Tahniah kepada Pimpinan PERMAI 2012/2013

IRBID, 28 April – AGM PERMAI kali ke-10 telah pun berlangsung. Dengan berakhirnya AGM PERMAI sebentar tadi menandakan berakhirlah secara rasmi tempoh kepimpinan PERMAI sesi 2011/2012 dan bermula lah era baru kepimpinan PERMAI sesi 2012/2013.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih buat semua kepimpinan PERMAI sesi 2011/2012 atas segala usaha dan jasa selama ini.

Buat kepimpinan PERMAI sesi 2012/2013, syabas diucapkan atas perlantikan. Sesungguhnya tanggungjawab ini ternyata bukanlah suatu kebanggaan, bahkan ia adalah urusan yang bakal ditimbang tara di akhirat kelak. Moga taklifan yang ditaklifkan oleh Allah swt ini dapat dipikul dengan sebaiknya sekaligus mendapat rahmat dan keredhaan Allah swt.

Kepimpinan PERMAI sesi 2012/2013

PRESIDEN : WAN MUHAMMAD NAJIB BIN MOHD DAUD
KETUA HELWI : RAIHANA BINTI AHMAD NAZRI

AMT :

1. ULYA AQAMAH BIN HUSAMUDIN
2. MUHAMMAD NAIM BIN DERAMAN
3. MUHAMMAD HATTA BIN SHAFRI
4. AHMAD SYAHIR BIN MOHD AMIR
5. MUHAMMAD NAIF AMMAR BIN MOHAMAD

6. NABIHAH BINTI MOKHTAR
7. NURUL ATIQAH BINTI MOHD RAWI
8. NUR NAIMAH AKMAR BINTI KAMARUDDIN
9. SARAH BINTI ABDUL RAZAK
10.NIK NORKATIJAH BINTI MOHD RAZAK

 

Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan

Kenyataan Education Malaysia Jordan berkaitan BERSIH 3.0

IRBID, 27 April – Merujuk kepada PERHIMPUNAN BERSIH 3.0 pada 28 April 2012 ini, Education Malaysia Jordan (EMJ) telah memutuskan agar semua pelajar tidak menganjurkan atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang PERHIMPUNAN BERSIH 3.0 di Jordan, Syria, Arab Saudi dan Yemen.

ISMA Jordan berharap agar mahasiswa di Jordan akur dengan kenyataan rasmi ini dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan diri dan akademik selari dengan tuntutan semasa di Malaysia.

Sumber : Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) Jordan.

Kitab yang Makin Dilupakan

 

Pada suatu petang di German, kelihatan dua orang pelajar sedang berbincang. Seorang pelajar Muslim dan seorang lagi pelajar bukan Muslim . Masing-masing kelihatan serius dengan isu yang dibincangkan.

 

John : Aiman, saya ada kemusykilan sikit. Pasal Al-Quran. Cuba awak bacakan surah al-Kahfi ayat 86.

Aiman :  Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia (Zulkarnain) mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar).

 John : Perasan tak ada kepincangan yang jelas dekat ayat tu. Zulkarnain nampak Matahari terbenam dalam sebuah mata air hitam yang berlumpur. Matahari tak terbenam dalam lumpur kan? Maka hujah korang yang Al-Quran itu benar sampai bila-bila memang tak valid lagi.

Aiman: Oh, pasal ayat ni ke… Ok, firstly macam mana kalau saya cakap Matahari memang tak pernah terbenam atau terbit?

John: Mana ada. Matahari terbenam lah. Yang kita selalu tengok petang-petang tu, terbenam la tu. Pagi nanti Matahari terbit pulak.

Aiman: Ermm, ingat tak masa zaman kita sekolah dulu kita belajar pasal putaran Bumi dan Matahari kan?

John : Ingat ingat.

Aiman :  Sebenarnya, fenomena Matahari terbenam dan terbit ni berlaku disebabkan pertukaran posisi Bumi yang mengelilingi Matahari. Bumi menggelilingi Matahari dan pada masa yang sama berpusing di dalam paksinya yang tersendiri.

John: Ok ok. Pastu?

Aiman : Maka apabila Bumi berpusing, ada bahagian yang terkena cahaya Matahari dan ada bahagian yang terlindung dari cahaya Matahari. Fenomena inilah yang sebenarnya menampakkan seolah-olah Matahari terbenam dan terbit tetapi pada hakikatnya Matahari masih berada pada posisinya yang asal.

