Cerpen : Harapan untuk Islam Hari Ini

“Kami semua sedang berusaha untuk menjadi muslim yang baik. Semoga kami menemui pengakhiran yang baik untuk ke Syurga”

Terngiang-ngiang lagi jawapan yang terpacul keluar dari bibirku saat Henry, seorang warganegara Australia berbangsa cina tanpa segan bertanyakan tentang perbezaan amalan Islamku dan teman Indonesianya yang juga beragama Islam.

“Kamu berhijab, berpuasa dan bersolat. Tetapi kenapa teman muslimah saya dari Indonesia tidak langsung melakukan kesemua itu walaupun mengaku beragama Islam?”, ujarnya. Tiada bunyi sindiran mahupun perlian. Aku pasti dia benar-benar ingin tahu.

“Manusia ada pilihan untuk menurut perintah atau melanggarnya. Manusia juga ada pilihan untuk mengamalkan apa yang diajar atau meninggalkannya. Terpulang sama ada kita berada di landasan yang betul untuk berusaha menjadi penganut yang baik atau tidak”, aku cuba menjawab sebaik mungkin sambil kututurkan doa kelancaran kata yang diajar Allah kepada Nabi Musa a.s saat ingin berdepan dengan Firaun:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku (Taha: 25-28)

“Ini bermakna, kamu adalah penganut Islam yang baik, manakala yang kelihatan tidak mengikut ajaran Islam adalah penganut Islam yang tidak baik?”, akhirnya Henry cuba menyimpulkan perbincangan.

Saat berdepan dengan Henry yang ternyata kafir, sudah pasti teman seagamaku yang hanya kukenali melalui ceritanya tadi lebih layak dimenangkan. Siapa pun dia sebenarnya, biarlah terbuka hatinya untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari untuk mengenali Islam.

Henry sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar jawapanku, lantas meneruskan kerjanya membaiki lampu bilik air yang kami huni hampir setahun. Henry sememangnya tuan tanah yang baik. Apa sahaja yang kami adukan pasti lekas-lekas diperiksa untuk tindakan susulan.

Semangnya telah diketahui umum, begitulah mahalnya nilai servis di negara barat. Bersih negaranya belum mampu dikalahkan mana-mana negara islam. Servis pelanggannya juga tip-top. Tapi, kesemua itu hanyalah saduran luaran kerana apabila dijengah kedalamnya, semuanya tidak bernilai kerana mereka hidup dengan nilai haiwani yang makin dibawa cemar pula ke negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Seks bebas, dadah, rokok, hiburan melampau dan pergaulan bebas sudah menjadi sebati dengan kehidupan mereka. Tidak hairanlah kalau seorang tokoh Islam, Asysyahid Syed Qutb yang menziarahi negara Amerika menyatakan bahawa “negara Amerika punya segala-galanya, kecuali roh”.

Beberapa hari selepas pertemuan aku dan Henry, aku menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh persatuan pelajar muslim universiti. Aku memilih untuk bergaul mesra dengan teman-teman Islam dari negara lain berbanding duduk makan bersama teman-teman senegaraku sendiri yang boleh kuhubungi bila-bila masa yang aku kehendaki. Aku mendekati seorang wanita berbaju kemeja lengan panjang dan berjeans ketat yang sedang menjamah sosej dan salad sambil berdiri.

Aku menghampirinya dan mengajaknya duduk bersama di kerusi yang kosong. Tersenyum kepadaku, dia menuruti permintaanku. Aku berbasa-basi memulakan perkenalan dengannya. Tak lokek bercerita, dia memberitahu bahawa dia berasal dari Indonesia dan beragama Islam. Sudah hampir dua tahun dia berada di situ. Aku pula menyatakan bahawa aku dari Malaysia. Aku amat terkejut tatkala dia tiba-tiba berkata padaku, “biarpun kita berbeza fahaman, tapi kita saling menghormati, bukan? Saya menghormati penganut seperti kamu manakala kamu juga harus menghormati saya”

Aku merasa pelik. Bukankah tadi dia menyatakan dia juga beragama Islam? Berjenis-jeniskah Islam sepertimana wujudnya cabang dalam agama Kristian? “Apa yang harus kami hormati tentang kamu?”, aku menyoalnya cuba mendapatkan kepastian.

“Fahaman kami tidak memberatkan kami seperti fahaman Islam yang kamu pegang. Contoh mudahnya, lihat sahaja beza pakaian kita. Kamu menutup segalanya seperti ini sedangkan kami lebih bebas memilih untuk tidak melakukannya” sambil dia menuding ke arah pakaianku yang labuh, berlengan panjang, berhijab malah berstokin.

