tahun berlalu tanpa Jumaat sepanjang pemerintahan kristian Salib, sembahyang Jumaat sekali lagi didirikan di Baitul Maqdis. Salib yang berkerlipan di atas kubah Masjid al-Aqsa diruntuhkan. Sesungguhnya suasana ketika itu sukar dibayangkan, tetapi rahmat dan pertolongan Allah SWT dapat disaksikan di setiap tempat pada hari berkenaan. Mimbar istimewa yang yang dibina di bawah arahan Nuruddin al-Zanki, 20 tahun sebelum pembebasan Baitul Maqdis telah dibawa dari Halab, Syria dan didirikan di dalam Masjid al-Aqsa.”

Isra Mikraj mengajar kita untuk sama terlibat bagi membebaskan al-Aqsa, Apakah tindakal praktikal yang boleh kita buat?

Sebenarnya banyak perkara yang praktikal yang boleh kita sumbangkan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah

  1. Bermula dengan diri kita, kenali sejarah Palestin dan kepentingan Masjid al-Aqsa dalam aqidah umat Islam.
  2. Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin.
  3. Tanam dan sebarkan kesedaran tentang status sebenar Masjid al-Aqsa kepada masyarakat dengan apa jua cara.
  4. Anjurkan program yang berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Israk Mikraj ataupun pada Hari al-Aqsa seDunia pada 21hb Ogos nanti di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain.
  5. Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid al-Aqsa.
  6. Memahamkan isu ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita dan mengajak mereka untuk turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa.
  7. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.
  8. Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.
  9. Melonjakkan isu ini ke persada nasional dan antarabangsa kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.
  10. Berdoa kepada Allah swt agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpelihara. Insafi pengajaran Israk Mijraj dan libatkan diri anda dalam usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan Palestin. Semoga al Aqsa dan Palestin terbela

Salam perjuangan

Dr Z

oleh: Dr.Zainur Rashid Zainuddin (Perunding Aman Palestin)

Blog Peduli Ummah

Summer Retreat Sittah

Pada 11 hingga 13 Jun yang lepas, program Summer Retreat Sittah anjuran ISMA Jordan dengan kerjasama Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR) dan Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-MEDIK) telah berlangsung dengan jayanya.

Sehari sebelum program bermula, ketibaan awal para peserta tidak disia-siakan, sebaliknya diisi dengan slot Kafilah Dakwah. Para peserta diminta mengedarkan poskad berkenaan peristiwa Israk Mikraj di kawasan-kawasan sekitar Shah Alam dan mempromosi kepentingan penghayatan solat dalam kehidupan. Rata-rata anggota masyarakat yang ditemui memberi respons positif dan berharap usaha seumpama ini diteruskan.

Poskad semasa slot Kafilah Dakwah

Seawal 6.30 pagi Sabtu, peserta-peserta telah berkumpul di Seksyen 18 Shah Alam untuk mendengar taklimat dan memperolehi bahan bacaan sepanjang program iaitu buku Transformasi Pendakwah hasil tulisan Timbalan Presiden ISMA, Tn. Hj. Aminuddin Yahaya. Usai taklimat, konvoi sebanyak dua buah kereta terus bergerak menuju ke Seremban untuk menziarahi lima buah rumah pilihan.

Perodua Kenari dan Naza Citra yang banyak berjasa

Ketibaan peserta-peserta ke rumah kediaman Ustazah Norlida bt. Kamaruddin yang merupakan Naib Ketua Wanita ISMA Pusat disambut hangat oleh beliau. Tautan ukhuwah yang telah lama terjalin swaktu kunjungan beliau ke Jordan pada awal tahun 2010 semakin mekar dengan perkongsian isu-isu semasa Malaysia sambil para peserta menatap gambar-gambar Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS). Peserta-peserta juga diingatkan oleh Ustazah bahawa hati yang kering tidak akan mampu membasahkan hati-hati lain.

Ketika hendak memulakan perjalanan ke rumah berikutnya, peserta-peserta terkejut apabila mendapati tayar belakang sebelah kanan kereta Naza Citra yang dinaiki telah pancit. Usaha-usaha menukar tayar dengan gigih dan ceria dijalankan, namun akhirnya peserta-peserta akur dengan kekurangan kudrat dan peralatan. Kereta Naza Citra dihantar ke bengkel dan peserta-peserta meneruskan kembara dengan bantuan ikhwah akhawat ISMA Seremban.

Para akhawat berusaha 'menanggalkan' tayar

Di rumah Ketua Wanita ISMA Seremban; Dr Zainon Yahya, peserta-peserta dihidangkan bukan sahaja dengan santapan istimewa lauk ikan patin masak tempoyak, tetapi juga dapat mendengar pengalaman dakwah dan tarbiyyah Dr Zainon yang cukup banyak. Beliau sanggup menangguhkan pemergiannya ke kenduri demi untuk meluangkan masa yang lama bersama para peserta, memberi mutiara kata mengenai adab ikhtilaf dan kepentingan berlapang dada, serta urgensi untuk para doktor memaksimakan medan dakwah yang dimiliki.

Musafir diteruskan dan para peserta berpeluang mengunjungi Prof. Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin, Naib Presiden (1) I-Medik dan Perunding Aman Palestin, serta isterinya Dr Naziah Bt Haron. Seorang peserta mengungkapkan kekagumannya, ”Betullah di belakang seorang lelaki yang hebat tu mesti ada seorang perempuan yang hebat.” Perkongsian daripada Dr Naziah mengetuk hati para peserta bahawa wanita muslimah adalah tulang belakang kepada keluarga muslim yang mampu menjadi model dan contoh kepada masyarakat. Dr Zainur Rashid turut membuka minda para peserta dengan permintaannya supaya para peserta segera memilih dan mendalami specialty field atau pengkhususan area dakwah seperti fiqh perubatan, isu umat Islam sejagat, sejarah nusantara dan sebagainya.

Walaupun malam telah berlabuh, Dr Fadilah bt Ashari, AJK Biro Wanita ISMA Seremban tetap menerima kedatangan peserta-peserta dengan senyuman yang manis. Para peserta disajikan dengan rentetan pengalaman tarbiyyah yang dialami oleh beliau, yang hampir seiring dengan sejarah perkembangan tarbiyyah dan kemunculan gerakan-gerakan dakwah di Malaysia. Beliau juga menyampaikan tazkirah yang begitu menyentuh hati dan menyegarkan kembali peserta-peserta. Ujar seorang peserta, ”Suka dengar tazkirah Dr. Fadhilah malam tu. Takut juga kalau tak menggunakan potensi diri dan disoal di hari akhirat nanti.”

Setelah bermalam di home-stay milik Dr Zainon, peserta-peserta meneruskan jaringan ukhuwah bersama Naib Presiden (2) I-Medik, Dr Nor ’Izam Md Alias dan suaminya, Dr Yusof Abbas yang merupakan penulis buku Bio-Mekanik Solat dan Pengerusi I-Medik Negeri Sembilan. Setelah mendengar perkongsian daripada mereka berdua mengenai kepentingan istiqamah dan memelihara hubungan yang erat dengan Allah, para peserta mengambil autograf pasangan suami isteri tersebut yang telah menghasilkan dua buah buku bertajuk Psiko Seksual Remaja Lelaki dan Psiko Seksual Remaja Wanita.

