Dari Demonstrasi Kepada Revolusi

Hanya berbekalkan semangat seorang pemuda naïf yang melihat kepincangan yang berlaku dalam sistem pentadbiran negara termasuklah rangkaian pasukan keselamatan Mesir yang terdiri daripada barisan polis dan askar.

Seorang pemuda berani bernama Khalid bin Said telah menangkap gambar polis Mesir mengedarkan dadah dan menyiarkannya dalam Facebook miliknya. Sejurus lepas itu beliau telah dibelasah sehingga meninggal dunia oleh orang-orang yang dikatakan polis Mesir.

Kematian Khalid bin Said ini telah membakar semangat golongan muda Mesir untuk bangkit mempertahankan maruah dan membela kematian Khalid yang telah dizalimi. Munculnya seorang anak muda yang bernama Wail Ghanim bekerja sebagai eksekutif Google telah berjaya membakar semangat rakyat Mesir untuk turun ke jalanan menyatakan hasrat dan cita-cita mereka.

Menggunakan rangkaian sosial yang terpantas di dunia, Wael Ghanim telah memanipulasi penggunaan Facebook untuk menyeru rakyat Mesir keluar ke jalanan menyatakan bantahan mereka terhadap sistem pemerintahan yang sudah korup, rasuah, zalim dan kuku besi.

Bermula dengan perbualan-perbualan dalam Facebook inilah, semangat yang membara dan terpendam begitu lama dalam kalangan rakyat Mesir akhirnya diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi dan laungan kejatuhan Presiden Mesir Hosni Mubarak agar berundur dari tampuk pemerintahan.

Bantahan ini pada awalnya disertai oleh golongan muda yang tidak tahu apa yang mereka mahu tetapi tahu apa yang mereka tidak mahu. Mereka adalah golongan muda yang mahu bebas daripada dilabelkan dengan sebarang ikatan parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan termasuklah Ikhwan Muslimin.

Mereka mahu dilihat sebagai golongan yang bebas daripada sebarang pengaruh politik mahupun agama. Mereka mahu kerajaan memahami hasrat mereka menghentikan sebarang kezaliman yang mencengkam kehidupan mereka zaman berzaman. Mereka mahu kerajaan sekarang diganti dengan kerajaaan yang lebih telus, demokratik dan bersih daripada rasuah dan kejahatan ahli politik.

Tiada siapa yang mengjangka, bilangan rakyat yang keluar ke Medan Tahrir dan jalan raya di semua tempat dan daerah di Mesir semakin bertambah dari sehari ke sehari. Ia seolah-olah ledakan gunung berapi yang telah lama terpendam dan akhirnya meletup mengeluarkan laharnya.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 28 Januari 2011 yang meragut banyak nyawa dan mencederakan ratusan rakyat melakukan demonstrasi dan tunjuk perasaan secara langsung telah berjaya menarik simpati masyarakat dunia dan rakyat Mesir sendiri yang sebelum ini menjadi pemerhati.

Keadaan yang tidak terkawal dan bantahan yang semakin membara daripada rakyat Mesir memaksa tentera masuk campur dan mengambil alih tanggungjawab keselamatan negara. Terlepasnya ribuan banduan daripada penjara Mesir memburukkan lagi keadaan apabila banduan-banduan ini melakukan berbagai-bagai jenayah termasuklah mengganggu demonstrasi aman yang dilakukan oleh rakyat Mesir.

Demonstrasi jalanan secara aman telah bertukar wajah menjadi revolusi rakyat Mesir menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Mereka menolak sebarang perubahan struktur yang dikemukakan oleh Mubarak. Apa yang mereka tuntut ialah pengunduran Hosni Mubarak dan seluruh jenteranya daripada pemerintahan negara.

Revolusi Mesir yang julung-julung kali disertai oleh jutaan rakyat Mesir telah menarik perhatian seluruh dunia. Mereka sanggup berkampung di Medan Tahrir selama berminggu-minggu sehingga Mubarak turun atau mereka yang mati. Semangat golongan muda ini telah menyerap ke dalam jiwa dan hati seluruh rakyat Mesir yang terdiri daripada berbagai-bagai lapisan.

Golongan wanita, kanak-kanak, golongan tua tidak ketinggalan untuk bersama-sama berkumpul di daerah masing-masing menyatakan bantahan secara aman terhadap rejim Mubarak. Apa yang berlaku ialah golongan ini akan pergi kerja seperti biasa dan apabila pulang dari tempat kerja, mereka akan menyertai rakan-rakan mereka di Medan Tahrir, Iskandariah, Mansourah dan lain-lain tempat.

Realitinya, rakyat Mesir telah terlalu lama berada di bawah cengkaman kuku besi rejim Hosni Mubarak. Tiada siapa yang berani melawan dan menentang secara terang-terangan terhadap rejim ini. Undang-undang darurat yang dilaksanakan di negara ini telah memperuntukkan tangkapan tanpa bicara terhadap penentang rejim dan orang-orang yang disyaki menganggu kepentingan dan keselamatan rejim.

Hari ini, revolusi rakyat Mesir telah berjaya menonjolkan semangat baru golongan muda yang berani dan tidak takut mati yang mengambil berat tentang tanah air mereka. Mereka telah berjaya memecahkan tembok ketakutan dan pengecut yang selama ini membelenggu kehidupan rakyat Mesir.

Revolusi ini seolah-olah dilihat memberi harapan kepada rakyat Mesir untuk menerajui perubahan baru yang lebih dinamik, telus dan demokratik. Mereka juga berjaya menunjukkan kepada dunia luar uslub baru revolusi tanpa pertumpahan darah. Semua berlaku dengan aman dan penuh terancang sekiranya tidak diganggu oleh puak-puak yang pro Mubarak yang melakukan kekacauan di sana sini.

Persoalannya sekarang, siapakah yang layak memimpin gerakan revolusi ini? Adakah golongan muda yang mencetuskan fenomena ini mampu memimpin kerajaan dan membentuk perubahan baru kepada rakyat Mesir sedangkan mereka sendiri sebenar belum pasti apa yang bakal mereka lakukan apabila memerintah nanti?

Adakah parti-parti pembangkang yang lain yang sedang menunggu peluang kejatuhan Mubarak untuk mereka mengambil alih tampuk pemerintahan? Terjaminkah mereka akan melakukan perubahan atau mereka juga adalah streotaip kepada pemerintahan Hosni Mubarak yang benci kepada golongan Islamis dan pro kepada Israel dan Amerika Syarikat?

Layakkah Ikhwan Muslimin memimpin gerakan pembaharuan dan revolusi ini? Mampukah mereka melaksanakan dasar negara yang pro Israel dan Amerika Syarikat dan menanggung hutang negara berbillion dollar? Bersediakah rakyat Mesir menerima perubahan dengan pengorbanan mereka sekali apabila Ikhwan Muslimin memerintah negara? Adakah Israel dan Amerika Syarikat akan membiarkan sahaja musuh tradisi mereka mengambil tampuk pemerintahan ayam tambatan mereka?

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s