Sekalung Tahniah kepada Wanita Palestin

Wanita ISMA menyambut baik langkah yang diambil oleh HAMAS apabila melantik seorang wanita menduduki jawatan sebagai menteri di Kementerian Wanita Palestin. Perlantikan ini adalah menepati keperluan semasa dan masyarakat Palestin pada hari ini. Sekalung tahniah diucapkan kepada Madam Jamila al-Shanti di atas perlantikan tersebut.

Perlantikan wanita sebagai ketua kepada kaum wanita bukanlah sesuatu yang pelik dan baru, bahkan perkara ini telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah saw lagi apabila baginda saw melantik Asma’ bt Umais sebagai ketua dan wakil kaum wanita Ansar pada zaman itu.

Bahkan kaum wanita pada zaman Rasulullah saw merupakan wanita yang berani tampil ke hadapan bertanyakan hak mereka, tidak malu dalam menuntut ilmu, rajin menguruskan perusahaan dan perniagaan, pandai membuat kraftangan, mahir dalam ilmu persolekan dan kecantikan.

Setiap isteri Rasulullah mempunyai tukang soleknya yang tersendiri, sehinggakan seorang yang baru memeluk Islam bertanya kepada Rasulullah saw tentang pekerjaannya sebagai tukang solek, adakah boleh diteruskan lagi selepas dia memeluk Islam. Rasulullah saw menyuruh perempuan tersebut meneruskan usaha dan tugasnya sebagai tukang solek walaupun wanita-wanita yang disolek itu sudah tua.

Begitu juga penglibatan wanita dalam urusan pentadbiran dan pengurusan masyarakat Islam. Rasulullah saw tidak segan silu untuk meminta pandangan daripada isteri baginda apabila berhadapan dengan situasi yang menyusahkan baginda membuat keputusan. Ummu Salamah antara isteri Rasulullah saw yang banyak memberi nasihat dan pandangan kepada baginda dalam urusan umat Islam.

Suatu hari Rasulullah saw dan para sahabat selesai mengerjakan sa’ie iaitu perjalanan antara bukit Safa dan Marwah. Apabila selesai mengerjakan sa’ie, Rasulullah saw meminta kepada para sahabat untuk bercukur, namun demikian tiada seorang sahabat pun yang menyahut seruan Rasulullah saw. Rasulullah saw terus masuk ke dalam khemah dan menceritakan apa yang berlaku kepada isteri baginda Ummu Salamah.

Ummu Salamah mencadangkan kepada Rasulullah saw untuk keluar dan menunjukkan kepada para sahabat apa yang baginda perintahkan tadi. Apabila para sahabat melihat perbuatan Rasulullah saw, barulah masing-masing bangun, dan saling bercukur antara satu sama lain.

Sebenarnya, perlantikan wanita sebagai ketua kepada kaum wanita adalah satu perkara yang sangat dituntut dan wajar. Siapakah yang lebih memahami keperluan dan kebajikan wanita kalau tidak kaum wanita itu sendiri.

Masyarakat Palestin juga tidak terkecuali daripada menerima pembaharuan ini yang sepatutnya telah lama harus berlaku. Wanita Palestin adalah wanita yang kental, berani dan kuat jiwa dan raganya. Mereka dikenali sebagai wanita yang setia dengan cinta dan kasih sayang seorang suami. Mereka begitu setia menunggu dan bersabar menanti kepulangan suami daripada penjara yang entah bila akan keluar daripada penjara Israel.

Dengan perlantikan tersebut, diharapkan nasib wanita Palestin lebih terbela, suara mereka lebih didengar, perjuangan mereka lebih dirasai oleh seluruh umat Islam di dunia ini.

TAHNIAH KEPADA SELURUH WANITA PALESTIN ATAS PERLANTIKAN INI.

Oleh;

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership

Tertekan Jika Dibanding-bandingkan

1. Ego, maruah diri dan merasai ‘ kehebatan ‘diri adalah sesuatu yang fitrah.

2. Bukan lelaki sahaja terserlah keegoannya, juga pada wanita terutama wanita yang punya banyak kelebihan. Manakala maksud mempunyai ‘kehebatan’ diri ialah manusia biasanya merasakan “apa yang ada itu adalah dirinya”, tanpa perlu dibandingkan dengan kelebihan yang ada pada orang lain.

3. Di kalangan ibu bapa, adik beradik, dan di kalangan pemimpin yang cenderung ‘mengkritik’ atau memberi komen terhadap anak-anak , atau orang bawahan secara MEMBANDINGKAN PENCAPAIAN orang lain YANG LEBIH BAIK, dengan niat supaya belajar dari mereka.

4. Ramai orang merasakan maruahnya tercabar dan sukar menerima perbandingan itu. ” Itu dia, rezeki dia, dia alim, dia pandai….”, begitulah antara jawapan mereka dengan nada marah. Anak-anak akan merungut bilamana ibubapa membandingkan mereka dengan orang lain dan lebih terhiris jika dibandingkan dengan rakan baiknya yang mungkin lebih baik akhlak atau lebih bijak.

5. Segelintir orang yang boleh menerima perbandingan itu, tetapi sekadar ‘tersengeh geram’ atau sekadar mendengar sahaja tanpa memberi rangsangan untuk mencontohi pihak yang dibandingkan itu.

6. Bagi sesetengah orang BERANGGAPAN kaedah MEMBANDINGKAN INI akan memotivasikan seseorang untuk berubah, namun kaedah ini biasanya akan menjadi sebaliknya. Bukan sahaja dikalangan individu, begitu juga sesebuah organisasi tidak suka jika dibandingkan dengan organisasi lain yang lebih baik pencapaiannya.

7. Maka apakah kaedah perbandingan yang lebih sesuai? Perbandingan yang sesuai ialah PERBANDINGAN KAEDAH ATAU CARA seseorang atau sesebuah organisasi yang sudah berjaya itu, BUKAN membandingkan pencapaian!!

8. Maka mungkin itulah sebabnya MASALAH ORANG MELAYU ini tidak pernah selesai, bilamana biasa dibandingkan PENCAPAIAN dengan bangsa lain yang lebih berjaya, dan tidak dibandingkan atau ditekankan cara dan kaedah bangsa yang berjaya itu.

9. Jika soal membanding-bandingkan pencapaian ini tidak ditangani secara betul, anak-anak akan ada masalah komunikasi dengan ibubapa, dan akan wujud jurang antara majikan dan pekerja.

10. Manusia akan bermotivasi sekiranya ditegur secara tidak langsung, namun manusia hebat akan sengaja meminta teguran ikhlas dari orang lain.

Oleh;

Dr Yusof Abbas,
Latihan dan penulisan & Pengerusi Negeri Sembilan

I-Medik

Ibrah di Sebalik Bencana

11 Mac, Tokyo – Pada hari Jumaat, 11 Mac 2011,sekitar pukul 2:46 petang ( waktu tempatan) gempa bumi dengan magnitud 9.0 telah menggegarkan bumi Jepun. Walaupun pusat gegaran dari dalam laut yang berhadapan dengan daerah Sendai yang agak jauh dari pusat bandar Tokyo (lebih kurang 250km), ia cukup untuk menggoyangkan bangunan tinggi,menjatuhkan buku,tv,pinggan mangkuk,microwave dsb dari rak, meruntuhkan siling juga meretakkan dinding bangunan-bangunan yang berada di Tokyo dan sekitarnya. Malah ada juga kes kebakaran yang berlaku.

Sejurus selepas itu,kesan daripada gegaran tersebut  bahagian timur laut Jepun (Sendai )diserang ombak tsunami setinggi 10 meter yang memusnahkan segala bangunan, rumah dan kenderaan yang berada di laluannya dalam sekelip mata. Setakat ini, angka kematian dan yang masih belum dijumpai dilaporkan melebihi 10000 orang.

