Kenali Tokoh – Siapakah Perintis Ilmu Pembedahan Moden

( Foto Abu Al-Qasim Al-Zahrawi)

Adakah  anda  mengenali Al Zahrawi?

Abul Qasim Khalaf al-Abbas al-Zahrawi (di Barat lebih dikenali sebagai Abulcasis – bapa ilmu pembedahan) dilahirkan pada tahun 936 M di Zahra, bersebelahan Cordova. Beliau merupakan pakar bedah terulung di zaman kegemilangan Islam dan pernah dilantik menjadi pakar bedah diraja bagi Raja Al-Hakam II di Sepanyol. Selepas melalui kegemilangan kerjaya yang panjang dipenuhi dengan pelbagai sumbangan tulen, al-Zahrawi kemudiannya menghembuskan nafas terakhir pada  tahun  1013 M.

Selama hampir 1,000 tahun Islam bertapak di bumi Sepanyol, ia telah melahirkan seorang tokoh terulung yang merintis  bidang pembedahan dari kawasan Cordoba. Namun kini namanya semakin dilupakan. Beliau ialah al-Zahrawi yang turut dikenali dengan pelbagai nama di Barat seperti Abulcasis, Bulcasis, Bulcasim, Ezzahrawi, Zahravius, Alcarani, Alsarani, Aicaravi, Alcavarius, Alsahrawi dan lain-lain lagi.

Beliau dipercayai telah dilahirkan di kota El-Zahra, kira-kira 6 batu dari kota Cordova antara tahun 936 hingga 940 M. Di sanalah beliau hidup, belajar mengajar dan mengamalkan ilmu perubatan yang dikuasainya sehingga hampir ke hujung hayatnya pada tahun 1013M. Dua tahun sebelum itu, kota El-Zahra melalui zaman malapnya.

Dengan kejatuhan El-Zahra, amat sedikit yang boleh diketahui tentang anak watannya yang terulung. Nama beliau disebut oleh seorang sarjana Andalusia bernama Abu Muhammad Ibn Hazm (993-1064 M) sebagai pakar perubatan dan bedah yang paling ulung di seluruh Sepanyol. Bagaimanapun, biografi beliau hanya ditulis 6 kurun selepas kematiannya dalam buku al-Hummaydi Jadwat al-Muqtabis (Kisah Warga Andalusia).

Apakah sumbangan utama Al Zahrawi kepada sains dan dunia perubatan?

Riwayat hidupnya menggambarkan beliau sebagai seorang abdi dalam menyumbangkan pengetahuan untuk kemajuan sains perubatan secara keseluruhannya dan pembedahan secara khasnya.  Buku beliau setebal 30 jilid  menjadi ensiklopedia dunia perubatan yang menyentuh tentang pembedahan, perubatan, orthopaedik, oftalmologi, farmakologi, pemakanan dan pelbagai lagi. Buku ini diberi nama sebagai At-Tasrif. Ia himpunan pengetahuan dan pengalaman al-Zahrawi selama 50 tahun dalam mempelajari, mengamal dan mengajar ilmu pembedahan.Walaupun beliau tidak banyak merantau, namun beliau merupakan pakar dalam perubatan mangsa kemalangan dan peperangan.

Dalam at-Tasrif, al-Zahrawi menunjukkan sikap mengambil berat terhadap kebajikan pelajar-pelajarnya yang sering beliau anggap sebagai anaknya sendiri dengan panggilan ‘anak-anakku’. Beliau memberi penekanan terhadap aspek hubungan baik doktor dengan pesakit dan memenangi hati mereka tanpa mengira soal darjat dan pangkat. Pendekatan klinikal yang diambilnya menunjukkan ketajaman fikirannya sebagai doktor. Beliau menegaskan bahawa setiap kes perlu diikuti dan diteliti dengan rapi dalam membuat diagnosa yang tepat dan memberi rawatan yang paling berkesan. Al-Zaharawi juga menggesa anak muridnya sentiasa mengamalkan perubatan yang beretika dan tidak menumpu kepada hasil kebendaan seperti yang dilakukan oleh beberapa orang doktor pada zamannya.  Beliau juga mengingatkan masyarakat suapaya tidak mudah terpedaya dengan golongan yang mengaku pakar bedah tetapi tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tersebut.

At-Tasrif mengandungi banyak pemerhatian beliau sendiri terhadap pelbagai peristiwa bersejarah. Di dalamnya al-Zahrawi menghuraikan dengan panjang lebar mengenai sebab dan simtom sesuatu penyakit. Beliau turut menyelitkan teori penjagaan dan pembawaan anak yang sesuai untuk peringkat kanak-kanak dan remaja dan juga kaedah penjagaan warga tua serta mereka yang sedang sembuh dari penyakit. Dalam bab farmakologi dan terapi, ia turut merangkumi ubat-ubatan jantung, anti-muntah, laksatif, sains kosmetik, pemakanan, ehwal perubatan, berat dan sukatan, dan kaedah pemberian ubat.

