Memelihara Keseimbangan : Rahsia Kehebatan Murabbi

Dalam dakwah unsur tarbiah dan pengurusan sama penting. Sebagaimana tarbiah dianggap thawabit (perkara tetap) begitu juga berpegang kepada peraturan juga adalah thawabit.

Menjaga keseimbangan antara dua unsur ini merupakan ujian kematangan kepimpinan (nuqaba’ dan mas’ulin) dalam organisasi dakwah. Berlebihan atau Kecuaian dalam salah satu akan menyebabkan kecacatan dalam perjalanan dakwah keseluruhan.

Tentunya ia tugas yang amat rumit.

Sebagai contoh, tarbiah tabiatnya adalah memupuk, memujuk, mendidik dan memahamkan. Melalui pendekatan tarbiah perlaksanaan sesuatu amal sangat bergantung kepada kehendak dalaman sesaorang. Bila kehendak kuat, amal kuat.. dan bila kehendak lemah, amal menjadi lemah.

Dalam keadaan itu murabbi yang berlebihan sifat tarbawinya akan gagal dalam aspek produktiviti dan efisyensi (keberkesanan) amal, bahkan murabbi boleh jadi terjerumus dalam majlis “lepak tarbawi” yang melali dan membuang masa.

Konon atas dasar tarbawi, murabbi bersembang semalaman di kedai makan, malam demi malam berlalu mebincangkan hal-hal tarbiah dan permasalahan ahli, walhal banyak masa terbuang dan dah banyak kerja yang terbengkalai.

Melalui pendekatan tarbawi sering berlaku tidak ada masa tertentu untuk selesaikan kerja, isu boleh jadi meleret-leret menunggu tuhan menurunkan penyelesaian.

Sebaliknya pegurusan tabiatnya jelas , “straight” dan cekap dalam perlaksanaan. Ia sering disifatkan sebagai kering. Sesaorang yang gagal melaksanakan tugas seperti yang dijadual mengikut waktu dan sifat yang ditetapkan perlu dimuhasabah dengan tegas, kerana ia telah mensia-siakan peluang dan menggagalkan perlaksanaan strategik.

Dalam keadaan penekanan berlebihan terhadap ketegasan pengurusan boleh menyebabkan hubungan renggang, tension, tegang dan bila-bila masa boleh meletuskan konfrantasi.

Murabbi yang mahir mampu mengimbangi antara kedua-dua ciri positif ini; pendekatan tarbawi dan pengurusan secara seimbang sepanjang masa. Apa yang kita mahu hubungan terus terpelihara, semangat sentiasa berkobar-kobar dan perlaksanaan amal berkesan.

Memahami hakikat ini seorang yang di leval murabbi dan kepimpinan tidak boleh ikut dia punya feel semata-mata. Kalau dia jenis orang yang menekankan natijah amal, maka hendaklah murabbi sentiasa peka tentang menjaga hubungan ukhawi dan manusiawi. Dan jika ia seorang yang sifatnya tarbawi, dia sentiasa kena ingat bahawa tanggunjawab mesti disiapkan pada waktu yang ditetapkan dalam bentuk yang dikehendaki.

Kesimbangan antara dua unsur ini adalah rahsia kehebatan seorang pemimpin.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

Dari Demonstrasi Kepada Revolusi

Hanya berbekalkan semangat seorang pemuda naïf yang melihat kepincangan yang berlaku dalam sistem pentadbiran negara termasuklah rangkaian pasukan keselamatan Mesir yang terdiri daripada barisan polis dan askar.

Seorang pemuda berani bernama Khalid bin Said telah menangkap gambar polis Mesir mengedarkan dadah dan menyiarkannya dalam Facebook miliknya. Sejurus lepas itu beliau telah dibelasah sehingga meninggal dunia oleh orang-orang yang dikatakan polis Mesir.

Kematian Khalid bin Said ini telah membakar semangat golongan muda Mesir untuk bangkit mempertahankan maruah dan membela kematian Khalid yang telah dizalimi. Munculnya seorang anak muda yang bernama Wail Ghanim bekerja sebagai eksekutif Google telah berjaya membakar semangat rakyat Mesir untuk turun ke jalanan menyatakan hasrat dan cita-cita mereka.

