Tajarrud

Apabila berbicara mengenai tajarrud ini, saya teringat akan persoalan seorang kakak ketika kami sedang mengadakan sedikit perbincangan. Katanya, “Cuba kita lihat diri kita, apakah yang telah kita lakukan semalam? Adakah kita sudah melakukan sesuatu untuk ummah? Adakah kita hanya disibukkan dengan masalah diri sendiri sahaja? Adakah kita hanya memberikan sisa waktu, tenaga dan harta untuk dakwah?  Adakah dakwah dan tarbiyah yang kita lakukan ini hanya sebagai sampingan sahaja?”

Sayyid Qutb berkata, “Orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Tapi orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar.”

Sudah banyakkah waktu yang kita gunakan untuk memikirkan dan mengendalikan dakwah, tarbiyah dan pemasalahan umat? Berapa banyak pula  pengorbanan yang  telah kita berikan untuk memerdekakan diri kita daripada dibelenggu masalah peribadi? Mungkin kita lebih disibukkan dengan masalah peribadi, keluarga, sibuk mengelola organisasi, stress mengelola waktu sehingga kita lupa akan matlamat tarbiyah kita. Padahal di sekitar kita ramai yang masih lagi memerlukan kita dan seruan dakwah. Bahkan ramai juga yang sebenarnya merindukan untuk dibina, malangnya itu semua telah kita “binasakan” kerana tidak serius mengelolanya.

 

Pengertian Tajarrud

Apakah yang dimaksudkan dengan tajarrud? Dari segi bahasa ialah mengosongkan, membersihkan dan melepaskan. Manakala dari segi istilah pula ialah membersihkan dan melepaskan diri daripada segala ikatan selain daripada ikatan Allah  dan segala keberpihakan selain kepada Allah. Pergerakan, diam, sembunyi dan nyata hanya kerana Allah, tiada berbaur dengan hawa nafsu, dunia, kemegahan dan kekuasaan.

Menurut KH. Hilmy Aminudin, beliau menyifatkan tajarrud sebagai ketulusan pengabdian kader dakwah iaitu dengan tidak meninggalkan semuanya untuk dakwah tetapi membawa semuanya demi kejayaan dakwah. Sesungguhnya jalan dakwah adalah satu. Oleh kerana itu, berbagai dakwah yang  diserukan oleh setiap jemaah atau kelompok tidak akan berhasil jika tidak mampu melakukan tajarrud dengan usaha membersihkan jiwa dari fikrah selainnya.  Dengan menguasai dakwah hanya pada akal dan perasaan, maka tidak ada sesuatu yang  dapat membantunya dalam menghadapi berbagai-bagai ujian dan rintangan dalam jalan dakwah yang disulami dengan mehnah dan tribulasi kecuali tajarrud kepada Allah dan ikhlas untukNya.

Di antara pengertian tajarrud  yang disebut dalam kitab Ruknul Tajarrud karangan Dr Abd Halim Mahmud (salah seorang ulama Al –Azhar Mesir)  ialah menanggalkan atau menyucikan. Menyucikan hati dari apa yang selain Allah. Menanggalkan apa yang di dalam hati dan akal itu dari apa yang selain kebenaran. Melepaskan diri (Al-Bara’) serta membebaskan diri dari setiap apa yang disembah selain Allah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, Maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Dia yang memerintahkan kepadamu agar bertakwa“. (Al-An’am:153)

Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud: “Aku telah mewariskan kepada kalian dua perkara, kalian  tidak akan tersesat selama berpegang teguh pada keduanya, Kitabullah dan sunnah Rasulullah s.a.w.”

Dalam erti kata yang lain pula, kita boleh mengertikan tajarrud itu ialah kita menyakini dan mempercayai kebenaran perjuangan itu dengan sepenuhnya walaupun kita terpaksa berhadapan dengan keluarga sendiri. Sepertimana tajarrud yang dilakukan oleh Nabi S.A.W yang terpaksa memerangi bapa saudaranya sendiri,  Abu Jahal, di dalam peperangan Badar.

Contoh Praktikal Tajarrud oleh Rasulullah dan Para Sahabat

1)    Abu Bakar As-Siddiq.