Pada sebelah petang pula, para peserta tiba di Bangi dan menjejakkan kaki ke rumah Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh, Ketua Wanita ISMA di mana sesi ramah mesra bersama wanita ISMA Bangi diadakan. Sembang-sembang santai mereka mengajar para peserta bahawa dakwah itu tidak perlu kepada suasana yang formal dan seorang pendakwah akan sentiasa mengingatkan orang-orang di sekelilingnya kepada Allah melalui percakapan sehariannya. Kemudian para peserta bergerak ke rumah dua tingkat yang telah diwakafkan untuk kegiatan NAZIM dan bermalam di sana.

Keesokan harinya, para peserta cukup teruja memerhati perjalanan pengurusan di Pusat Rawatan Islam Az-zahrah serta menyaksikan konsep Mesra Ibadah yang  diamalkan hospital tersebut. Encik Zaim Shaari selaku Ketua Jabatan Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas telah membawa para peserta ke seluruh hospital untuk berkongsi rasa dengan para pesakit dan berkenalan dengan jururawat serta para doktor. Para peserta turut menziarahi pesakit bersama 3 orang pegawai agama yang setiap hari bertugas mendoakan para pesakit serta memastikan kesejahteraan jiwa dan spiritual mereka. ”Manis sangat pengalaman kali ni, dapat merasai suasana hospital yang sangat professional, Islamik dan menenangkan,” luah seorang peserta.

Doa syukur atas kelahiran seorang khalifah

Setelah selesai melawat hospital, Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Az-zahrah merangkap Naib Presiden 1 ISMA, Encik Abdul Rahman Mt Dali di dalam pembentangannya yang bertenaga telah memberi penekanan mengenai keyakinan, semangat dan dinamika yang sepatutnya dimiliki oleh seorang pendakwah. Program Summer Retreat Sittah berakhir dengan jamuan makanan tengah hari yang disediakan oleh pihak pengurusan hospital.

Retreat musim panas kali ini ternyata berjaya mewujudkan ruang perkongsian yang berharga antara para peserta dengan model-model qudwah dalam medan dakwah dan tarbiyyah. Semoga sikap daya juang, tahan lasak, progresif dan produktif yang dipupuk sepanjang program mampu memacu perjalanan dakwah di Jordan kelak. Jutaan penghargaan diucapkan kepada Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR), Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-MEDIK), dan ikhwah akhawat Malaysia yang banyak membantu kelangsungan dan keberkesanan program.

Selamatkan Pemuda Kita !

Antara perkara terpenting yang perlu dititik-beratkan oleh para pendakwah adalah pemerhatian mendalam terhadap isu pemuda dan masalah-masalahnya serta krisis-krisis yang dihadapi oleh pemuda di samping cabaran-cabaran yang mereka tempuhi.  Ini kerana, krisis-krisis pemuda merupakan antara isu ummat yang paling serius.

Berbicara tentang masalah dan krisis pemuda sepatutnya menimbulkan satu penyelidikan terpenting yang serius serta wajib diselidiki dan dirawati dengan rawatan yang tulus lagi jujur bersumberkan agama Islam kerana masalah-masalah ini sentiasa memburu pemuda-pemuda Islam dan mengejar mereka di mana sahaja mereka berada samada ketika berlindung di rumah mahupun ketika  di perjalanan (luar rumah).

 Sesungguhnya pemuda merupakan harta kekayaan dan ‘alat’ masa depan bagi setiap umat. Ia ibarat jantung  yang berdegup dan lengan kanan yang sentiasa menjadi tempat pergantungan umat.

Maka dengan itu, masyarakat menjadi kuat sekiranya pemudanya kuat – iaitu pemuda yang mempunyai kekuatan yang bagus, kesihatan yang baik, iman yang kukuh dan akhlak yang mantap.

Tempoh pemuda adalah satu fasa yang paling subur dalam kitaran hidup.  Ia adalah kekuatan yang terzahir di antara dua fasa lemah (fasa kanak-kanak dan fasa penuaan). Fasa pemuda juga merupakan satu lonjakan usia di mana waktu inilah termaksimumnya kekuatan, mekarnya bakat, dan terledaknya kegeniusan . Ia adalah satu tempoh kekuatan dan kematangan. Dengan sebab inilah, Allah SWT telah mengutuskan para Rasul dari kalangan pemuda.

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran mengenai Nabi Ibrahim yang menentang kebatilan dan berhala : “..Mereka berkata : “Kami  mendengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.” (Surah Al-Anbiya’ : 60) 

Fasa pemuda juga merupakan antara fasa yang terpenting dalam usia manusia kerana ia adalah permulaan taklifan agama terhadap manusia (usia baligh). Ketika inilah setiap individu wajib melaksanakan semua tuntutan agama dan bertanggungjawab atas segala perilakunya dari segi perbuatan dan percakapan. Ia akan disoal-jawab dan dihisab untuk diberikan ganjaran ataupun seksaan.

Sesungguhnya pemuda pada pandangan Islam adalah mereka yang memikul tugas dakwah kepada Allah swt dan memikul tanggung-jawab melakukan Islah (pembaikan). Ini disebabkan, mereka lah golongan yang paling mampu untuk menghadapi dan menentang kezaliman.  Mereka adalah golongan yang paling banyak cenderung pada pengorbanan serta sentiasa berusaha untuk dirinya dan perkara-perkara lain yang berharga.

Allah s.w.t berfirman mengenai golongan Ashabul-Kahfi : “Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.” (Al-Kahfi : 13-14)

Firman Allah s.w.t juga mengenai kisah permintaan salah seorang anak Nabi Syu’aib terhadap ayahnya untuk mengambil seorang pemuda (Nabi Musa a.s) sebagai orang upahan : “Wahai bapaku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.” (Al-Qashas : 26)

Sesungguhnya dakwah Islamiyyah pada zaman Rasulullah saw berkembang dengan sayap-sayap pemuda. Ali bin Abi Talib r.a memeluk Islam ketika berumur 8 tahun. Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Talhah bin ‘Ubaidullah, dan Ja’far bin Abi  Talib r.a memeluk Islam ketika kemuncak usia pemuda. Bahkan, Rasulullah saw telah mengarahkan Usamah bin Zayd supaya mengetuai tentera muslimin untuk menentang Rom ketika umurnya baru 18 tahun. Perlantikan Usamah ketika usia muda ini merupakan dalil kuat terhadap keperluan memberi peluang kepada pemuda memikul tanggungjawab dan memanfaatkan kemampuan mereka, dan juga sebagai persediaan pemuda untuk masa hadapan umat yang menunggu mereka. Begitu juga Muaz b. Jabal r.a. Beliau telah diutus Rasulullah saw ke Yaman untuk mempelajari  fiqh dan agama ketika kemuncak usia pemuda.

