Harta, Tiket ke Syurga

Daripada Ibnu Omar r.a berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata:

“Hai Rasulullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita.” Lalu, Nabi s.a.w menjawab, “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat.” [Hadis riwayat al-Baihaqi.]

Tersedar dari lamunan tidur dan angan-angan, sungguh, memang benar sabda Baginda SAW. Lihat sahaja realiti di Malaysia, bukan kita yang menguasai sumber ekonomi negara tapi hebat dimonopoli bangsa yang tidak seakidah dengan kita. Hasil yang kita baja dan tuai sekian lama, namun untungnya hanya mampu kita lihat, mengalir terus kepada kukuhnya kedudukan mereka di tanah milik kita.


“Ibarat memagari pohon nyiur yang condong, buahnya jatuh ke tanah orang,” HAJI MAHDZIR, perunding kewangan

Bertahun-tahun menanam pohon nyiur di tanah sendiri sambil dipagari pagar besi di sekelilingnya, acapkali kita lupa, atas sebab kecondongannya, boleh jadi buah jatuh ke tanah jiran-jiran. Akhir bulan, kita yang terkejut sendiri.

Apa yang tinggal pada kita? Hanya batang yang perlu dibaja dan disiram setiap hari, namun yang menikmati manisnya air kelapa, lazatnya santan dalam masakan, seronoknya membakar bahulu dengan sabut kelapa, masih juga bukan kita.

Tidak ingin saya panjangkan bicara dengan fakta-fakta yang mengguris tajam hati-hati kita , cukuplah dengan kesedaran yang perlu kita pupuk dalam agenda menguasai ekonomi negara dengan satu langkah.

Iaitu ;  bijak mengurus kewangan kita.

Kuatnya ISLAM bukan sekadar minda, tapi wang perlu dijana

Dalam usaha memakmurkan Islam, tidak boleh kita nafikan, kekuatan ekonomi menjadi tunjang dan pangkal utama ke arah pengukuhan dan kestabilan syiar Islam itu sendiri. Tidak dapat tidak, seorang individu muslim itu perlu tersemat salah satu sifat antara 10 Muwasofat Tarbiah iaitu ‘Munazzom fi Syuunihi’, yakni teratur urusannya.

Tidak pernahkah sabda Nabi ini menjentik halus hati-hati kita?

“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan BAGAIMANA IA DIBELANJAKAN dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?”

Mengurus kewangan memang payah,namun mahu atau tidak, itulah tanggungjawab kita sebagai muslim yang amanah dengan harta kurniaan Allah. Ingin berhemah dalam perbelanjaan?Teruskan membaca, kali ini kita rangkumkan 5 cara bijak mengurus wang dalam satu perkataan, M.A.B.R.U.K .

º MAHU ATAU PERLU?

Utamakan prioriti dalam membeli barang keperluan. Jikalau barang itu memang menjadi keperluan asas diri dan digunakan dalam frekuensi yang berterusan, maka tidak salah untuk membeli.

Tapi jikalau barang itu sekadar menjadi pemuas nafsu untuk dipamerkan di khalayak ramai atau mungkin dijadikan tiket untuk berlumba-lumba dengan rakan sendiri, maka tepuk dada tanya iman.Tidak logik jika membeli ‘case’ telefon baru setiap bulan dengan alas an untuk mengikuti arus fesyen terkini. Alasan pergi membeli-belah untuk mengurangkan stress di musim peperiksaan juga perlu kita renung kembali.

Bukankah hidup bersyariat ini seharusnya membantu membentuk peribadi muslim yang jelas dalam setiap tingkah lakunya?

º ANALISA PERBELANJAAN

Setiap kali pulang membeli belah, duduk sebentar dan semak bil perbelanjaan masing-masing. Bil itu bukan untuk dibuang, atau sekadar menjadi bahan bukti kalau-kalau hendak memulangkan barang yang rosak sahaja, bahkan ia merupakan cerminan kepada perbelanjaan kita yang tidak kita sedari.

Gariskan barang-barang yang dirasakan tidak perlu atau melebihi bajet perbelanjaan. Tandakan barang yang dilihat terlalu kerap dibeli tapi tidak membawa faedah. Nah, ini satu teknik muhasabah terbaik!