Negara Jepun bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila pada hari seterusnya, Sabtu, 12 Mac 2011, bangunan Unit 1 di sebuah loji nuklear yang terletak di Fukushima meletup akibat kegagalan sistem penyejukan yang telah dirosakkan oleh gempa dan tsunami. Kini yang menjadi kerisauan besar adalah radiasi merbahaya yang mungkin telah terbebas ke udara dalam kuantiti yang banyak walaupun kerajaan Jepun melaporkan bahawa keadaan masih terkawal.

Seperti menambahkan parah pada luka yang sedia ada, pada hari Isnin, 14 Mac 2011 letupan berlaku di Unit 3 loji nuklear yang sama (Fukushima). Kali ini walaupun kerosakan makin bertambah, tv masih lagi melaporkan bahawa jumlah radiasi yang terbebas masih di bawah paras merbahaya. Penduduk berhampiran loji nuklear dalam radius 20km telah pun dipindahkan selepas letupan pertama berlaku dan penduduk lain di sekitar kawasan Kanto pula dinasihatkan untuk tidak keluar dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Satu perkara yang  mengagumkan dunia dan amat wajar dicontohi adalah  respons yang ditunjukkan rakyat Jepun, terutamanya mangsa bencana apabila krisis dan ketegangan ini  berlaku – mereka langsung tidak ‘melatah’. Nilai-nilai murni seperti saling bekerjasama, menghormati dan mendahulukan orang yang lebih memerlukan jelas dipamerkan. Sungguh menakjubkan apabila tiada yang mengambil kesempatan ke atas  bencana yang berlaku seperti yang kebiasaanya berlaku di Negara lain. Tiada kekecohan dan jenayah. Tiada tolak menolak ketika makanan dan minuman diedarkan. Malah pada hari ini, walaupun beberapa tempat terpaksa diputuskan bekalan elektrik, sistem train juga terganggu, mereka masih tetap ke sekolah dan tempat kerja seperti biasa.

Semangat inilah yang harus kita contohi. Malah seharusnya sebagai Muslim yang percaya pada qada’ dan kadarnya, juga hikmah disebalik setiap ujian, kita seharusnya lebih tabah dan sabar, malah positif sewaktu berhadapan dengan bencana seumpama ini. Semoga Allah hadiahkan hidayah kepada penduduk Jepun, dan Allah teguhkan hati-hati kita untuk terus berusaha memperbaiki diri, beramal dan berdakwah di bumi sakura ini.

Sumber: ISMA Jepun

Adakah Dakwah Kita Meninggalkan Bangsa Lain?

Assalamualaikum..

Alhamdulillahirabbi’alamin, segala puji-pujian dipanjatkan kepada Allah kerana memberi keizinan untuk menulis tentang isu ini. Saya mengharapkan agar pembaca-pembaca dapat membaca artikel ini dengan hati yang terbuka. Saya berdoa agar saya terhindar daripada menulis perkara yang bukan-bukan yang boleh membawa kepada kemurkaanNya.

Saya sangat bersetuju..

Dakwah kita bersifat ‘Alamiah, itu benar.

Dakwah ini untuk semua, itu benar.

Dakwah ini bukan hanya untuk bangsa Melayu sahaja, itu benar.

Persoalan timbul, mengapa di Malaysia, kita (Melayu Muslim) perlu memberi fokus dakwah kita kepada Melayu Muslim. Mengapa? bukankah dakwah kita bersifat ‘alami.

Jadi, untuk menjawab persoalan ini. Saya ingin berkongsi tentang pendapat daripada seorang pendakwah Cina. Beliau menyatakan amat sukar untuk berdakwah kepada kaum Cina di negara ini, orang Cina yang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam apabila melihat akhlak umat Melayu Islam yang tidak menggambarkan akhlak Islam yang sebenar.

mungkin dialog di bawah membantu

“Wan, boleh awak cerita tentang Islam kat saya tak” tanya Kelvin (Cina bukan Islam)

“Oh, Islam ni begitu dan begini… mementingkan silaturrahim…melarang berjudi dan minum arak kerana ianya merosakkan… menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan..dan sebagainya..”terang Wan dengan panjang lebar.

“Oh, menariknya..tapi kalau ada contoh, lagi saya suka “

“Oh, banyak orang Islam kat Malaysia ni, tengok la Melayu kat sini, semua Melayu kat sini beragama Islam.”

Jadi, apakah kita merasakan Melayu Muslim di Malaysia ini menggambarkan Islam yang sebenar. Apakah kita berani mengatakan, mahu tahu Islam itu bagaimana, lihatlah orang Melayu Muslim di sini. Boleh?

Sahabat-sahabat,

Bukankah kita bersetuju dakwah melalui Qudwah itu lebih berkesan daripada dakwah lisan. Nah, bukankah menyediakan masyarakat Muslim yang hebat, yang kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah itu akan menjadi dakwah yang berbentuk Qudwah kepada orang bukan Islam..

Mereka yang bukan Islam secara tidak lansung akan tertarik dengan Islam apabila nilai-nilai Islam itu dipraktikkan di hadapan mereka..

Mengapa memberi fokus pada Melayu Muslim. Adakah lebih mudah?

1. saya berpendapat ianya lebih mudah untuk berdakwah kepada kaum sendiri. Perlu diingatkan, dalam hal ini, Melayu Muslim  adalah target mad’u kita. Bukankah, selepas perjanjian Aqabah pertama, orang-orang Islam pertama pergi berdakwah kepada kaum mereka. Mengapa mereka tidak berdakwah kepada kaum lain? sudah tentulah kerana ianya lebih mudah.

2. Majoriti muslim di Malaysia adalah daripada bangsa Melayu, maka mudah difahami, jika Melayu Muslim kembali kepada Islam yang sebenar, mereka ini bersatu padu, mereka ini membangun dengan Islam, nescaya Islam akan bangkit di bumi Malaysia ini.

Persoalan mungkin timbul, adakah kita tidak menyampaikan langsung dakwah kepada non-muslim.

Saya berpendapat, jika kita ada peluang, kita lakukan. Saya pernah juga berhadapan dengan seorang chinese Malaysia. Disebabkan dia ini suka bertanya tentang Islam, saya ada juga bercerita tentang kelebihan Islam kepadanya. Banyak berbincang dengannya. Jadi saya berpendapat kalau ada peluang, cakap sahaja tentang kebaikan dan kelebihan Islam. Cumanya, hal ini membincangkan berkenaan dimanakah arah projek dakwah kita. Jadi seperti yang saya beritahu, sudah tentulah fokusnya pada Melayu Muslim..

Sekadar pandangan.Wallahua’lam

Muhamad Iqbal Hakim bin Mohd Tahir

Sheffield University, United Kingdom

Madrasatuna’s Weblog

Aku Ingin…

Aku ingin…

Menjadi seorang hamba…

Yang  menyedari kehinaan…

Kekerdilan…kejahilan..

Diriku sebagai hamba…

Kepada yang Maha Pencipta yang Maha Agung..

Kepada Al-Khaliq yang Maha Besar..

Kepada Al’Aziz yang Maha Kuasa…

Kepada Ar-rahman…

yang Maha Menyintai..

Setiap hamba…yang tangis dan adunya

Hanya pada yang Esa..

Khusyuk dan tawadhu’ sepanjang masa…

Aku ingin…

Menjadi umat Muhammad yang dicintainya…

Yang akan bersama-sama dengannya..

di akhirat kelak..

sebagai golongan yang berseri-seri wajahnya…

di hari pembalasan…

Aku ingin…

Menjadi umat Muhammad saw…

Yang sentiasa cinta dan rindu padanya..