Dengan wujudnya kepentingan fasa pemuda yang cukup matang inilah, Rasulullah saw telah berpesan kepada umat Islam supaya ‘mengeksploitasi’ dan merebut fasa pemuda ini sebelum ia berlalu pergi. Hadith Rasulullah saw : “Rebutlah peluang 5 perkara sebelum dtg 5 perkara yg lain, iaitu masa mudamu sebelum datangnya hari tua, masa sihat mu sebelum engkau dilanda sakit, masa kayamu sebelum engkau jatuh papa, masa lapang mu sebelum dtgnya waktu sibuk dan masa hidup mu sebelum dtg saat kematian.”

 Dan Rasulullah saw telah memberi khabar gembira buat pemuda yang taat dan sangat berhasrat kepada redhaNya dengan perlindungan teduhan di tengah panas terik hari kiamat, bahkan kedudukannya diletakkannya di belakang imam yang adil. Hadith Rasulullah saw : ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri. Mereka itu adalah: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Namun yang demikian, kini kita lihat generasi pemuda Islam tidak lagi seperti pemdua zaman-zaman kegemilangan Islam yang lalu. Mereka sudah leka dengan dunia sendiri. Seolah-olah mereka tidak pernah tahu peranan dan tanggung-jawab mereka. Lebih parah, segala kelebihan yang ada dalam diri mereka tidak digunakan sebaiknya malah dibazirkan untuk membuat maksiat dan perkara yang sia-sia.

Kalaulah dibuat kajian statistik berapa ramai yang ke pawagam dan berapa yang ke masjid setiap hari, berapa ramai yang menghafal Al-Quran dan berapa ramai yang menghafal lagu-lagu, berapa ramai yang mengenali para Sahabat r.a dan yang mengenali artis, sudah pasti natijahnya cukup menyakitkan hati bersih yang melihatnya.

Akhir kalam, adakah situasi yang berlaku kini tidak menyedarkan kita supaya bersungguh-sungguh menyelamatkan dan ‘menghidupkan’ kembali pemuda ini? Hendakkah segala kelebihan dan potensi jutaan bahkan berbillion pemuda masa kini dibazirkan begitu sahaja?

Diterjemah dan diolah oleh:

Ahmad bin Khairuddin
Tahun 2 Fiqh wa Usuluhu
Universiti Yarmouk

*Karya asal ditulis dalam bahasa Arab oleh Dr Ahmad Abdul Hadi Shahin.

Fiqh Dakwah Dari Ijabiyyah Burung Hud-Hud


Ikhwani fillah…

Alhamdulillah, segala puja dan puji kita hadapkan pada allah atas limpahan nikmatnya yang tidak terhingga ke atas kita. Marilah kita berterusan memuji allah, marilah kita sentiasa hadirkan jiwa kita untuk sentiasa bertaqarrub kepada allah dengan melipat gandakan amal-amal kita, melipat gandakan jihad dan tazhiyah (pengorbanan)  kita agar kita terus thabat di atas jalannya. Jalan dakwah, jalan tarbiyah dan jalan para nabi-nabi, para auliya’, para solihin dan siddiqin.

Akhi fillah..

Al-Quran di sisi kita adalah kitab dakwah wa tarbiyah. Kitab yang mengandungi pelbagai kisah untuk dijadikan ‘ibrah dalam perjalanan yang panjang ini agar kita tidak gugur dan terhenti dek kerana panas dan hujannya ritma lautan dakwah ini.

Kisah-kisah yang dipapar dan ditayangkan di dalam al-Quran adalah untuk berterusan memberikan motivasi, spirit dan semangat daya juang yang kental buat parajurit dakwah agar terbina militansi sebagai kader dakwah, dai’e, murobbi, naqib dan qiyadah.

Antara kisah menarik yang dilayarkan di dalam al-Quran adalah kisah Burung Hud-Hud dan Nabi Sulaiman. Kisah Sang Burung yang melakukan kerja dakwah dengan penuh Ijabiyah (positif) tanpa menanti arahan Qiyadah. Sikap proaktif yang ditunjukkan oleh Hud-Hud membuka lembaran amal baru dakwah sehingga umat baru itu menerima hidayah dan memeluk Islam.

Allah merakamkan di dalam al-Quran pada ayat 20-23 Surah An-Naml yang bermaksud :

Dan dia ( Nabi Sulaiman) memeriksa burung-burung lalu berkata : “ Mengapa aku tidak melihat Hud-Hud, apakah dia termasuk dari kalangan yang tidak hadir. Sudah pasti akan ku menyiksanya dengan siksaan yang amat pedih atau aku akan menyembelihnya kecuali ia datang kepadaku dengan alasan yang terang dan nyata”. Maka selang beberapa ketika, datanglah burung Hud-Hud lalu ia berkata . “ aku telah mengetahui apa yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawakan kepada kamu dari Saba’ satu berita  penting dan diyakini. Sesungguhnya akau mendapati seorang wanita yang memerintah mereka dan dia dianugerahkan dengan segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar..”.

Ikhwati fillah..

Dalam kisah ini, kita melihat bagaimana Hud-Hud yang terlewat untuk hadir di majlis pertemuaan dengan Nabi Sulaiaman a.s. Keterlambatan Hud-Hud menghadiri pertemuan ini dengan satu i’tizar (alasan) yang munasabah, bahkan memberikan informasi baru yang bermakna pada amal dakwah.

Tindakan Hud-Hud bukanlah sikap escapism (melarikan diri) dari dhawabit amal jamaie atau sebagai satu dalil Tasayyub (melepaskan diri) dari arahan Qiyadah. Kita mesti memahami tindakan Hud-Hud dengan positif untuk memanfaatkan fursoh (peluang) bagi menjayakan agenda jamaah dan misi dakwah.

Kisah ini menunjukkan betapa perlu setiap kader dakwah sentiasa sedar (yaqzah)akan agenda dakwah, diqqah (teliti) dalam amalnya agar dia tidak terkeluar dari gagasan besar yang digariskan oleh jamaah dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Begitu juga pada posisi Qiyadah yang perlu ada sikap mengawal dan tatabbu’ (follow-up) apa yang dilakukan oleh anggotanya agar agenda dakwah dan misi jamaah tercapai. Sikap peka dan sedar pimpinan terhadap prilaku anggotanya, tegas pada tindakannya akan menjamin kesejahteraan organisasi dan segala permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan.

Tindakan Hud-Hud juga menunjukkan setiap parajurit dakwah perlu memiliki kecerdasan dan ketangkasan untuk memanfaatkan segala ruang dan peluang bagi mengembangkan risalah dakwah. Sikap Hud-Hud yang sentiasa proaktif, positif dalam amalnya, memberikan informasi berguna menyebabakan Ratu Balqis dan pengikutnya menerima risalah islam. Pada diri Hud-Hud juga ada keberanian mengemukan alasan kepada pimpinan akibat keterlewatannya hadir pertemuan.

Kisah ini sarat dengan ma’ani tarbawi dan harokiy untuk diteladani oleh Qiyadah dan para pengikut dakwah. Ia juga menjadi Durus(pelajaran) berharga buat para Da’ie. Mas’ul dan Murobbi.

