Memahami Perubahan

Alhamdulillah.
Di samping liku-liku yang menemani sepanjang perjalanan tahun dua pengajian di Universiti Yarmouk, banyak tak terkira nikmat yang Ar-Rahman hadiahkan.
Diizinkan melangkah ke gerbang perkahwinan, mendapat mumtaz di kuliah, sehinggalah baru-baru ini, mendapat hadiah dari seseorang yang penaja saya ke Mesir untuk menyertai persidangan pemuda bertemakan ‘Taghyir’ (Perubahan) yang disampaikan oleh ulama’ dan pemikir Islam yang masyhur.

Saya patut rasakan nikmat yang dikurniakan adalah untuk membantu ummah yang kian menjadi-jadi diseksa dan dibunuh di Syria, Myanmar, Palestin, dan lain lagi. Turut terseksa ummah di tanah air sendiri yang saban hari diserang bertubi-tubi dengan serangan moden yang sangat halus tanpa disedari berupa hedonism, liberalism, pluralism, yang akhirnya bisa membawa manusia bertuhankan manusia itu sendiri.

* * *

Kali ini, teringin pula berceloteh mengenai taghyir (perubahan). Lebih-lebih lagi apabila baru pulang dari Mesir yang baru melalui satu perubahan.

Sehari sebelum ke Mesir,  saya sempat meminta nasihat dari seorang Ulama’ Tafsir Jordan, As-Syeikh Dr Solah Al-Khalidi tentang taghyir. Saya juga sempat bincang tentang thaurah (merujuk kepada Arab Spring). Beliau dengan tenangnya menjawab thaurah merupakan salah satu daripada wasilah dakwah. Beliau juga menjelaskan bahawa gerakan islam di mesir yang menyokong thaurah itu pun tetap menguatkan pembinaan peribadi dan ummah. Langsung tak terpisah daripada perkara ini. Berulang kali beliau mengatakan pembentukan peribadi itu tidak terpisah, dalam apa jua keadaan dan marhalah.

+ + +

Semasa berada dalam persidangan tersebut , diri ini terasa sangat kerdil dan jahil apabila mendapati bahawa saya  merupakan satu-satunya peserta Melayu, yang dikelilingi oleh penyampai-penyampai yang cukup hebat seperti Syeikh Rasyid Ghanoushi, Syeikh Dr Abdul Karim Bakar, Syeikh Dr Salman ‘Oudah, dan banyak lagi termasuk pemimpin gerakan Islam dari Turki, Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) , Arab Saudi, Algeria, Moritania dan banyak lagi. Memang terasa diri ini sangat jahil dan tidak sabar untuk menggarap segala mutiara yang ada.

Muktamar 4shbab Al-‘Alami 2012

Saya tidak pandai untuk berceloteh panjang, mungkin sudah cukup bagi saya simpulkan kefahaman saya dari persidangan pemuda selama 5 hari ini dalam bentuk point-point penting :

 

1) Perubahan yang kita nak gapai adalah mengubah alam ini sehinggalah Islam menjadi ‘Mahaguru bagi alam ini.

Kita sibuk berdoa untuk mencapai redha Ilahi, tetapi sedikitpun tidak berjuang ke arah ini, kenalah sedar diri.
Syeikh Ghanoushi menegaskan kalimah ‘بأنفسهم’ dalam firman Allah yang bermaksud “Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehinggalah…..”(surah Ar-Ra’d : 11)  bermaksud 3 perkara iaitu :-merubah diri manusia itu sendiri, keadaan sekeliling dan juga realiti di bumi sekarang ini. Ia tidak terhad pada salah satu.

2) Syeikh Abdul Karim Bakar menjelaskan perubahan yang hakiki adalah yang berlaku bukan dengan tekanan. Taghyir tak sama dengan Taghayyur yang bersifat ‘حتم‘ (tekanan/paksa). Taghyir yang dimaksudkan adalah ‘مع الارادة’   (dengan kemahuan). Ia mestilah berlaku mengikut sunnah perubahan alam itu sendiri. Hal ini bermakna tidak lain tidak bukan kita perlu fokus dalam mendidik manusia secara berperingkat, di samping mengambil peluang yang ada dalam memudahkan proses perubahan tersebut.

3) Kini, mungkin ramai yang menyedari desakan perubahan. Malangnya ramai juga yang tersilap memahami kaedah perubahan itu sendiri. Lebih malang lagi apabila seseorang itu terlebih dahulu mencedok idea barat tanpa dipandu oleh Syara’ yang pada hakikatnya sudah pun menjelaskan.

4) Ada juga yang selalu mengatakan seseorang itu terlalu simplistik, literalis, tak memahami situasi setempat. Namun tanpa disedari dia juga telah terjebak dengan kes ini. Salah satu contoh apabila dia melihat perubahan dan strategi yang dilaksanakan di negara seperti Tunisia, Mesir dan Turki yang gerakan Islamnya telah mendapat tempat di tampuk pemerintahan. Tanpa disedari dia dengan semudahnya meng’qias’kan dengan Malaysia dan mengusahakan perubahan di Malaysia mengikut acuan Turki ataupun Tunisia atau lain-lain lagi. Muncullah laungan seperti “islamic secularism” oleh pembawa perubahan di Malaysia yang seolah-olah sesuka hati meng-qiyas negara-negara hebat tadi dengan Malaysia.

5) Sejak hari pertama persidangan lagi, para panelis acap kali menyebut perihal Malaysia. Malah seorang speaker dari Turki menegaskan kepada saya secara terus terang bahawa Turki bukan contoh kepada Malaysia. Satu isu yang ditegaskan (sampai beliau meninggikan suara) kepada saya adalah isu sekularisme dalam pemerintahan.Perkara ini sering kali orang salah faham dan mahu mencontohinya.

