Perbankan Islam vs Perbankan Konvensional

Perbankan Islam masih lemah?

Sistem perbankan Islam bukanlah hanya sebuah institut perbankan yang hanya bersifat keuntungan semata-mata dan sekadar menjaga hal ehwal kewangan pelanggannya sahaja. Tetapi ia merupakan satu institusi yang mempunyai prinsip dan konsep Islam yang diterapkan dalam setiap amalan perbankan yang wujud di dalamnya.

Prinsip itu yang telah membezakan antara sistem perbankan Islam dan sistem perbankan konvensional. Umumnya, sistem perbankan konvensional mengamalkan konsep riba, manakala sistem perbankan Islam pula mengamalkan konsep bebas riba.

Meskipun sistem perbankan konvesional telah jauh maju ke hadapan dari sudut perkembangan dan kemajuan, namun begitu sistemnya itu juga telah terperangkap dalam virus yang amat merbahaya iaitu riba. Seperti yang telah diketahui umum terutamanya umat Islam bahawa agama Islam amat tegas dalam isu pengharaman riba kerana sejarah zaman jahiliyah telah membuktikan bahawa telah berlaku banyak penindasan dan kezaliman akibat pengamalan riba. Maka Islam muncul dengan alternatifnya bagi menyelesaikan kemelut dunia yang telah lama tenggelam dalam arus riba yang merbahaya itu.

Amatlah jelas kini bahawa sektor bank yang bertanggungjawab dalam kejatuhan sistem kewangan yang melanda dunia.  Ianya merupakan kegagalan sistem bank pusat dan kejatuhan sistem kapitalis.  Memetik kata-kata Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang berbunyi “Laissezfaire telah mati”.

Perbankan sewajarnya dipertanggungjawabkan di atas krisis ini memandangkan bank banyak ‘mencipta wang’ begitu sahaja tanpa disandarkan kepada apa-apa, pada kadar yang jauh lebih tinggi ditambah penambahan kadar daripada kemampuan sebenar perkembangan ekonomi negara.  Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya ‘bubbles’.

Penciptaan wang ini dihasilkan melalui simpanan bank, di mana bank-bank Islam juga terlibat. Kewangan Islam adalah berasaskan aset dan tidak berasaskan hutang.  Faktor ini ditambah jaringan terus kepada aset tetap yang menyebabkan kestabilan serta melindungi daripada masalah hutang piutang.

Walau bagaimanapun, perbankan dan kewangan Islam hari ini masih mempunyai banyak kekurangan contohnya, wang ia tidak berasaskan kepada ekonomi sebenar, sama seperti sistem konvensional.  Walaupun kesemua instrumen terus berkait dengan aset sebenar, malangnya wang ini tidak disandarkan dengan aset.  Kewangan Islam pada masa ini, terlepas pandang beberapa perkara penting dalam aspek kewangan contohnya wang itu sendiri.

Hari ini, sebagai rakan kongsi bank konvensional, bank Islam turut beroperasi  dalam ruang lingkup sistem ‘fractional reserve banking’ yang menggunakan ‘fiat money’ yang tidak disandarkan dengan komoditi sebenar seperti emas atau perak. Pada masa ini perbankan Islam telah bergabung dengan perbankan konvensional.

Memandangkan institusi perbankan kewangan Islam dan konvensional mempunyai urusan di antara keduanya, oleh itu mereka saling berkaitan melalui rekod-rekod perakaunan.  Hal ini telah mengakibatkan bank-bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam kurang berdaya tahan dalam menangani kemelesetan kewangan global kelemahan dalam definisi wang.

Oleh yang demikian, jika perbankan dan kewangan Islam ingin memainkan peranan bermakna ke arah peningkatan ummah, maka inilah masanya ia seharusnya kembali kepada bentuk asal iaitu wang disandarkan kepada sektor utama melalui komoditi utama.

Kini merupakan masa yang sesuai untuk memperkenalkan dinar emas sebagai matawang.  Penggunaan dinar emas mengelakkan penghasilan wang (creation of money) yang akan mewujudkan ‘bubbles’.  Tanpa usaha dan langkah tersebut, adalah mustahil memerangi masalah kemelesetan ekonomi global yang mendatang.

Dalam situasi politik-ekonomi global kini, apa yang seharusnya dilakukan oleh institusi-institusi kewangan Islam dalam meningkatkan dan mempertahankan ekonomi ummah ialah mengkaji emas dan perak (dan lain-lain komoditi berkaitan) sebagai ukuran nilai dalam semua transaksi kewangan.  Emas dan perak dijadikan ukuran nilai matawang dalam prinsip-prinsip Shari’ah bukanlah sesuatu yang sia-sia, pasti terkandung hikmahnya.

Oleh :
Nurfadhilah Hussin
Tahun 3 Ekonomi dan Perbankan Islam
University of Yarmouk

2 thoughts on “Perbankan Islam vs Perbankan Konvensional

  1. salam.. mohon pencerahan.. apa itu bubbles?
    x susah ke kalau nak pakai dinar emas ngan perak kalau nak berurus niaga.. tengah cuba imagine camne klau satu hari nanti pakai dinar emas.. kalau boleh tolong betulkan gambaran saya..

  2. Salam ibnusinar,
    Terima kasih atas soalan.

    ‘Bubbles’ ada satu istilah yang diguna pakai bagi menerangkan fenomena ketidakseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi[growth] dengan peningkatan wang[money]. Dalam konteks dinar, dikatakan dinar sebagai instrumen wang yang mengelakkan penghasilan ‘money creation’ adalah bermaksud setiap duit yang dikeluarkan adalah mesti bersandarkan pada nilai emas yang terdapat di dalam bank yang dinamakan sebagai ‘reserve’. Apa yang berlaku adalah bank tidak menjadikan emas sebagai ‘reserve’ kerana faktor tertentu seperti kuantiti emas yang terhad seumpamanya, malah hampir kesemua bank menggunakan matawang dolar/duit USD sebagai ‘reserve’. Kesannya adalah, duit akan dicipta oleh bank tanpa kawalan disebabkan oleh penciptaan duit dolar yang juga bertambah dengan tanpa kawalan itu. Akibatnya, pertambahan mata wang sesebuah negara tersebut tidak pun memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi sebenar (pertambahan industri-industri ekonomi dan sebagainya). Namun begitu, isu mata wang dinar yang dikini dilihat sebagai salah satu alternatif terbaik masih lagi sukar untuk mengubah struktur matawang dunia keseluruhannya dan masih memerlukan kajian yang mendalam dalam aspek pengaplikasiannya terutama pada zaman global kini.

    Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s