Antara pelajaran penting dari kisah tersebut untuk para da’ie, para mas’ul dan murobbi ialah.

  1. Seorang Dai’e perlu kreatif dan memiliki inisiatif positif serta proaktif di dalam amal dakwah. Dalam era digital dan informatif, setiap daie perlu memanfaatkan ruang maya, mencari maklumat yang penting untuk kemaslahatan dakwah dan memberikan impak yang tinggi dalam menjayakan agenda organisasi. Bahkan da’ie itu lebih mulia dari seekor burung Hud-hHud.
  2. Setiap pimpinan, mas’ul atau murobbi perlu bijak dalam memberikan taujih (pengarahan) dan mengawal perjalanan organisasi. Tidak semua perancangan yang direncanakan dapat dilakukan oleh qiyadah dan memantaunya kerana keterbatasan matlumat. Tindakan Hud-Hud memberikan sedikit maklumat walaupun dipandang kecil dan remah telah menyebabkan ratu Balqis dan pengikutnya memeluk Islam. Kemampuan memberikan taujih dan mengawal gelagat anggota adalah seni yang perlu dipelajari dan dicontohi.
  3. Para mas’ul atau para murobbi hendaklah melakukan siasatan sebelum menjatuhkan hukuman kepada mutorobbi atau pengikutnya. Sikap tabayyun (minta penjelasan) adalah akhlak yang perlu ada pada para mas’ul sebelum melakukan tindakan menghukum. Dalam organisasi para qiyadah harus menerima alasan yang syar’ie wa tandhimi untuk menjaga keharmonian jamaah agar tidak terbuka pintu-pintu fitnah dan porak peranda jamaah. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman yang menerima alasan burung Hud-Hud walaupun berkemungkinan ia benar atau berdusta. Realitinya, apa yang diberitakan oleh hud-Hud adalah suatu yang benar dan membuka medan baru dakwah.
  4. Dalam dakwah dibenarkan kita i’tidzar lil qoid fi ada’il wajib . (memberikan alasan pada pimpinan dalam melaksanakan tugasan dakwah). Setiap parajurit dakwah diharuskan memberikan alasan ketidakhadiran dalam mana-mana aktiviti dengan syarat alasan itu adalah i’tizar syar’ie wa i’tizar tandhimi. (alasan yang bersifat syarie dan mengikut adabiyat tanzim).
  5. Setiap kader dakwah perlu memiliki keberanian mengemukana alasan yang kuat dihadapan qiyadah. Keberanian tersebut berasaskan kepada kekuatan ilmu. Inilah yang dilakukan oleh Hud-Hud dihadapan Nabi Sulaiman. Kata Hud-Hud  : “Maka selang beberapa ketika, datanglah burung Hud-Hud lalu ia berkata . “ aku telah mengetahui apa yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawakan kepada kamu dari Saba’ satu berita  penting dan diyakini..”.
  6. Hudhur (hadir) kita pada setiap pertemuan dan acara yang diaturkan oleh jamaah adalah atas hudhur da’awi tarbawi.  Kehadiran kita pada setiap halaqah, setiap liqo’ setiap wasilah tarbiyah adalah atas sebab hudhur da’awi tarbawi. Kehadiran inilah yang menyelamatkan kita di hadapan qaid, mas’ul dan murobbi kita. Semua ini menjasad dan mendarah daging pada diri kita, jika kita ada memiliki sifat ijabiyyah (positif) pada amal dakwah dan amal tarbiyah kita. Setiap mas’ul, qoid atau murobbi pula perlu ijabiyyah dalam menilai setiap anggotanya agar mereka sentiasa tidak ponteng dalam setiap aktiviti dakwah dan tarbiyah.
  7. Para mas’ulin, para qiyadiyyin, para murobbiyin perlu mencontohi sikap dan prilaku Nabi Sulaiman a.s terhadap Hud-Hud. Antara sikap tersebut ialah:
  • Tafaqqud al-amir li atba’ihi (seorang ketua merasakan  kehilangan para pengikutnya). Setiap mas’ul perlu memerhatikan sesiapa yang tidak hadir atau hadir pada setiap liqo’nya. Sikap ambil berat adalah sebahagian dari peranan dan amanahnya sebagai mas’ul atau murobbi.
  • Akhzul amr bil hazm (membuat keputusan dengan tegas). Tindakan Nabi Sulaiman yang tegas terhadap Hud-Hud jika tidak dapat memberikan alasan yang syar’ie akibat keterlambatannya hadir majlis. Setiap mas’ul harus tegas dan memiliki wibawa dalam membuat polisi dan arahan pada pengikutnya.
  • Refleksi. Setiap mas’ul harus sentiasa merefleksi perjalanan tarbiyah mutarobbinya agar hasil tarbiyahnya positif dan mendatangkan impak yang besar pada dakwah.
  • Tabayyun al-‘uzr (meminta penjelasan keuzuran).Setiap mas’ul atau murobbi perlu meminta penjelasan atas uzur dan alasan para ahlinya yang tidak hadir. Sikap tabayyun diharapkan akan menghasilkan dampak yang positif pada jamaah dan dakwah.
  • Taqdir kulli udwin (Menghargai setiap ahli). Setiap pimpinan perlu menghargai para ahli bawahannya walaupun apa levelnya, apa kondisinya, apa kedudukannya di dalam organisasi. Ini kerana sikap menghargai ahli akan membawa keseqahan pada pimpinan dan keijabiyahan pada dakwah.

Ayyuhal ikhwah…

Marilah kita sentiasa bersikap ijabiyyah pada amal tandhimi dan amal da’awi ini. Sikap ijabiyyah yang menjadikan kita kader yang proaktif dan sentiasa positif. Dengan sikap ijabiyyah ini, kita lebarkan misi dakwah kita, kita perluasan amal tajmik kita, kita berkreatif di medan baru dakwah melalui laman maya dan digital dan kita tidak meremehkan perkara yang kecil.

Marilah kita menggunakan sifat ijabiyah ini untuk mengukuhkan militansi kita sebagai kader dakwah, sebagai qoid(pemimpin), sebagai mas’ul, sebagai murobbi atau sebagai ahli kepada gerakan dakwah ini walaupun tanpa memiliki jawatan dan posisi sebagaimana sang burung Hud-Hud.

Sekecil manapun yang kita lakukan, namun jika ia bersifat ijabiy akan memberikan kesan yang besar pada dakwah dan jamaah ini. Yang penting dalam diri kita ada kemahuan yang kuat dan daya militansi yang tinggi.

Bayangkan jika kita punyai maklumat yang penting hasil perjalanan dakwah kita ke kampung-kampung, daerah-daerah, pertemuan dengan pelbagai manusia, kaji selidik kita melalui alat media massa, media cetak dan media maya. Lalu kita berikan informasi tersebut pada pimpinan kita sehinggalah menghasilkan projek dakwah yang lebih besar dan efektif, maka itu adalah dari sikap ijabiyyah  yang perlu ada pada diri kita.

Ingatlah ikhwah sekalian,..