Membuahkan kekuatan..

Untuk mengamalkan sunnahnya..

Seperti para sahabat dahulu kala..

Yang sanggup SYAHID di jalanNya…

Seperti para mujahid dahulu kala..

Yang tidak senang tidur

Kerana sibuk untuk menyampaikan

Risalah dari yang Esa..

Menyebarluaskan keindahan…

Kesyumulan ..

Dan ke’izzahan agama..

Yang tertinggi di sisiNya…

Aku ingin…

Menjadi seperti golongan yang pertama…

Mendapat cahaya iman..

Mendapat cahaya Aqidah

Yang tiada tolok banding keimanannya..

Yang sanggup mati dan tersiksa

Demi mempertahankan Ad-Diin tercinta..

Dari mereka..

Lahirlah khalifah-khalifah..

Yang begitu taqwa memimpin dunia…

Pemimpin-pemimpin

Yang sedar betapa beratnya amanat

yang terpikul di bahu mereka..

Aku ingin…

Berada di bawah naungan khilafah Abassiyah..

Di bawah naungan..

Penguasaan Islam

Ke atas  dua pertiga dunia…

Ketika dakwah tersebar luas..

Tamadun Islam menjadi pandangan

Manusia dari utara, selatan, timur dan barat…

Contoh suatu peradaban yang tiada tolok bandingan..

Pabila Islam di amalkan

Dalam segenap hidup insan…

Pabila ilmu ditinggikan..

Dan lahir cendekiawan-cendekiawan..

Yang punya keimanan dan ketaqwaan

yang tidak mampu  dilawan..

Namun..

Zaman itu telah lama berlalu…

Sejak kejatuhan empayar khilafiyah

Yang digeruni dunia..

Turki uthmaniyah puncak berakhirnya…

Kegemilangan Islam di serata dunia…

Penjajahan barat

Yang mulanya tidak tahu apa-apa..

Berjaya meruntuhkan iman manusia..

Perang saraf yang dirancang dengan penuh rahsia

Berjaya memberi kesan kepada hati-hati manusia..

Hancur…hanyut…lemas..

Dalam pergelutan mainan dunia..

Di manakah aku kini??

Aku perlu sedar dan segera berpijak di dunia nyata…

Umat sekarang kian hanyut di depan mata…

Di bawa arus tipu daya dunia..

SYAITAN pastinya bertempik sorak

Dengan kejayaan yang nyata..

Menghasut anak-anak Adam

Mengikut jejak langkah dan telunjuk mereka…

Mendidik nafsu-nafsu dengan penuh jaya..

Berkat perjuangan para duat terdahulu..

Kesannya hingga kini terasa..

Bilangan umat Islam…oh, sungguh banyaknya..

Tapi, kesan perancangan YAHUDI yang penuh strategi juga

Menjadikan “Islam” hanya tinggal nama..

Hanya tinggal topeng yang mengaburi mata dan telinga

Benarlah kata kekasih Ilahi

Umat Islam kini umpama BUIH di laut…

Terlalu banyak..

Namun kosong dan tidak bermakna..

Tiada lagi yang tega dan teguh bertahan

Seperti batu-batu yang terpacak di tebing lautan..

Mungkin ada..

Namun ..

Siapakah RIJAL yang hebat seperti Abu Bakar As-Siddiq??

Umar Al Khatab??

Uthman dan Ali??

Siapakah yang sehebat Tariq Bin Ziyad??

Atau ada yang sehebat Salahuddin Al Ayubi??

Mahupun Sultan Muhammad Al Fateh..?

Adakah pemimpin yang sehebat Khulafa’ Ar Rasyidin?

Khalifah Umar Abdul Aziz?

Khalifah Al Makmun?

Atau ada yang dapat menandingi

Khalifah terakhir yang punya ketaqwaan yang tinggi

Pada zaman Turki Uthmaniyah..

Sultan Abdul Hamid II??

WANITA?? apatah lagi..

Wahai rijal…

mana mungkin

lahirnya bayangan yang lurus elok

jika datangnya dari kayu yang bengkok..!

AAAAAAAAAAAARRRGHHHHH!!!!!

Serasa ingin menjerit hingga didengari satu dunia…

Tatkala ini…bebanan dan tanggungjawab

Terpikul di atas bahu kita…

Beratnya oh..tidak terkata..

Mengislahkan diri, mengislahkan umat…

Maksiat berlaku di hadapan mata..

Namun hanya hati yang meronta..

Sejauh mana kekuasaan kita…

Untuk mencegah mungkar yang kian berleluasa..

Mungkin…

Mungkin kita mampu…

Tapi masih LEMAH JIWA…

Masih kecut untuk menyatakan AL HAQQ…

Kerana lebih mengutamakan keredhaan manusia..

Kita yang diberi peluang mendalami agama..

Sepatutnya..

Tidak mampu lagi bersuka ria..

Tersenyum tawa..melihat hakikat di hadapan mata..

Seumpama semuanya

Dilihat sebagai sesuatu yang “biasa”

Dan tiada ubatnya..

Segera…segera..!!

Jiwa yang kosong ini perlu dirawat segera…

Segera…!!

Jika tidak, jiwa ini juga bakal hanyut dan tenggelam

Dengan arus suasana

Akal dan hati ini perlu segera sedar

Akan hakikat dan tanggungjawab diri..

Fikiran ini perlu segera diasah

Agar menjadi muslim bijaksana

Yang tidak leka ..

Menjadi penggerak untuk islah dunia..

Melaksanakan tanggungjawab

sebagai khalifah Allah di bumi nyata..

Bantu kami Ya ALLAH…

Nur Jannah Roslan

Tahun 3,

Usuluddin,

University Al-alBayt, Jordan.

Mutiara di bumi Mesir

Suka untuk saya coretkan sedikit kisah kami berlapan sepanjang kembara ke Mesir sewaktu cuti musim sejuk yang lepas. Mengapa wujud entri ini? Hanya ingin berkongsi rasa mengenali hikmah “Manusia merancang, Allah yang menentukan”.

Iskandariah, Mesir.

Kami berlepas dari Queen Alia Airport, Amman pada 18 Januari 2011 ke El-Borg Alexandria Airport, Egypt. Tiba di Iskandariah, kami disambut mesra oleh sepasang suami isteri diiringi anak kecil mereka. Bagaikan tidak percaya, Allah beri jua kesempatan berpijak di ardhul kinanah ini. Akhawat di Iskandariah sangat mengalu-alukan kedatangan kami. Sepanjang 3 hari di sana, banyak tempat yang kami lawati antaranya ialah Bibliotheca of Alexandria, Muntazah King Farouk , Qal’ah Salah Ad-Din dan lain-lain.

Cantik sungguh pemandangan semua tempat yang kami singgah. Melihat keagunganNya, terasa kekerdilan diri ini. Sempat juga kami singgah ke Bangunan Mara di sana untuk beramah mesra dengan pelajar-pelajar tahun satu. Kami juga berkesempatan bertemu mata dengan pegawai Atase MARA yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Walid’. Secara totalnya, Iskandariah adalah bandar yang sangat cantik, menarik dan hampir bersih.

Pada hari ketiga di Alexandria, kesedihan menyelubungi untuk berpisah dengan akhawat di sana. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan mereka. Kami bergerak menuju ke destinasi seterusnya iaitu Kaherah dengan menaiki trem.

Kaherah, Mesir.

Dengan jumlah penduduk melebihi populasi rakyat Malaysia, boleh dikatakan bandar ini sangat sesak. Setibanya di sana, kami disambut oleh akhawat Kaherah. Sempat kami menikmati pemandangan samar-samar Sungai Nil sewaktu dalam perjalanan menuju ke rumah mereka.  “Jalan di sini, gabung semua jenis kenderaan, kereta, motosikal, kereta kuda, keldai, trak, basikal,teksi..semua sekali!” jelas seorang kakak apabila melihat reaksi muka kami yang kehairanan apabila melihat kesesakan jalan raya yang teruk.

