Kekuatan Surah Al-Asr

Ketika berada di dalam kelas I’jaz Al-Quran, Doktor Nail mengajukan satu persoalan kepada kami. Mengapakah ‘Al-Asr’ dikaitkan dengan masa? Pelbagai jenis jawapan dilontarkan bagi menunjukkan hubung kait antara keduanya.

Dalam Tafsir Fi Dzilalil Quran, Sayyid Qutb mengatakan, “Pada surah yang hanya memiliki tiga ayat ini, terkandung suatu manhaj yang menggambarkan keseluruhan kehidupan manusia sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Diriwayatkan bahawa Imam Syafie pernah berkata, “Seandainya Al-Quran tidak diturunkan, nescaya satu surah ini sudah cukup menjadi petunjuk buat manusia. Kerana di dalamnya terkandung hampir keseluruhan pesanan daripada Al-Quran”.

Secara praktikalnya, kita dapat lihat bahawa manusia tidak dapat dipisahkan dengan masa. Setiap perilaku dikaitkan dengan masa, kerana masa itulah yang menghadkan umur kita sedari lahir sehingga jasad terbujur kaku.

Tafsir Surah Al-Asr
1) Allah SWT berfirman :

وَالْعَصْرِ﴿١

“Demi masa”

Para ulama menafsirkan kalimah “Al-Asr” dalam banyak keadaan.

Pertama: Masa. Menurut Ibn Abbas, kalimah “Asr” di sini sangatlah tepat jika ditafsirkan sebagai waktu. Ramai manusia tidak memahami hakikat waktu dengan menghabiskannya dengan sia-sia.

Kedua: “Asr” di sini bererti solat Asar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah bersabda, “Jagalah solat-solatmu, dan solat Asar”.

Ketiga: Zaman Nabi SAW; kerana kehidupan Nabi SAW adalah contoh terbaik sejarah peradaban manusia.

Keempat: Sebahagian ulama menafsirkannya sebagai Tuhan pemilik waktu. Ketika Allah SWT berfirman, “demi masa” hendaklah difahami sebagai “Demi Tuhan, pemilik peredaran waktu”.

Hasan Al-Basri berpendapat bahawa ‘Al-Asr’ adalah waktu petang, kerana pada waktu inilah berakhirnya segala aktiviti manusia dan masa untuk menghitung untung dan rugi melalui apa yang telah dilakukannya semenjak pagi hingga petang. Dalam konteks waktu juga, sebahagian ulama menyimpulkan bahawa biasanya Allah bersumpah dengan waktu dhuha dalam konteks keberuntungan dan dengan waktu petang dalam konteks kerugian.

2) Allah SWT kemudian berfirman :
إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ(٢

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian.”

Ayat ini merupakan jawapan kepada sumpah Allah SWT tentang waktu. Allah SWT menggunakan dua penegasan sekaligus dalam ayat ini. Iaitu, kalimah “inna” dan huruf “lam” pada kata “fi”. Hal ini menunjukkan bahawa manusia sering alpa akan waktu yang dimilikinya. Sehingga Allah menegaskan bahawa orang seperti itu akan benar-benar hidup di dalam kerugian. Menurut Ibn Abbas, ayat ini diturunkan oleh Allah SWT, kepada sekelompok kaum Musyrikin Mekah. Mereka itu adalah Al-Walid bin Al-Mughirah, Ash bin Wail, Al-Aswad bin Abdul Muthalib, dan Aswad bin Abdul Yagust. Tokoh-tokoh Musyrikin Mekah ini sering berseronok tanpa menyedari perubahan kerut muka di wajah, uban menguasai kepala dan kesihatan badan yang mulai menurun akibat dimamah usia.

Orang seperti ini benar berada dalam kerugian. Pepatah Arab mengatakan, waktu laksana pedang, sekiranya engkau tidak menggunakannya, nescaya ia akan memotong usiamu. Manusia yang beruntung ialah mereka yang mampu memanfaatkan semaksima mungkin masanya dengan teratur dan sistematik.

3) Kemudian Allah SWT memberikan pengecualian kepada sekelompok manusia dengan berfirman :
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ﴿٣

“Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.”

Pengecualian itu diberikan kepada kelompok yang beriman. Allah SWT memberikan suatu pra-syarat tentang kelompok ini. Iaitu mereka yang berbuat baik, saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Dengan kata lain, seseorang yang mengaku beriman, tidak cukup dengan hanya mengaku di bibir tetapi dibuktikan juga dengan tindakan ke arahnya.

I’jaz Surah Al-Asr

Sayyid Qutb memahami aspek I’jaz Quran yang ketara pada surah ini. Sebagai contoh, irama surah ini menunjukkan satu keserasian di mana pada akhir setiap ayatnya di akhiri dengan huruf “ra”. Susunannya juga indah; bermula dari yang ayat yang pendek sehingga ayat yang panjang.

Hanya dalam tiga ayat, dapat menggambarkan kehidupan manusia yang dikehendaki oleh Islam yang berlaku sepanjang zaman dan pada setiap generasi. Sangat mudah formula yang telah digariskan oleh Allah SWT sebagai manhaj dan jalan daripada kerugian seperti yang dirumuskan dalam surah ini, iaitu iman, amal soleh, saling menasihati dalam mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran.

Disebutkan bahawa apabila dua orang sahabat Rasulullah SAW bertemu, salah seorang dari keduanya akan membacakan surah ini sebelum berpisah. Kemudian saling mengucapkan salam dan saling berjanji serta berkomitmen untuk tetap berpegang teguh dengan iman dan beramal soleh, saling berjanji untuk sentiasa berpesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran dalam menjalani kehidupan.

Waallahu’alam.

Oleh:

Noor Hidayah Adzman,

Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu,

Jami’ah Mu’tah, Karak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s