Adakah sumbangan beliau hanya untuk dunia Islam?

Buku ini diterjemah ke bahasa Latin oleh Gerard dari Cremona pada kurun ke 12 M bersama-sama Qanun oleh Ibn Sina. Kedua-dua buku ini menjadi buku teks perubatan penting bagi universiti di Eropah dari kurun ke 12 hingga kurun ke 17 M. Di sini, 2 penulisan beliau akan diterangkan. Pertamanya ialah karangan beliau ke 28 yang diterjemah ke bahasa Latin sebagai Liber servitoris de preeparatione edicanarum simplicium yang menghuraikan teknik penyediaan bahan-bahan kimia, pembuatan tablet, penyulingan pati ubatan dan perkara-perkara berkaitan farmasutikal. Karangan ini kemudiannya dicetak di Venice oleh Nicolaus Jensen pada tahun 1471 M.

Mungkin kerja beliau yang paling penting dalam buku ialah berkenaan dengan pembedahan. Ia merupakan penulisan Arab pertama khusus mengenai pembedahan sahaja secara terperinci. Di dalamnya disertakan pelbagai gambarajah alatan pembedahan yang kebanyakannya dicipta oleh al-Zahrawi sendiri serta penerangan tentang kegunaannya. Dengan ini, beliaulah penulis bidang pembedahan yang mula-mula sekali menyisipkan gambarajah peralatan dalam bukunya. Terdapat kira-kira 200 gambarajah tersebut termasuklah dari penekan lidah hingga pencabut gigi dan dari kateter hingga peralatan ginekologi (perbidanan) yang kompleks.

Kepelbagaian kebolehan beliau melaksanakan pelbagai pembedahan amatlah menakjubkan. Al-Zahrawi membincangkan teknik kauteri, pembuangan darah, perbidanan, kelahiran bayi dan perawatan luka. Turut dihuraikan ialah pembedahan terhadap arteri temporal untuk melegakan sakit kepala, pengalihan aliran kencing ke rektum, pembedahan mengurangkan saiz payudara yang terlalu besar, dan pembedahan mata untuk penyakit kataraks. Beliau turut menulis secara mendalam tentang kecederaan terhadap tulang dan sendi bahkan termasuk juga patah hidung serta tulang belakang. Bahkan ‘teknik Kocher’ yang diwar-warkan itu sendiri telah lama beliau huraikan di dalam At-Tasrif lama sebelum kelahiran Kocher. Al-Zaharawi turut menghuraikan tentang kegunaan soda kaustik dalam pembedahan, perincian teknik tonsilektomi, trakeotomi dan kraniotomi – semuanya telah dilakukan terhadap fetus yang tidak bernyawa. Beliau turut menulis tentang kaedah menggunakan cangkuk untuk membuang polip di hidung, menggunakan picagari bulat sebagai enema untuk kanak-kanak dan penggunaan picagari logam kahas untuk pundi kencing serta spekulum untuk membuang karang pundi.

Beliaulah yang mula-mula sekali menyebut tentang teknik yang kini dinamakan ‘Walcher position’ dalam obstetrik, arca pergigian, penekan lidah dan kateter plumbum bahkan juga yang pertama menerangkan tentang sistem perwarisan untuk penyakit hemofilia. Penulis inilah juga yang menghuraikan peri-penting dan teknik-teknik mengikat salur darah dalam pembedahan lama sebelum Ambroise Pare.

Apakah pengiktiran pakar-pakar Barat terhadap Al Zahrawi?


Apabila buku ini diterjemahkan ke bahasa Latin pada kurun ke 12, ia turut menyaksikan kekuatan pengaruh al-Zahrawi serta kesan yang diberikannya terhadap dunia perubatan Barat. Seorang pakar bedah Perancis bernama Guy de Chauliac merujuk kepada at-Tasrifsebanyak 200 kali dalam bukunya ‘Great Surgery’ (1636 M). Pietro Argallata (meninggal dunia pada tahun 1423 M) mengangkat al-Zahrawi sebagai ‘tanpa ragu Al Zahrawi adalah Ketua Semua Pakar Bedah’. Seorang lagi ahli bedah Perancis bernama Jacques Delechamps (1513-1588 M) merujuk kepada at-Tasrif sebegitu banyak dalam komentarnya dan ini mengesahkan prestij al-Zaharawi sepanjang Zaman Pertengahan sehinggalah Renaissance.

Semoga akan lahir lebih ramai lagi Al Zahrawi yang baru & Andalusia kembali ke tangan umat Islam……

Salam perjuangan

Terima kasih kepada As Sheikh Dr Az Zahrawi di atas ilmu & khazanah yang ditinggalkan -(Foto kenangan selepas menyempurnakan satu pembedahan Obstetriks di Dewan Bedah Utama, Hospital Tuanku Jaafar Seremban)

Oleh:
Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
Timbalan Dekan
Fakulti Perubatan
International Medical University
Sumber : http://zainurrashid.com/?p=414


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s