Bagaimana Pemakanan Mempengaruhi Gigi

Pemakanan sangat memainkan peranan dalam memelihara kesihatan gigi. Pengambilan gula yang terlalu banyak, tanpa penjagaan gigi yang sempurna akan menyebabkan gigi berlubang. Tahukah kita bahawa pengaruh diet ini sebenarnya mencakupi sesuatu yang lebih dari itu lagi dan ia bermula sejak kita lahir.

Pembentukan Gigi
Adalah sangat dinasihatkan kepada para ibu mengandung – agar menjaga pengambilan makanan yang mengandungi mineral dan vitamin. Fetus di dalam rahim memerlukan nutrisi ini seawal minggu ke-8 kandungan, dan bermula bulan ke-4 – gigi fetus sudah mula membentuk di dalam gusi.

Semasa kelahiran, kebanyakan gigi sudah pun cukup kandungan mineral nya (walaupun kita tak dapat melihat gigi tersebut tumbuh keluar dari gusi). Gigi mula tumbuh keluar dari gusi ketika bayi berusia 6 bulan selepas kelahiran. Namun, jangan terlalu bimbang jika ada sesetengah kes yang mana gigi tersebut tumbuh sebaik bayi lahir, kerana ia diklasifikasikan sebagai kes yang normal tetapi jarang-jarang berlaku.

Pembentukan gigi tidak berhenti semasa di dalam kandungan sahaja, bahkan sebenarnya ada satu proses yang tak kurang pentingnya sedang berlaku semasa hari-hari terawal bayi tersebut lahir – pembentukan akar gigi. Jadi, pengambilan diet yang cukup nutrisi adalah sesuatu yang sangat penting bagi para ibu hatta sesudah bersalin, bagi memastikan bayi ini akan terus mendapat bekalan nutrisi untuk menyambung proses pembentukan akar giginya. Gigi dan akarnya akan terus menerus terbentuk sehingga lah seseorang itu berumur 18 tahun atau sehingga seseorang itu telah mempunyai gigi geraham bongsu (wisdom teeth / 3rd molar).

Diet dan Pembentukan Otot dan Rahang

Diet tidak hanya penting untuk gigi yang sihat dan sempurna, akan tetapi ia juga sangat penting untuk pembentukan otot di wajah dan rahang gigi anda. Di negara dunia pertama sebagai contoh, ramai kanak-kanak di sana terpaksa memakai pendakap gigi (braces) kerana rahang mereka tidak menyediakan ruang yang cukup untuk gigi tumbuh. Keadaan ini berlaku apabila mereka lebih suka makan benda-benda yang lembut dan makanan yang tidak memerlukan kunyahan seperti biasa. Sayur yang sedikit keras dan makanan yang bersifat perlu-dikunyah adalah sangat penting semasa fasa tumbesaran kanak-kanak kerana kekuatan rahang dan otot muka akan dilatih untuk mengunyah dengan baik.

Diet dan Gigi Berlubang
Dua perkara jika bersatu; plak dan gula – akan menyebabkan gigi berlubang. Apakah itu plak? Plak adalah lapisan bakteria yang  mudah terbentuk. Dalam jangka masa yang pendek, ia boleh terhasil sebaik anda selesai memberus gigi dan akan terus terhasil sehingga anda memberus gigi semula.

Jika lapisan ini terus terhasil tanpa makan makanan bergula, keadaan ini tidak akan menyebabkan gigi anda berlubang. Akan tetapi, gigi hanya akan berlubang apabila gula bersentuhan dengan gigi, lalu bakteria yang sentiasa berada di dalam mulut akan mula memainkan peranannya. Bakteria akan menggunakan gula ini sebagai ‘makanan’ mereka, dan akhirnya menghasilkan ‘bahan kumbahan’ berbentuk asid  yang berupaya melarutkan struktur gigi. Gula sahaja tanpa plak di gigi – juga tidak akan menyebabkan gigi berlubang.

Hakikatnya, kita tidak akan mampu mengawal kehadiran plak setiap masa. Atas sebab itu lah kita dikehendaki mengawal pengambilan gula, terutama sekali gula yang diambil di antara hidangan utama (selepas sarapan, selepas makan tengahari, selepas makan malam). Dalam tempoh antara hidangan utama ini, jika anda terus-terusan mengambil makanan bergula, anda sebenarnya telah memberikan bakteria pada gigi anda bekalan makanan yang banyak – dan bakteria akan terus aktif menghasilkan asid, lalu gigi anda akan lebih cepat larut dan berlubang!
Anda sangat dinasihatkan agar tidak mengambil makanan dalam tempoh antara hidangan utama – supaya air liur akan mempunyai masa untuk meneutralkan asid yang dihasilkan bakteria (semasa makan sarapan/tengahari/malam tadi) dan supaya dapat menyeimbangkan pH dalam mulut.

Bagi yang sangat suka memakan gula-gula, coklat, biskut, chewing gum di antara 3 masa makan yang utama, anda dinasihatkan agar mengubah tabiat anda; menjadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai snek anda. Jika buah-buahan dan sayur-sayuran ini sudah pun mengandungi gula (dan memang ada pun), bayangkan lah berapa banyak kandungan gula yang terdapat dalam snek coklat, biskut, gula-gula, chewing gum dan sebagainya. Ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqhiyah yang berbunyi ‘mengambil mudarat yang lebih ringan di antara dua mudarat, untuk menolak mudarat yang lebih besar’

Berikan Hak Kepada Gigi
Mulut anda memerlukan sekurang-kurangnya 20 minit selepas makan, untuk mengimbangkan semula pH. Jika anda tidak berhenti dari tabiat makan-sepanjang-hari, asid di dalam mulut anda akan terus melarutkan gigi tanpa anda sedar. Kurangkan pengambilan minuman manis, dan pilih lah air kosong/mineral.

Gosok Gigi!
Jika anda masih tidak boleh mengurangkan pengambilan makanan manis, maka jangan lupa bahawa gigi berlubang wujud apabila ada kombinasi plak DAN gula. Maksudnya, gigi yang kerap dibersihkan – tidak akan mudah berlubang. Jadi, beruslah gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari atau jika mampu, setiap kali anda berwudhu’ sebelum solat.

Oleh:
Nabilah Mohd Yaakob
Tahun 3 Pergigian
Jordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s