Perkongsian Pengalaman bersama Dr. Mohamad Nor

Pada 29 April yang lalu, ISMA Jordan dengan kerjasama I-Medik telah mengadakan satu sesi perkongsian pengalaman bersama Timbalan Presiden I-Medik iaitu Dr. Mohamad  Nor Sundari. Program ini yang dihadiri oleh lebih kurang 70 orang pelajar pelbagai bidang pengajian bukan sahaja berkisar tentang pengalaman Dr. Mohamad Nor sebagai seorang pengamal perubatan moden tetapi turut juga diselitkan tentang pengalaman beliau sebagai seorang sukarelawan dan ahli perniagaan, serta pengenalan kepada I-Medik secara amnya.

Program ini yang bermula pada jam 8.00 malam dimulakan dengan sesi taaruf ringkas dan diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta sedikit dendangan nasyid oleh kumpulan Rayyan. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Dr. Mohamad Nor yang dimulakan dengan pengenalan kepada I-Medik dan kemudiannya diteruskan dengan sesi perkongsian pengalaman yang mencakupi semua aspek termasuk bidang perubatan dan juga pengalaman beliau dalam bidang perniagaan serta aktivisme kemanusiaan. Sesi soal jawab juga dibuka untuk para peserta bertanyakan soalan. Majlis kemudian diakhiri dengan sedikit jamuan ringan untuk para peserta.

Pihak ISMA Jordan mengucapkan setinggi-tinggi  penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Mohamad Nor dan juga I-Medik kerana sudi meluangkan masa berkongsi pengalaman bersama warga mahasiswa Malaysia di Jordan. Semoga lebih banyak program-program yang melibatkan kerjasama antara ISMA Jordan dan I-Medik dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

‘Membina Generasi Harapan’

Disediakan oleh,

Muhammad Siddiq Bin Muhammad Nassir
Ahli Jawatankuasa ISMA Jordan

Leave a comment