Daie dan Peristiwa Isra' Mikraj

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah Al-Isra : 1)

Al-Isra bermaksud perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin manakala Al-Mikraj pula membawa maksud perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh.

Peristiwa Isra Mikraj merupakan suatu peristiwa yang seharusnya mengukuhkan aqidah umat Islam. Pelbagai persoalan yang akan mengugat keimanan seorang muslim sekiranya mereka tidak mempunyai keimanan yang utuh kepada Allah seperti :

“Bagaimanakah seorang manusia mampu bergerak berjuta-juta kilometer pada satu malam?”

“Adakah masuk akal seorang manusia mampu naik ke langit tanpa bantuan pernafasan sedangkan komposisi oksigen semakin berkurangan dengan ketinggian altitude?”

Persoalan-persoalan seperti di atas tidak mampu dijawab hanya berlandaskan logik akal semata-mata, namun ia perlulah dipandu oleh wahyu. Peristiwa Isra dan Mikraj ini merupakan suatu mukjizat (perkara luar biasa) yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan juga sebagai bukti kekuasaan Allah SWT.

..dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Surah Alfath : 21)  

Seorang daie perlu memahami dan menghayati kisah ini. Peristiwa Isra dan Mikraj merupakan suatu peristiwa agung yang terkandung didalamnya 1001 pengajaran, sebagai bekalan dan motivasi dalam mengembalikan semangat untuk terus memacu amal Islami sehingga umat ini akan kembali menghayati dan mengamalkan prinsip dan sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan seterusnya mengembalikan hegemoni Islam di muka bumi ini.

1) Daie semestinya memiliki hati dan jiwa yang bersih

Sebelum berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj, Rasulullah SAW telah dibedah dadanya oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu, dan iman ke dalam dada Baginda Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.

Peristiwa ini merupakan symbol dan isyarat kepada manusia pada hari ini, agar melazimi proses penyucian hati dan jiwa dengan :

a) Perbanyakkan taubat nasuha kepada Allah SWT
b) Menjauhi perkara-perkara haram seperti riba’,zina, makanan yang haram dan lain-lain
c) Tidak pecah amanah dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi
d)Menjaga lisan daripada mengumpat, berkata dusta,mengadu domba dan menjadi punca kepada perbalahan umat
e) Berakhlaq dengan sosok peribadi muslim yang unggul

Kesannya, maka akan lahirlah daie qudwah yang mampu mengesani masyarakat sekelilingnya. Segala gerak tubuhnya dan kata-katanya merupakan terjemahan daripada Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.

2) Daie perlu mengikat dirinya dengan Allah SWT

Hal ini merupakan suatu kemestian bagi mereka yang bergelar daie. Ia boleh dicapai apabila para daie sentiasa menjaga solat mereka secara konsisten di awal waktu, khusyuk ketika melaksankannya dan melazimi jemaah di masjid. Kerana solat itu merupakan tiang dan asas kepada Islam. Solat juga membezakan antara seorang muslim dan sebaliknya. Solat merupakan suatu ibadah yang sangat istimewa berbanding ibadah-ibadah yang lain, dimana pensyariatannya adalah secara terus kepada Baginda sebagai hadiah teristimewa  setelah selesai menjalani peristiwa mikraj. Daie yang mengimpikan umatnya faham tentang Islam tidak akan sesekali memandang enteng akan kepentingan solat.  Ingatlah pesan Imam As-syahid Hasan Al-Banna :

“Apabila mendengar azan maka bangunlah solat serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.”

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya

(Surah Al Mukminun : 1,2)

3) Daie perlu optimis dan yakin kepada Allah SWT

Peristiwa isra dan mikraj ini berlaku pada tahun dukacita bagi Rasulullah SAW kerana pada tahun itu Baginda telah kehilangan isteri dan pak ciknya yang tercinta. Ditambah pula dengan penderitaan yang dialami Baginda yang dating daripada kaumnya sendiri. Oleh sebab itulah, Allah SWT telah mengurniakan kepada Baginda suatu mukjizat dan menjemput baginda sebagai tetamu langit sebagai penawar kepada kedukaan Baginda. Hayatilah pengajaran disebalik perkara ini wahai daie sekalian,apabila golongan yang bertaqwa diberi jalan keluar yang tidak disangka-sangka oleh Allah SWT. Sesungguhnya pertolongan Allah SWT akan tiba selepas mengharungi segala ujianNya dengan penuh kesabaran. Yakinlah wahai daie bahawa pertolongan Allah SWT itu sangat dekat.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Surah Al Baqarah : 124)

4) Daie harus peka dengan keadaan umat Islam

Peristiwa isra dan mikraj memperlihatkan kepentingan Masjid Al-Aqsa yang menjadi satu destinasi Rasulullah, pintu masuk sebelum diangkat ke sidratul muntaha. Hal ini menunjukkan kepentingan Masjid al-Aqsa yang kini dibawah penguasaan golongan Yahudi Zionis. Ramai pejuang Islam telah gugur syahid untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengakaman Yahudi Zionis. Isu ini merupakan isu aqidah dan ketidakpekaan terhadap isu ini menunjukkan kecacatan aqidah kita terhadap urusan saudara seaqidah kita di buumi perjuangan sana. Di samping itu, kita juga tidak boleh melupakan nasib saudara kita di tempat-tempat lain du bumi ini. Lihatlah bagaimana nasib umat Islam di bumi Syria dibawah kekejaman rejim Al-Assad. Sedarkah kita akan  nasib yang melanda  umat Islam Rohingya di Myanmar kini?

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

(Hadith riwayat Bukhari)

Oleh sebab itu, perjuangan di jalan Allah merupakan jalan bagi merealisasikan harapan dan cita-cita untuk  melimpahkan rahmat dan keadilan ke atas muka bumi. Jihad merupakan kewajipan setiap muslim dan tidak boleh dikesampingkan. Hayatilah balasan 3 orang sahabat Nabi Muhammad yang tidak berangkat ke perang Tabuk dan lihatlah bagaimana reaksi Rasulullah SAW terhadap mereka. Perkara ini menunjukkan kepada umat Islam tentang kepentingan seruan Jihad sebagai salah satu syiar yang seharusnya menjadi laungan kepada umat Islam.

“Krisis yang melanda kita tidak lain hanya kerana kita cintakan dunia dan takutkan kematian. Persiapkanlah diri kamu untuk tugas yang besar dan bercita-citalah untuk mati, nescaya kamu akan diberi kehidupan”

(Bingkisan Jihad, Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna)

 Oleh itu wahai daie sekalian, ayuh bersama kita teruskan usaha yang mulia ini, inilah jalan kita dan janganlah kita malu dan segan dengannya. Angkatlah panji Islam dengan bangganya, sebarkan dakwah Islam seluas-luasnya, perbaikilah diri dan seulah kea rah kebaikan. Semoga peristiwa Isra dan Mikraj menjadi inspirasi dalam usaha untuk membangun umat beragenda!

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

(Surah Yusof : 108)

Disediakan oleh :
Muhammad Hashemi Dahalan Md Razip
Pengerusi
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s