Selama di sana banyak perkara yang dapat kami saksikan. Banyak bezanya dengan Jordan apatah lagi Malaysia. “Hebat rakyat kita di sini, memang tabah lah dapat survive di Kaherah” ujar salah seorang rakan saya.  Memang diakui, hidup di sana sangat hectic. Cairo University misalnya, kampusnya dipecah- pecahkan ke merata tempat, berbeza sekali dengan JUST ataupun Universiti Yarmouk. Lahjah Arab mereka juga sedikit kasar, jika dibandingkan dengan Jordan .

Yang paling istimewa ialah FRESH SEAFOOD dan jus buah-buahan yang sedap dan sangat murah, secawan hanya 1L.E!

Pada 23 Januari, kami ke Giza untuk melihat piramid-piramid binaan dahulu kala. Dengan bantuan seorang tour guide, kami bersama dengan ahli rombongan yang lain menjelajah kawasan piramid tersebut. Bak kata orang, kalau ke Mesir tapi tak ke Giza untuk tengok piramid, memang tak sah! Struktur susunan dan saiz batu-batunya yang menyamai ketinggian kami sangat mengagumkan.

Setelah itu, kami terus bergerak ke Perkampungan Firaun dan melihat sendiri kehidupan  masyarakat di zaman Firaun. Kemudian pada sebelah malamnya pula, kami sempat menaiki cruise menyelusuri Sungai Nil, sungai yang menyimpan banyak sejarah Islam hatta sungai tempat Nabi Musa dihanyutkan. Terselit rasa kagum melihat bangunan-bangunan mewah tersergam indah di tepian sungai.

24 Januari 2011- Kami bertolak menuju ke Gunung Sinai, perjalanan mengambil masa selama 8 jam. Sempat juga kami singgah di beberapa tempat seperti kubu tinggalan tentera Israel sewaktu ingin menawan Sinai dahulu, perigi yang dikatakan tempat Nabi Musa bertemu dengan anak perempuan Nabi Syuaib dan juga Hamam Firaun.

Setelah tiba di Sinai pada pukul 8.30 malam, kami berehat di Chalet Bedouin Moon. Tepat 1 pagi kami bertolak mendaki Gunung Sinai. Pengalaman setiap daripada kami berbeza-beza. Ada yang mampu naik dengan mudah, ada yang naik dengan keadaan kesihatan yang kurang baik kesan daripada udara sejuk memandangkan puncak Sinai ketika itu diliputi salji. Namun, itu semua tidak menggugat semangat kami untuk terus mendaki sehingga ke puncak gunung. Menghayati kisah Nabi Musa yang bergesa-gesa mendaki Sinai untuk mendapatkan wahyu Allah semakin menguatkan lagi semangat kami. Alhamdulillah, sampai juga akhirnya di atas sana. Selepas subuh, masing- masing terpegun melihat pemandangan matahari terbit yang sangat indah! Subhanallah! Sungguh indah ciptaan-Mu Ya Allah.

Setelah melihat kebesaran Allah s.w.t melalui pergantian siang dan malam, kami memulakan langkah untuk menuruni gunung. Dalam perjalanan turun dari puncak, kami berkesempatan untuk singgah melihat perkampungan kaum Nabi Harun yang terdapat di lereng gunung. Alhamdulillah, perjalanan turun dari puncak semuanya berjalan lancar. Dalam perjalanan pulang kami ke Kaherah, kami berpeluang singgah ke Taba untuk melihat kubu Salahuddin Al-Ayyubi dan melihat sendiri sempadan Israel yang terletak bersebelahan dengan Taba. Syukur dipanjatkan apabila kami selamat tiba di Kaherah tepat pada pukul 12 mlm. Sesungguhnya perjalanan ke Sinai memberi erti yang sangat bermakna buat kami.

 

Detik – detik Kebangkitan

25 Januari (Hari Polis Kebangsaan Mesir)- kami bertolak ke Mansoura dan kemudian digemparkan dengan berita wujudnya rusuhan rakyat. Pada mulanya, kami tidaklah terlalu risau. Hanya meneruskan permusafiran dalam keadaan berhati-hati sambil dikawal oleh akhawat Mansoura.

Tetapi kemuncak perasaan panik kami adalah apabila perintah darurat dikeluarkan. Ketika itu kami sudah kembali ke Kaherah. Kami diarah berkurung oleh pihak yang berkenaan. Terimbas kembali zaman darurat di Tanah Melayu. “Beginikah rasanya?’’ terdetik di hati kami. Bagaimana kami akan pulang ke Alexandria?  Tak mungkin membeli tiket baru di Kaherah? Masing-masing sudah kesempitan wang. Malam itu kami melawan ketakutan bersama ahli bayt Nada yang lain. Kebimbangan bertambah pula dengan berita banduan terlepas dan sedang berkeliaran di kawasan berdekatan. Risau, takut, dan cemas semua menjadi satu. Tambahan pula, hubungan komunikasi diputuskan. Runsing memikirkan apakah yang akan terjadi selepas itu.

Terlintas di dalam hati maksud ayat-ayat  ini; “Tidak ada musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya.dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [64:11]

“Katakanlah (Muhammad), “tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakkallah orang-orang yang beriman.” [9:51]

Itulah yang kami lakukan.  Meletakkan setinggi-tinggi keyakinan kepada Allah atas apa yang berlaku.

31 Jan -Tiba hari yang kami dijadualkan pulang ke Jordan. Dengan bantuan pihak Kedutaan Malaysia Mesir, kami semua dibawa ke Cairo International Airport dengan menaiki kenderaan Kedutaan. Tiket asal kami yang sepatutnya berlepas dari Alexandria terpaksa dilupakan sahaja memandangkan aspek keselamatan lagi penting dari wang. Melihat bangunan-bangunan yang dibakar sewaktu dalam perjalanan ke lapangan terbang menunjukkan bahawa rusuhan sudah sampai ke tahap yang sangat serius. Setibanya di lapangan terbang, kelihatan ramai pelancong asing tersadai di sana. Rakyat Malaysia pun tidak terkecuali. Kelihatan ibu-bapa yang datang melawat anak masing-masing yang belajar di Mesir dan juga pelajar-pelajar Malaysia dari negara lain yang datang untuk melancong di Mesir.

Manusia bersesak-sesak di balai berlepas. Kaunter tiket dipenuhi lautan manusia yang berebut-rebut membeli tiket. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan tiket pada 2 Feb setelah berhempas pulas selama beberapa jam untuk mendapatkan tiket. Memandangkan keselamatan di luar tidak terjamin, pihak MSD Mesir menasihatkan kami untuk bermalam di lapangan terbang. Setiap penjuru airport penuh dengan pelancong asing yang terpaksa ‘berumah’ di sana.

Kami yang ditemani dua orang akhawat Kaherah mula mencari port yang sesuai untuk kami bermalam. Dikelilingi bagasi-bagasi, tidur dalam kesejukan, berhimpit-himpit malah ada yang membuat hirosah (giliran berjaga malam) untuk menjaga beg. Alhamdulillah, rezeki Allah ada di mana-mana. Keesokan harinya kami dikejutkan dengan bekalan selimut dan makanan yang mencukupi untuk kami semua hasil sumbangan dari akhawat Mesir yang lain. MasyaAllah betapa kuatnya ikatan ukhuwwah yang terjalin demi Dia.