Dakwah di fasa Infita h(terbuka)  menuntut kita kepada sikap ijabiyah.Dengan  sikap ijabiyyah inilah yang akan membuka ruang baru dakwah kita, menakung kepelbagaian mad’u kita, meluaskan pasaran dakwah kita, meningkatkan perolehan keanggotaan kita, mentajnid dan memperkasa kekuatan kita, membangunkan keseqohan umat pada kita sehinggalah allah akan memenangkan risalah dakwah ini. Moga kita terus bersikap ijabiyyah sebagaimana ijabiyah Hud-Hud dalam melakukan amal dakwahnya.

Sumber : http://maalimfitariq.wordpress.com (blog Ustaz Azizee bin Hasan)

Andainya Aku di Situ

Suasana sunyi menyelubungi malam yang pekat gelita itu. Keheningan suara alam seolah-olah turut bersama menangisi peristiwa pahit tersebut. Angin bertiup perlahan, seakan-akan menyesali terhadap apa yang bakal berlaku. Bahkan, bakal disesali dan ditangisi seluruh alam.

Kedengaran derapan tapak kaki beberapa orang, melangkah masuk ke pekarangan Istana Yildiz. Masing-masing serba lengkap berpakaian kemas berwarna hitam. Kedatangan mereka bakal membawa suatu titik berdarah bagi sejarah umat Islam. Mereka ingin segera menemui Sultan Abd Hamid II, Khalifah umat Islam terakhir, di ruang kediamannya. Kedatangan mereka telah dijangka sendiri oleh Sultan Abd Hamid.

Lalu, Sultan Abd Hamid melangkah keluar tenang, mendapatkan mereka. Baginda sudah memahami sendiri tujuan kedatangan mereka. Lalu,baginda berbicara,

“Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?”, luah Sultan memohon timbang tara dari mereka.

Namun, menghampakan, nilai simpati dan belas kasihan telah lama jauh hilang dari hati mereka.

“Tidak, negara telah memecat anda!” tegas Esha Pasha, salah seorang wakil delegasi tersebut, yang juga seorang wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan. Kedatangan mereka dijelaskannya kepada Sultan Abd Hamid dengan angkuh dan biadap.

Kehadiran mereka sebenarnya telah dirancang sekian lama oleh musuh-musuh kerajaan Bani Uthmaniah sedunia. Mereka telah disokong 240 perwakilan Parlimen Uthmaniah, dibawah tekanan puak Turki Muda, yang bersetuju dengan penggulingan Sultan Abd Hamid II. Bahkan, seorang senator berpengaruh, Sheikh Hamdi Afandi Mali, telah mengeluarkan fatwa tentang penggulingan Sultan, dan dipersetujui oleh para senator yang lain, walaupun sangat jelas kebatilan dalam fatwanya. Namun, hakikat fakta dan realiti sejarah takkan sekali-kali mampu diubah kebenarannya. Kemudian, satu-persatu wajah ahli delegasi diperhatikan dengan baik oleh baginda.

“Negara telah memecatku, itu tiada masalah, tetapi kenapa kalian membawa serta Yahudi ini masuk ke tempatku?” kata Sultan dengan nada yang cukup marah, sambil menunding jari tehadap salah seorang wakil delegasi Yahudi berbangsa Itali, Emmanuel Carasso.

Baginda cukup mengenali Emmanuel Carasso, seorang wakil yang turut bersama-sama Theodor Herzl ketika cuba membuat tawaran keizinan penempatan Yahudi di Palestin.

“Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami”, balas Esha Pasha, cuba mengalih bicara.

Sultan Abd Hamid sedar kedudukannya di saat-saat yang genting itu. Baginda yakin dengan ketentuan Allah SWT telah tetapkan untuknya. Sunnah Allah yang pasti bagi hari-hari yang digilirkan kemenangan dan kekalahan sepertimana kisah Uhud, suatu ketika dahulu.

Malam 27 April 1909 itu menjadi saksi pengusiran Khalifah terakhir umat dari pemerintahan dunia. Malam itu juga baginda beserta ahli keluarganya yang ramai diangkut menuju ke stesen kereta api Sirkeci. Mereka diusir dari bumi yang menjadi simbol kekuatan dan kesatuan umat, dan dibuang ke istana milik Yahudi di Salonika.

Bumi seakan-akan bergegar akan tragedi yang memilukan itu. Tanah keemasan yang pernah dijejak oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera itu suatu ketika dahulu, kini berubah wajahnya menjadi debu-debu yang berterbangan.

“Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan pada umat Muhammad ini” Sultan cuba menenangkan anaknya, Fatimah sambil mengusap air matanya yang mengalir sedih.

Kereta api pun meluncur laju, meninggalkan bumi khilafah di belakang. Maka, tamatlah salasilah pemerintahan Khilafah umat Islam sejak dari zaman Abu Bakar r.a, selepas pembubaran khilafah secara rasmi di Istanbul pada 3 Mac 1924 Masihi bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah.

Saudara,

Andainya saudara telah hidup disaat-saat kejatuhan itu,

Apakah yang akan saudara lakukan?

Marah?

Menangis?

Membuat demonstrasi?

Berceramah dan menghebahkan ke pelusuk dunia?

Mengadakan muktamar-muktamar?

Atau, tenang dan sekadar duduk menerima ketentuan?

Saudara, apa yang akan saudara lakukan?

Jawablah, kerana saat itu saudara telah dihinakan.

Syakib Arsalan Menggaris Langkah

Lalu, di celah-celah kegawatan umat itu, muncul seorang Ulama Agung, Syakib Arsalan menggaris langkah;

“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

Ungkapannya muncul setelah beberapa kali diutus surat kepadanya, menanyakan pendapat tentang muktamar dan perhimpuanan yang diadakan untuk memilih Khalifah Umat yang baru. Namun, beliau tegas dalam memahami teori kebangkitan bagi umat ini. Kekalahan umat baginya bukanlah sekadar kejatuhan kekuasaan dan pemerintahan khilafah, tetapi ia adalah lebih menjunam hingga ke pokok akar-akarnya, iaitu akidah dan iman setiap muslim di seluruh dunia.

Sejarah membuktikan bahawa kelemahan identiti dan jiwa seorang muslim ketika itu, cukup membimbangkan, sehingga membawa kepada pepecahan dan penentangan sesama muslim.

Di awal ambang kemorosotan kerajaan Uthmaniah, telah muncul satu gerakan Revolusi Arab yang berpusat di Mekah. Mereka menentang pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah atas dasar nasionalisme dan perkauman. Bahkan, gerakan ini ditaja sendiri oleh pihak British dan Perancis. Di Turki pula muncul gerakan Young Turks atau Turki Muda dan Parti Al-Ittihad wal Taraqqi, yang juga menentang dasar pemerintahan khilafah Uthmaniah. Perkembangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara-negara lain, sehingga kebanyakannya menuntut permisahan secara total dari pemerintahan kerajaan Uthmaniah, dan membina negara-negara masing-masing.

