Hakikat Seorang Hamba


Zus! Bunyi pecikan air yang mengalir laju dari kepala paip tandas asrama Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar itu menampan telinga seorang pelajar perempuan yang sedang sibuk memutar laras paip tersebut ke tahap yang paling maksima. Dibiarkan sahaja air melimpah ruah daripada baldi hijau kepunyaannya. Sambil itu disinsing baju hingga ke lengan. Bergema suara Fadhilah, salah seorang ahli sebiliknya yang menjerit dari sinki, bertentangan dengan tempat dimana dia berdiri.

“Membazir amalan syaitan!” Teringat dia akan kata-kata yang sering kali dirinya sendiri ingatkan buat teman-teman agar menggunakan air sejimat yang mungkin. Kini, kata-katanya tadi kembali semula kepada dirinya sendiri.

Salmah mencebik sahaja. Malas dia mahu mengambil peduli. Dalam keadaan emosi yang sedang bergolak, kata-kata yang sarat kebaikan bagai tidak sudi dihadam mindanya. Dia sedang keresahan.

“Mengapa dikeluarkan semua bajunya? Mahu basuh baju ke?” Nasuha bertanya tenang. Sudah lali dengan perangai sahabatnya yang seorang itu.

“Ya!”

“Salmah, bukankah baju itu baju yang bersih?”

“Saya tetap mahu membasuhnya.” hampir lima helai baju kurungnya yang diambil dari almari dikeluarkan. Dipisahkan daripada penyangkut baju lalu dibawa ke tandas asrama.

“Saya ada banyak baju yang masih belum dibasuh,  lebih baik basuhkan baju saya.” Cadang Nasuha sambil tersengih lebar.

“Tidak ada masa! Jangan ambil kesempatan ketika saya dalam kesedihan.” laju kakinya menyarung selipar tandas, lalu bagaikan lipas kudung dia menuju kearah baldi hijaunya. Air paip sudahpun ditutup. Tahulah dia, Fadhilah yang menutupnya.

Apabila sedang berada dalam keadaan tertekan, tidak ada apa yang mahu dilakukannya melainkan menenangkan diri melihat buih-buih mengalir seiring dengan air dari basuhan baju. Sambil ligat tangannya memberus baju, hatinya mengulang-ulang istighfar.

‘Selalunya jika tertekan, kebanyakan manusia lebih gemar untuk makan, tidur ataupun meluahkan pada teman-teman rapat. Entah mengapa, jika aku tertekan, aku akan lebih suka untuk membasuh baju. Tidak ada baju yang belum dibasuh, baju bersih juga tidak mengapa.’

“Aspuri, waktu untuk tidur!” jerit pengawas bertugas. Masa untuk membaca Surah Al-Mulk sudah tiba.

Hampir tiga puluh minit dia membasuh baju, resah jiwanya tetap tidak pudar. Baju-baju yang penuh bersabun ditinggalkan. Direnung jemarinya yang mula mengecut dek kerana terlalu lama bermain dengan air. Digosok kedua belah tangan yang kesejukan. Matanya bergenang dengan air mata, lalu cepat-cepat dia seka dengan hujung baju. Malu jika ahli sebiliknya tahu. Rahsia ini, biarlah hanya dia dan Allah yang tahu.

 

 

*********************

“Mengapa awak nampak sedih sahaja sejak kebelakangan ini? Jika ada masalah, saya ada disini untuk mendengar. Inilah gunanya sahabat.” Hakimah, seorang sahabatnya yang berkaca mata berbingkai putih itu memberitahu. Dipegang kejap bahu sahabatnya yang seorang itu. Malam semalam, Nasuha ada menceritakan perihal Salmah yang kembali dengan perangai anehnya. Tahulah dia bahawa ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran sahabatnya. Hati yang yang sarat rasa prihatin melonjak-lonjak ingin tahu.

“Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Saya baik-baik sahaja.” Jawabnya acuh tidak acuh.

“Betul?” Tanya Hakimah sekali lagi. Salmah menggangguk lemah.

“Betul.” Jawabnya tidak bermaya.

