Ya Akhawati, Gilaplah Potensimu

Mungkin wanita selalu disinonimkan dengan insan di dapur. Tidak dinafikan bahawa wanita sememangnya tempatnya di dapur, tetapi insan yang di dapur inilah aset terpenting dalam menerajui hala tuju negara. Hal ini kerana, dalam kemelut dunia yang penuh dengan tribulasi bencana alam, ketidak stabilan ekonomi serta kejumudan akhlak, pemuda sama ada lelaki mahupun wanita  perlulah menggembleng tenaga dan memainkan peranan masing-masing dalam melonjakkan semangat aktivisme yang ada dalam diri.

Kenapa perlu kepada pemuda?

Allah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)

Pemuda memiliki semangat yang tidak dimiliki oleh golongan selainnya. Mereka juga memiliki kreaitiviti, idea dan tenaga untuk mencapai satu idealisme dan visi yang mungkin tidak dapat dicapai oleh golongan selainnya. Gelora semangat ini sangat perlu dipandu agar tidak menjadi statik sehingga akhirnya merugikan masyarakat yang dahagakan anjakan perubahan di era globalisasi ini.

Rasulullah SAW,bersabda: “Manfaatkan lima perkara sebelum datangnya lima perkara: masa mudamu sebelum datang masa tuamu; masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu; masa kayamu sebelum datang masa miskinmu; masa hidupmu sebelum datang masa matimu; masa luangmu sebelum datang masa sibukmu.” (H.R. Al Baihaqi)

Sesungguhnya masa muda adalah masa ghairah untuk melonjakkan aktivisme dalam diri yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. Masa itu tidak akan kembali andainya waktu itu sudah berlalu.

Terdapat 4 potensi yang dimiliki oleh pemuda dan perlu diasah dengan sebaiknya :

a) Potensi akal.

Di sini dapat dilihat bahawa, seorang pemuda itu perlulah merasakan bahawa budaya membaca adalah sebahagian dari dirinya. Dia juga perlu bersungguh-sungguh dalam menuntut kursus yang diceburinya dan sebolehnya menjadi pakar di dalam jurusan tersebut. Di samping itu, perlu melengkapkan diri dengan pelbagai aspek keilmuan, baik dari aspek ekonomi, sosial, sejarah, sains, sastera, malahan politik dan ketenteraan. Ini adalah perlu kerana dengan ilmu sahaja mereka akan dapat menggerakkan dunia yang berada di sekelilingnya. Kepentingan membaca ini juga teramat penting bukan sahaja kerana menjadi satu budaya dalam masyarakat, namun kita juga perlu melengkapkan diri dalam mengenal helah dan tipu daya masyarakat lain yang boleh menjatuhkan peradaban kita. Potensi akal ini juga perlu dimanfaatkan untuk mencernakan idea-idea dan kreaitiviti yang luar biasa.

b) Potensi hati dan ruh.

‘ Ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging, seandainya baik, maka baiklah seluruh jasad itu, dan sekiranya rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati’ ( Riwayat Bukhari dan Muslim).

Akal dan hati datang beriringan . Salah satunya tidak dapat hidup tanpa selainnya. Hati merupakan raja kepada jasad dan akal. Jika hati itu bersih, maka akan benarlah jasad dan juga akalnya. Kerana itu para pemuda perlu memperkasakan hatinya dengan ilmu-ilmu kerohanian dan kejiwaan. Berkawan dengan kelompok manusia yang berakhlak mulia serta mempraktikkan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Ia merupakan satu kaedah yang terbaik dalam memelihara potensi hati ini.

c) Potensi Jasad.

Tenaga merupakan satu anugerah yang hanya boleh dirasakan kenikmatannya oleh orang yang pernah merasai kehilangannya. Tentunya tenaga orang muda berbeza dari tenaga orang tua, mahupun tenaga anak kecil. Sejarah membuktikan bahawa orang muda banyak mencipta nama, malah mampu membuat pelbagai perkara dalam masa yang sama.  Rasulullah sendiri berjalan kaki ke Yathrib untuk berdakwah. Peperangan zaman Islam kebanyakkan melalui padang pasir yang sangat panas dan jauh. Inilah tenaga orang muda yang perlu dikerahkan dan digilap. Tidak layak tenaga ini dicurahkan semata-mata di atas meja study mahupun medan perdebatan semata-mata. Tenaga yang masih mengalir ini seharusnya dicurahkan juga buat masyarakat  yang memerlukan tenaga kita.

d) Potensi masa.