Senang cakap, fenomena Matahari terbenam dan terbit hanyalah ilusi optik manusia dan bukan secara saintifik sebab Matahari memang tak pernah terbenam pun. Setuju atau tak?

John : Setuju…

Aiman: Ok, habis tu semua surat khabar salah la ek? Semua surat khabar ada tulis waktu Matahari terbenam dan terbit. Bukan surat khabar Malaysia je , surat khabar Barat pon. Diorang salah la kan kalau camtu ?

John: Ok, fine. Saya tanya pasal Zulkarnain bukan pasal matahari terbenam.

Aiman: Sabar sabar. Saya faham. Apa yang saya nak cerita lepas ni ada kaitan dengan fenomena Matahari terbit dan terbenam. Errmm, camne nak mula ek ? Kalau kita baca ayat ni, Zulkarnain nampak Matahari terbenam dalam lumpur kan?

John: Betul

Aiman: Haaa, sama la macam apa yang saya cerita tadi. Itu hanyalah ilusi optik Zulkarnain. Contohnya, kita pegi jalan-jalan dekat Tasik Chiemsee. Pastu kita nampak Matahari terbenam dalam tasik. Pada hakikatnya Matahari tak terbenam dalam tasik tu pun tapi mengikut pandangan kita Matahari tu nampak macam terbenam dalam tasik. Betul tak?

John: Betul

Aiman: Maka, sama lah dalam ayat ni. Al-Quran hanya sekadar menceritakan apa yang Zulkarnain nampak. Lagi mudah nak faham, sebagai contoh saya cerita dekat awak, saya nampak Matahari terbenam dalam tasik. Cerita itu hanyalah sekadar apa yang dilihat oleh mata saya tapi bukan secara saintifik.

John: Ok, sekarang saya dah faham. Terima kasih Aiman. I owe you.

Aiman: No probs man. Nanti bila-bila kita sembang lagi. Saya ada exam petang ni. Got to go now. See you later.

 John : Ok, see you later

 

 

 

 

Dekati Al-Quran kerana padanya ada keberkatan. Dekati Al-Quran kerana padanya ada mukjizat. Dekati Al-Quran kerana ayat yang kita baca adalah ayat yang sama dibaca oleh Muhammad bin Abdullah, Jaafar At-Tayyarah, Sultan Muhammad Al-Fateh dan seluruh umat Islam. Dekati Al-Quran kerana padanya ada pengajaran. Dekati Al-Quran kerana padanya ada pesanan dari Dia untuk kita. Dekati Al-Quran, semoga di hari pembalasan kelak ia akan menjadi hujah buat kita. Dekati Al-Quran kerana padanya ada pahala yang menanti. Dekati Al-Quran dan hayati maknanya kerana disitu ada ubat hati yang makin membusuk.

Jangan biarkan Al-Quran kita sekadar lesu di atas almari.

 

 “……dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya” (Al-Isra’: 12)

 

Artikel ini telah ditulis berdasarkan hujah yang telah dikemukakan oleh Dr. Zakir Naik di atas persoalan yang diutarakan kepada beliau berkaitan dengan Ayat 86 Surah Al-Kahfi. Beliau adalah seorang doktor yang mahir dalam ilmu Perbandingan Agama (Comparative Religion)

 

 

Oleh:
Nurul Fauwiza Mohd Fauzi
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Bukan Wanita Biasa

 

Namanya Ummu Haritsah. Dia mendengar anaknya meninggal dalam perang Badar terkena panah liar. Sebagai seorang ibu, tentu masih ada rasa kehilangan dalam dirinya. Namun ini adalah sosok ibu yang berbeza. Ibu dan wanita yang luar biasa.

Ummu Haritsah tidak puas dengan hanya berita itu. Dia pun datang menghadap Rasulullah. Bukan untuk memastikan anaknya benar-benar telah mati. Tetapi untuk mendapatkan jawapan, apakah kematian anaknya itu tergolong syahid hingga membawanya ke syurga, atau justeru kematian yang mengantarkan ke neraka.