Seorang penulis berpengaruh di Mesir, Abdul Rahman Al-Kawakibi telah menulis dalam bukunya, Ummul Qura, menghasut orang-orang Arab supaya menetang kerajaan Uthmaniah, dan menuduh Sultan Abdul Hamid seorang yang mengutamakan politik lebih dari agama.

Kemorosatan moral dan akhlak juga menjadi lumrah dan kebiasaan. Penyelewengan akidah dan bidaah telah merebak ke seluruh jiwa umat. Golongan istana para pemimpin juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta tari-menari dan hidangan minuman keras. Gejala rasuah dan pecah amanah menjadi adat dalam sistem pentadbiran sehingga ke tahap yang kritikal.

Maka, Syakib Arsalan melahirkan kerisauannya pada aspek pembinaan semula jati diri, akidah dan iman dalam diri umat. Beliau memandang hakikat kerosakan tersebut, seiring dengan teori Al-Faruq Umar Al-Khattab, ketika ditanya,

“Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia makmur maju?”

Lalu, beliau menjawab:

“Apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik”

Juga, seiring dengan firman Allah SWT ketika mengajar para sahabat erti sebenar kejatuhan pada perang Uhud:

“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), padahal kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan musibah kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (musibah) ini? Katakanlah (wahai Muhammad) (Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”
(Aali Imran: 165)

Ya, Allah SWT telah menegaskan pada umat ini :

“(Musibah) itu dari diri kamu sendiri (kerana ingkar perintah Rasulullah)…”

Hasan Al Banna Mengorak Langkah

Walaupun begitu, teori Syakib Arsalan tersebut seolah-olah tidak diendahkan para pemimpin dan umat. Hal ini diakui sendiri oleh seorang tokoh Islam bernama Abdul Wahab Azzam,

“Namun,sampai kini kita masih mendengar laungan-laungan di dalam perhimpunan-perhimpunan serta resolusi-resolusi di muktamar –muktamar sejak puluhan tahun dahulu.Semuanya itu hanya merupakan himpunan angka kosong.

Usaha dakwah ini mesti dimula dari bawah sepertimana kata Syakib.”

Maka umat terus dilanda kebingungan sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah di Turki, berbagai pihak cuba membuat serangan-serangan terhadap keteguhan dan keaslian Islam dan umatnya. Kekacauan dan huru-hara yang berlaku kesan dari kejatuhan khilafah Uthmaniah amat dirasai oleh mereka yang masih ikhlas dan dan beriman dengan risalah Nabi SAW. Namun,mereka seolah-olah hanya mampu menunggu kemunculan mana-mana peribadi yang bangkit dan berdiri memimpin mereka ke arah kebangkitan.

Maka, Allah Maha Adil telah menyiapkan sebuah peribadi unggul yang bangkit dan kembali mentajdid ruh Islam dan jihad ke dalam jiwa umat. Pada tahun 1928, Imam Hasan Al-Banna bangkit dan mengasaskan sebuah gerakan Islam yang melakukan usaha-usaha untuk membawa kembali khilafah kepada tempatnya. Beliau telah melakukan beberapa kajian-kajian terhadap permasalahan umat dan ubatnya, dan akhirnya mendapati:

“Ceramah, ucapan, buku, pengajian, mengenal pasti penyakit dan ubat sahaja tidak akan membawa apa-apa kesan dan tidak akan dapat membawa pendakwah kepada matlamat. Sebaliknya dakwah perlu menggunakan segala wahana. Wahana yang perlu digunakan oleh semua gerakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah tiga perkara berikut :

Iman yang mantap
Pembentukan yang kemas
Usaha yang berterusan”

Usaha beliau dalam mentarbiyah dan membina umat berterusan dan disambung oleh para generasi selepasnya, dan mula membuahkan hasil demi hasil dengan izin-Nya.

Sirah Rasulullah SAW dalam menumpukan aspek-aspek pembinaan generasi sahabat sehingga membawa kepada penegakan negara Islam Madinah dan menjadi titik bermula kegemilangan empayar Ummayah, Abbasiyah, dan Uthmaniah menjadi dalil jelas kepada usaha Imam Hasan Al Banna dalam menjadikan tarbiyah sebagai kekuatan umat.

Akhirnya, menjadi kewajipan bagi setiap mereka yang mengakui Allah sebagai tuhannya untuk menggabungkan diri dalam usaha-usaha pembinaan diri dan pentarbiyahan, agar suatu hari nanti, pembukaan Kota Konstantinople kembali bergegar dan kegemilangan Kota Baghdad kembali menyinar.

Jika tidak, maka setiap dari kita akan dipertanggungjawabkan dosa akibat tidak meletakkan Islam ke tempat yang sepatutnya.

“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!”

Sumber:
Harb, Muhammad (1998). Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II. Darul Qalam, ; Asy-Syalabi, Ali Muhammad (2003).Bangkit dan Runtuhnya Khilafah ‘Utsmaniyah. Pustaka Al-Kautsar, 403-425.
Muzakarrat Daie wa Daieah; Hasan Al Banna.

Oleh: Abdul Rahman Raji, Tahun 1, Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar (Kaherah)
Sumber : http://ismamesir.com/v2

Wakil ISMA Jordan di SMKA Maahad Hamidiah

Kajang, 19 Jun – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan telah dijemput untuk mengisi slot Forum ‘Membina Potensi Kepimpinan Remaja’ yang dianjurkan oleh Badan Dakwah & Rohani (BADAR) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang pada hari Ahad yang lepas.

ISMA Jordan telah menampilkan Dr. Syamil Salmi, Saudara Muhammad Ali Zaki, dan juga Saudara Hashemi Dahalan Razip  sebagai panelis-panelis yang telah mengupas tajuk forum dengan jayanya. Fokus yang dibincangkan antara lain adalah tentang peranan dan ciri-ciri remaja berkepimpinan yang mampu menyumbang untuk masyarakat.

Forum tersebut dihangatkan juga dengan soalan-soalan yang pelbagai dari para peserta. Secara keseluruhan, para peserta berpuas hati dan berasa terisi dengan pengisian yang dikongsikan bersama para panelis jemputan.

Pihak ISMA Jordan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan BADAR dan PRS SMKA Maahad Hamidiah, Kajang atas jemputan yang sangat bermakna ini.

Permukiman Musim Bunga 2011

IRBID – Pada 3 hingga 5hb Jun lalu, Biro Wanita ISMA Jordan telah mengadakan program Permukiman Musim Bunga khusus untuk semua akhawat yang masih setia bercuti di Irbid. Program Permukiman Musim Bunga ini adalah sebuah program yang mengetengahkan tema luar biasa buat para peserta iaitu ; ‘Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia’. Dengan hidupnya tema ini di dalam setiap aktiviti, pengisian dan lagu temanya, setiap akhawat seharusnya memahami bahawa kekuatan fizikal mestilah diraih dan dipelihara demi memastikan dakwah terus padu dalam kalangan akhawat.

Bermula seawal  jam 9 pagi, aktiviti pertama yang dilakukan bersama adalah menonton sebuah movie hangat masa kini yang bertajuk ‘Valley of The Wolves 2011’.

