Hijrah Itu Besar, Sebesar Pengorbanannya yang Dituntut

Umum memahami peristiwa hijrah adalah perpindahan besar Rasulullah SAW serta pengikut-pengikut baginda waktu itu dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Kita mengetahui bahawa peristiwa hijrah Rasul itu membuka lembaran baru ke arah penyebaran Islam. Perubahan dan pengorbanan adalah suatu tuntutan hidup, iaitu berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.

Hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredaan Ilahi.

Persoalannya, apakah umat Islam terutamanya remaja hari ini benar-benar menghayati semangat pengorbanan dan konsep hijrah? Adakah ia cukup dengan meraikan di surau-surau dan masjid-masjid? Malangnya apabila tahun baru masihi menjelang, ia disambut dengan pesta, hiburan melampau dan tidak bermoral.

Tuntutan hijrah di sisi Islam adalah dipandang melalui skop yang lebih luas. Perubahan dari aspek akidah dan keimanan itu sendiri adalah pokok pangkal yang harus diberi perhatian oleh semua umat Islam. Kita sedih melihat keadaan umat Islam pada hari ini, kerana bilangannya yang ramai tidak segah seperti yang disangkakan. Aspek keimanan dipandang remeh kerana hilangnya rasa sensitiviti individu itu sendiri dalam menilai sesuatu aspek yang berlaku di sekitarnya. Sekiranya kita menyingkap sirah dakwah Rasul, kita akan mendapati bahawa setiap perkara yang berlaku itu ada hukum hakamnya, ada kesan natijahnya, bahkan setiap satunya memberi kesan kepada hati manusia. Secara praktikalnya, dalam kehidupan seharian kita, kadang kala kita tidak perasan bahawa sesuatu perkara itu memberi kesan tidak langsung kepada iman kita, kerana kita tidak sensitif dengan perihal iman dek kerana hilangnya rasa muraqabah Illahi dalam hidup kita.

Maka, penghijrahan dari iman yang lesu dan lemah kepada iman yang kukuh dan mantap amatlah dituntut dalam Islam. Penghijrahan dari aspek ini memerlukan latihan dan mujahadah nafsu dalam mempertahankan iman di samping menambah amalan soleh kepada Allah, sekaligus menerapkan rasa sensitiviti terhadap apa sahaja yang berlaku disekitar yang mungkin memberi kesan besar terhadap iman.

Rentetan anjakan perubahan keimanan yang dilakukan, haruslah diterjemahkan dengan amalan lahiriah. Amalan yang dimaksudkan adalah ibadah kepada Allah, dengan melihat perspektif yang lebih luas. Islam bukanlah melihat konsep ibadah itu hanya melalui solat dan ibadah fardu yang lain, malah setiap amalan baik yang ikhlas dan menepati syariat Islam, dikira ibadah. Suatu perkara yang harus dipandang serius adalah perubahan amali ini haruslah berlaku secara berperingkat, kerana perubahan yang drastik dikhuatiri adalah disebabkan desakan tertentu dan bukanlah dari nawaitu yang ikhlas. Sudah tentu penggerak perubahan ini pula disasarkan kepada golongan yang berpotensi tinggi, iaitu remaja itu sendiri. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata,

“Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesuatu masyarakat, maka lihatlah remajanya pada hari ini.”

Ini bermakna remaja harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan. Remaja mesti bersedia mengorbankan tabiat-tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur tanpa arah serta tidak berfikiran terbuka. Remaja juga harus bersedia untuk menerima pandangan, berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran diri, memantapkan keterampilan diri supaya lebih maju dan dalam masa yang sama berpegang teguh kepada syariat Islam.

Oleh itu, sememangnya kita wajar berasa iri dengan kejayaan Barat dan orang bukan Islam dalam pelbagai bidang pada masa kini, tetapi dalam masa yang sama kita juga harus berani mendepani cabaran tersebut dan berusaha untuk merubah keadaan umat Islam. Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, dimana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan. Masyarakat Barat dilihat sebagai berjaya mempromosikan kehebatan mereka dalam segala bidang seolah olah merekalah rol model yang harus diikuti. Mungkin kita boleh katakan benar, kerana mereka mempunyai perancangan yang begitu teliti dalam proses memusnahkan akidah umat Islam. Dari sudut yang lain pula, umat Islam terus dibuai dengan hal masing-masing, tanpa ada rasa keterikatan ukhuwwah silaturrahim sesama sendiri, tanpa ada rasa kesedaran kearah penyatuan umat, tanpa ada agenda yang jelas. Bahkan masih berbincang hal hal remeh, yang tidak sedikit pun memberi kesan langsung terhadap survival ummah secara keseluruhan. Wasilah perubahan yang jelas ditunjukkan dalam sirah Rasul dalam menegakkan Islam sendiri adalah tidak lain dan tidak bukan adalah dengan penyatuan umat.

Umat Islam kini haruslah mencari titik tolak perubahan secara keseluruhan bagaimana caranya untuk mengembalikan kuasa pemerintahan Islam, iaitu dengan mengembalikan semula sistem khalifah di atas muka bumi ini. Ketiadaan pemimpin umat Islam selama ini menjadikan Islam mundur dan terus ditindas. Inilah agenda dan matlamat yang sepatutnya ditanam dalam setiap diri umat Islam dalam membawa diri kearah perubahan diri yang lebih baik.

Tuntasnya, hijrah adalah suatu bentuk perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan yang ikhlas, proses penghijrahan sukar dilakukan. Pengorbanan pula menuntut semangat jihad dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Marilah sama-sama kita bertekad untuk melakukan refleksi perubahan berdasarkan apa yang kita lihat terhadap umat Islam kini. Perubahan bukanlah suatu perkara yang mudah, moga Allah beri kesedaran untuk kita semua berubah dan semangat untuk terus istiqamah melakukan kebaikan.

Disediakan oleh :
Ahmad Safwan Bin Johari
Tahun 3 Ekonomi dan Perbankan Islam
Universiti Yarmouk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s