“Wahai Rasulullah,” tanya Ummu Haritsah begitu berhasil menghadap Nabi, “Di manakah posisi Haritsah? Jika di syurga, maka saya redha atas kematiannya. Namun jika di neraka saya akan meratapinya agar seksanya diringankan.”

“Wahai Ummu Haritsah,” jawab sang Nabi penuh wibawa,  “Sesungguhnya Haritsah anakmu berada di syurga Firdaus.”

Subhaanallah. Bukan hanya syurga, tetapi syurga Firdaus, syurga tertinggi, surga terindah. Mendengar itu tenanglah Ummu Haritsah. Kini ia pulang ke rumah dengan senyum merekah dan kebahagiaan yang membuncah.

Wanita lainnya bernama Khansa. Khansa binti Amru. Meskipun seorang wanita, dia turut serta dalam barisan jihad melawan pasukan Parsi dalam perang Qadisiah. Bersamanya, empat puteranya juga turut serta dalam perang yang terkenal itu.

Khansa membakar semangat putera-puteranya. Dia memeperingatkan mereka agar tak gentar, walau apapun yang terjadi.

“Kalian telah beragama Islam dengan tulus,” katanya dengan nada orasi, “Kalian mengikuti kaum Muslimin tanpa ada yang memaksa. Kalian berasal dari satu ibu dan satu ayah. Demi Allah, ayah kalian bukanlah orang yang lemah. Pakcik-pakcik kalian juga bukan orang yang lemah.”

Semangat bertempur empat putera perindu syurga demikian menggebu. Tanpa rasa takut mereka menyerbu. Pasukan Parsi menyambut dengan perlawanan seru. Pedang berlawan. Denting suara senjata memenuhi telinga. Lalu satu per satu empat putra Khansa gugur hingga tak tersisa.

Bukannya sedih atau meratap, dari lisan Khansa terdengar syukur terucap. “Segala puji bagi Allah yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka. Semoga kelak Allah mengumpulkan aku dengan mereka di surga.”

Wanita-wanita luar biasa. Merekalah yang mampu mendidik putera-puterinya untuk berjihad membela agama. Merekalah yang menanamkan semangat berislam dan memperjuangkannya ke dalam jiwa buah hatinya.

Wanita-wanita luar biasa. Merekalah madrasah pertama yang mampu mengukir iman dalam hati anak-anaknya yang masih belia. Mencurahkan kasih sayang dan menyemaikan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka juga ikhlas melepas kepergian anak-anak tercinta ke medan juang, jalan jihad dan lapangan kehidupan.

Masihkah ada wanita-wanita luar biasa seperti Ummu Haritsah dan Khansa? Jawabnya, ada. Setiap zaman masih memungkinkan untuk melahirkan wanita-wanita seperti mereka. Asal kita tahu caranya dan mahu mengadopsinya. Cara itu telah terang dibentangkan Allah dalam Al-Quran dan Rasulullah dalam sunnahnya. Manhaj Qur’ani dan manhaj Nabawi adalah jawabannya. Tarbiyah adalah kuncinya. InsyaAllah.

 

 

Oleh:
Ummu Aiman binti Hasbullah
Tahun 2 Bahasa Arab dan Kesusasteraan
Universiti Al Al-Bayt, Mafraq

 

Laporan Kejohanan Bola Sepak ISMA Jordan Kali Pertama

IRBID, 13 April – Selari dengan Hadis Rasulullah – “Ajarlah anakmu berenang, memanah dan menunggang kuda”(Riwayat Bukhari dan Muslim)  yang mempunyai maksud untuk menggalakkan umatnya untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang mampu menyihatkan tubuh badan dan membina kecergasan diri, maka buat julung-julung kalinya, Ikatan Muslimin Malaysia  (ISMA) Jordan telah menganjurkan satu program Kejohanan Bola Sepak ISMA Jordan pada 13 April yang lalu khas untuk mahasiswa-mahasiwa di seluruh Jordan

Program yang diadakan diadakan di Padang Futsal Universiti Yarmouk, Irbid ini telah disertai oleh hampir 40 orang mahasiswa dari universiti-universiti di seluruh Jordan. Piala dan hadiah bagi pasukan juara yang disediakan dalam kejohanan ini menyemarakkan lagi semangat  setiap pasukan untuk merebut kejuaraan pertama bagi kejohanan ini,

Kejohanan Bola Sepak ini telah menggariskan 2 objektif utama untuk digapai dalam program ini, yang pertama, ianya bertujuan untuk mengeratkan  lagi ukhuwah  antara semua  mahasiswa seluruh Jordan umumnya dan ahli ISMA Jordan khususnya. Yang kedua,program ini juga bertujuan untuk  membina kecergasan diri dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa Jordan.