Menggunakan rangkaian sosial yang terpantas di dunia, Wael Ghanim telah memanipulasi penggunaan Facebook untuk menyeru rakyat Mesir keluar ke jalanan menyatakan bantahan mereka terhadap sistem pemerintahan yang sudah korup, rasuah, zalim dan kuku besi.

Bermula dengan perbualan-perbualan dalam Facebook inilah, semangat yang membara dan terpendam begitu lama dalam kalangan rakyat Mesir akhirnya diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi dan laungan kejatuhan Presiden Mesir Hosni Mubarak agar berundur dari tampuk pemerintahan.

Bantahan ini pada awalnya disertai oleh golongan muda yang tidak tahu apa yang mereka mahu tetapi tahu apa yang mereka tidak mahu. Mereka adalah golongan muda yang mahu bebas daripada dilabelkan dengan sebarang ikatan parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan termasuklah Ikhwan Muslimin.

Mereka mahu dilihat sebagai golongan yang bebas daripada sebarang pengaruh politik mahupun agama. Mereka mahu kerajaan memahami hasrat mereka menghentikan sebarang kezaliman yang mencengkam kehidupan mereka zaman berzaman. Mereka mahu kerajaan sekarang diganti dengan kerajaaan yang lebih telus, demokratik dan bersih daripada rasuah dan kejahatan ahli politik.

Tiada siapa yang mengjangka, bilangan rakyat yang keluar ke Medan Tahrir dan jalan raya di semua tempat dan daerah di Mesir semakin bertambah dari sehari ke sehari. Ia seolah-olah ledakan gunung berapi yang telah lama terpendam dan akhirnya meletup mengeluarkan laharnya.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 28 Januari 2011 yang meragut banyak nyawa dan mencederakan ratusan rakyat melakukan demonstrasi dan tunjuk perasaan secara langsung telah berjaya menarik simpati masyarakat dunia dan rakyat Mesir sendiri yang sebelum ini menjadi pemerhati.

Keadaan yang tidak terkawal dan bantahan yang semakin membara daripada rakyat Mesir memaksa tentera masuk campur dan mengambil alih tanggungjawab keselamatan negara. Terlepasnya ribuan banduan daripada penjara Mesir memburukkan lagi keadaan apabila banduan-banduan ini melakukan berbagai-bagai jenayah termasuklah mengganggu demonstrasi aman yang dilakukan oleh rakyat Mesir.

Demonstrasi jalanan secara aman telah bertukar wajah menjadi revolusi rakyat Mesir menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Mereka menolak sebarang perubahan struktur yang dikemukakan oleh Mubarak. Apa yang mereka tuntut ialah pengunduran Hosni Mubarak dan seluruh jenteranya daripada pemerintahan negara.

Revolusi Mesir yang julung-julung kali disertai oleh jutaan rakyat Mesir telah menarik perhatian seluruh dunia. Mereka sanggup berkampung di Medan Tahrir selama berminggu-minggu sehingga Mubarak turun atau mereka yang mati. Semangat golongan muda ini telah menyerap ke dalam jiwa dan hati seluruh rakyat Mesir yang terdiri daripada berbagai-bagai lapisan.

Golongan wanita, kanak-kanak, golongan tua tidak ketinggalan untuk bersama-sama berkumpul di daerah masing-masing menyatakan bantahan secara aman terhadap rejim Mubarak. Apa yang berlaku ialah golongan ini akan pergi kerja seperti biasa dan apabila pulang dari tempat kerja, mereka akan menyertai rakan-rakan mereka di Medan Tahrir, Iskandariah, Mansourah dan lain-lain tempat.

Realitinya, rakyat Mesir telah terlalu lama berada di bawah cengkaman kuku besi rejim Hosni Mubarak. Tiada siapa yang berani melawan dan menentang secara terang-terangan terhadap rejim ini. Undang-undang darurat yang dilaksanakan di negara ini telah memperuntukkan tangkapan tanpa bicara terhadap penentang rejim dan orang-orang yang disyaki menganggu kepentingan dan keselamatan rejim.

Hari ini, revolusi rakyat Mesir telah berjaya menonjolkan semangat baru golongan muda yang berani dan tidak takut mati yang mengambil berat tentang tanah air mereka. Mereka telah berjaya memecahkan tembok ketakutan dan pengecut yang selama ini membelenggu kehidupan rakyat Mesir.