Jelas ditelinganya Hakimah melepaskan keluhan kecil. Tanda tidak puas hati. Dia sendiri tahu, jika dia menjadi Hakimah sekarang ini, dia pasti dapat meneka dengan mudah bahawa sahabatnya tidak berada dalam keadaan yang baik. Perubahannya daripada seorang yang ceria, bertukar menjadi seorang yang muram jelas memberi tahu khabar itu.

“Tidak mengapa jika awak tidak mahu berkongsi. Saya juga bukanlah sebaik-baik pendengar. Walau apa-apa sahaja yang sedang menimpa awak, saya mahu awak tahu sesuatu, Allah ada untuk mendengar.” Ujar Hakimah. Dipegang kejap tangan sahabatnya. Digenggam erat. Memberitahu secara tidak langsung bahawasanya dia prihatin.

“Terima kasih. Saya beruntung dapat sahabat sebaik awak.” Salmah menghumbankan kepalanya diatas meja. Panas tangannya menadah air mata. Hatinya sayu.

“Perhatian kepada pelajar tingkatan 5 Ikrimah, Salmah binti Abdullah, sila turun ke kantin sekarang kerana ibu bapa anda sedang menunggu.” Bagaikan magis, ubat kesedihan dan kerisauannya datang tepat pada masanya. Sedikit sebanyak pengumuman yang dibuat membungakan hatinya. Dia segera turun. Jarang benar abi dan bondanya datang menziarahi, mungkin bisikan hati ibu bapa yang bagaikan tahu sahaja akan keadaan anaknya yang sangat-sangat memerlukan mereka.

 

 

******************************

 

 

 

Melihat wajah mereka sahaja sudah cukup membuatkan Salmah kegembiraan. Disalam dan dipeluk abi dan bondanya.

“Assalamualaikum bonda, abi. Sal rindu sangat dengan bonda dan abi.” Salmah mengadu. Dia yang lebih senang membahasakan dirinya sebagai Sal itu memeluk erat  pinggang bondanya. Kali ini air matanya tidak tertahan. Air matanya mengalir laju.

“Sal sihat?” Tanya bondanya. Risau dia melihat anaknya yang seorang itu tiba-tiba menangis. Sangkanya kedatangan dia dan suami hari itu bagi meluruhkan rindu setelah sekian lama tidak berjumpa dengan anaknya yang bersekolah asrama penuh itu.

“Sal sihat, Sal cuma rindu.” Serak suaranya membalas. Hatinya disapa rasa bersalah membuatkan mereka kerisauan.

“Mengapa Sal menangis tiba-tiba? Sal tahukan, abi risau.” Abi bersuara memecah kesunyian apabila Salmah melepaskan pelukan dari bondanya.

“Sal sihat sahaja. Sal cuma rindu.” Ulangnya kembali.

“Jika bukan ahli keluarga sendiri tempat pergantungan kita selepas Allah, Sal mahu harapkan siapa lagi? Jika Sal ada masalah, berkongsilah. Abi dan bonda teringin mahu menyelesaikan bersama.” Bonda yang penuh kelembutan itu memujuk. Hati Sal tersentuh.

“Oleh sebab kita sekeluargalah, Sal rasa Sal tidak patut bersedih atas kesalahan Sal sendiri. Sal tidak melaksanakan tanggung jawab Sal dengan sebaiknya. Sal bersalah pada abi dan bonda.”

“Jika benar Sal bersalah, Sal tahu bukan, abi dan bonda sentiasa sudi memaafkan.” Semakin menggebu rasa sayangnya kepada kedua ibu bapanya. Sudah diulang berkali-kali bahawa dia malu meluahkan dek kerana dia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Beribu-ribu kali juga perkataan yang sama mereka ujarkan. ‘mereka sentiasa sudi memaafkan.’

“Abi dan bonda, maafkan Sal.” Sehelai kertas putih yang sudah kerenyukan dalam begnya dikeluarkan.

Bonda menyambut dengan senyuman manis, bagaikan tidak terkesan langsung dengan sebarang kesalahan yang anaknya itu ujarkan. Kertas itu diletakkan diatas meja. Dengan jari jemarinya yang sudah mempamerkan lanjut usia, dibuka kertas tersebut lalu dilihat dengan tenang. Abi menghampiri, turut sama melihat kertas tersebut.

