Sepertimana Bidadari

Wahai adikku yang dikasihi sepenuh hati,

Saat pertama kali bersalaman setelah disarungkan cincin, hati kakak tidak berdebar-debar sepertimana yang novel-novel cinta gambarkan. Tiada juga renjatan elektrik yang dirasakan bila pertama kali bersentuhan umpama yang filem-filem cinta kisahkan. Yang ada hanyalah suatu kedamaian yang mengalir meresap ke hati, dan rasa selesa menggenggam tangannya ibarat kedua-dua tapak tangan kami telah lama berkenalan. Perasaan malu tetap menyelubungi kerana hakikatnya kedua-dua pemilik tapak tangan yang sedang bersalaman itu belum pernah berbalasan pandangan mata mahupun senyuman, apatah lagi bicara yang melangkaui urusan kerja.



Untuk apa kakak menulis mukaddimah seperti itu?

Kalau bukan kerana cinta, kakak tidak akan tergerak untuk melayangkan curahan hati terbuka ini.

Kerana cinta, kakak ingin yakinkan adik kakak, bahkan semua wanita muslimah di luar sana bahawa syariat sangat indah dalam meraikan fitrah. Terimbau kembali kenangan membawa PINTAR (kumpulan diskusi di bawah Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid) pada sesi lepas, ada yang melontarkan soalan kepada kakak,

“Realistik ke zaman sekarang kalau tak couple untuk dapat jodoh? Lepas tu, bagaimana nak cintai seseorang yang kita tak pernah kenal betul-betul?”

Laju kakak menjawab, “Memang macam tu zaman sekarang sebab masyarakat dah sangat rosak. Apa yang betul jadi salah dan apa yang bagus dipandang pelik. Tapi kita yang ada kesedaran agama, yang Allah dah pilih kena sangat thiqah dengan Dia, kena percaya betul-betul yang setiap apa yang Allah gariskan adalah yang terbaik untuk kita. Bukan setakat couple..hatta untuk elakkan zina, pandangan mata pun kita kena jaga kan.”

Jawapan berbaur keyakinan yang tinggi itu pantas dituturkan, namun sebenarnya hati kakak terdiam lama. Tidak dapat dinafikan, tahap-tahap keyakinan setiap individu pastinya berbeza.

Ada ‘ilmul yaqin atau keyakinan rasional; meyakini segala sesuatu berdasarkan ilmu dan pengetahuan. Kemudian terdapat ‘ainul yaqin atau keyakinan empirikal; keyakinan yang terbit atas sebab kita telah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Berbeza bukan sekadar mengetahui indahnya Petra di Jordan berbanding membelek gambar-gambar kota Petra yang tersergam indah? Tahap yang tertinggi ialah haqqul yaqin atau keyakinan hakiki; melibatkan dzouq (rasa) dengan sebenar-benarnya dan terbukti melalui pengalaman. Nah, apabila kita sendiri mengelilingi kota Petra, keyakinan mengenai keindahan Petra benar-benar terpahat di hati dan mustahil untuk sesiapa pun merenggut keyakinan tersebut daripada diri kita.

Bagi kakak, menjadi tanggungjawab golongan yang Allah telah kurniakan nikmat haqqul yaqin untuk berusaha menenangkan hati adik-adik yang masih berada di peringkat ‘ilmul yaqin atau ‘ainul yaqin. Rasa takjub bila mengalami sendiri cinta tanpa couple itu ingin kakak kongsikan dengan adik. Bukan untuk berbangga atau menceritakan hal rumah-tangga sedangkan perjalanan kakak masih jauh, tetapi untuk meningkatkan keyakinan adik bahawa janji Allah itu benar. Semoga adik dikurniakan kekuatan untuk percaya dengan janji Allah dan tidak terpengaruh dengan budaya couple yang menjadi norma masyarakat kita kini. Biar adik nampak kolot di mata manusia, namun adik sebenarnya dipandang tinggi olehi Allah dan para malaikat. Jangan sesekali meragui keupayaan Allah untuk menghadirkan rasa cinta selepas wujudnya ikatan yang sah. Malah, cinta yang barakah itu pastinya berjuta-juta kali lebih manis dan indah.

Wahai adikku, si mata-air kebangkitan ummah,

Andai kakak bertanya sekarang, apakah visi keluarga adik? Apakah yang adik inginkan bagi ibu dan ayah, adik-beradik, bakal suami, dan bakal anak-anak adik? Sasarkanlah visi adik sebagaimana yang telah Allah firmankan dalam Surah At-Tur ayat ke-21, “Orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan Kami kumpulkan anak cucu mereka dengan mereka. Dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Dengan visi yang sebegini mulia, haruslah kita mempermuliakan hidup kita. Bimbang bukan, kita bercita-cita untuk dikumpulkan di syurga Allah bersama keluarga kita, tetapi kita masih belum berperangai seperti ahli syurga. Kebimbangan ini seterusnya patut membuatkan kita cemerlang beramal dan bertindak, bukan futur atau lemah semangat mengenangkan prestasi diri yang masih corot.

Wahai adikku yang bernilai dan berharga,

Mari kita teladani ciri-ciri bidadari syurga, agar selayaknya kita menjadi ketua mereka bagi pasangan kita. Allah telah berfirman dalam Surah Ar-Rahman, ayat ke-56, “Dan di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni Surga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.”