Beliau telah membelanjakan hartanya untuk menyelamatkan mereka yang telah diseksa dan golongan yang tertindas di Makkah. Lalu turun-lah ayat Al-Quran yang memberi khabar gembira tentang amalan mulia yang dikerjakan, kerana apa yang beliau kerjakan hanyalah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Firman Allah  s.w.t yang  bermaksud: “Dan sebaliknya akan dijauhkan azab neraka itu daripada orang yang  sungguh bertaqwa, yang  mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang  patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredhaan TuhanNya Yang maha Tinggi; Dan sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkan.” [Al-Lail:17-21]

2)   Ketika mana Nabi s.a.w mula menyebarkan dakwahnya di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam yang mana setelah itu bapa saudaranya Abu Talib datang menemui beliau dan menyuruh beliau menghentikan kerja dakwah itu, Nabi berkata : “Wahai bapa saudaraku sekalipun diletakkan matahari di  sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, aku takkan tinggalkan urusan ini sehinggalah Allah menzahirkannya ataupun aku binasa dalam mendapatkannya.”

3) Kisah yang diriwayatkan oleh Zaid bin Aslam.

Aslam adalah hamba kepada Umar bin Al-Khattab. Suatu ketika khalifah keluar bersama Aslam untuk meninjau keadaan penduduknya. Dalam kegelapan malam itu, Umar Al-Khattab melihat seorang wanita yang sedang mendidihkan  air sambil anak-anaknya menangis kelaparan.  Kerana ketiaadaan makanan, wanita itu mendidihkan air sehinggalah anak-anak itu tertidur. Setelah Umar  melihat keaadan yang demikian, Umar  menangis kerana beliau merasakan bahawa beliau tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Kemudian beliau pulang ke Darussadaqah untuk mengambil barang –barang seperti gandum, minyak dan pakaian untuk dibawakan untuk wanita dan anak-anaknya tadi. Beliau meletakkan semua barang-barang itu di dalam sebuah guni dan membawanya sendiri, kerana kata beliau, “Aku bakal dipersoalkan di  akhirat nanti!” Kemudiannya beliau sendiri memasakkannya dan memberikan makanan kepada anak-anak itu, sehinggalah ibu dan anak-anak itu kelihatan gembira.

4) Abu Ubaidah Amir Bin Jarrah yang digelar dengan Aminul Ummah

Di  dalam peperangan Uhud beliau telah membunuh bapanya sendiri begitu jua dengan Mus’ab bin Umair yang membunuh abangnya sendiri,dan Umar Al-Khattab yang membunuh bapa saudaranya Al-‘as bin Hisyam bin Al-Mughirah dalam peperangan Badar.

Tajarrud Merupakan Salah Satu Rukun Dakwah

Firman Allah s.w.t  yang bermaksud: “Adalah bagi kamu pada kisah Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya teladan yang baik, ketika mereka berkata kepada kaum mereka, kami  berlepas diri dari kamu dan apa yang  kamu sembah selain Allah, kami mengingkari kekufuran kamu, dan telah nyata di antara kami dan kamu permusuhan serta kebencian buat selama-lamanya, sehinggalah kamu beriman kepada Allah sahaja” [Al-Mumtahanah: 4]

Penjelasan kalimah (buraa’) menunjukkan pengertian (wala’) pengikut-pengikut Nabi Ibrahim daripada menyembah selain Allah, dan mereka tidak syirik dengan apa yang mereka sembah iaitu Allah S.W.T.

Sifat tajarrud adalah perlu untuk menyatukan saf-saf para petugas Islam  dan ia adalah salah satu daripada rukun dakwah. Seseorang Islam  itu tidak akan dapat melaksanakan dan membangunkan dakwah kecuali setelah memiliki sifat tajarrud.

Al-Maududi berkata: “Sesungguhnya fikriyyah yang diseru oleh para aktivis yang  berlemah-lembut, benar, hati yang jernih, dan ikhlas beramal, berpegang pada prinsip, kosong dari sebarang kepentingan nafsu, sememangnya dapat mencari kebahagiaan untuk manusia dan menjanjikan kesejahteraan dan kerehatan kepada manusia yang berada di dalam kesusahan. Hasilnya,hati-hati yang  ada secebis kebaikan pasti akan tertarik dengan dakwah ini.”

Bagi mereka yang ingin menegakkan kebenaran ini di  atas muka bumi, maka perlulah mendirikannya di dalam diri mereka terlebih dahulu, di dalam hati dan kehidupan mereka.

Noor Hidayah binti Adzman
Tahun 3 Fiqh wa Usuluhu
Universiti Mu’tah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s