Revolusi ini seolah-olah dilihat memberi harapan kepada rakyat Mesir untuk menerajui perubahan baru yang lebih dinamik, telus dan demokratik. Mereka juga berjaya menunjukkan kepada dunia luar uslub baru revolusi tanpa pertumpahan darah. Semua berlaku dengan aman dan penuh terancang sekiranya tidak diganggu oleh puak-puak yang pro Mubarak yang melakukan kekacauan di sana sini.

Persoalannya sekarang, siapakah yang layak memimpin gerakan revolusi ini? Adakah golongan muda yang mencetuskan fenomena ini mampu memimpin kerajaan dan membentuk perubahan baru kepada rakyat Mesir sedangkan mereka sendiri sebenar belum pasti apa yang bakal mereka lakukan apabila memerintah nanti?

Adakah parti-parti pembangkang yang lain yang sedang menunggu peluang kejatuhan Mubarak untuk mereka mengambil alih tampuk pemerintahan? Terjaminkah mereka akan melakukan perubahan atau mereka juga adalah streotaip kepada pemerintahan Hosni Mubarak yang benci kepada golongan Islamis dan pro kepada Israel dan Amerika Syarikat?

Layakkah Ikhwan Muslimin memimpin gerakan pembaharuan dan revolusi ini? Mampukah mereka melaksanakan dasar negara yang pro Israel dan Amerika Syarikat dan menanggung hutang negara berbillion dollar? Bersediakah rakyat Mesir menerima perubahan dengan pengorbanan mereka sekali apabila Ikhwan Muslimin memerintah negara? Adakah Israel dan Amerika Syarikat akan membiarkan sahaja musuh tradisi mereka mengambil tampuk pemerintahan ayam tambatan mereka?

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership

Pintu Rafah dibuka lagi selepas ditutup

Imej

28 Februari 2011 – Pihak berkuasa Mesir kembali membuka sempadan Rafah semalam – Ahad 27/2/2011, selepas ditutup pada hari Jumaat dan Sabtu kerana cuti mingguan.

Pengarah sempadan Rafah Mesir, Ayyub Abu Syakru berkata bahawa pihak mereka bekerja seperti biasa hari ini, sebanyak 4 bas telah melalui sempadan tersebut, yang menganndungi 40 hingga 50 penumpang di setiap bas.

Hari ini, seramai 300 penumpang melalui sempadan Rafah, dan masih terbuka kepada sesiapa yang ingin melakukan perjalanan.

Usaha-usaha untuk meningkatkan jumlah penumpang lebih dari 300 orang sehari, masih tidak dapat dipenuhi berikutan situasi Mesir yang masih tidak stabil.

Selasa hingga Khamis lepas hampir 900 penumpang dibenarkan masuk ke Gaza sedangkan jumlah yang ada sebenarnya lebih dari 2000 orang yang masih terkandas di Mesir.

Sempadan Rafah telah dibuka atas keputusan Majlis Tertinggi Tentera seminggu yang lalu, selepas pihak Palestin menuntut untuk menamatkan krisis rakyatnya yang terkandas di Mesir.

sumber : amanpalestin

Berfikir Untuk Ummat

Sejak kebelakangan ini, saya sering ditanya oleh pesakit,

What area of specialties do you want to do?” Saya terdiam. “Hmm… that’s a hard question to answer. I haven’t seen much of other specialties.

Kadang-kadang saya terasa masih awal untuk membuat keputusan, bidang kepakaran apa yang hendak saya ceburi. Jadi doktor pun belum lagi, kenapa nak fikir jauh-jauh? Inilah yang selalu bermain difikiran saya sehinggalah saya berjumpa dengan seorang doktor pakar sakit jiwa (Psychiatrist) yang masih muda usianya.

Macam mana you boleh jadi doctor pakar dengan cepat? Apa rahsianya, sharelah sedikit dekat adik-adik junior ni

You have to plan your career early. Masa I dekat medical school, I sudah target a few specialties that I wanted to do. Then I kaji macam mana nak sampai ke tahap itu dan apa training yang I perlu buat. Bila dapat peluang untuk sambung belajar, I terus grabbed. Orang lain mungkin kene fikir lama sebab tidak pasti lagi apa yang dia patut buat. Don’t just follow the flow, plan your future!