Juara bagi Kejohanan Bola Sepak ISMA  Jordan buat kali pertama ini telah dirangkul oleh pasukan yang diketuai oleh Ustaz Abdul Salam. Pasukan juara telah membawa pulang Piala Pusingan dan sebuah hamper. Bagi anugerah penjaring terbanyak, ianya telah dirangkul oleh saudara Muhammad Mustafa bin Kamaruddin dan bagi anugerah pemain terbaik kejohanan, telah berjaya disandang oleh saudara Mohamad Rusydi Ahmad Zuhairi.

Moga program tahunan ini akan berjaya menarik lebih ramai peserta pada masa hadapan bagi memupuk mahasiswa-mahasiswa di Jordan untuk meningkatkan kecergasan diri,selari dengan tuntutan untuk menjadi mahasiswa yang berdaya saing dari sudut rohani dan fizikal.

Antara gambar-gambar kejohanan :

Disediakan oleh :

Ammar Bin Roslan
Pengarah Kejohanan Bola Sepak
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan 2012

Tahniah buat Pimpinan MPMMJ 2012/2013

AGM MPPMJ kali ke-12 telah pun berlangsung pada 13 April. Dengan berakhirnya AGM MPPMJ semalam menandakan berakhirlah secara rasmi tempoh kepimpinan MPPMJ sesi 2011/2012 dan bermulalah era baru kepimpinan MPMMJ sesi 2012/2013.

[ Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) telah ditukar nama kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) ]

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih buat semua kepimpinan MPPMJ sesi 2011/2012 atas segala usaha dan jasa selama ini.

Buat kepimpinan MPMMJ sesi 2012/2013, syabas diucapkan atas perlantikan. Sesungguhnya tanggungjawab ini ternyata bukanlah suatu kebanggaan, bahkan ia adalah urusan yang bakal ditimbang tara di akhirat kelak. Moga taklifan yang ditaklifkan oleh Allah swt ini dapat dipikul dengan sebaiknya sekaligus mendapat rahmat dan keredhaan Allah swt.

Kepimpinan MPMMJ sesi 2012/2013

Presiden : Ust Kailani Zahari
Timb Pres II : Noraziah Md Esa

AMT :
1) Luqman Asyaari
2) Khairy Jaafar
3) Hafizulfaiz Mohd Puad
4) Ainaa Nadia
5) Azeelah Halim

 

Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan

 

Orang Kaya Semakin Kaya, Orang Miskin Semakin Miskin

Bismillahirrahmanirrahim.

  Sepanjang umur yang Allah berikan ini, biasa saja saya lihat kawan-kawan yang hidup dalam kemewahan, jiran-jiran yang memandu kereta-kereta mewah, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang punya tanah berekar-ekar, emas dan perak berkilo-kilo. Saya juga kerap terlihat makcik-makcik yang berusaha keras menidurkan bayi comel yang menangis kelaparan di tepi-tepi kaki lima sambil mengharap sedekah dan simpati orang ramai. Ada juga yang terpaksa mengerah tulang empat kerat seawal usia enam tahun, dan ada juga yang terpaksa menghabiskan umur dengan kerja keras dek kerana bebanan hidup yang kian menekan serta hutang yang makin ditangguh makin meningkat ‘bunga’nya.

Hakikat yang perlu kita sedari.

  Dunia hari ini ialah dunia kapitalis. “No money, no talk,” bak kata orang putih. Bayangkanlah, nak minum air sudah tentu kena bayar, nak buang air pun kena bayar? Sehinggakan ada sesetengah tandas awam yang dikatakan eksklusif mengenakan caj sehingga RM2 setiap kali ingin menggunakannya. Burger yang dulu harganya RM1.50 kini sudah menjadi RM2. Sama dengan harga penggunaan tandas tadi! Roti canai yang dulunya RM0.60 kini RM1. Pekerja yang berpendapatan RM5000 sudah dikira miskin bandar! Sistem kapitalis yang deterajui oleh Amerika Syarikat dan sekutunya ini bertunjangkan ‘interest’ dan sentiasa membesarkan jurang antara orang kaya dan miskin. Bagaimana pekerja awam bergaji rendah yang dikelilingi hutang dek ingin meneruskan hidup ingin survive’dalam sistem yang belum dapat kita ubah ini?