“Oh, Sal masih tidak lulus mata pelajaran Matematik Tambahan ya?” abi bertanya lembut. Sal diam membisu. Mengiyakan dalam hati.

“Astagfirullah, Sal benar-benar buat abi terkejut. Abi ingatkan apalah yang Sal sedihkan. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun rupanya.”

“Abi, ini bukan perkara main-main. Sal sedih, sudah setengah tahun, Sal masih tidak dapat kuasai ilmu Matematik Tambahan. Saban hari, Sal mahirkan diri dengan latihan-latihan. Sal tidak tahu apa yang masih tidak kena.” Salmah terus menangis.

“Sal takut jika Sal tidak mampu melakukan yang terbaik. Kasihan abi dan bonda.” Terhinjut-hinjut bahunya.

“Sal…” bonda mengangkat punggung. Dia duduk sebangku dengan anaknya. Diusap lembut ubun-ubun Salmah. Satu hari nanti, dia amat-amat memerlukan doa anaknya agar dia terus tenang di dunia sana.

“Apabila bonda dan abi hantar Salmah ke sekolah, bukan  matlamat sebenar kami mahu lihat Sal kesedihan apabila Sal gagal menjawab peperiksaan. Ada hikmah yang lebih besar yang Sal perlu belajar.” Bonda menjawab jelas.

“Bonda, Sal rasa tidak mampu.”

” Sal, apabila kita letakkan matlamat kita tidak kena pada tempatnya, kita akan mudah rasa sedih apabila kita tidak dapat apa yang kita hajati. Mengapa begitu?” abi bertanya. Kaedah psikologi diguna.

“Matlamat kita bukan kerana Allah.” Salmah menjawab. Soalan itu soalan yang sering kali singgah di telinganya. Entah mengapa, setiap kali kesedihan, peringatan sebegitu mudah sahaja dia lupakan.

“Betul, sebab matlamat kita salah. Sal, jika Sal faham konsep ilmu, kehidupan, kesihatan, rahsia ajal dan maut, jodoh dan rezeki segalanya ditangan tuhan, percayalah Sal akan terus melangkah tanpa rasa putus asa. Bonda mahu Sal perbetulkan niat.”

“Sal sering kali terlupa.”

“Allah sudah berfirman dalam Surah Al-Hadid, segala bencana yang menimpa bumi juga yang menimpa dirimu sendiri segalanya sudah termaktub dalam kitab semenjak dari luh mahfuz. Kita hamba yang lemah, Allah adalah sebaik-baik sandaran. Apabila sudah berusaha, bertawakallah. Orang yang beriman, mereka akan pandang apa sahaja ujian yang Allah timpakan sebagai satu nikmat, mesej cinta, hikmah tersembunyi yang mahu disampaikan buat hamba-Nya. Apabila kita meyakini, percayalah Allah akan bantu kita untuk perbaiki kelemahan diri. Kegagalan, jatuh bangun hidup seorang manusia adalah lumrah dan perkara biasa.”

“Sal tidak kuat.”

“Ujian yang menimpa para sahabat dahulu jauh lebih hebat. Kagumnya bonda pada mereka apabila mereka rasa sedih apabila tidak diuji. Takut-takut jika Allah tidak sudi lagi menyayangi. Hakikat hidup kita, Sal. Sal hanyalah seorang hamba. Bonda dan abi tidak mahu Sal bersedih. Sal perlu kuat. Kami sentiasa mendoakan.”

Salmah menggangguk lemah. Air matanya mengalir lagi. Bukan kerana sedih akan keputusan peperiksaannya, sedih kerana dia masih lagi sukar menerima hakikat diri seorang hamba.

“Sal tidak akan putus asa. Semoga Allah sentiasa sudi maafkan Sal.” Senyuman abi dan bonda menyapa. Hati Salmah berpadu kuat, dia bertekad, selepas ini segala-galanya akan dikembalikan semula kepada Allah. Hakikatnya kejayaan mahupun kejayaan bukanlah dia yang menentukan, tetapi segalanya ditangan tuhan.

“Semoga Allah sentiasa sudi memaafkan.” Perlahan, Salmah memanjatkan harapan.

 

Disediakan oleh : 
Nur Amalina Mohd Azman
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s