Tahun Baru, Azam Lama

 

 

Tahun Masihi menginjak umur ke angka 2013. Bukan mengutamakan kiraan tahun Masihi berbanding tahun Hijrah, tetapi melihat kepada indikator pertambahan usia dunia semasa, lebih mudah untuk kita gunakan kiraan ini. Tetapi saya yakin, satu masa nanti, tatkala agenda besar kita membangunkan negara mengikut acuan deen sebenar dan takhta dunia dipegang oleh kuasa Islam, kita akan kembali mengagungkan setiap sisi yang ada pada Islam, termasuk pengiraan tahun ini. Semoga kita bertemu hari itu. Kalaupun pergi dulu, biarlah jasad dan jiwa ini menjadi dakian tangga untuk generasi hadapan sampai ke puncak kejayaan itu.

 Untuk tahun ini, kalau orang bertanyakan azam tahun baru kepada saya, lebih suka untuk saya ulang azam awal Muharam yang lalu. Azam yang sebenarnya sudah ditajdid sejak dua tahun yang lalu. Terinspirasi dengan kehebatan Saidina Umar Al-Khattab yang menghabiskan 12 tahun lamanya untuk mempelajari Surah Al-Baqarah sahaja dan beramal dengan tuntutannya, bagi saya azam dua tahun lalu belum sepenuhnya dapat dicapai dan diamalkan untuk saya merangka azam baru tahun ini.

Saya akui saya tidak termasuk dalam gerabak akhawat yang pantas langkahnya dalam memulakan agenda penghijrahan, tetapi saya sebolehnya berusaha untuk tidak ketinggalan begitu jauh. Biarlah setiap usrah, daurah, mabit dan wasilah lain berdikit-dikit menjentik fitrah ini untuk kembali kepada penciptaNya. Walaupun berat untuk memenuhi ‘jemputan’  naqibah ke setiap program tarbiyah, tapi Allah itu Maha Hebat, mencampakkan kekuatan buat saya melangkah dalam paksaan dengan kerelaan .

 

Daripada seorang yang sentiasa mencurigai kebaikan kakak-kakak yang rajin berziarah, membawa makanan dan ringan tulang , kepada seorang yang sedar bahawa hati itu tidak akan pernah boleh dibeli dengan sepinggan maqlubah atau segulung shawarma, tetapi disuburkan dengan baja daripada jiwa yang ikhlas membentuk rijal dakwah  dan nur hidayah Allah yang tidak ternilai.

Daripada seorang yang berat melangkah ke program tarbiyah, kepada seorang yang mula rindu untuk berbulatan juang.

Cukuplah saya memberi deskripsi diri lama itu yang mahu saya buang jauh-jauh daripada saki baki masa yang tinggal ini sebelum bertemu Ilahi. Atas runtuhan kejahilan dan kebobrokan diri yang lalu itu, saya berazam untuk membina kembali diri yang jauh daripada keburukan jahiliyyah. Bukan kebodohan akal fikiran sahaja, tetapi hati jahil yang tidak cerdik menggapai petunjuk dan rahmat Tuhan. Saya tahu perubahan ini akan mengambil masa yang sangat panjang. Perlu membuat koreksi diri dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar keputusan.

 

Bermula daripada sekecil usaha menghadiri setiap usrah, mabit bulanan dan sesi daurah sehingga saya sedar syahadah itu bukan lafaz semata, tetapi janji yang dituntut tanggungjawab padanya, bicara itu bukan timbangan kehebatan dan kebaikan tetapi sesuatu yang akan dipersoalkan amalannya, facebook itu bukan tempat membebas diri daripada penjara kebebasan dunia  realiti yang menuntut kita menjaga batasan pergaulan, dan bagaimana wanita yang baik itu dihormati dan disegani bukan kerana sofistikasi dan kecantikan, tetapi kerana ‘izzah pada agamanya dan banyak lagi perkara yang membuka pancaindera mata dan hati.

Semoga tahun hadapan, saya sudah boleh berkira-kira untuk merangka azam yang baru. Risau. Bimbang kerana jahiliyyah dan keseronokan itu terkadang datang melambai-lambai di kala hati gersang dengan hujanan tarbiyah dan tahap iman berada di takuk yang bawah.

Berubah itu mudah, tapi mengekalkan momentum itu sehingga ke akhir nafas perlukan mujahadah. Sayonara jahiliyyah, semoga tidak ketemu lagi.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s