Ku Rindu Seruanmu


 

Khabarkan kepadaku sebuah binaan teragung di dunia ini? Adakah KLCC, Pyramid, Menara Eiffel, Statue of Liberty atau Colloseum pilihan anda? Apapun jawapannya, jangan lupa kepada sebuah binaan berbentuk kubus, yang hanya setinggi 13.1 meter. Malah, ukuran setiap seginya pun tidak sama! Binaan agung itu tidak gah kerana senibina atau ketinggiannya, namun ia langsung diangkat kerana berkat dan rahmat daripada Allah.

Bukan itu sahaja, kemuliannya diiktiraf oleh seluruh umat Islam di bumi ini. Muka dan tubuh kita secara rela dihadapkan sekurang-kurangnya 5 kali sehari ketika solat fardhu. Binaan yang kumaksudkan ialah Kaabah yang berdiri di tengah-tengah Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi. Buruh binaannya bukan ribuan atau ratusan tetapi hanya dua insan mulia utusan Allah; Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail. Hakikatnya, perihal Kaabah itu ku ceritakan semata-mata untuk melontarkan rasa ta’jub ke dalam hati kita kepada simbol kemegahan Islam itu sekaligus mendekati sebuah coretan bicara hamba menuju Tuhannya; ‘Kurindu Seruan-Mu’

‘Labbaikallahuma labbaik

Labbaikala syarika laka labbaik…’

Bergema seruan ini dalam perjalananku dari Tan’im (salah satu Miqat) ke rumah suci-Mu. Tiada alunan lagu di corong radio, tiada bicara kosong dikalangan penumpang bas. Mulut rancak berzikir, hati tenang berfikir. Sunyi perjalanan diisi dengan rintihan harapan hamba yang mahu bertamu dan bertemu Tuhan melepas rindu.

Mengimbas kembali 6 jam perjalanan menyusuri tanah yang tandus yang memisahkan Madinah dan Mekah semalam membuatkan aku terkenang betapa perit pengorbanan kekasih-Mu dalam menyampaikan risalah. Belum dihitung lagi tentangan menggila orang Kafir. Sungguh malang orang Islam yang lupa akan nikmat Islam dan Iman.

Berdegup pantas jantungku apabila melihat Masjidil Haram yang semakin kuhampiri. Kakiku melangkah masuk melalui pintu Umrah lantas tersergam megah Ka’bah-Mu. Aku terpaku dan air mata kesyukuran mengalir menyaksikan kekuasaan-Mu dan mengenangkan dosa-dosaku. Namun, Kau tetap kurniakanku rezeki demi mengunjungi-Mu di sini membawa beban dosa yang menggunung. Saat inilah terdetik untukku memanggil Malaikat Izrail lalu merelakan nyawaku dicabut sementara masih dekat diriku dengan tuhanku.

Ketenangan yang tidak pernah aku rasakan menyelinap di sanubariku ketika tawaf mengelilingi Kaabah. Apa yang ada pada 7 pusingan ini? Mengapa ibadah tawaf dan Sa’I dilakukan secara bergerak? Persoalan ini tenggelam dalam kehangatan memuji dan memuja-Mu. Aku tahu, para Malaikat-Mu juga sedang sibuk mengelilingi Arasy-Mu di atas sana. Mereka ialah makhluk yang hidup hanya untuk taat,terlalu berbeza dengan manusia yang fitrahnya sukakan maksiat. Ya Allah, betapa gembiranya hati ini dapat berhadapan dengan rumah suci-Mu. Makin aku hampirinya makin terasa dekat dengan diri-Mu, apatah lagi ketika ku kucup Hajarul Aswad-Mu, terasa syurga seolah-olah di depan mataku. Tapi ya Allah, aku malu pada-Mu. Aku tidak layak untuk syurga-Mu. Diri ini kotor dipenuhi noda.

‘Ya tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Kau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya pasti kami termasuk orang-orang yang rugi’ [Al A’raaf 23].

Ibadah umrah mahupun haji seperti juga solat. Ia menggabungkan ibadah hati, lidah dan anggota badan. Namun, aktiviti fizikal dalam ibadah umrah dan haji melebihi pergerakan dalam ibadah seperti solat. Di sini cukup jelas membuktikan Islam mementingkan kekuatan dan kecergasan fizikal umatnya. Berulang-alik dari bukit Safa ke Marwa sebanyak 7 kali menyedarkan aku bagaimana Kau menguji isteri Khalil-Mu. Siti Hajar yang memiliki naluri seorang ibu sungguh cekal berikhtiar mencari air untuk anaknya. Beliau bukan tidak tahu bahawa Allah maha pemberi rezeki. Namun, beliau tetap berusaha bagi memenuhi syarat tawakal kepada Allah. Akhirnya Allah mengurniakan mereka air zamzam yang hingga kini menjadi sumber minuman para jemaah di Mekah dan Madinah. Lihatlah pengorbanan ibu ini sehingga mendapat sanjungan Allah dalam Al Quran,

‘Sesungguhya Safa dan Marwa daripada syiar-syiar Allah…[Al Baqarah 158].

Kupanjatkan kesyukuran apabila aku tiba pada rukun umrah yang terakhir, bertahallul. Saat rambutku dicukur ku berdoa ‘Ya Allah, dengan setiap helai rambutku yang gugur ini, Kau hapuskan satu dosa dan Kau kurniakan satu kebajikan. Amin’. Setiap helai rambut dipotong, simbolik kepada kelahiran semula diriku dalam wajah yang baru, malah yang lebih penting kelahiran semula tanpa dosa dan noda.

Jika ditanya saat apakah yang paling sedih ketika di Tanah suci, maka bahagian ini akan menceritakannya. Inilah yang dikatakan perpisahan dalam ibadah umrah mahupun haji iaitu tawaf wida’. Setiap tetamu akan pulang kembali ke tanah asal mereka. Bedanya hanya satu, aku hanya berpisah dengan tanah ini bersama sejuta keberkatannya namun aku tidak berpisah dengan Tuan tanah ini selagimana aku mendekati-Nya,. Aku sanggup meninggalkan tanah suci-Mu ini ya Allah, tetapi jangan pernah Kau tinggalkan aku.

Tawaf wida’ kukerjakan buat-Mu pada hari terakhir aku di tanah suci-Mu ini. Terasa berat hatiku untuk meninggalkan daerah berkat ini. Aku takut nikmat rukuk dan sujud sepanjang di sini hilang apabila tiba di negeriku yang dipenuhi maksiat itu. Aku khuatir program tarbiyah ini menjadi memori kosong tanpa lonjakan amal setibanya aku nanti. Siapalah aku hari esok? Bagaimana kesudahanku? Sudikah Kau membantuku wahai Allah untuk terus dekat dengan-Mu?

Sesungguhnya terlalu indah berada di Tanah Haram. Ini bukan semata-mata tanah, tetapi tanah ini menyimpan berkat, rahmat dan keampunan Tuhan. Penjaga tanah ini tidak tidur dan tidak alpa. Dia sentiasa memanggil kita agar kembali kapada-Nya, dengarkah kita? Tulislah namaku sebagai tetamu-Mu lagi ya Allah Benarlah ini tempat terbaik bercuti, cuti kerana Allah.

 

Sumber : Ikatan Muslimin Malaysia (Mesir)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s