º BOROS BAWA BENCANA

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir,dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara uang demikian”(Al-Furqaan;27)

Tinggalkan sifat boros, tinggalkan bersahabat baik dengan syaitan. Letakkan target berbelanja dan senaraikan barang-barang yang ingin dibeli. Paling utama, patuhi target anda sewaktu membeli!

Susah? Bawa bersama rakan yang boleh membantu kita mengawal sikap ‘teruja’ membeli belah dan menasihati kita agar tidak boros bahkan meletakkan diri kita dalam situasi sentiasa berjaga-jaga sepanjang berbelanja.

º RANCANG HARI SENJA

Satu perkara yang perlu kita ingat, hidup ini bukan selalunya indah. Ibarat roda yang berputar, ada masa putarannya cantik, kita di atas. Sunnatullah, pastinya ada masa kita akan di bawah. Pada waktu sebegini lah sumber kewangan yang benar-benar mantap dan mencukupi amat diperlukan.

Merancang tabungan dan pelaburan yang menjamin untuk masa depan perlu dilakukan sejak awal lagi. Tetapkan simpanan tetap untuk setiap bulan dengan sistematik.Wujudkan formula mudah :
WANG MASUK – SIMPANAN = PERBELANJAAN

WANG MASUK – PERBELANJAAN = SIMPANAN X

Setidak-tidaknya, kita akan tersenyum sendirian sewaktu kesusahan kerana tidak perlu meminta-minta dan mengharap simpati orang lain dalam menyelesaikan masalah sendiri. Hah, cukup tepat dengan antara 10 Muwasofat Tarbiah, “Qadirun ala Kasbi” : berdikari atas diri sendiri.

º USAHA ISTIQAMAH

Setiap amalan yang baik akan dapat dituai hasilnya jika wujud sifat istiqamah, yakni berterusan.Teruskan membina sifat-sifat mahmudah ini dalam mengurus keperluan diri dan kewangan. Ibarat menanam pokok bunga ros di hadapan rumah, tapi tidak dibelai dan dibaja setiap hari, mana mungkin haruman bunga ros yang segar menjadi penyeri halaman kita suatu hari nanti.

Yakinlah dengan pengurusan yang teratur, jaminan masa depan ternyata lebih baik.Kewangan yang tersusun kelak mampu menguntum secangkir senyuman dan rasa lega di hati kita.

º KEJAR SAHAM AKHIRAT

Dalam mengejar keselesaan dunia, jangan dilupa saham yang perlu kita cari untuk dipersembah di hadapan Allah kelak. Harta yang melimpah ruah tidak ada ertinya jika disimpan sekadar untuk kegunaan sendiri sahaja. Mana mungkin kita bisa hidup bersenang lenang sedangkan masih ada anak kecil di Palestin yang merengek kelaparan?

Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Banyakkan menderma dan menginfakkan harta di jalanNya.Tetapkan sasaran derma yang ingin dicapai setiap bulan,bukankah lebih banyak itu lebih baik? Mulakan dengan ringankan tangan menghulur duit dalam tabung-tabung masjid dan bersedeqah kepada anak yatim. Isu kemiskinan ummah di Palestin juga seharusnya dijadikan suntikan semangat dalam usaha menyalurkan duit kita ke sana.

Jika kelima-lima sikap ini telah berjaya kita amalkan, saya ucapkan MABRUK!

Tiada apa yang mustahil

Melihat kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar al Bukhary, figura ketujuh terkaya di Malaysia dengan aset kekayaan $2.5 billion, ramai yang terkejut apabila beliau menamatkan pelajaran hanya sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata akibat kekangan wang untuk menyambung pelajaran.

“Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.”– Syed Mokhtar alBukhary

Didik jiwa agar punya jiwa besar seperti Abdul Rahman bin Auf, dermawan Islam yang kaya-raya tapi tidak pernah sedikitpun harta itu memenjara hatinya dengan dunia, sebaliknya kesemuanya diinfakkan ke jalan Allah agar punya saham dan jaminan di sana.

Tunggu apa lagi? Pintu sudah diketuk,terpulang mahu bermula bila dan bagaimana.Apa pun caranya,tetapkan matlamat dan minda, jadikan M.A.B.R.U.K sebagai prinsip hidup. Jadikan harta sebagai tiket pantas ke syurga, bukan peneman karib ke neraka.

Oleh :
Sakinah Zulkarnain
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s