“Movie yang mampu menggerakkan dan menghidupkan jiwa,” begitulah komen salah seorang peserta sebaik tamat menontonnya.

Sesi perkongsian pengajaran berlangsung selepas itu di mana semua orang turut  sama dalam meluahkan pendapat masing-masing mengenai cerita ini, mengenai situasi dunia Islam sekarang, dan apa peranan kita.

Para peserta turut diberikan peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama di dapur ketika aktiviti memasak makan tengahari dan malam yang diadakan serentak. Acara Bedah Buku penulisan Zainab AlGhazali berlangsung sekitar 2 jam sebelum aktiviti kemuncak hari pertama diadakan; iaitu kelas renang. Usai solat maghrib dan makan malam, barisan urusetia telah menjemput seorang tetamu khas bagi menyampaikan taklimat kesihatan wanita; seorang graduan JUST 2011 – Dr. Asma’ Ahmad Khalid.

“Taklimat kesihatan ini sangat informatif dan interaktif,” akur peserta yang turut serta dalam perbincangan dua hala yang dilakukan pada malam itu.

Dengan berakhirnya taklimat kesihatan ini, maka aktiviti hari pertama Permukiman Musim Bunga juga berakhir.

Hari kedua Permukiman Musim Bunga dimulakan dengan riadah pagi di stadium ternama di Irbid. Selepas  lebih kurang 30 minit diuji kekuatan fizikal, akhawat diuji pula sudut kreativiti mereka pada menghias bilik perpustakaan ISMA Jordan dan kawasan lain pejabat ISMA. Aktiviti menarik sesudah itu yang tak bisa dilupakan para peserta adalah aktiviti memasak kuih tiram dan belajar skil membuat karipap pusing. Kelas renang sekali lagi diadakan, pada petang hari kedua, untuk menyambung sesi pembelajaran yang berjalan sehari sebelumnya.  Slot tazkirah pada sebelah malamnya pula banyak menyentuh tentang penyucian jiwa [ tazkiyah an-nafs].

Hari ketiga adalah hari kemuncak program ini. Awal-awal pagi lagi, akhawat memberikan fokus mereka untuk sambung membedah buku tulisan Zainab Al Ghazali yang bertajuk Hari-Hari dalam Hidupku. Aktiviti utama untuk hari kemuncak ini adalah Explorace yang menguji akal dan ketangkasan para peserta, dan menu istimewa pada tengahari itu telah menutup majlis Permukiman Musim Bunga akhawat ISMA Jordan 2011.

Aspiring Forum – Perkongsian Pengalaman & Suasana

Pada 9 Jun 2011, Ikatan Muslimin Malaysia Jordan dengan kerjasama Sekretariat Perhubungan Luar Negara (SEKTAR) ISMA, Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) dan Program Timur Tengah, INTEC telah mengadakan satu program yang diberi nama Aspiring Forum. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada bakal pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Jordan tentang bidang yang akan diceburi dan kehidupan hidup di perantauan di bumi anbiya, Jordan.

Program dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-quran, yang diperdengarkan oleh Pelajar MEJ 11 sendiri oleh saudara Iqbal Adli bin Nor Azmi. Saudara Iqbal telah membacakan ayat 1 sehingga 8 surah al-isra.

Program diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh Puan Umiatun Fuzaih binti Yeop, koordinator Program timur tengah, INTEC. Dalam ucapannya, puan Umiatun menasihati para pelajar agar mengambil segenap peluang dan manfaat sepanjang keberadaan abang-abang dan kakak-kakak dalam program ini.

Kemudian, warga dewan disajikan dengan tayangan video promosi Jordan, yang telah disediakan oleh pihak jawatankuasa program sebagai pemangkin semangat kepada pelajar-pelajar untuk tidak menoleh kebelakang dan menjadikan Jordan sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pelajaran.

Program dihangatkan lagi dengan sesi forum yang menampilkan 2 panel jemputan iaitu Dr Rafidah Hanim yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Sains Perubatan, USIM dan juga Dr Aini Hayati yang merupakan seorang pegawai pergigian di Hospital Kuala Lumpur.forum ini telah dikendalikan oleh Dr syamil salmi yang juga merupakan graduan Jordan university of science and technology tahun 2011. Forum ini lebih berkisarkan prospek kerjaya seorang doctor dan doctor gigi tentang reality semasa dan cabaran yang bakal ditempuhi oleh graduan perubatan dan pergigian. Panel juga sempat menekankan tentang laluan kerjaya seorang pengmal kesihatan supaya para pelajar sudah mempunyai target, visi dan misi yang jauh sejak dari awal lagi agar menjadi perangsang dan motivasi diri. Nyata, forum ini sangat menarik dengan usikan-usikan daripada moderator forum dan para panel jemputan.

Seterusnya, program diserikan dengan penampilan khas seorang tokoh pengamal perubatan dan misi kemanusiaan. Beliau yang dimaksudkan ialah Dr Zainur Rashid Zainuddin. Beliau merupakan pakar Obstetrik & Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar dan juga Timbalan Dekan,Fakulti Perubatan di International Medical University (IMU). Beliau telah menceritakan pengalaman beliau semasa belajar di bumi Ireland suatu masa dahulu. Beliau juga sempat menceritakan pengalaman beliau terlibat dalam misi kemanusiaan di palestin dan juga bersama dengan pelajar-pelajar perubatan di seluruh Negara, antaranya Jordan, Mesir, Republic Czech, Ireland, dan UK. Walaupun sesi bersama beliau sangat ringkas, namun peluang 20 minit bersama beliau menaikkan semangat pelajar-pelajar untuk terus menjadi pelajar perubatan yang cemerlang. Beliau secara ringkas telah menceritakan tentang ketokohan Al-Zahrawi malah mencabar para pelajar untuk berusaha mencontohi kehebatan Al-Zahrawi.

Para hadirin seterusnya disajikan dengan video pengenalan tentang kursus Ekonomi dan Perbankan Islam dan kemudiannya diteruskan dengan sesi perkongsian ‘Sharing Sessions : Antara Dua Benua’. Sesi kali ini menampilkan sekali lagi graduan JUST, Dr Syamil Salmi, dan 2 pelajar yang masih menuntut di JUST, saudari Nadhirah binti Sahri, dan saudari Farahin binti Bakhtar. Mereka telah berkongsi dan menceritakan tentang suasana kehidupan di Jordan dan menjawab segala pertanyaan pelajar-pelajar.

Di penghujung sesi perkongsian, para pelajar telah diberi ruang untuk bertanya lebih lanjut dalam sesi LDK yang lebih selesa memandangkan para peserta telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Sesi perkongsian kali ini dilihat cukup bermanfaat memandangkan Dr Syamil berkesempatan untuk hadir berkongsi kisah suka duka beliau sepanjang 6 tahun berada di bumi Jordan. Beliau yang juga mantan Pengerusi ISMA Jordan, telah memulakan pengajian di bumi Jordan pada 2005 dan telah berjaya menamatkan pengajian ijazah perubatan (MBBS) pada Jun baru-baru ini dan kini telah pulang ke tanah air berbekalkan segulung ijazah dan sebeban ‘risalah’.