Zakat dan sedeqah satu penyelasaian.

يَمْحَقُ اللّهُ الْرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللّهُ لاَ يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

276. Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.

  Islam telah membuka jalan dengan menganjurkan zakat dan sedekah. Agama suci ini sentiasa meraikan manusia dari semua aspek, tiada kezaliman yang dibenarkan dalam Islam. Jurang antara golongan kaya dan golongan miskin sentiasa dikecilkan jika zakat dan sedekah ini diamalkan. Kita hidup dalam sistem kapitalis durjana ini dan kita tiada daya mengubahnya serta-merta, namun Allah telah menyediakan alternatif yang sangat bijaksana melalui zakat dan sedekah. Apa jua sistem ciptaan manusia yang mendatang, jurang antara dua golongan ini akan sentiasa dijamin oleh Islam.

Membangun ekonomi dengan zakat dan sedekah.

  Ramai yang berfikiran bahawa zakat dan sedekah memusnahkan ekonomi serta mengurangkan harta. Contoh mudah yang mungkin bisa difahami semua, harta zakat dan sedekah diberikan kepada golongan yang selayaknya, kemudian mereka yang dulunya tidak mampu berbelanja untuk keperluan hidup kini sudah mampu berbelanja. Semakin ramai orang mampu berbelanja, semakin banyak permintaan barangan di pasaran, semakin meningkat taraf ekonomi dan semakin bertambah jugalah keuntungan para peniaga.  Para peniaga ini akhirnya terpaksa mengeluarkan lebih banyak barangan disebabkan permintaan yang semakin meningkat dan secara tidak langsung akan membuka ruang-ruang pekerjaan untuk golongan yang pada asalnya menerima zakat dan sedekah tadi.

Cara menyimpan bagi orang beriman.

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

39. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.

  Orang bijak akan menyimpan hartanya dalam bentuk pelaburan supaya tidak berkurang harta-harta tersebut dek kerana inflasi yang melanda. Orang beriman pula akan berzakat dan bersedekah sebagai pelaburan mereka di hari akhirat nanti. Yakinlah bahawa harta-harta itu memang untuk dibelanjakan, namun mesti menurut landasan syara’.

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَأَنفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

7 . Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebagian) dari hartanya memperoleh pahala yang besar.

Selamat berinfaq di jalan Allah..

Oleh :
Muhammad Shahier bin Sa’min
Tahun 2, Ekonomi dan Perbankan Islam
Universiti Yarmouk

 

Ringan atau Berat, Tetap Melangkah!


“Sorry syeikh, minggu ni ana busy sikit”

 

“Sorry la akhi, ana pening sikit semalam. Tak dapat nak prepare tugasan usrah”

 

“kau je lah yang buat, aku ada hal sikit”


“Malasnya pergi usrah, baik tengok ceramah kat youtube jek”

 

“Sori lah, next week ada exam”

 

“tak pe lah, solat sorang-sorang pun still sah jugak”

 

Inilah alasan-alasan ‘munasabah’ yang selalu kita dengari. Ya, memang selalu kita dengari kerana kitalah yang sering mengungkapkannya. Bermacam alasan yang tercipta sekreatif mungkin bagi memuaskan hati orang ramai.

Wahai diri yang beribu alasan,

Tidakkah kamu tadabbur Firman Allah swt ini ?

انْفِرُواْ خِفَافاً وَثِقَالاً وَجَاهِدُواْ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah : 41)

Di dalam Tafsir Fi Zilal, ayat di atas dihuraikan : “hendaklah kamu semua berangkat dalam apa jua keadaanmu. Berjihadlah dengan jiwa raga dan hartamu. Dan jangan mencari-cari alasan dan keuzuran serta jangan sesekali tunduk pada sebarang halangan dan justifikasi.”