Hari berikutnya, pihak kedutaan menghantar wakil untuk meninjau keadaan di lapangan terbang. Bekalan makanan dan minuman juga disediakan buat rakyat Malaysia yang tersadai di sana. Pelbagai khabar berita yang kami dengar tentang keadaan Mesir ketika itu. Runsing memikirkan nasib rakyat Malaysia yang lain apabila mendengar bahawa mereka semua terpaksa dikumpulkan di ARMA. Hanya doa yang mampu kami titipkan untuk keselamatan mereka semua. Masuk hari ke-3 kami di lapangan terbang, rakyat Malaysia yang senasib dengan kami melakukan demonstrasi di hadapan kaunter tiket berikutan penerbangan ke Malaysia yang sentiasa ditangguhkan sehingga ada yang seminggu lamanya. Desas-desus mengatakan rakyat Malaysia bakal ke Jeddah untuk menaiki penerbangan ke Malaysia mula menular.

Tiba hari ke-4 iaitu hari yang kami dijadualkan pulang ke Jordan. Rakyat Malaysia yang lain masih belum dapat tiket pulang ke Malaysia. Sayu melihat keadaan seperti itu. Kami mula memasuki balai berlepas pada pukul 1 petang. Berat hati untuk meninggalkan bumi Mesir memandangkan nasib rakyat Malaysia yang lain belum tentu bagaimana. Alhamdulillah kami selamat tiba di Amman, Jordan pada pukul 8 malam. Sebak memikirkan hikmah kejadian yang Allah aturkan buat kami dan seluruh hambaNya yang lain. Sesungguhnya pengalaman kembara ini membawa seinfiniti pengalaman dan pengajaran buat kami dan ujian ini sesunggunya merupakan satu ketentuan untuk mengukur tahap keimanan,kesetiaan dan tahap pergantungan dan tawakal kepada Allah s.w.t.

Khas buat akhawat Mesir sekalian, jazakunnallahu khairan kathira atas segala bentuk pertolongan kalian. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan antunna. Moga ikatan  ukhuwah ini terjalin hingga ke syurga dan mohonlah pada-Nya agar kita semua terus thabat di jalan dakwah ini. Sama-samalah kita menuju mardhatillah. Insya Allah.

Wan Nur ‘Ainin Sofia binti Mohd Radzuan

Tahun 3 Perubatan

Jordan University of Science and Technology

Ummu Haram bint Milhan

Kejayaan mentarbiyah masyarakat bukan sahaja menjadikan lelaki mereka para Mujahideen demi Agama yang ingin dimenangkan ini, bahkan ia juga termasuk merubah wanita mereka hingga mencintai Jihad dan Syahid dijalanNya.

Kejayaan Rasulullah saw bersama Ummu Haram pada aspek ini akhirnya bukan sahaja dapat mengasaskan sekadar sebuah Negara Islam di Madinah tetapi juga meneguhkan sebuah Empayar dan Tamaddun Islam di muka bumi ini.

Ummu Haram binti Milham merupakan isteri kepada Ubadah bin Samit dan ibu saudara susuan Nabi Muhammad. Ummu Haram merupakan salah seorang dari kumpulan wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam. Pulau Cyprus, Eropah, di tengah-tengah Laut Medditerranean. Diambil dari peta Kerajaan Empayar Uthmaniah Islamiyah.

Pulau Cyprus, terletak di Laut Medditerranean, di antara pantai Syria dan pantai Turki. Pada tahun 395M, Cyprus ditawan oleh Empayar Rom. Pada 649M, Cyprus dibuka oleh Ummu Haram dan para Sahabat ra. Pada 966M Eropah menawan Cyprus dalam Perang Salib. Pada 1539M, Empayar Uthmaniah menghancurkan segala kekuatan Eropah di Cyprus. Setelah umat Islam menjadi lemah, pada 1878M Empayar British menawan Cyprus yang mempunyai penduduk Islam Turki dan Kristian Greek. Pada 1960 Cyprus merdeka dengan 2 entiti Turki dan Greek setelah perundingan 3 penjuru British-Turki-Greek. Pada 1974, Nikos Sampson diisytihar Presiden Cyprus dan cuba isytihar gabungan sepenuhnya Cyprus dengan Greek.

Tujuh hari selepas itu, dengan hujah perisytiharan itu bertentang dengan Persidangan 1960, Al-Mujahid Prof. Ir. Najmuddin Erbakan menghantar tentera Turki dan berjaya menduduki 40% tanah Cuprus hingga ke hari ini. Prof. Ir. Najmuddin Erbakan, B. Engineering (Istanbul Tech University), Ph.D (Aachen University, Germany). Menteri di bawah PM Bulent Ecevit pada 1974 dan Perdana Menteri pada 1996. Parti Refah pimpinan beliau didakwa cuba membawa fahaman Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Turki yang berasaskan ideologi sekular Kamal Atarturk. Beliau digulingkan oleh Tentera dan Mahkamah Turki pada tahun 1997.

Beliau juga merupakan ibu saudara kepada Anas bin Malik. Nabi Muhammad memuliakan Ummu Haram dengan mengatakan, “Kamu termasuk orang yang pertama daripada kalangan mereka”. Ini adalah kerana sifatnya yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti berjihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan merendah diri. Ummu Haram juga melibatkan diri dalam Jihad menentang pihak musuh Islam. Dia membantu merawat luka dan memberikan air kepada pasukan tentera Islam sewaktu peperangan Badar dan Uhud.

Jiwa Ummu Haram yang cekal dan kental memudahkan beliau bergerak di kawasan peperangan yang penuh bahaya bagi membantu dan merawat tentera Islam yang cedera.

Berbahagialah Ummu Haram melihat suami dan anak-anak kampungnya di Madinah pergi berjihad, lalu dia sendiri akhirnya menyertai misi Jihad menentang Rom/Eropah/NATO dan membuka Cyprus.

Nabi Muhammad selalu mengunjungi Masjid Quba yang didirikan oleh beliau atas dasar takwa kepada Allah. Kadangkala, beliau menaiki unta atau berjalan kaki menuju Masjid Quba lalu menunaikan solat sunat dua rakaat. Kadang kala, Nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Haram yang terletak berhampiran Masjid Quba bagi melawatnya serta tidur siang di rumahnya.

Malahan ada ketika beliau solat di rumah Ummu Haram. “Assalamualaikum Ummu Haram!” Nabi Muhammad memberi salam sambil mengetuk pintu rumah ibu saudara sesusuannya, Ummu Haram. “Waalaikumusalam. Silakan masuk,” jawab Ummu Haram sambil membuka pintu mempelawa Nabi Muhammad masuk. “Apa khabar Ummu Sulaim dan Anas? Mari kita solat bersama-sama,” kata Nabi Muhammad. “Khabar baik, Rasulullah,” balas Ummu Sulaim dan anaknya. Mereka menunaikan solat sunat bersama-sama kerana pada ketika itu beliau belum masuk waktu solat wajib. Kemudian Nabi Muhammad mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dunia serta akhirat untuk Ummu Haram, Ummu Sulaim dan anaknya.

Selepas itu, Ummu Haram menjemput nabi Muhammad makan bersama-sama. “Ummu Haram, saya mahu berehat sebentar,” kata Rasulullah selepas menjamah makanan yang disediakan oleh Ummu Haram. “Baring dan berehatlah,” balas Ummu Haram yang sedang mengemas pinggan di dapurnya. Nabi Muhammad yang baring di ruang tamu tidak lama kemudian tertidur. Ummu Haram, Ummu Sulaim dan Anas berbual perlahan supaya tidak mengganggu baginda yang sedang tidur.