Majlis diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada Puan Umiatun Fuziah binti Yeop, atas kesudian beliau untuk memberikan peluang kepada pihak ISMA untuk bersama memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke bumi Jordan.

Warga ISMA Jordan mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua penganjur dan juga tenaga penggerak program perkongsian kali ini khususnya Puan Umiatun, para doktor wakil I-Medik, dan juga teamforce ikhwah-akhawat ISMA Jordan yang sedang bercuti di Malaysia.

Semoga program ini memberikan manfaat dan dapat mengeratkan hubungan ukhuwah islamiah dikalangan kita. Diharapkan program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang agar dapat menaikkan semangat para pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan.

“Membina Generasi Harapan”

Kek Coklat Moist Aunty Murni

Waktu-waktu begini..anda mengidamkan kek coklat? Atau, anda cuba untuk menghargai ahli keluarga anda di Malaysia dengan kepulangan anda? Atau, cuma sekadar untuk menghargai kawan-kawan sekeliling yang masih berada di Jordan?

Jangan risau lagi, anda cuma perlukan sebuah oven untuk membakar kek, sebekas mangkuk agak besar untuk menguli adunan, jika mampu – adakan sebuah mixer.. jika tidak mampu – sebatang senduk, sebuah cawan, dan bahan-bahan berikut :

2 biji telur
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula putih
1 cawan koko
1 cawan air + susu pekat ( susu pekat 1/2 cawan bancuh dengan 1/2 cawan air)
1 cawan minyak masak
1 susu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
1. Kesemua bahan-bahan di atas dimasukkan ke dalam mangkuk besar.

2. Kacau rata kesemua bahan tersebut menggunakan mixer atau senduk.
3. Masukkan 1 cawan air panas. Kacau rata.

4. Tak perlu risaukan saiz cawan, yang penting – anda menggunakan cawan yang sama sepanjang membuat proses kek ini.

5. Masukkan ke dalam bekas bakar, masak dengan suhu 150 degree selama 45 minit. Dalam tempoh tersebut, anda digalakkan untuk memerhati perubahan kek tersebut dari masa ke masa.

6. Kalau rajin lagi, masakkan topping coklat untuk atasnya.

Selamat bercuti dengan penuh makna di samping orang tersayang!

Bulan Rejab, Bulan Allah?

Assalamualaikum ustaz,

Seperti yang kita semua sedia maklum, sekarang sudah pun masuk bulan Rejab. Selepasnya Sya’aban & diikuti Bulan Ramadhan. Saya selalu terbaca atau mendengar dalil-dalil yang menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab & ibadah-ibadah sunat yang digalakkan untuk dilakukan pada bulan ini. Tapi, dalil-dalil ini saya kurang pasti kesahihannya. Boleh ustaz kemukakan dalil-dalil yang sahih berkenaan bulan rejab? Wassalamualaikum wbt.

Jawapan:

Persoalan di atas merupakan persoalan yang selalu ditanya termasuklah kepada ulama terkenal dunia, syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi. Oleh itu di sini saya ingin membawa pandangan beliau bagi menjelaskan persoalan di atas. Syeikh Qaradhawi berkata dalam kitabnya Fatawa Mua’sorah:

“Tidak ada satu pun hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan haram (yang dimuliakan), dan telah disebut oleh Allah swt di dalam kitabnya. Firman Allah swt:

(منها أربعة حرم (التوبة

“Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan).” (al-Taubah:36)

Empat bulan tersebut ialah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.

Tidak terdapat satu hadith yang sahih mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi saw banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban. Apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, baginda menyatakan: “Kerana Sya’ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada di antara Rejab dan Ramadhan.” Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan.

Adapun tentang hadith: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.” Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu… iaitu suatu yang didustai (atas nama Nabi saw), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama.

Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa sembahyang sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala… semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta.

Antara tanda kedustaan hadith-hadith seperti ini ialah ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan melampau. Para ulama telah berkata:

إن الوعد بالثواب العظيم علي أمر تافه أو الوعيد بالعذاب الشديد
علي ذنب صغير يدل علي أن الحديث مكذوب

Maksudnya: “Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar terhadap perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras terhadap dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu.”

Sebagai contoh lain mengenai apa yang didakwa dari perkataan Nabi saw:
“Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik daripada membina 1000 buah masjid.” Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan untuk seorang yang lapar, pahalanya lebih besar daripada pahala yang diperolehi daripada membina 1,000 buah masjid.

Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk dalam jenis ini. Maka wajib bagi ulama agar dapat memberi perhatian terhadap hadith-hadith dusta seperti ini dan memberi peringatan kepada orang ramai tentang hadith-hadith seperti ini. Nabi saw telah bersabda:

من حدث بحديث يري أنه كاذب فهو أحد الكذابين – رواه مسلم

(Maskudnya): “Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia mengetahui hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta.” (riwayat Muslim).

Akan tetapi kadang-kadang seseorang itu tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya adalah hadith palsu.
Oleh kerana itu dia mesti mengetahui, dan mengenal pasti dari sumber-sumbernya. Terdapat banyak kitab-kitab hadith yang boleh dibuat rujukan, terdapat kitab-kitab khas yang memberitahu tentang hadith-hadith lemah dan palsu seperti al-Maqasid al-Hasanah” oleh al-Sakhawi, kitab Tamyiz al-Toyyib min al-Khabith lima yaduuru ala al-sinah al-Nas minal hadith oleh Ibn al-Diba’, kitab Kasful khafa’ wa al-Ilbas fima isytahara min al-Ahadith ‘ala al-sinati al-Nas oleh al-‘Ajluni, dan banyak lagi kitab-kitab lain yang sepatutnya diketahui oleh para khatib (penceramah) dan memahaminya, agar mereka tidak meriwayat satu hadith melainkan hadith itu dipercayai kesahihannya.

Sesungguhnya termasuk dalam perkara-perkara yang merosakkan berlaku di dalam masyarakat kita ialah hadith-hadith yang palsu dan yang direka bercampuraduk di dalam khutbah, buku-buku dan percakapan manusia, hakikatnya ianya adalah hadith palsu dan hadis yang direka.

Oleh kerana itu kita perlu membersih dan menyucikan masyarakat kita daripada hadith-hadith seperti ini. Semoga Allah swt memberi taufiq kepada para ulama yang menjelaskan kepada orang ramai perkara-perkara yang asli (benar) dari perkara-perkara yang direka, menjelaskan perkara-perkara yang diterima dari perkara-perkara yang ditolak. Dan kita hendaklah mengambil manfaat dari usaha mereka dan mengikut ilmu yang telah mereka terangkan.

والله ولي التوفيق

Semoga dengan nukilan ringkas pandangan Dr Yusof al-Qaradhawi di atas dapat memberi kefahaman kepada kita semua mengenai permasalahan ini.

Sekian

والله أعلم

Rujukan:
1) Dr Yusof al-Qaradhawi, Fatawa Mu’asorah.

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS