Penat Seorang Da'i

Penat. Acapkali kita penat dengan keadaan sendiri. Orang lain juga punya 24 jam dalam sehari, tapi jadual kita berbeza. 24 jam yang kita punya membutuhkan kita menggunakan setiap saat dengan sebaiknya. 24 jam = 86 400 saat sehari. Nampak besar angkanya namun kecil porsinya jika dikira-kira dan diletakkan dalam jadual kita.

 

Kelas berderet dari pagi ke petang. Belum dicampur dengan kelas-kelas tambahan, kelas talaqqi, kelas memasak, kelas Bahasa Arab Ammi, dan macam-macam lagi. Hujung minggu dan malam-malamnya diisi dengan usrah, daurah, liqa’, kuliah, mikraj, dan pelbagai urusan berkaitan.

Kemuncak ujian selalu menimpa sewaktu peperiksaan. Waktu itu taklifan tugas menimbun, dalam masa yang sama markah yang cemerlang perlu diraih. Tidak dicampur dengan jawatan dan amanah yang dipegang yang memerlukan komitmen berterusan. Allah …

Tidak cukup dengan itu,kadang-kadang duit dari kocek sendiri dihulur untuk menampung perbelanjaan itu dan ini. Bukan tiada sumber kewangan yang mencukupi, namun kadangkala menghulur duit sendiri lebih mudah dan cepat penyelesaiannya.

Berjihad itu terkorban

                Cabaran-cabaran dan dugaan sebegini benar-benar meruntun emosi.  Apakah sebegini penat kerja dakwah? Mengapa tidak Allah mudahkan jalan mereka yang ingin mudahkan jalan kemenangan Islam sendiri?

Lelah. Tiada nafas.

 Pernah orang bertanyakan, “Kenapa nampak penat sangat ni?”

Kembali mencari nafas, mengumpul senyum dan kekuatan, “Penat-penat ana pun, penat lagi Rasulullah menyeru manusia, membangunkan negara, mengurus rumah tangga, mengislah manusia dan seisinya malah ibadah Baginda tidak pernah layu pula!”

Bahkan ‘mereka’ lebih penat

                Lupa kita pada besarnya jihad sahabat-sahabat masa lalu. Hasil tarbiyah dan kaedah sulbah Baginda, ternyata yang memimpin saf Islam itu bukan calang-calang orang. Yang tegap dan mantap sahaja akan kekal, yang lemah terlebih dahulu jatuh tertinggal.

Menyusuri kisah Khabbab bin Al Arat, bayangkan apabila beliau dipaksa memakai baju besi dan dibaringkan di tengah panas sehingga kulitnya menggelupas. Tidak cukup dengan itu, kepalanya diselar dengan panas merah membara lalu diseret di atas bara api hingga lemak-lemak dan darah yang mengalir dari badannya memadamkan api tersebut.

Khalifah Umar sendiri sewaktu melihat kesan parut di belakangnya berkata,”Aku tidak pernah melihat belakang badan yang sedemikian rupa.”

Tapi apa kata Khabbab sewaktu Islam sudah berjaya mengungguli dunia ?

“Nampaknya Allah s.w.t. sedang memberi ganjaran bagi segala penderitaan yang kita alami. Mungkin di akhirat nanti tidak ada ganjaran yang bakal kita terima.”

Cukuplah dengan kemenangan Islam sahaja, tidak perlu ganjaran untuk dirinya. Allahu Allah.

Lihat pula kehebatan Abdullah bin Huzaifah As Sahmy yang telah ditawan tentera Rom. Beliau telah disalib, dipanah dengan busur, dan dicampakkan dalam bekas air yang mendidih. Menangis teresak-esak Abdullah sewaktu disiksa sebegitu kejam. Lantas Raja Rom bertanya,”Mengapa kamu menangis?” Jawab Abdullah b Huzaifah :

“Aku bercita-cita diberikan 100 nyawa agar dicampakkan seperti ini demi Allah SWT(mempertahankan iman)”

Jeda.

Adakah berat sedemikian ujian kita? Tidak dilempar ke bara, tidak dicampak ke lautan, tidak ditiup angin taufan, bahkan sebenarnya ujian kita melawan nafsu dan diri sendiri untuk diseimbangkan dalam medan dakwah.

“Dakwah akan bergerak dengan poket-poket pendakwah”- Hassan al Banna

Kalau orang lain meraikan kemasukan duit elaun setiap bulan dengan memanjakan diri di kompleks membeli belah dan membeli gajet-gajet terbaru, namun tidak bagi seorang daie. Awal-awal bulan lagi, perancangan kewangan perlu diurus supaya lebih banyak wang dan harta dapat disumbangkan ke jalan ini.

Cukuplah As-Syahid Imam Hassan al Banna berpesan :

“Apabila kamu bertanya tentang harta yang digunakan untuk jalan dakwah, ia tidaklah lain dari harta yang sedikit mereka infakkan dengan penuh keredhaan dan ketenangan jiwa. Mereka memuji Allah apabila harta yang diinfakkan berjaya mengangkat darjat mereka dari darjat berseronok dengan kehendak dunia kepada darjat berjimat dalam memenuhi keperluan hidup”

Tidakkah semakin kukuh hati ini apabila disapa ayat-ayat suci dari Dia ?

“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat” (Al-Baqarah:265 )

Sungguh, yakinlah harta yang disumbangkan di jalan Allah pasti menyusun saham-saham kita di akhirat kelak. Saidina Abu Bakar As-Siddiq sendiri dengan penuh keikhlasan menyerahkan seluruh harta untuk membiayai Perang Tabuk, yang tinggal untuk dirinya dan keluarganya, cukuplah Allah dan RasulNya. Tidak ada apa-apa jika hendak dibandingkan dengan ‘tadhiah’ kita.

Kembali tajdid niat

Ayuh sahabat, tajdid niat dan perbaharui langkah setiap hari. Sudah cukupkah amal kita untuk dipersembah di arena Mahsyar kelak? Masih adakah masa untuk goyang kaki meratapi diri saat ummah kering jiwanya, minta dibasahi renjis-renjis tarbiah dan thaqafah.

Jangan biar ummah kembali menuding jari pada da’i, “Engkau yang salah tidak menyedarkan aku suatu ketika dahulu!” Tapi berlumba-lumbalah menjadi asbab kepada hidayah milik Allah buat orang lain, moga penat yang tidak seberapa ini dihisab sebaiknya di sisiNya.

Moga yang menulis terlebih dahulu beramal.


Oleh:
Sakinah Zulkarnain
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s