Selepas beberapa ketika berlalu, Nabi Muhammad terjaga dari tidurnya dan tersenyum sendirian. “Mengapa kamu tersenyum,” tanya Ummu Haram dalam kehairanan. “Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim,” jawab Nabi Muhammad sambil memandang wajah Ummu Haram. “Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu,” pinta Ummu Haram yang bercita-cita supaya dapat menyertai peperangan bersama pasukan tentera Islam menyeberang lautan bagi menyebarkan agama Islam pada suatu hari nanti. “Baiklah,” balas Nabi SAW lalu mendoakan Ummu Haram.

Kemudian, Rasulullah berbaring dan menyambung semula tidurnya. Beberapa ketika kemudian, Nabi SAW bangkit dari tidurnya dan tertawa. Ummu Haram yang hairan dengan kelakuan baginda bertanya, “Ya Rasulullah, mengapa kamu ketawa”. “Sekumpulan umat Islam diperlihatkan kepada saya seketika mereka berperang menentang pihak musuh Islam seperti raja bagi pasukannya,” jawab Nabi Muhammad. “Ya Rasulullah, doakan agar saya termasuk dalam golongan itu,” mohon Ummu Haram. “Kamu termasuk golongan yang pertama dari kalangan mereka,” jawab Nabi Muhammad.

Peristiwa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad berlaku pada era pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada ketika itu, penaklukan bandar-bandar musuh Islam berlaku dengan rancak. Ketika Usman ditabalkan sebagai Khalifah, Muawiyah Abu Sufian yang ketika itu menjadi Gabenor Syria mencadangkan pembentukan pasukan armada laut bagi menentang Empayar Byzantine (Rom). Ekspedisi armada laut Muawiyah dibantu dengan sebuah kapal perang yang diketuai oleh Abdullah bin Abu Sarah dari Mesir. Kedua kapal angkatan tentera laut Islam mula belayar menuju ke pulau Cyprus bagi bertempur pasukan tentera Byzantine yang berpangkalan di pulau itu. “Tercapai juga cita-cita saya untuk berjihad di jalan Allah merentas lautan. Permintaan saya yang telah didoakan oleh Rasulullah telah dimakbulkan oleh Allah,” bisik hati Ummu Haram yang berdebar-debar berdiri di atas dek kapal.

“Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim,” kata Rasulullah saw. sambil memandang wajah Ummu Haram. “Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu,” pinta Ummu Haram. Kedatangan kedua kapal angkatan tentera laut Islam itu tidak disedari oleh pasukan tentera Empayar Byzantium dan penduduk tempatan pulau Cyprus. Ini adalah kerana tanggapan pihak musuh bahawa umat Islam tak mampu menyeberang lautan dan berperang di kawasan laut. Abdullah bin Qais menghantar perisik untuk meninjau kekuatan pihak musuh sebelum melancarkan serang hendap.

Pihak musuh yang terkejut dengan kehadiran pasukan tentera Islam dengan tiba-tiba hanya mampu memandang melihat kem kawalan mereka diambil alih oleh pihak tentera Islam. “Panglima, saya sebagai ketua penduduk pulau ini sanggup membayar jizyah sebanyak 70,000 dinar setahun kepada kerajaan Islam. Tolong jangan apa-apakan penduduk pulau ini,” mohon ketua penduduk pulau Cyprus kepada Abdullah bin Qais. “Baiklah,” balas Abdullah bin Qais dengan tegas.

“Panglima, izinkan saya untuk melihat kawasan sekitar pulau ini,” tanya Ummu Hakim kepada Abdullah bin Qais setelah pulau Cyprus telah selamat ditakluk oleh tentera Islam. “Kamu boleh melawat sekitar pulau ini dengan menaiki kuda ini. Pastikan ada orang temankan kamu,” Abdullah bin Qais memberikan kebenaran kepada Ummu Haram yang teringin melawat sekitar pulau itu. Ummu Haram bersama beberapa orang tentera Islam mula bergerak menaiki kuda mengelilingi kawasan sekitar pulau Cyprus itu. Pada suatu ketika, seekor binatang buas tiba-tiba muncul dan menyerang kuda yang dinaiki oleh Ummu Haram. Ini menyebabkan Ummu Haram tercampak daripada kudanya lalu jatuh menghempas tanah.

Oleh sebab mengalami kecederaan parah, Ummu Haram meninggal dunia di tempat beliau jatuh. Pulau Cyprus. Pantai Pulau Cyprus. Ummu Haram meninggal dunia pada tahun 27 Hijrah. Kubur beliau masih lagi terdapat dipinggir pantai Cyprus dan dikunjungi oleh umat Islam sehingga kini. Ummu Haram adalah pejuang Muslimah pertama menyeberang lautan untuk berjihad di jalan Allah. Semoga Allah swt memberi taufiq dan hidayahNya kepada wanita-wanita Islam zaman ini untuk mencontohi Ummu Haram radiyallahu anha dalam meletakkan Kalimah Allah yang tertinggi.

Dari kisah di atas, sifat-sifat beliau yang menonjol ialah :

1. Menjadi isteri kepada lelaki berilmu seperti Ubadah bin Samit ra, yang merupakan diantara perawi hadis yang masyhur.

2. Cinta dan amalinya beliau terhadap Jihad dengan menyertai Perang Badar dan Uhud.

3. Memuliakan Rasulullah saw lalu dia dimuliakan oleh Rasulullah saw dengan sering menziarahinya di rumahnya. Beliau contoh ulung dalam menghormati tetamu dan Pesuruh Allah.

4. Bersegera dan bercita-cita dalam melakukan apa sahaja yang menuju kepada memenangkan Islam memimpin dan membimbing dunia ini. Sebaik dan setiap kali mendengar kata-kata Rasulullah saw tentang Jihad dan para mujahideen, beliau terus meminta Rasulullah saw mendoakan untuknya agar dia menjadi salah seorang dari mereka.

5. Beliau sanggup berjihad di seberang laut, walau dengan menaiki kapal laut, demi mencapai cita-cita Jihadnya.

6. Beliau sanggup meninggalkan kampung halamannya untuk pergi ke tempat yang asing lagi milik empayar Eropah, demi menyebarkan Dakwah Islam ke dunia dan benua baru. Akhirnya beliau terus disimpan di sana dan tidak kembali ke kampung halamannya di tanah Arab.

7. Beliau berani menentang musuh-musuh Allah biar apa sahaja kekuatan mereka. Bukan sahaja berani menentang Quraisy dalam Perang Badar dan Uhud, malah menentang Rom (NATO) di Cyprus, Eropah.

Pulau Cyprus

“Dan As-Sabiquun Al-Awwaluun (orang-orang yang terdahulu memeluk Islam) dari (kalangan) Al-Muhajireen dan Al-Ansar, dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan ihsan (baik dan sempurna), Allah telah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah janji kepada mereka Syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang hebat” (At-Taubah:100).

Qiamullail itu Penawar

Hari ini kita banyak menemui kegagalan dalam menyentuh hati manusia dan membawa mereka kepada Allah. Hari ini, kita jatuh semangat dan hilang kekuatan untuk meneruskan misi. Semuanya ini barangkali adalah kerana kegagalan hati kita untuk tetap berhubung dengan Allah taala. Adakah logik jika seorang pengembala kambing dengan mudah menarik gembalaannya ke kandang, jikalau si pengembala tadi tidak terlebih dahulu mendekati kandang itu?

Jawapan kepada permasalahan ini tak lain tak bukan adalah dengan kembali menyuburi iman dengan salah satu sunnah Nabi s.a.w, iaitu qiamullail. Jika qiamullail menjadi satu keperluan bagi orang muslim, maka ia adalah satu kemestian bagi seorang daie.