“Adakah keringanan sebegitu dalam Islam? Bukankah semua umat Islam wajib menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan?”, aku menyoalnya kembali. Belum pernah aku berdepan dengan orang yang seberani ini meringan-ringankan agama yang dianutinya sendiri. Inikah teman seakidah yang kubela di hadapan Henry tempoh hari?, aku berfikir-fikir sendiri. Sedikit sebanyak menyesali akan betapa tidak sensitifnya aku pada keparahan yang sedang melanda umatku sendiri!

“Bukankah dalam Islam kita diajar bahawa Islam itu mudah?”, dia menjawab dengan persoalan.

“Betul”, aku mempersetujuinya untuk mendengar hujahnya lanjut “tapi bukan untuk dipermudahkan”,sempat aku menyambung.

“Bukankah ayat al-Quran hanya mengajar kita untuk menutupi dada?”dia lalu menyeluk tangannya di dalam beg yang disandangnya di bahu.“semuanya ada di dalam ini”, sambil dia mengeluarkan Al-Quran dengan terjemahan Inggeris darinya. Jujurnya, saat itu aku merasa kagum dengannya. Yalah, bukan calang-calang orang yang rela membawa Quran ke mana-mana sahaja. Apatah lagi untuk menerimanya sebagai rujukan kehidupan. Tapi aku mula memikir-mikirkan tentang mengapa pendiriannya agak tersasar sedangkan dia membaca Al-Quran. Mungkinkah Al-Qurannya palsu?

Dia meneruskan bicaranya, “Saya nasihatkan kamu supaya berdamping rapat dengan Al-Quran. Allah sebenarnya berbicara kepada kita secara terus dan kita sememangnya layak untuk berusaha memahaminya sendiri kerana Allah telah mengurniakan akal untuk manusia dan menjadikan kita khalifah”, nasihatnya kepadaku penuh semangat. Barulah aku tahu di mana silapnya. Dia menafsir ayat-ayat al-Quran sendiri untuk dijadikan panduan kehidupan, termasuk ayat-ayat berkaitan syariat.

Aku merenungnya dalam-dalam. Aku tidak termelatah menyalahkannya kerana pelbagai kemungkinan yang telah menyebabkan dia berpendirian sebegitu rupa. Aku membayangkan betapa kompleksnya aku mempelajari kaedah ulamak mengeluarkan hukum daripada ayat al-Quran dan Hadith semasa aku mempelajari Pendidikan Syariah Islamiah dan Al-Quran Sunnah semasa SPM dulu. Bukan senang untuk para ulamak mengeluarkan sesuatu hukum, semuanya berpandukan petunjuk Allah dengan kepakaran mereka dalam ilmu al-Quran dan hadith.

“Percayalah, dengan memahami al-Quran barulah kehidupan kamu tidak akan terbeban dalam Islam”, dia mengakhiri katanya sebelum kami disertai oleh dua temannya yang lain. Sama sepertinya, kedua-duanya tidak bertudung.

Mereka bercerita tentang seorang pejuang ‘Islam pertengahan’ bernama Irsyad Manji, tentang hujah-hujahnya dan ayat-ayat al-Quran yang mengiyakan keringanan dalam beragama seperti yang mereka yakini. Aku meninggalkan mereka dengan secebis nasihat supaya mereka meyakini penafsiran para ulama’ bukan sekadar meyakini hujah retorik berdasarkan nafsu semata-mata. Mereka hanya mengangguk tetapi sempat juga menyatakan padaku bahawa itu adalah pilihan masing-masing. Usai bersalaman, aku mendoakan hidayah buat mereka.

Aku pulang dengan penuh tanda-tanya. Mencapai komputer ribaku, aku nekad menyelidik lebih lanjut tentang isu ‘Islam pertengahan’ yang baru sahaja kudengar. Aku kini sedar bahawa di zaman ini Islam tidak lagi hanya jelas diserang dengan kehancuran masjid-masjid dan Al-quran tetapi Islam diserang secara halus dari akar umbi akidah umatnya. Serangan ini tidak lain dan tidak bukan cuba untuk memesongkan akidah umat Islam secara diam-diam sambil masih membenarkan al-quran dibaca dan masjid dikunjungi. Ah, betapa liciknya mereka menghancurkan umat Islam!

Aku lantas membuka helaian baru dalam Microsoft Office One Noteku lalu mencatat apa yang berada di ruang mindaku, cuba membukukan sesuatu untuk membalas serangan penulisan pemesongan Irsyad Manji dalam bahan cetaknya yang bertajuk “Harapan untuk Islam hari ini”.

Kalau taghut cuba membunuh umat Islam dengan pedang penanya, pena ini jugalah pedang yang akan membunuh impian si taghut durjana…

Bismillahirrahmanirrahim.Semoga Allah menunjukkan jalanNya.

 

Oleh:

Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor

Eksekutif Penerangan
Media Wanita ISMA
Blog: ~mujahadah~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s