Saya tersentak mendengar kata-kata dia. Memang benar, kita perlu rancang masa depan, bukan hanya berserah kepada takdir. Rasullullah s.a.w sendiri merancang strategi sebelum pergi berperang., berhijrah ke Madinah. Selepas merancang dengan teliti, barulah layak kita berdoa kepada Allah supaya dimudahkan urusan dan ditunaikan hajat-hajat kita.

Maka, bermulalah pencarian masa depan saya. Apakah bidang yang patut saya ceburi? Ada orang kata pakar perbidanan (obstetrics) banyak dapat duit sebab hari-hari ada orang mengandung atau bersalin. Ada juga yang berpendapat kalau hendak banyak masa lapang, jadilah doktor pakar kulit (dermatologists, some people call itdermaholiday”). Kalau nak popular, jadilah pakar bedah! (surgeons).

Sukar untuk saya membuat keputusan. Akhirnya ditakdirkan saya bertemu dengan seorang lagi doktor yang sedang menjalani training dalam bidang kesihatan umum (Public Health). Bidang ini kurang popular dikalangan pelajar-pelajar perubatan kerana agak membosankan. Jadi saya sangat curiga dan bertanya kepada beliau,

Brother, what makes you want to specialize in Public Health?

Because in my country, we are still behind in this area. I hope I can do something to improve the health system.

Sekali lagi saya tersentak mendengar kata-kata doktor muslim yang berasal daripada Maldives ini. Kenapa saya tidak berfikir seperti dia, berfikir untuk umat? Saya teringat kisah Rasulullah yang sedang duduk bersendirian. Tetiba, baginda menitiskan air mata, menangis teresak-esak hingga basah janggut baginda. Menyedari kejadian itu, para sahabat mendekati baginda dan bertanya mengapa baginda menangis. Lalu Rasulullah menjawab,

Aku sedang memikirkan nasib ummatku”.

Begitu sekali Rasulullah memikirkan keadaan umat. Bandingkan dengan kita, apa yang sering bermain difikiran? Berapa banyak gaji boleh dapat bila kerja nanti? Kereta apa yang hendak dibeli? Bagaimana hendak menjadi glamour? Janji aku pass exam, kerja kemudian kahwin.

Inilah pemikiran yang individualistik. Dimanakah letaknya agenda umat dalam kotak pemikiran kita? Tidak dinafikan, harta dan pangkat boleh dicari. Tetapi sejauh mana kita meletakkan isu umat Islam dalam pemikiran kita. Apabila lebih banyak maslahah umat difikirkan, lebih banyak tindakan kita akan menguntungkan umat Islam. Tetapi bila banyak berfikir untuk diri sendiri, sudah tentu kita akan mendapat banyak keuntungan, namun apakah kita boleh selesa melihat umat yang sedang sengsara? Lupakah kita pada hadis nabi,

Barang siapa tidak ambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalanganku.

Kalaulah semua mahasiswa dalam dan luar negara berfikiran individualistik, siapakah yang akan membela nasib umat? Siapakah yang akan merangka projek-projek ekonomi untuk membasmi kemiskinan umat Islam? Siapakah yang akan merawat penyakit-penyakit yang ada pada umat? Siapakah yang akan membebaskan umat daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat?

Siapa lagi, kalau bukan umat Islam itu sendiri dan kitalah umat Muhammad s.a.w. Mari kita mula memikirkan bagaimana hendak menyumbang kepada kebangkitan umat Islam. Jangan sekadar berfikir bagaimana hendak lulus exam. Fikir jauh lagi.

Bagaimana hendak menjadi seorang yang pakar dalam bidang yang diceburi. Bagaimana hendak memanfaatkan kepakaran dan ijazah yang kita miliki untuk umat Islam. Ingatlah segala kepintaran akal, kelebihan dan kepakaran yang kita miliki adalah nikmat kurniaan Allah s.w.t dan pasti di akhirat nanti kita akan disoal tentang nikmat-nikmat ini. Apakah kita sudah mempunyai hujah yang cukup untuk menjawab soalan-soalan Allah swt di hari pembalasan nanti?

Sama-sama kita renungkan.