Dalam ceramah, wacana, daurah mahupun halaqah usrah, mungkin sudah berulang kali dengari ayat ini. Namun bila hendak diterjemahkan pada amalan nyata, ternyata payah tak terhingga.
Ketika itulah bermacam-macam justifikasi diberi bagi mengundur diri. Apa yang dipelajari selama ini hanya tersemat kemas di hati, kekal sebagai teori.

Hakikat Orang Beriman

Ketahuilah, orang yang benar-benar beriman, adalah meraka yang terus melangkah biarpun rintangan-rintangan menghalang jalannya. Inilah yang diungkapkan di dalam Fi Zilal mengenai tafsir ayat ini :

وأدرك المؤمنون المخلصون هذا الخير , فنفروا والعوائق في طريقهم , والأعذار حاضرة لو أرادوا التمسك بالأعذار

“Orang mukmin yang ikhlas mengetahui bahawa inilah yang terbaik baginya. Dia terus melangkah berjuang sekalipun banyak rintangan  sepanjang perjalanannya. Dan banyak saja keuzuran atau alasan yang dengan itu dia boleh mengundurkan diri kalau dia mahu.”

Sungguh, kehidupan ini memang tidak lari dari sebarang permasalahan. Kalau kita hendak mencipta alasan, memang tidak sampai sesaat pun kita boleh memberikan pelbagai alasan. Pilihan terletak pada diri kita, hendak melangkah atau terus tunduk dengan pelbagai alasan.

Lihatlah Abu Bakar As-Siddiq, pagi hari menerima Islam daripada, terus melangkah laju dan pulang di petang hari dengan membawa 6 orang memasuki Islam. Tiada langsung alasan : “Ana masih baru belajar. Quran pun tak hafal lagi.Tak layak lah nak dakwah si dia”

Lihatlah Sa’ad bin Mu’az, lantas berdakwah kepada kaumnya sebaik sahaja menerima hidayah Allah. Beliau hanya sempat hidup dalam keadaan Islam dan berjuang selama 6 tahun, namun kematiannya membuatkan Arasy Ar-Rahman bergegar !

Lihatlah Abu Ayyub Al Anshary, boleh saja beliau beralasan untuk berehat di rumah kerana umur tuanya melangkau lebih 80 tahun. Namun beliau tetap berjuang bersama tentera-tentera Islam hingga gugur syahid di tembok KotaKonstantinopel.

Alasan Mahasiswa Bijak

Syukur Alhamdulillah kali ini alasannya agak munasabah kerana bukan lagi disebabkan isu-isu mentah seperti malas, berfoya-foya, games dan lain-lain.

Kali ini ia beralasan untuk mengenepikan dakwah ‘sebentar’ kerana mahu fokus pada pengajiannya ataupun fokus pada penyucian jiwanya. Yang medic mungkin beralasan sibuk dengan lecture notenya, yang syariah sibuk dengan talaqqinya. Yang sibuk dengan jiwanya berjam-jam iktikaf di Masjid.

Lalu siapa lagi yang mahu sibuk dengan perjuangan? Siapa lagi yang mahu sibuk dengan menyampaikan Islam kepada teman-teman? Siapa lagi mahu sibuk mendidik adik-adik?

Tidakkah kita terkesan dengan kisah Abdullah ibnu Al-Mubarak ?

Beliau berjaya dalam akademiknya, juga bersungguh dalam memperjuangkan islam.

Beliau merupakan ahli hadith yang thiqah lagi masyhur. Terbukti kehebatannya apabila dilihat banyak hadith riwayat beliau termaktub dalam Sahih Al-Bukhari & Muslim dan kitab-kitab sunan serta musnad. Malah beliau juga merupakan seorang pakar Fiqh yang bijaksana dan tidak lupa juga mempunyai harta kekayaan yang banyak dan dibelanjakan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar dan majlis ilmu di semua ibu negara Islam.

Dalam masa yang sama sepanjang hidupnya beliau sentiasa sibuk dengan perjuangan berjihad di jalan Allah. Saban tahun beliau berjihad di Rom sehinggakan beliau mempunyai tempat tinggal di selatan Turki.