Hakikatnya AKP di Turki sebenarnya terpaksa bermuamalah dengan sekularisme buat masa ini. Ia bukan matlamat. Malaysia, negara yang tidak pekat pun sekularismnya, bahkan mempunyai perlembagaan yang menjaga hak umat Islam, apakah perlu berpatah jalan menuju ke belakang mencontohi Turki meraikan sekularisme? Kita sedia maklum bahawa Turki sangat pekat sekularismenya, hatta sepanjang AKP yang terpaksa bermuamalah dengannya, terdapat 6 kali cubaan coup d’etat . Beliau juga menegaskan perubahan sedikit demi sedikit ke arah lebih baik sedang mereka usahakan.

*Berita baik untuk tahun ini, secara rasminya, pembelajaran bahasa arab dapat dimasukkan dalam sistem pendidikan setelah bertahun-tahun disekat.

Sembang-sembang bersama salah seorang speaker dari Turki. Beliau dengan penuh yakin dan berkarisma menerangkan tentang ekonomi Turki. Umurnya baru 21 tahun. Merupakan pemimpin sebuah pertubuhan belia di Turki.

 

6) Kita bukan hanya ingin menegakkan human right, good governance, kebebasan bersuara atau lain-lain istilah manis semata-mata. Bukanlah itu menjadi matlamat sebenar, bukanlah juga sebagai ‘Tuhan’ yang apa-apa hal dipersetujui oleh semua orang tak kira agama atas nama hak asasi manusia semata. Malangnya bila syariah hendak dimplementasi, ditolak ketepi.
Di mana ruang syara’ bila manusia bertuhankan humanism? Matlamat kita perlu jelas, seperti mana dalam point no.1.

7) Sempat juga berborak dengan seorang speaker, Dr Taufiq Muhammad (asal Algeria, menetap lebih kurang 15 tahun di Malaysia). Beliau menyatakan ketidaksetujuan terhadap BERSIH kerana tidak sesuai dengan rakyat Malaysia. Namun baginya Gerakan Islam yang menyokong BERSIH, adalah ijtihad masing². (*Saya tak mahu hurai panjang pasal BERSIH. anda  lagi arif). Beliau juga memberi nasihat supaya tidak mudah mengecop orang (Liberalis, literalis, simplistik dan lain-lain).

8) Sepanjang persidangan juga, acap kali saya dengar soalan-soalan berkaitan ‘arab spring’, ‘revolusi’, ‘perubahan dengan kekuatan’, apa syarat-syaratnya, apa disiplinnya, dan soalan lain yang sewaktu dengannya. Kesimpulan dari jawapan speaker-speaker adalah  kita perlu mengembalikan pandangan kita kepada  konsep asas perubahan.
Perubahan yang kita fahami  bukanlah datang secara drastik dengan cara revolusi kekerasan, tekanan atau sewaktu dengannya.
Ya, mungkin kita boleh buat perkara tersebut seperti demonstrasi atau revolusi. Namun kita perlu ingat, pembinaan dari bawah wajiblah dengan skala yang besar, barulah ‘perubahan dari atas’ boleh dibuat namun masih perlu terpandu mengikut disiplin-disiplin yang tertentu.

9) Saya sempat  bertanya kepada wakil speaker Turki yang menceritakan tentang sumbangan Fethullah Gulen dalam projek taghyir : “adakah revolusi di Mesir berjaya dalam mentaghyir & islah Mesir?” dan dijawab ringkas : “Sekarang kita tidak boleh nilai. Mungkin 5-10 tahun lagi baru kita dapat lihat” (jawapan lebih kurang).”

10) Bagaimana pemerintah itu ingin mengimplementasi syara’ dalam sesebuah negara jikalau rakyat sendiri tidak mahukan syara’. Ketuanan syara’ dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara’.

11) Kita juga perlu bezakan marhalah dan wasilah. AKP memerintah Turki, An-Nahdhah menerajui Tunisia, Dr. Mursi telah menjadi Presiden Republik Mesir,hal ini tidak menandakan mereka kini telah capai pada peringkat “daulah Islamiyyah”. Masih jauh lagi perjalanan menuju kemenangan Islam yang hakiki dalam sesebuah negara. Tidak relevan untuk menyatakan mereka telah mencapai daulah Islamiyyah sedangkan masyarakat umum masih belum bersedia menerima sistem Islam sepenuhnya.

12)  Akhir sekali, kita perlu fahami bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW itulah yang paling tepat, terbukti berjaya dan memberi kejayaan besar buat Islam. Ia bermula dengan fokus pembentukan pemuda-pemuda sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara.

Adakah kita di Malaysia sudah melepasi marhalah ini?

Ini satu persoalan yang perlu diperhatikan betul-betul supaya tidak silap pertimbangan dan langkah. Dan kalaulah pun dianggap sudah melepasi, adakah bermakna fokus pembentukan, pendidikan individu boleh ditinggalkan? Bukanlah maksud saya untuk menafikan usaha-usaha dalam membanteras korupsi dalam kerajaan, memperjuangkan negara yang adil dan sebagainya.

Maksud saya di sini adalah fokus dengan skala yang besar itu adalah pada pembentukan peribadi, jati diri masyarakat, membimbing mereka memahami aqidah & syariah serta akhlaq Islam. Tidak lupa juga, ianya perlu bersih dari segala taktik-taktik kotor yang saling jatuh menjatuhkan golongan Islam.

 

 

Oleh:

Ahmad bin Khairuddin
Ketua Biro Tarbiyah
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s