Oleh : Khairil Afif Mahmud
Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA NZ 2010
sumber : ISMA NZ

Post ODC '11 : Mahalnya Nilai Ukhuwah

“Allah Subhanallahu wa Ta’ala berfirman (yang artinya): “Dan Dia Yang mempersatukan hati-hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah Subhanallahu wa Ta’ala telah mempersatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Anfal: 63)

“Sesungguhnya Allah Subhanallahu wa Ta’ala akan berkata nanti pada hari kiamat: ‘Dimanakah orang-orang yang menjalin persaudaraan karena-Ku, maka pada hari ini Aku akan menaunginya pada hari dimana tidak ada sebuah naungan kecuali hanya naungan-Ku’.” (HR. Muslim)

Alhamdulillah,program ODYSSEY 2011 berjalan lancar dengan kehadiran hampir 100 orang. Bila berkumpul ramai-ramai sesama akhawat, terasa bertuah sangat ada mereka di sisi. Rasa makin dekat dengan Allah bila melihat wajah-wajah mereka. Segala kerjasama, bantuan, kerja-kerja yang dilakukan dengan sungguh-sungguh menampakkan betapa berharganya nilai ukhuwwah itu.

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”[Al-Hujurat:1-10]

Ukhuwwah atas dasar akidah yang satu takkan dapat dileraikan sehingga ke syurga Allah swt. Sebagai seorang Islam kita yakin dengan ini. Betapa cantiknya Allah mengatur perasaan manusia. Perasaan kasih, sayang dan rindu kepada sahabat-sahabat dihargai dengan kemungkinan untuk bersama di syurga Allah swt. Tidak kira bagaimana sekalipun latar belakang masing-masing.

Hak dalam berUkhuwwah

Seorang mukmin yang memahami hak-hak sahabatnya akan sentiasa mencuba yang terbaik untuk menjadikan sahabat mereka sebagai asbab(penyebab) untuk mereka masuk ke dalam syurga Allah swt. Antara hak seorang mukmin ke atas sahabat seakidahnya yang lain adalah:

1. Hendaklah ia mencintai saudaranya semata-mata karena Allah Subhanallahu wa Ta’ala dan bukan karena tujuan-tujuan duniawi.

“…Dan yang ia mencintai saudaranya, tidaklah ia mencintainya kecuali karena Allah Subhanallahu wa Ta’ala…” (Muttafaqun ‘alaihi)

2. Lebih mendahulukan untuk membantu saudaranya dengan apa yang mampu dari jiwa dan harta daripada dirinya sendiri.

Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.” (Al-Hasyr: 9)

3. Menjaga kehormatan dan harga diri saudaranya.

“Sesungguhnya darah-darah kalian dan harta-harta kalian serta kehormatan-kehormatan kalian haram atas kalian….” (HR. Al-Bukhari & Muslim)

“Hati-hatilah kalian dari prasangka, karena prasangka itu adalah sedusta-dusta ucapan.” (HR. Al-Bukhari & Muslim)

5. Menjauhi perdebatan dengan saudaranya.

“Barangsiapa yang meninggalkan perdebatan sementara ia berada di pihak yang salah, maka akan dibangunkan sebuah rumah baginya di surga paling bawah. Dan barangsiapa yang meninggalkan perdebatan sementara ia berada pada pihak yang benar, maka akan dibangunkan baginya sebuah rumah di tengah surga…” (HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi, dan Ibnu Majah)

6. Mengucapkan kalimat-kalimat yang baik kepada saudaranya.

7. Memaafkan atas kesalahan-kesalahan yang diperbuat oleh saudaranya.

Setiap orang pasti memiliki kesalahan. Sebagaimana sabda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam :

“Setiap keturunan Adam (manusia) pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat.” (HR. Ibnu Majah no. 4251)

8. Merasa gembira dengan kenikmatan yang Allah Subhanallahu wa Ta’ala berikan kepada saudaranya.

9. Saling membantu dengan saudaranya dalam perkara-perkara kebaikan.

Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)

10. Bermusyawarah dan bersikap lemah lembut terhadap saudaranya.

“Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.” (Asy-Syuura: 38)

