Summer Retreat Sittah

Pada 11 hingga 13 Jun yang lepas, program Summer Retreat Sittah anjuran ISMA Jordan dengan kerjasama Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR) dan Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-MEDIK) telah berlangsung dengan jayanya.

Sehari sebelum program bermula, ketibaan awal para peserta tidak disia-siakan, sebaliknya diisi dengan slot Kafilah Dakwah. Para peserta diminta mengedarkan poskad berkenaan peristiwa Israk Mikraj di kawasan-kawasan sekitar Shah Alam dan mempromosi kepentingan penghayatan solat dalam kehidupan. Rata-rata anggota masyarakat yang ditemui memberi respons positif dan berharap usaha seumpama ini diteruskan.

Poskad semasa slot Kafilah Dakwah

Seawal 6.30 pagi Sabtu, peserta-peserta telah berkumpul di Seksyen 18 Shah Alam untuk mendengar taklimat dan memperolehi bahan bacaan sepanjang program iaitu buku Transformasi Pendakwah hasil tulisan Timbalan Presiden ISMA, Tn. Hj. Aminuddin Yahaya. Usai taklimat, konvoi sebanyak dua buah kereta terus bergerak menuju ke Seremban untuk menziarahi lima buah rumah pilihan.

Perodua Kenari dan Naza Citra yang banyak berjasa

Ketibaan peserta-peserta ke rumah kediaman Ustazah Norlida bt. Kamaruddin yang merupakan Naib Ketua Wanita ISMA Pusat disambut hangat oleh beliau. Tautan ukhuwah yang telah lama terjalin swaktu kunjungan beliau ke Jordan pada awal tahun 2010 semakin mekar dengan perkongsian isu-isu semasa Malaysia sambil para peserta menatap gambar-gambar Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS). Peserta-peserta juga diingatkan oleh Ustazah bahawa hati yang kering tidak akan mampu membasahkan hati-hati lain.

Ketika hendak memulakan perjalanan ke rumah berikutnya, peserta-peserta terkejut apabila mendapati tayar belakang sebelah kanan kereta Naza Citra yang dinaiki telah pancit. Usaha-usaha menukar tayar dengan gigih dan ceria dijalankan, namun akhirnya peserta-peserta akur dengan kekurangan kudrat dan peralatan. Kereta Naza Citra dihantar ke bengkel dan peserta-peserta meneruskan kembara dengan bantuan ikhwah akhawat ISMA Seremban.

Para akhawat berusaha 'menanggalkan' tayar

Di rumah Ketua Wanita ISMA Seremban; Dr Zainon Yahya, peserta-peserta dihidangkan bukan sahaja dengan santapan istimewa lauk ikan patin masak tempoyak, tetapi juga dapat mendengar pengalaman dakwah dan tarbiyyah Dr Zainon yang cukup banyak. Beliau sanggup menangguhkan pemergiannya ke kenduri demi untuk meluangkan masa yang lama bersama para peserta, memberi mutiara kata mengenai adab ikhtilaf dan kepentingan berlapang dada, serta urgensi untuk para doktor memaksimakan medan dakwah yang dimiliki.

Musafir diteruskan dan para peserta berpeluang mengunjungi Prof. Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin, Naib Presiden (1) I-Medik dan Perunding Aman Palestin, serta isterinya Dr Naziah Bt Haron. Seorang peserta mengungkapkan kekagumannya, ”Betullah di belakang seorang lelaki yang hebat tu mesti ada seorang perempuan yang hebat.” Perkongsian daripada Dr Naziah mengetuk hati para peserta bahawa wanita muslimah adalah tulang belakang kepada keluarga muslim yang mampu menjadi model dan contoh kepada masyarakat. Dr Zainur Rashid turut membuka minda para peserta dengan permintaannya supaya para peserta segera memilih dan mendalami specialty field atau pengkhususan area dakwah seperti fiqh perubatan, isu umat Islam sejagat, sejarah nusantara dan sebagainya.

