PMS: Bukan Tiket untuk Melenting

Wanita. Sangat unik ciptaan Allah untuk makhluk yang bernama wanita. Perkara yang sinonim apabila membicarakan tentang wanita ialah, kitaran haid.

 

Secara kebiasaannya wanita akan didatangi haid sebulan sekali apabila kadungan hormon progesterone dan estrogen dalam badan menurun. Dua minggu atau seminggu sebelum didatangi haid, perubahan kepada kedua hormon tadi akan memberi kesan sampingan kepada sistem badan yang lain seperti:

  • Jerawat
  • Letih dan lesu
  • Sakit belakang
  • Emosi tidak stabil
  • Gangguan kepada kitaran tidur
  • Kesukaran mengawal stress
  • Sakit kepala

Sebenarnya senarai ini bukanlah sesuatu yang tetap kepada setiap wanita, senarai ini boleh berubah-ubah dan boleh dipanjangkan lagi. Kesemua kesan tersebut dikenali sebagai Premenstrual Syndrome (PMS) atau sindrom sebelum haid. Sangat penting untuk setiap wanita mengenali dirinya sewaktu berada di fasa PMS kerana ia sangat memberi kesan kepada amalan dan ibadahnya serta pergaulannya dengan masyarakat.

Antara PMS yang sangat masyhur dalam kalangan wanita ialah mood swings atau emosi tidak stabil. Wanita yang mengalami mood swings lebih cepat terasa, cepat marah dan sedikit kemurungan.

Saya tidak ingin membicarakan lebih lanjut mengenai PMS, tetapi ingin bersama-sama mencari jalan untuk mengawal mood swings, terutamanya marah. Teringat saya tentang sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari:

“Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi SAW : Berpesanlah kepadaku! Jawab baginda: Jangan marah! Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap berkata: Jangan marah!”

                Marah adalah sifat semulajadi manusia dan merupakan satu tabiat yang sukar untuk dihindarkan dari diri. Bukan manusia namanya kalau seseorang itu tidak tahu marah.

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ

“…dan orang-orang yang sanggup menahan marah serta suka pula memaafkan orang ramai…” [Ali Imran: 134]

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

“…dan apabila mereka marah, suka pula memaafkan…” [Asy-Syura: 37]

                Daripada kedua dalil di atas, kita dapat lihat bahawa manusia itu memang suka marah, tetapi sikap yang dituntut oleh Islam ialah supaya kita cuba menahan diri dari marah dan andainya sudah terlanjur, maka hendaklah kita bersedia untuk memaafkan supaya tiada perasaan dendam dalam hati. Dalam fasa PMS, sikap marah itu semakin membuak-buak, sehinggakan perkara yang kecil pun hendak dibesar-besarkannya.

Ingatlah duhai wanita, apabila perasaan itu memuncak dalam diri, sesungguhnya syaitan sangat ternanti-nantikan saat dirimu ‘meletup’ dengan kemarahan, dan apabila saat itu tiba, bayangkanlah syaitan berteriak keseronokan kerana mendapat kemenangan ke atas dirimu. Cukuplah hadith berikut menjadi motivasi kepada kita supaya kuat menahan marah.

“Apakah yang kamu faham tentang maksud bergelut? Kata para sahabat: Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya. Sabda baginda. Bukan itu yang saya maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya”

                Kesan daripada sikat cepat marah ini sangat buruk dan keji, terutamanya bagi yang bergelar da’eiyah. Mana mungkin mad’u dapat bersabar dan meyakini dengan jalan dakwah jika dirinya sering dimarahi dan dia tidak melihat sebarang qudwah hasanah daripada da’ei nya. Fitrah manusia itu sukakan kebaikan dan kesantunan, manakala kemarahan itu merupakan sesuatu yang mengotorkan hati dan boleh membawa kepada bencana-bencana buruk yang lain seperti hasad dengki, bongkak dan saling memaki-hamun.

Saya bawakan sebuah kisah terakhir tentang seorang raja yang sering tidak dapat menguasai dirinya ketika marah. Raja tersebut telah menulis surat yang berbunyi:

“Letakkanlah belas-kasihmu ke atas orang-orang yang di atas bumi, nescaya engkau akan dibelas-kasihani oleh Tuhan yang di atas langit!

Awas, wahai raja yang di atas bumi dari raja yang di atas langit!

Awas, wahai pemerintah yang di atas bumi atas pemerintah yang di atas langit!

Ingatilah Daku sewaktu engkau sedang marah, nescaya Aku akan mengingatimu sewaktu Aku marah!”

Setiap kali raja itu marah, pembantunya akan menunjukkan surat tersebut kepada raja, maka marahnya tadi terus menurun dan reda. Mungkin kita juga dapat melakukan seperti raja tersebut sebagai penawar untuk diri sendiri.

Secara tuntasnya, sifat cepat marah sangat ditegah oleh Islam. Jangan salahkan perubahan kandungan hormon dalam badan, tetapi carilah jalan untuk mengawalnya. Kenali juga ibu, saudara perempuan, sahabat-sahabat anda ketika mereka sedang mengalami PMS supaya dapat saling mengingatkan. Semoga berjaya dalam ‘pergelutan’ buat diri ini dan semua wanita serta tidak lupa kepada kaum lelaki.

 

Oleh:
Shathirah Abd Halim
Tahun 3 Perubatan
Jordan University of Science & Technology

One thought on “PMS: Bukan Tiket untuk Melenting

  1. Pingback: PMS: Bukan tiket untuk melenting | wanitaisma.net

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s