Adikku sayang, sopan dan menundukkan pandangan itu subjektif, maka timbanglah segala perilaku kita dengan neraca iman. Walaupun dengan rakan sekelas atau pemandu teksi, ingatlah sabda Nabi s.a.w bahawa pandangan kedua itu adalah panahan syaitan. Takut-takut setiap kali kita terdetik,“Handsomenya mamat ni!”, bakal suami yang telah Allah catatkan untuk kita di Lauh Mahfudz juga terdetik, “Cunnya awek ni!” Takut-takut setiap kali kita melirikkan mata, bertambah titik hitam di hati yang memadamkan cahaya keimanan dan menyukarkan kita membuat kebaikan. Izinkan kakak untuk menghadiahkan adik hadith Nabi s.aw. ini yang diriwayatkan oleh Ahmad:

إِيَّاكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوِبِ، فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ

“Hati-hati kalian daripada dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa kecil itu bila berkumpul pada diri seseorang akan membinasakannya.”

Adikku sayang, jagalah adab-adab sewaktu diiringi muraqib agar hati kekal suci terpelihara. Bukan muraqib berjalan di hadapan atau belakang yang patut kita perdebatkan, tetapi yang perlu kita cakna adalah kita tidak membuka ruang untuk dicuri pandang mahupun ditegur sapa. Rendahkanlah suara dan hindarkan gelak ketawa sesama akhawat ketika di jalanan. Berterima kasih itu wajar, namun bertanyakan khabar itu seharusnya disambut hambar. Cantik sungguh lembaran sirah yang mencatatkan perjalanan pulang Aishah r.a, apabila beliau tertinggal mencari rantai selepas peperangan Bani Mustholiq. Bayangkan adik, Sofwan Al-Muaththol telah mengheret unta yang ditunggangi Aishah tanpa kedua-duanya bercakap walaupun sepatah kalimah.

Adikku sayang,  pastikanlah setiap aktiviti yang melibatkan syabab dan akhawat mempunyai objektif yang ingin dicapai, samada untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, memberi manfaat kepada dunia kita, ataupun membawa faedah buat akhirat kita. Pilihlah antara tiga objektif ini yang telah ulama’ sarankan. Kakak tersenyum bahagia mendengar kelas akademik, simulasi peperiksaan,diskusi ilmiah dan sebagainya yang dijalankan dengan kerjasama syabab dan akhawat. Kadang-kala pula, kakak berkerut dahi mendengar jamuan makan, rehlah batch, melancong dan sebagainya dilaksanakan dengan percampuran syabab dan akhawat tanpa keperluan yang mendesak. Suka untuk kakak petik kata-kata Imam Fakhrurazi bila beliau menerangkan mengenai ayat ke-48 Surah As-Saffat, “Ini menunjukkan betapa malunya bidadari syurga kerana “at-Torfu” adalah gerakan kelopak mata (eyelid). Bidadari tidak menggerakkan kelopaknya dan tidak mengangkat kepalanya untuk lelaki bukan suaminya.”

Adikku sayang, pergaulan di alam maya tiada beza hukumnya dengan pergaulan di dunia nyata. Bersembang mesra online dengan lelaki yang bukan muhrim menggambarkan status sebenar iman kita. Saidina Ali pernah mengungkapkan,

ٌ لِلْمُرَائِيْ عَلاَمَاتٌ، يَكْسُلُ إِذَا كَانَ وَحْدَهُ، وَيَنْشَطُ إِذَا كَانَ فِي النَّاسِ، وَيَزِيْدُ فِي الْعَمَلِ إِذَا أُثْنَى، وَيَنْقُصُ إِذَا ذُمَّ

“Orang yang riya, terdapat beberapa ciri, Malas  jika seorang diri, giat beramal jika di tengah-tengah orang ramai, bertambah semangat beramal jika mendapatkan pujian, berkurang  frekuensi amalnya jika mendapatkan celaan.”

Semoga kita tidak hanyut dengan hawa nafsu yang mengatakan “It’s okaylah..” untuk malas memelihara pergaulan di Facebook, Yahoo Messenger, Twitter, dan lain-lain lagi. Adikku, lawan kepada sikap riya’ adalah sifat ikhlas. Bagaimana agak-agaknya tahap ikhlas kita jika diri kita yang bersendirian menghadap laptop berbeza berbanding diri kita yang malu tersipu-sipu di khalayak orang?

Adikku sayang, firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat ke-71 berbunyi, ”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Marilah kita bantu mujahid-mujahid ummah kita menundukkan pandangan dengan tidak meletakkan gambar online yang jelas memampangkan wajah mujahidah-mujahidah ummah kita. Sepertimana bidadari syurga, keayuan adik dan sahabat-sahabat adik mestilah istimewa buat mereka yang membayar mahar yang digariskan-Nya. Namun, janganlah sesekali marah atau mengguriskan perasaan ahli keluarga adik atau sahabat-sahabat yang meng-upload foto adik. Qudwah hasanah itu jauh lebih baik daripada kritikan. Lambat laun, mereka akan mengerti dengan izin Allah.

Buat adikku bakal bidadari syurga, maafkan kakak andai ada perkataan yang tidak ditepati amalan. Saling menasihati dan mendoakan, kakak titipkan ayat-ayat Allah ini sebagai pendamai jiwa adik.

“Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Rabbnya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).  iaitu syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapa mereka, isteri-isteri mereka dan anak cucu mereka, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima shabartum”.  Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” [Ar-Ra’du:22-24]

Oleh;

Nadhirah Sahri
Tahun 4 Perubatan, JUST

2 thoughts on “Sepertimana Bidadari

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s