Beliau dengan berani menegur sahabatnya Al-Fudhail bin Iyadh yang juga merupakan seorang Ahli Hadith yang masyhur  dan thiqah kerana meninggalkan Jihad untuk beruzlah di Makkah. Dengan beraninya beliau menyifatkan sahabatnya itu sebagai “Ahli Ibadat yang bermain-main !”. Ibnu Mubarak sama sekali tidak memandang keistimewaan Al-Fudhail sebagai Ahli Ibadat dan zuhud itu sebagai alasan untuk tidak berjihad.

Dengan sifat ini lah Ibnu Mubarak diangkat sebagai pemimpin ahli hadith pada zaman tersebut. Bukan dengan sifat mementingkan diri sendiri. Bukan hanya fokus pada pembinaan diri.

Inginkah kita digelar sebagai ahli akademik atau ilmuwan yang bermain-main?

Ganjaran Hebat Menanti

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,”

“Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.”

(As-Soff : 10-12)

Oleh:
Ahmad bin 
Khairuddin
Ketua Biro Tarbiyah
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan

Terbanglah Setinggi-tingginya

Ibnul Qaiyim, rahimahullah, pernah membuat satu perumpamaan yang menarik mengenai hati. Hati ini umpama burung yang terbang. Semakin tinggi ia terbang semakin jauh ia daripada mara bahaya di tanah. Semakin merendah, semakin hampir ia pada musuh dan kesilapan.

Saya ingin menambah. Semasa mula-mula hendak terbang, burung menggunakan banyak tenaga untuk mengepak demi merenggangkan jasadnya dari tanah. Tetapi apabila sudah melangit di udara, ia hanya perlu mendepakan kepaknya, terbang melayang dan meluncur di laluan angin. Sesekali ia menjunam ke bawah juga, kerana makanannya berada di tanah, ataupun di air. Tetapi jika tidak jadi mendarat, sekali lagi ia akan mengerah kudrat mengepak, sehingga stabil semula bermain angin.

Kita hidup di bumi, tetapi nilai kehidupan dan prinsip perjuangan ini kita ambil dari langit. Kita berasal daripada tanah, tetapi ruh kita berasal daripada alam yang tinggi. Kita makan minum di dunia ini, tetapi kerinduan kita di syurga Firdaus yang tertinggi.

Sebagaimana bumi ini mempunyai graviti yang menyebabkan jasad kita “melekat” di tanah, begitu juga dunia ini mempunyai tarikan yang menyebabkan jiwa kita “melekat” pada fatamorgana kehidupan.

Untuk merenggangkan jiwa daripada “graviti” fatamorgana kehidupan ini, kita perlu mengerah kudrat, bermujahadah. Umpama musafir berkelana berjauhan daripada keluarga tersayang, agar mudah mengendalikan perasaan dengan kesabaran dan ketabahan. Umpama memegang kukuh tali kekang, biar dibanting dilambung, sementara kuda yang liar itu menjinak. Itulah peraturan yang ditentukan Allah, sebelum burung boleh meluncur bermain angin di ketinggian melangit itu, sebelum kita boleh bebas merdeka di alam perjuangan ini, jauh daripada perangkap nafsu yang membelenggu.

Bagi yang telah lama terbang tinggi, setelah melalui tahun-tahun mujahadah, jangan pula leka bermain angin, sehingga kadang-kadang kita tidak sedar sedang menjunam ke bawah. Fatamorgana itu mungkin lebih indah pemandangannya dari ketinggian yang melangit itu. Bahkan di ketinggian itu, sasaran tampak terlalu kecil dan mudah disambar.

Isteri, karier, harta dan kedudukan. Kalau ditambah, bermakna bertambah beban. Daya melawan tarikan graviti perlu semakin kuat. Adakah kita sedang terbang di ketinggian yang sudah cukup selamat? Atau adakah kita cukup yakin dengan kekuatan kudrat untuk mengepak bersama beban baru itu ke arah ketinggian yang asal? Jika jawapannya ya, silakan, kerana yang demikian itu menggambarkan kegagahan, keberanian dan keunggulan, ibarat burung helang yang merajai awan biru. Jika jawapannya tidak, maka jangan mengundang nahas.

Bagi yang baru mula hendak mengepak, masih berusaha merenggangkan diri, masih bermujahadah, masih berada dalam zon berbahaya, tumpukan fokus ke arah alam yang tinggi. Isteri, karier, harta dan kedudukan. Perlu bermakna sekadar perlu. Jangan terlebih, nanti tersungkur. Buruk padahnya.