Di dalam surah Muzzammil ayat 1-6, mari kita teliti sebentar firman Allah taala ;

  1. يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
  2. قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلا
  3. نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلا
  4. أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا
  5. إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا
  6. إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءًا وَأَقْوَمُ قِيلا

Maksudnya;

  1. Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad)
  2. Bangunlah untuk sembahyang di malam hari kecuali sedikit daripadanya
  3. Iaitu separuh daripadanya atau kurangilah sedikit dari separuh itu
  4. Atau tambahkan daripadanya, maka bacalah alQuran itu dengan perlahan-lahan
  5. Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada mu (Muhammad) perkataan yang berat
  6. Sesunggunya bangun di waktu malam adalah lebih tepat untuk khusyu’ dan bacaan di waktu itu lebih berkesan

Ekstrak wahyu inilah yang mendorong Nabi kita – Muhammad s.a.w, dan orang-orang yang mengikuti jalan baginda untuk tetap bangun malam kerana mengharapkan bantuan dan kasih sayang Allah taala. Pada sepertiga malam itu, hamba Allah akan bermunajat dan mencetuskan puji dan puja, syukur dan doa, ta’zim dan kagum kepada Allah untuk semua ujian mahupun nikmat yang telah dia peroleh.

Andai tak mampu untuk solat panjang dan memanjatkan munajat yang mendayu-dayu, mungkin cukup sebagai permulaan untuk bertilawah alQuran beberapa helai, solat dua rakaat dan – cukup dengan yang sedikit lalu beristiqamah dengannya.

Beberapa Galakan untuk Qiamullail dari Allah!

ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا

Maksudnya ;

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Al-Isra’: 79)


انما يؤمن بئاياتنا الذين اذا ذكروا بها خروا سجدا وسبحوا بحمد ربهم وهم لا يستكبرون

تتجافى جنوبهم عن المضاجع يدعون ربهم خوفا وطمعا ومما رزقناهم ينفقون

Maksudnya ;

“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri daripada tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.”  (Surah as-Sajadah : 15 & 16)

ان المتقين فى جنات وعيون

ءاخذين مآ ءاتاهم ربهم انهم كانوا قبل ذلك محسنين

كانوا قليلا من الليل ما يهجعون

وبالاسحار هم يستغفرون

Maksudnya ;

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa akan ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah az-Zariyat : 15 hingga 18)

Mengapa Perlu?

Kalau di akhir zaman ini kita banyak mendengar lagu-lagu yang memuji dan memuja kecantikan wanita dan cinta, maka pada waktu inilah sepatutnya kita menghanturkan sembah dan puji yang lebih hebat lagi untuk Pencipta wanita dan Pemilik segala cinta.

Kalau pada siang hari telah banyak dosa mata, telinga, hati dan lidah yang telah kita lakukan, maka pada masa inilah kita membuktikan pengharapan agar Allah mengampunkan.

Kalau diandaikan kita sudah suci, sudah bersih daripada dosa dan sudah banyak amalnya, bukankah Allah sangat suka mendengar hamba-Nya terus-terusan menyatakan syukur kepada-Nya pada waktu ini?

من أراد العلى سحر الليالى

Maksudnya ;

“Barangsiapa yang mahukan ketinggian, maka hendaklah dia bangun pada waktu malam”

Susah Untuk Bangun Malam : Apa Perlu Buat?

Peringatan Allah sudah lama tiba, tapi sebagai manusia yang lemah .. sudah tentu banyak saja alasan kita beri dan sekaligus kita kerap mengutamakan nafsu dalam diri. Para ulama’ terdahulu telah meninggalkan wasiat yang banyak membantu kita untuk berusaha menikmati ibadah yang satu ini, antara tips-tips mereka untuk bangun qiamullail adalah ;-

  1. Amalkan qailulah (tidur sebentar sebelum atau selepas zuhur) untuk dapatkan kesegaran bangun pada waktu malam.
  2. Menjaga masa tidur, tidak kerap stay-up dan tidak tidur lewat sangat.
  3. Tanamkan azam setiap kali sebelum tidur untuk bangun sebentar pada malam hari.
  4. Memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat, kerana qiamullail adalah antara nikmat terbesar yang dikurniakan buat orang yang mahu menyucikan diri.
  5. Menjaga perut dari terlalu kenyang, kerana kenyangnya perut akan selalu membuatkan manusia mengantuk dan malas.
  6. Jika terjaga pada malam hari, teruslah bangun dari perbaringan dan mengambil wudhu’. Jangan ditangguh-tangguh amal soleh, kita tak tahu adakah ini masa terakhir yang sempat kita beramal sebelum ajal.
  7. Tidak / Kurangkan menonton movies atau aksi-aksi seram, kerana secara psikologi nya minda akan lebih cepat terpengaruh dengan melihat perkara-perkara sebegini yang akhirnya akan merugikan masa dan takut untuk bangun malam.
  8. Cari lah teman untuk berqiamullail, jika tiada kekuatan untuk bangun sendirian secara istiqamah.
  9. Mulakan dengan 2 rakaat yang mudah, tidak memberat-beratkan diri sebagai permulaan sehinggalah kita punya kekuatan untuk melaksanakan yang lebih berat lagi.
  10. Tidak bermegah dengan amal yang telah dilakukan dan sering muhasabah, kerana percaya bahawa semua amal soleh yang dilakukan adalah hasil kekuatan yang sumbernya hanyalah dari Allah.

Mari kita menyandarkan kekuatan kepada Pemilik Segala Kekuatan – Allah taala. Sudah banyak sebab dan kaifiah pembuka jalan untuk beramal, yang tinggal adalah pilihan kita untuk berada pada jalan menyucikan diri atau jalan kerosakan.

قد أفلح من زكاها

وقد خاب من دساها

Maksudnya ;

“Maka telah berjaya lah orang yang menyucikannya (jiwanya). Dan merugilah bagi orang yang mengotorinya.” (Surah Syams, ayat 9 & 10)

Wallahu a’lam.

Isti'jal (Tergesa-gesa)

Isti’jal, satu penyakit yang menimpa umat Islam sama ada individu ataupun jamaah, iaitu mahukan perubahan segera tanpa mengambil kira akibat, keadaan mahupun latar belakang dan tanpa membuat persiapan yang baik dari segi sumber, uslub dan wasilah. (Takrif ini kalau disyarahkan boleh menjawab pelbagai masalah individu dan jamaah).

Isti’jal memang tabiat manusia. Semasa Nabi Adam dicipta dan ditiupkan ruhnya, baginda terus bangun sebelum sempurna peniupan ruh tersebut! Tanda awal bahawa jenis manusia memang suka tergesa-gesa! Allah sendiri perakukan; خلق الإنسان من عجل (Al-Anbiya’: 37) bermaksud; Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru  pada serba-serbinya…

Dalam sirah di Makkah, masyhur kalam Nabi SAW kepada Khabbab bin Al-Art apabila beliau meminta nabi berdoa agar dilepaskan umat Islam dari kezaliman Arab Quraisy. Tapi nabi menjelaskan bahawa umat terdahulu diuji lebih dahsyat lagi sehingga ada yang dibelah dengan gergaji tetapi tetap sabar dan nabi akhiri dengan kalamnya ولكنكم تستعجلون maksudnya, tetapi kamu semua tergesa-gesa!

Tanda-tanda isti’jal

1. Menggabungkan individu dalam kafilah dakwah sebelum tauthiq, kenal pasti bakat, kemampuan dan persediaannya. Amal menegakkan Islam tidak boleh dibuat secara borong. Perlu kepada penelitian dan memastikan hanya anasir soleh yang boleh ditarbiah sahaja dibawa bersama. Juga kena ambil kira kekuatan untuk mendidik anasir yang telah dipilih tadi. Jangan sampai kita terpedaya dengan bilangan pengikut yang ramai, tapi mereka tidak boleh menghayati perjuangan Islam yang sebenarnya.

2. Meningkatkan daie ke peringkat lebih tinggi sebelum sampai masanya. Dengan alasan supaya orang tadi cepat meningkat, lebih faham dan produktif untuk dakwah dan jamaah. Sebenarnya ini satu kezaliman, kerana meletakkan seseorang bukan pada tempatnya dan dalam keadaan dia belum bersedia lagi.

3. Melakukan tingkahlaku yang memudharat dan tidak bermanfaat kepada dakwah. Perkara ini biasa berlaku kepada orang yang tiada disiplin amal jamaie atau memang tidak boleh didisiplinkan. Lebih malang lagi apabila tindakan yang dibuatnya mendatangkan mudharat kepada dakwah dan memundurkannya puluhan tahun ke belakang.

Kesan-kesan isti’jal

1. Membawa kepada futur. Futur bermaksud kembali lemah selepas aktif! Boleh jadi seseorang itu asalnya amat aktif dalam amal dan dakwah tetapi sekarang dah malas dan melengah-lengahkan amal, tak aktif lagi. Juga boleh jadi lebih teruk dari itu, langsung berhenti dari amal dan dakwah. Lihatlah keliling kita, sahabat seperjuangan semasa di kolej atau universiti dulu, sama-sama aktif. Tapi bila dah berkahwin dan bekerjaya, tidak sehebat  atau selantang dulu, bahkan ada yang senyap tak buat apa-apa, tidak kurang juga yang aktif tapi hanyut bersama pihak yang ditentang dulu!

2. Membantutkan amal, atau memundurkannya puluhan tahun ke belakang. Bayangkan kalau semua orang mengambil langkah drastik dan agresif atas nama amar makruf, nahi mungkar. Kemudian semua yang agresif tadi disumbatkan dalam penjara, siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan mereka? Ini merujuk kepada tidak mengambil kira akibat dari amal yang dilakukan. Sebab itu selain dari perlu mengenali mungkar, perlu juga tahu uslub untuk mengubahnya. Faktor masa perlu diambil kira. Sebab itu pada zaman Makkah, nabi tidak mewujudkan sebarang konfrontasi dengan Arab Jahiliah. Selepas berhijrah dan mendapat sokongan Ansar dan Muhajirin, barulah berlaku.

Sebab-sebab isti’jal

1. Dorongan hawa nafsu dan semangat yang tidak dikawal. Iman kita naik dan turun. Masa iman naik, seseorang itu akan bersemangat untuk beramal dan mencegah kemungkaran.  Tapi jika tidak dikawal dan terburu-buru, pastinya musibah yang menimpa. Contoh terdekat ialah membakar gereja dalam isu kalimah Allah. Ada orang akan terbakar semangatnya…

2. Kurang merujuk kepada sirah nabawiyah, sunnah Allah dan perjalanan dakwah para dua’t. Sunnah Allah terhadap alam; Allah sendiri menegaskan bahawa alam ini dicipta dalam masa enam hari. Bukan dengan sekelip mata, biarpun Allah mampu dengan kun fayakun. Sunnah Allah dalam pensyariatan; arak diharamkan secara berperingkat. Bukan sekaligus. Para qudama’ (veteran) dalam amal dakwah pun mengambil masa yang lama, keluar masuk penjara, tapi tetap thabat sampai akhir hayat kerana memahami bahaya isti’jal. Maka pengalaman orang lain dan jamaah lain perlu diambil kira supaya kita tidak mengulangi kesalahan yang sama. Semangat golongan muda perlu diimbangi dengan hikmah para qudama’.

3. Tidak tahan dengan cabaran dan beban dakwah, juga mahukan hasil yang cepat. Perlu ingat, kita tidak dipertanggungjawabkan kepada hasil atau natijah.  Tapi kita akan disoal terhadap apa yang telah kita lakukan untuk menegakkan kalimah Allah. Kita mesti berusaha, kemudian serahkan kepada Allah. Mengapa nabi tidak berdoa sahaja ketika diminta oleh Khabbab? Sedangkan doa baginda mustajab. Jawapannya, nabi nak ajar kita bahawa kemenangan agama ini perlu dengan tangan manusia sendiri, bukan dengan Kun Fayakun!

Pesanan Hasan Al-Banna

Sebagai pemimpin kepada gerakan Islam masa kini yang menjadi rujukan pelbagai pihak, mari kita telusuri kata-kata Hasan Al-Banna ini;

“Wahai kaum muslimin, khasnya yang bersemangat dan tergesa-gesa! Sesungguhnya jalan dakwah kamu ini, langkah-langkahnya telah disusun, sempadannya telah ditentukan, aku tidak akan menyanggahi sempadan yang aku amat yakin sebagai lebih selamat untuk sampai kepada matlamat. Memang jalannya panjang, tapi tiada jalan lain selain daripadanya… Siapa dari kalangan kamu hendak memetik buah sebelum masaknya… aku tidak bersamanya. Lebih baik dia mencari jalan dakwah yang lain. Siapa yang bersabar dengan aku sehingga benihnya bercambah, pokoknya tumbuh dan buahnya elok sampai masa untuk dipetik, maka ganjarannya di sisi Allah, kita sama-sama akan mengecapai ganjaran para muhsinin: sama ada mendapat kemenangan atau kepiminan, dan sama ada mendapat syahadah atau sa’adah.”

Perlu difahami, kalau semua persiapan dan sumber dah sempurna, kajian sebab dan akibat telah dibuat, maka jangan bertangguh lagi. Teruskan amal, itu bukan isti’jal…

Wallahu a’lam.

Oleh: Ustaz Azzahar bin Abd. Aziz,
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
ISMA Cawangan Seremban

Sumber: Pembina

Abbas akan tersungkur

4 Mac 2011 – Berita dipetik dari akhbar “Masa Depan Arab” semalam, Khamis, menyebut bahawa situasi kejatuhan kuasa Abbas dianggap terlalu dekat, Zionis sedang merancang kabinet boneka rakyat Palestin baru di Tebing Barat, menjangkakan kejatuhan Abbas dalam masa 2 bulan lagi.

Mejar Jeneral Sultan Abul-Enein, salah seorang sekutu Dahlan, menjadi jawatankuasa Fatah, yang kembali ke Lubnan, mengatakan bahawa kuasa Abbas sekarang ini sedang terancam, beliau menganggarkan dalam masa 2 bulan lagi Abbas akan jatuh. Perkara tersebut dikuatkan lagi dengan adanya sekutu Dahlan yang memegang beberapa jawatan penting dalam gerakan Fatah memudahkan mereka melakukan lobi dan mendapatkan maklumat terkini keadaan yang berlaku, antara mereka adalah Jeneral Taufik Tairari mantan Ketua Bahagian Perisikan di Tebing Barat, Hussein Ketua Bahagian Perhubungan Luar Dengan Israel, mereka kesemuanya adalah anggota dalam gerakan Fatah.

Sumber tersebut juga ada menyebut bagaiman Abbas merancang menyingkirkan semua sekutu Dahlan dari Jawatankuasa Pusat tetapi masih tidak berjaya.

Revolusi di beberapa tanah arab, tempiasnya dijangka akan terkena Palestin, dalam keadaan sekarang ini mereka sedang bersiap sedia menghalau Abbas apatah lagi Abbas dilihat tidak lagi mampu mengeluarkan arah yang menguntungkan pihak Palestin.

Dalam konteks ini, akhbar tersebut mendedahkan bagaimana sekarang ini pihak keselamatan Zionis telah mula melakukan panggilan terhadap semua “sekutunya” di Tebing Barat, tidak kurang dari dua minggu, “mengejutkan” mereka dari tidur, dan bertanya satu soalan: Apa akan terjadi di Tebing Barat sekiranya kuasa Abbas hilang dan kami pula yang akan mengambil alih kabinet sekarang ?

sumber : amanpalestin