Didik Al-Hilmi, Serlahkan Peribadi

 

 

Air mata jatuh lagi.

Kadang-kadang  menarik mad’u itu lebih mudah daripada berlapang dada dengan sahabat seperjuangan. Acap kali syaitan yang meniup-niup api amarah dihalau jauh. Tarbiahlah yang mengajar supaya  sabar dan tenang. Tanpa tarbiah, mungkin sudah lama hamburan kata kasar keluar dari mulut, mengeruhkan suasana.

Sungguh, tak tertanggung malu di hari akhir nanti tatkala ditayangkan semula kisah diri yang didorong nafsu amarah di hadapan Tuhan yang lebih layak memarahi diri ini atas kesombongan, kelalaian dan penipuan yang dilakukan dalam mengingkari janji keimanan yang telah lama dimeterai sebelum menjengah dunia dahulu.

Ingatan dan bayangan seperti inilah yang hadir apabila dugaan dan masalah berpusu-pusu datang sehingga menutup ruang akal untuk berfikir dan bertindak secara rasional.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita tahu kasih sayang Allah itu sentiasa menjadi payungan hari-hari kita bila didatangkannya ujian.

 

Tenang itu tanda kita yakin dengan Tuhan

Tidak selamat dan kurang senang. Kombinasi rasa yang melahirkan amarah.

Ramai orang yang boleh berkata ‘Aku telah mengimani Allah dan rasulnya’, tetapi sedikit sekali bilangan yang menjadikan syahadah itu manifestasi dalam perlakuan seharian.

Mengapa perlu marah dan memberontak tatkala hati telah meyakini bahawa janji Allah itu pasti, pertolongan dan nusrah Ilahi itu sentiasa ada untuk hamba-Nya yang beriman?

Mengapa perlu diletakkan salah pada bahu yang memikul sahaja sedangkan khilaf dan kesilapan itu sudah menjadi darah daging manusia yang sifatnya tidak sempurna?

Persoalan-persoalan seperti inilah yang perlu kita jawab setiap kali didatangi rasa marah yang cuba menyerang benteng iman.

 

Al-hilmi : Simbolik kesempurnaan dan penguasaan akal

Al-hilmi membawa konotasi tenang menghadapi sesuatu perkara yang disukai atau tidak dalam keadaan perkara tersebut boleh medatangkan kemarahan. Sesungguhnya, kesempurnaan sifatnya adalah milik Allah yang Maha Esa.

 

“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.”

(Surah Al-Fathir :45)

 

Tuan yang tenang menghadapi kesalahan dan dosa hamba-Nya. Sifat pemaaf-Nyalah yang masih membenarkan setiap nafas ini dihembuskan dalam pengharapan rahmat dan cinta-Nya.

Jadi, masih ada ruangkah untuk hamba yang sama taraf dengan yang lain ini untuk tidak berusaha menyemai sifat al-hilmi ini dalam diri ?

Persoalan yang sewajarnya dijawab dalam erti kata yang sama oleh manusia yang beriman dengan Hari Pembalasan.

Al-Hilmi merupakan kayu ukur keimanan dan keupayaan seorang Muslim mengawal akal rasa.

Sedarlah bahawa kita tidak akan pernah mampu untuk menjadi orang yang bijak di hamparan langit dan bumi Tuhan ini selagi akal yang dikurnia belum mampu untuk mengawal perasaan dengan baik. Ketahuilah, bahawa ukuran kesempurnaan akal itu ada pada insan yang mampu menundukkan kekuatan marah dan akhirnya mengalah kepada arahan akal.

 

Sorotan kisah daripada utusan penyempurna akhlak mulia

Rasulullah sangat memandang tinggi sifat al-hilmi ini. Diceritakan bahawa telah datang satu rombongan ke Madinah untuk bertemu utusan akhir zaman. Asyajj Abdul Qais merupakan salah seorang daripada ahli rombongan tersebut, namun beliau bukanlah seperti ahli rombongan yang lain. Setibanya di Madinah, semua ahli rombongan bergegas hendak bertemu Rasullullah. Lain ceritanya dengan Asyajj yang terlebih dahulu mengemas kelengkapannya dan mempersiapkan dirinya dengan pakaian yang paling baik sebelum bertemu Muhammad. Apabila Asyajj bertemu Rasulullah, Rasullullah bersabda,

قال له النبي صلى الله عليه و سلم : إن فيك لخلتين يحبهما الله الحلم والأناة

“Sesungguhnya dalam dirimu ada dua sifat yang Allah sukai; sifat sopan santun dan tidak tergesa-gesa.

 

قال : يا رسول الله أنا أتخلق بهما أم الله جبلني عليهما ؟

Dia berkata : Wahai Rasul Allah, adakah kedua sifat itu merupakan hasil usahaku, atau Allah yang telah menetapkan keduanya kepadaku?

 

فقال له النبي صلى الله عليه و سلم : بل الله جبلك عليهما

Nabi SAW menjawab ; “ Bahkan Allah yang mengurniakan keduanya kepada kamu.

 

فقال : الحمد لله الذي جبلني على خلقين يحبهما الله ورسوله

Kemudian dia berkata ; “ Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku dua akhlak yang dicintai oleh Allah dan Rasulnya.

 

[Hadis Abu Daud 5525 Kitab Al-Adab, Ahmad 4/206, Muslim 25 dan 26 Kitab Al-Iman, Imam Tirmizi 2011 Kitab Al-Birr Wa As-Silah]

 

Didik Al-hilmi, serlahkan peribadi

Mengungkap bait daripada resensi tulisan Raja Ali Haji, sejarawan Melayu,

“Rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar niscaya pohon tiada akan dapat berdiri”

Begitulah juga dengan iman dan akal. Iman itu laksana akar, akal pula pohonnya. Tidaklah berfungsi akal itu dengan baik tanpa pasak yang ditunjangi iman yang sebenar.  Ketinggian darjat yang akan diperolehi oleh seorang Muslim itu adalah apabila ia bersabar atas sifat mereka yang jahil, memaafkan kesalahan mereka yang menzalimi dirinya, memberi kepada mereka yang tidak memberi kepada dirinya dan mengikat kembali silaturrahim yang diputuskan olehnya.

Natijah daripada kefahaman dan aplikasi al-hilmi ini dengan izin Allah dapat memelihara keharmonian dan yang paling bermakna, mampu menjadi aset dakwah yang sangat berkesan.

Lupakah kita bagaimana akhlak baik Rasulullah telah meletakkan Islam sebagai cinta pertama di hati begitu ramai umat manusia ?

 

Senyumlah. Terlalu banyak nikmat yang tidak mampu kita dustakan dibandingkan dengan nista yang mengeruhkan.

 

Oleh:
Siti Zafirah binti Mat Nawi
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s