Iman dan Ukhuwwah

Hakikatnya Iman dan Ukhuwwah takkan mungkin dapat dipisahkan. Hanya mereka yang benar-benar berIman dengan Allah dan RasulNya yang mampu untuk merealisasikan definisi sebenar dalam berukhuwwah itu. Iman yang tinggi menjadikan kita mampu untuk bersikap dengan nilaian tertinggi dalam ukhuwwah iaitu Ithar (melebihkan yang lain dari diri sendiri). Contoh terbesar adalah dalam peperangan Yarmouk bilamana ada 3 orang sahabat Nabi saw yang cedera parah dan nyawa-nyawa ikan sanggup untuk mendahulukan sahabat yang yang juga parah dan nyawa-nyawa ikan untuk minum air. Akhirnya ketiga-tiga mereka syahid kerana tidak sempat untuk meneguk seteguk air. Alangkah hebatnya mereka dalam melaksanakan ukhuwwah sesama mukmin itu. Bagaimana dengan kita?

Selemah-lemah Iman menyebabkan kita mampu melampirkan selemah-lemah nilaian tingkatan dalam ukhuwwah iaitu berlapang dada. Andai sesama sahabat pun tidak mampu berlapang dada, dimanakan kedudukan Iman kita sebenarnya? Tepuk dada tanya Iman masing-masing.

Marilah kita sama-sama menjaga ukhuwwah sesama sendiri supaya saling dapat bertemu di dalam syurga Allah swt kelak.

Wallahualam

Oleh;

Musfirah Ishkandar

Blog : rihlatulwujud

ODYSSEY 2011 – Kembara Membina Ukhuwwah!

Pada 3 hingga 5 Februari baru-baru ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan telah dengan jayanya menganjurkan Out Door Camp, ODC – ODYSSEY 2011 yang bertempat di pantai Aqabah dengan tema Let’s Reach Out!. Program tersebut yang disertai oleh seramai hampir 100 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Jordan telah disusun dengan cukup teliti bagi memastikan perjalanannya lancar dan baik.

Terdapat beberapa objektif yang ingin dicapai dalam ODYSSEY 2011 ini yang mana aspek utama yang ditumpukan ialah membina semangat ukhuwwah dan budaya kerjasama di antara para peserta supaya terus komited dengan program-program dan aktiviti dakwah disamping bersungguh-sungguh dalam mengejar segulung ijazah.

Berikut adalah perjalanan aktiviti-aktiviti sepanjang ODYSSEY2011;

3 Februari – KHAMIS

  • Team Building Session 1: Slot Ice Breaking
  • Sharing Session 1: Antara Ijazah & Risalah
  • Team Building Session 2: LDK Pembentangan Antara Ijazah & Risalah
  • Sharing Session 2: Isu-isu Semasa di Malaysia
  • Team Building Session 3: Bicara Siswa (Modul Kapal & 7 manusia terakhir)
  • Slot Ruuhi – Tilawah Quran

4 Februari – JUMAAT

  • Slot Bina Jasmani 1
  • Sharing Session 3: ISMA & Masyarakat
  • Outdoor Games 1
  • ODYSSEY’s Theatrette (malam persembahan peserta)
  • Slot Ruuhi – Tilawah Quran

5 Februari – SABTU

  • Slot Bina Jasmani 2
  • Outdoor Games 2
  • Jalan-jalan di Aqabah

ODYSSEY2011 kali ini juga menampilkan Ustaz Ahmad Zainal Abidin yang merupakan YDP ISMA Melaka. Beliau juga adalah Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS) dan juga seorang tenaga pengajar di Universiti Multimedia (MMU), Melaka. Kehadiran beliau dengan pengalaman yang cukup luas dalam bidang Syariah dan tarbiyyah cukup memberikan 1001 input-input yang bermanfaat kepada para peserta melalui slot-slot perkongsian (Sharing Sessions).

ODYSSEY2011 kali ini menutup tirainya dengan seribu satu kenangan manis. Luka-luka ketika bermain menjadi kenangan ukhuwwah yang disemai antara para peserta. Antara komen daripada para peserta;

Marvellous! Teruskan lagi…

Peserta (ikhwah)

Program ini telah mengubah satu benda dalam diri saya… thanks

Peserta (akhawat)

Mantap! Lain kali nak buat aktiviti macam ni saya mesti join…

Peserta (akhawat)

Semoga ODYSSEY2011 ini menjadi titik bermulanya ikatan ukhuwwah dan semangat kerjasama yang lebih hebat & utuh di masa hadapan.

Jumpa lagi di ODYSSEY2012!