Rata-rata bagi para pemuda yang masih menuntut mempunyai potensi masa yang lebih banyak berbanding mereka yang sudah berkeluarga, bekerja dan mempunyai komitmen yang lain. Setiap pemuda perlu meletakkan visi dalam hidupnya. Dengan visi ini hidupnya akan terarah. Tentunya dalam Islam, Allah telah pun meletakkan visi itu di dalam hidup kita.

Firman Allah yang bermaksud :

‘ Tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku ‘ ( Az-Zariyat : 56)

Jika setiap insan memahami makna kepada ayat ini, tentunya dia telah pun mempunyai visi dalam hidupnya. Visi kita adalah untuk menyembah Allah dan mencari redhaNya. Maka seluruh potensi kita, potensi akal, potensi hati, potensi jasad dan potensi masa akan digunakan bagi mencapai visi ini.

Kita mempunyai potensi yang besar! Kita mampu mengubah hidup kita. Kita juga mampu memimpin masyarakat dan menganjakkan masyarakat dari satu paradgima yang rendah kepada kemuliaan. Kita mampu mencipta nama yang hebat di mata dunia. Ini semua boleh berlaku jika kita benar-benar menggunakan segala potensi yang kita ada. Perlulah disedari bahawa segala upaya dan usaha kita merupakan manifestasi ibadah kita kepada Allah jika kita benar-benar berniat untuk mencapai keredhaanNya.

Ibrah daripada kehebatan Ummu Sulaim

Ummu Sulaim, seorang wanita yang amat teguh pendiriannya terhadap Islam. Ini dapat dilihat apabila suami pertamanya mengajak beliau kembali kepada agama yang asal dan beliau enggan berbuat demikian sehingga sanggup berpisah dengan suaminya. Setelah suaminya meninggal dunia, beliau telah dilamar oleh Abu Talhah yang mana pada ketika itu Abu Talhah belum memeluk Islam. Abu Talhah telah meminangnya dengan mahar emas dan perak. Lantas wanita hebat ini berkata, “Aku tidak berhajat kepada dua benda ini, akan tetapi maharku adalah Islam. Sekiranya engkau terima, maka aku tidak berhajat kepada perkara yang lain”. Akhirnya Abu Talhah bersetuju dan berkahwin dengan beliau. Hasil perkahwinannya dengan Abu Talhah, beliau dikurniakan seorang anak bernama Abu Umair. Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita tentang kematian anakku ini kepada suamiku”. Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, dia bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab, “Anak kita berada dalam keadaan aman”. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim, “Wahai suamiku, andaikata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya?” Jawabnya: “Tidak”. Kemudian Ummu Sulaim dengan tenangnya berbicara, “Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali”. Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia redha dengan takdir Allah.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu dalam menghadapi detik-detik kematian anaknya dan betapa bijaknya dalam menyampaikan khabar duka itu dengan menggunakan kaedah yang menarik. Begitu juga dengan kekentalan imannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang dicintainya dan menukarkan emas dan perak dengan Islam sebagai maharnya.

Wanita agen perubahan

Di zaman Arab Jahiliyah, mempunyai anak perempuan merupakan aib terbesar. Untuk menutupinya, seorang bapa akan membunuh anak perempuannya. Jika dilihat dari segi negatif lain, wanita dikatakan tunjang kepada kerosakan sesuatu bangsa. Hal ini dapat dilihat dengan kekalahan Caesar karena tergoda dengan Cleopatra.

Tetapi, sekiranya dilihat dari segi positifnya, wanitalah penentu pembangunan negara. Hal ini kerana, wanita adalah seorang ibu. Peranan sebagai ibu yang akan memposisikan diri wanita sebagai juru perubah. Seorang ibu tampil menjadi insan yang sangat berpengaruh dalam pembentukan generasi masa hadapan. Apabila wanita baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik. Sebaliknya, apabila wanita rosak, masyarakat pun akan rosak. Sungguh, apabila mereka benar-benar memahami agama, hukum dan syari’at Allah, nescaya mereka akan mampu melahirkan generasi-generasi baru yang hebat dan berguna untuk umat keseluruhannya.

Maka atas kesedaran inilah, pentingnya bagi seorang wanita itu sedar akan perlunya bagi mereka menggunakan semaksima tenaga dan potensi mereka dalam membentuk diri seorang muslimah yang ideal.

Noor Hidayah Adzman

Tahun 3 Fiqh Wa Usuluh

Universiti Mu’tah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s