Walaupun malam telah berlabuh, Dr Fadilah bt Ashari, AJK Biro Wanita ISMA Seremban tetap menerima kedatangan peserta-peserta dengan senyuman yang manis. Para peserta disajikan dengan rentetan pengalaman tarbiyyah yang dialami oleh beliau, yang hampir seiring dengan sejarah perkembangan tarbiyyah dan kemunculan gerakan-gerakan dakwah di Malaysia. Beliau juga menyampaikan tazkirah yang begitu menyentuh hati dan menyegarkan kembali peserta-peserta. Ujar seorang peserta, ”Suka dengar tazkirah Dr. Fadhilah malam tu. Takut juga kalau tak menggunakan potensi diri dan disoal di hari akhirat nanti.”

Setelah bermalam di home-stay milik Dr Zainon, peserta-peserta meneruskan jaringan ukhuwah bersama Naib Presiden (2) I-Medik, Dr Nor ’Izam Md Alias dan suaminya, Dr Yusof Abbas yang merupakan penulis buku Bio-Mekanik Solat dan Pengerusi I-Medik Negeri Sembilan. Setelah mendengar perkongsian daripada mereka berdua mengenai kepentingan istiqamah dan memelihara hubungan yang erat dengan Allah, para peserta mengambil autograf pasangan suami isteri tersebut yang telah menghasilkan dua buah buku bertajuk Psiko Seksual Remaja Lelaki dan Psiko Seksual Remaja Wanita.

Pada sebelah petang pula, para peserta tiba di Bangi dan menjejakkan kaki ke rumah Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh, Ketua Wanita ISMA di mana sesi ramah mesra bersama wanita ISMA Bangi diadakan. Sembang-sembang santai mereka mengajar para peserta bahawa dakwah itu tidak perlu kepada suasana yang formal dan seorang pendakwah akan sentiasa mengingatkan orang-orang di sekelilingnya kepada Allah melalui percakapan sehariannya. Kemudian para peserta bergerak ke rumah dua tingkat yang telah diwakafkan untuk kegiatan NAZIM dan bermalam di sana.

Keesokan harinya, para peserta cukup teruja memerhati perjalanan pengurusan di Pusat Rawatan Islam Az-zahrah serta menyaksikan konsep Mesra Ibadah yang  diamalkan hospital tersebut. Encik Zaim Shaari selaku Ketua Jabatan Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas telah membawa para peserta ke seluruh hospital untuk berkongsi rasa dengan para pesakit dan berkenalan dengan jururawat serta para doktor. Para peserta turut menziarahi pesakit bersama 3 orang pegawai agama yang setiap hari bertugas mendoakan para pesakit serta memastikan kesejahteraan jiwa dan spiritual mereka. ”Manis sangat pengalaman kali ni, dapat merasai suasana hospital yang sangat professional, Islamik dan menenangkan,” luah seorang peserta.

Doa syukur atas kelahiran seorang khalifah

Setelah selesai melawat hospital, Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Az-zahrah merangkap Naib Presiden 1 ISMA, Encik Abdul Rahman Mt Dali di dalam pembentangannya yang bertenaga telah memberi penekanan mengenai keyakinan, semangat dan dinamika yang sepatutnya dimiliki oleh seorang pendakwah. Program Summer Retreat Sittah berakhir dengan jamuan makanan tengah hari yang disediakan oleh pihak pengurusan hospital.

Retreat musim panas kali ini ternyata berjaya mewujudkan ruang perkongsian yang berharga antara para peserta dengan model-model qudwah dalam medan dakwah dan tarbiyyah. Semoga sikap daya juang, tahan lasak, progresif dan produktif yang dipupuk sepanjang program mampu memacu perjalanan dakwah di Jordan kelak. Jutaan penghargaan diucapkan kepada Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR), Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-MEDIK), dan ikhwah akhawat Malaysia yang banyak membantu kelangsungan dan keberkesanan program.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s