Dunia ini bagi pejuang Islam, bukan setakat tidak di hatinya, bahkan hanya diurus oleh tangan kirinya sahaja (bagi yang bukan kidal). Diurus dengan cekap, melalui minda separa sedar. Seperti pemandu yang mengawal tombol gear dan pedal klac dengan tangan dan kaki kirinya, tanpa fikir, tetapi lancar tanpa sebarang masalah. Tangan dan kaki kanannya digunakan untuk tugas yang lebih kritikal; hala tuju, kelajuan dan keselamatan.

Jika dunia di tangan kanan, ia mengundang rasa bimbang. Itulah gambaran keadaan apabila masalah-masalah kehidupan peribadi mengambil alih tumpuan dan perhatian, sehingga merencatkan peningkatan dan pencapaian perjuangan. Belum apa-apa lagi, sudah konflik. Tidak bersyukur dengan apa yang ada. Tidak sedar diri yang serba kekurangan. Ego yang melupakan asal usul dan arah tujuan.

Jika dunia sudah di hati, maka petakalah maknanya itu.

Kesimpulannya, dua perkara yang perlu ditilik kembali. Diamat-amati betul-betul. Apakah yang kita mahu sebenarnya? Dan apakah benar-benar itu yang kita mahu?

Kalau betul kita mahu mati selaku pejuang, dan kalau betul kita sudah nekad begitu, maka terbanglah setinggi-tingginya, kerana pemangsa syaitan dan perangkap nafsu itu tidak pernah mengenal erti simpati dan kasihan. Terbanglah setinggi-tingginya, agar layak menjadi teladan yang memimpin generasi demi generasi di sepanjang zaman. Jika tidak, kita akan ditelan zaman, ibarat buih-buih di tengah lautan. Pilihan di tangan kita.

Ustaz Mohd Hazizi  Ab Rahman
Anggota Jawatankuasa 
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber : Menuju Perubahan 

Epal-epal Cinta

 

Epal-epal cinta. Merah warnanya. Lembut diluar apatah lagi di dalam. Namun sayang, ianya jarang diperhati dan diminati.

Tomato. Itulah epal-epal cinta yang dibicarakan. Nama saintifiknya Solanum lycopersicum atau juga dipanggil love apple.  Warna merahnya datang daripada likopena iaitu karotenoid atau sebatian semula jadi yang terkandung di dalam buah tomato ini. Likopena juga menyumbang kepada khasiat yang terdapat pada buah tomato.

 

Tomato sebagai antioksidan.

Likopena yang terkandung di dalam buah tomato bertindak sebagai antioksidan. Ia melancarkan aliran darah di dalam badan dan secara tidak langsung mengelakkan daripada penyakit kanser dan juga serangan jantung. Kajian mendapati bahawa kandungan likopena sangat tinggi didalam pes tomato, sos tomato dan jus tomato.

 

Tomato untuk kecantikan

Selain itu, buah tomato juga kaya dengan vitamin C. Vitamin C atau asid askorbik ini banyak khasiatnya untuk kesihatan tubuh badan. Salah satu peranannya adalah di dalam penjagaan kulit. Asid askorbik membantu membersihkan kotoran dan minyak seterusnya menghalang pertumbuhan jerawat.

 

Membantu pencernaan dan menyingkirkan toksik.

Kandungan garam mineral yang tinggi dan 90% air didalamnya membantu mencernakan makanan dan mengelakkan sembelit. Dr. John Cook Bennet, Dekan Fakulti Perubatan Willoughby University di Ohio menyatakan dengan suara yang lantang di dalam dewan kuliahnya bahawa tomato mampu mengubati serangan hempedu, gangguan pencernaan dan memulihkan fungsi hati. Penyataan  ini disokong oleh ilmuwan Yumi Tohuoka melalui penelitiannya yang menunjukkan sokongan terhadap Bennet. Didalam laporan The Tohoku Journal of Medicine terbitan Tohoku University di Jepun, Tohuoka menyatakan jus tomato telah terbukti secara klinikal sangat efektif dalam menyeimbangkan gangguan hati.

Jadi, tunggu apa lagi. Mari makan epal-epal cinta.

 

Oleh :
Fatin Hamidah Binti Mustafa
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology