Tarbiyyah Zatiah dorong Daei jadi lebih inovatif & kreatif

Tarbiyah zatiah merupakan satu rangsangan dalam diri seseorang untuk berusaha mendidik diri sendiri melakukan tiga perkara;

1. Melaksanakan amal ibadat berbentuk peribadi seperti mengerjakan solat, berpuasa, menutup aurat, bersedekah dan lain-lain lagi.

2. Menghadiri program-program umum yang membentuk pemikiran, peribadi dan menambah ilmu pengetahuan.

3. Menghadiri program-program jamaah yang telah disusun oleh organisasi yang dia terlibat.

Tarbiyah zatiah sangat penting difahami oleh para pendakwah, bukan kerana hanya apabila mereka berada jauh daripada organisasi dakwah, bersendirian dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar, hidup dalam masyarakat yang jauh daripada penghayatan Islam, malah tarbiyah zatiah juga penting bagi para pendakwah yang bersama dalam organisasi, tinggal bersama-sama masyarakat yang faham dan mengamalkan ajaran Islam.

Antara sebab-sebab kepentingan itu ialah;

1. Memenuhi mas’uliah fardiyah

Mas’uliah fardiyah ialah tanggungjawab seseorang kepada dirinya sendiri. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab kepada diri masing-masing. Firman Allah dalam surah al-Isra’ (17:15) yang bermaksud;

15. Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Allah Taala menegaskan tentang tanggungjawab seseorang ke atas dirinya sendiri. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah Taala, faedah petunjuk yang diperoleh itu kembali kepada dirinya, begitu juga sesiapa yang sesat, kesesatan itu akan ditanggung sendiri oleh manusia. Malah, Allah Taala menegaskan seseorang itu tidak akan menanggung dosa hasil perbuatan orang lain melainkan ia hanya menanggung dosa hasil perbuatannya sahaja.

Begitu juga dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut tentang ganjaran  pahala kepada sesiapa yang mengajak kepada kebaikan dan hidayah serta dosa kepada sesiapa yang mengajak manusia melakukan kejahatan.

Ini menunjukkan manusia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang dilakukannya sewaktu di dunia ini di hadapan Allah Taala di akhirat kelak.

2. Hisab pada hari kiamat adalah secara individu

Pada hari kiamat kelak, semua manusia akan dihisab oleh Allah Taala secara persendirian. Firman Allah dalam al-Baqarah (2:48) yang bermaksud;

48. Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada menerima hisab amalan mereka pada hari akhirat kelak. Sesiapa yang melakukan dosa akan menerima azab daripada Allah Taala, malah tiada sesiapa yang akan menolong dan memberi syafaat kepada dosa yang dilakukan sewaktu di dunia, akibat daripada kecuaian dan kelalaiannya mengingati dan mentaati Allah Taala.

Setiap kita akan bertemu Allah secara individu, akan dihisab secara individu, oleh sebab itu ia hendaklah bertanggungjawab ke atas dirinya, mendidik dirinya serta membimbing dirinya menuju ke jalan kebenaran dan kebaikan.

3. Manusia lebih tahu apa yang ada dalam jiwanya

Sebagai manusia yang ciptakan Allah Taala serba kekurangan dan kelemahan, tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan. Kadang-kadang kita boleh menyembunyikan kesalahan dan kelemahan kita daripada pengetahuan keluarga dan rakan-rakan, namun begitu tiada seorang pun yang boleh menyembunyikan kelemahan dan kekurangannya daripada Allah Taala. Dalam hal ini, kita sebenarnya lebih tahu apa yang ada dalam diri, kesalahan yang telah kita lakukan, kejahatan yang telah kita sembunyikan, keburukan yang bermain dalam kepala dan sebagainya. Oleh sebab itu, tarbiyah zatiah berupaya membentuk dan membimbing diri ke arah perubahan yang lebih baik dan memberi muhasabah kepada diri sendiri, yang tidak mampu dilakukan oleh keluarga, rakan-rakan kerana mereka tidak mengetahui tentang kesalahan dan dosa yang kita lakukan.

4. Program-program kemasyarakatan memerlukan reaksi dan respons dari individu

Program-program kemasyarakatan dan jama’iah banyak memberi sumbangan dan faedah kepada sesiapa yang menghadiri dan mengambil manfaat dengan pengisian yang diberikan. Namun begitu, kebaikan dan faedah yang ada dalam sesuatu program tidak akan berjaya dicapai sekiranya tidak dihadiri oleh individu-individu yang memerlukan pengisian tersebut. Ia diibaratkan seperti air hujan yang mencurah ke tanah yang kering kontang, yang akhirnya menumbuhkan berbagai-bagai tumbuhan dan tanaman hasil daripada iar hujan tersebut.

Begitulah juga hati manusia, perlukan bimbingan, petunjuk, tunjuk ajar dan curahan ilmu bagi membentuk keperibadian yang baik dan jati diri seorang muslim yang soleh dan baik kepada agamanya.

5. Mengatasi kelemahan yang ada pada murabbi

Sebagai manusia, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan. Begitu jugalah para murabbi dan guru-guru yang mendidik pelajar. Mereka juga adalah manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan berdosa. Kita biasanya mengagumi keperibadian guru dan murabbi, kita bercita-cita untuk mencontohi pengorbanan dan keperibadiannya yang berani, bijak dan berketerampilan. Namun begitu, tidak dapat dinafikan para guru dan murabbi juga adalah manusia yang kadang-kadang tersilap dan melakukan kesalahan.

Tarbiyah zatiah membantu mutarabbi dan pelajar untuk tidak merasa kecewa dan ragu-ragu dengan jalan dakwah yang didokong apabila melihat ada kalangan murabbi dan daieah melakukan kesalahan dan dosa. Malah tarbiyah zatiah berupaya membina jatidiri mutarabbi agar tidak mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan sifat negatif yang ada pada murabbi. Tarbiyah zatiah inilah yang akan membantunya mengimbangi dan menilai antara yang baik dengan yang buruk.

Tarbiyah zatiah boleh dijana melalui kelaziman kita menjaga hubungan dengan Allah Taala. Sangatlah benar hadis Rasulullah s.a.w. yang menekankan umatnya agar memelihara Allah dalam tutur kata dan perbuatan, kelak Allah Taala akan memelihara kita dalam kehidupan. Para pendakwah digalakkan untuk sentiasa membaca mathurat, tilawah al-Quran, berzikir, melakukan ibadat sunat dan nawafil, bersedekah dan berbuat baik bagi memastikan tarbiyah zatiah terbentuk dengan mantap dalam jiwa.

Menghadiri kelas-kelas pengajian ulum syara’ juga adalah satu cara bagi menjana tarbiyah zatiah dalam diri. Para pendakwah boleh memanfaatkan program-program agama dan ulum syara’ yang diadakan di masjid-masjid bagi menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama dan penghayatan Islam.

Latihan amali dan praktikal sangat digalakkan bagi membantu para pendakwah menguasai sesuatu ilmu yang dipelajari. Berusaha untuk memahami dengan melakukan berbagai-bagai-bagai latiahan amali membantu para pendakwah menguasai sesuatu ilmu. Ini mendorong para pendakwah untuk melaksanakan amal dakwah dengan kebih berkesan dan efisyen kerana bekalan ilmu pengetahuan

Kesimpulannya, tarbiyah zatiah berupaya membantu para pendakwah mengurus tanggungjawab dakwahnya dengan berkesan, inovatif dan kreatif tanpa berharap kepada orang lain yang akan menggerakkan amalnya. Kekuatan tarbiyah zatiah dalam diri seseorang membentuk motivasi kerja yang cemerlang bagi memastikan dakwah terus bergerak di medan dan sampai kepada masyarakat keseluruhannya.

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita dan Keluarga
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s