Basahkan Ukhuwwah Yang Gersang

Terasa baru semalam kita menguntum senyum pada rakan, membalas kerlingan mata dengan sapaan, berjabat tangan erat berpelukan tanda rindu yang sudah lama tidak terutus. Nyaman…

Hari ini, tiba-tiba senyum menguntum tidak lagi segar, jelingan mata melirik tajam, berselisih bahu di jalanan juga tiada sapaan mesra seperti selalu dan hari-hari dulu. Musykil… Terkadang tertanya mengapa tali ukhuwwah mengendur, tidak lagi kukuh, goyangnya begitu kuat walau disapa angin sepoi-sepoi bahasa. Ayuh, mari koreksi diri, muhasabah kembali mana hilangnya kemanisan ukhuwwah milik Allah ini.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” (Al Hujuraat : 10)

Tidak santun dalam bicara

Kadang-kadang, laju benar lidah menghambur kata tanpa sempat dihakimi akal & pemikiran. Terlalu banyak berkata-kata juga terkadang bawa mudarat kepada diri sendiri. Terlalu asyik bersembang, sampai tidak sedar perlahan-lahan hati sahabat terguris dengan pertuturan kita. Boleh jadi kata-kata yang dianggap sudah cukup baik, hakikatnya meninggalkan kesan pada sahabat kita. Boleh jadi pertuturan yang dianggap kiasan, tidak disenangi hati sahabat.

Manusia biasa, selalu kita sukar mengawal nada percakapan. Yang sepatutnya berunsur nasihat, kita sampaikan dengan nada mengarah dan menyalahkan. Yang hakikatnya berbentuk pujian, kita zahirkan dengan nada perlian atau kejian. Kritikan-kritikan yang pedas juga dilempar sesuka hati.

Menegur sahabat memang payah, tapi punya cara dan ‘skill’ yang tersendiri. Tegurlah dengan cara yang tidak mengaibkan sahabat, tegurlah dengan penuh hikmah dan unsur berlemah lembut kerana untuk mengakui kesalahan memang sukar, apatah lagi membetulkannya.  Memang payah menjaga hati manusia, namun itu lah manisnya dan istimewanya seorang sahabat. Hati yang perlu kita jaga dengan kasih sayang.

Kerana itu awal-awal lagi Ali bin Abu Thalib berkata : “Barangsiapa lembut tutur katanya, nescaya manusia suka dengannya”. Berhati-hatilah menjaga pertuturan, kerana dek satu perkataan yang tersasar nada dan maksudnya, hati kawan bisa dirobekkan.

Malu zahirkan cinta

Ya benar, kita sayang dengan sahabat kita. Jarang sekali bertelingkah dalam urusan-urusan kecil malah sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain. Namun terlahirkah maksud cinta sekadar melalui perlakuan-perlakuan itu? Kadang bahasa jiwa perlu diungkap agar teman sekeliling mampu mengerti. Malu?

Sabda Rasulullah SAW;

“Jika seorang di antara kamu mencintai saudaranya kerana Allah, maka khabarkanlah kepadanya, kerana hal itu dapat mengekalkan keakraban dan memantapkan cinta.”

Nah! Rasulullah sendiri gemar memanggil sahabat-sahabat baginda dengan ungkapan cinta dan kasih sayang, “ Wahai Umar yang aku kasihi”, “ Wahai Abu Bakar yang aku sayangi”. Mengapa tidak kita praktikkan akhlak Qudwah Hasanah yang cukup indah ini?

“Kepada sahabat yang ku kasihi hingga ke syurga”

“ Saya sayang kamu kerana Allah, ayuh berteman demi redha-Nya !”

“Terima kasih masakkan hari ni, habibti !”

Mungkin terdengar unsur janggal di situ, namun percayalah, kesannya akan berpanjangan dan berkekalan insyaAllah. Lebih mekar jambangan persahabatan itu jika ayat-ayat cinta & kasih sayang kerap terzahir dari lidah kita. Moga yang terzahir itu bukan lakonan, bahkan jadi amalan yang datang dari hati yang ikhlas menjadi tautan dua hati dan jiwa.

Himpitan tugas & masa

Sebagai seorang pelajar dan daie, kita tidak terlepas dari tugasan-tugasan yang menghimpit dan mengekang kelapangan diri sendiri. Terkadang sibuk menguruskan kerja-kerja dakwah, hinggakan sahabat sendiri diabaikan.

Bertanya khabar jarang sekali, apatah lagi berziarah bertemu dua mata dengan sahabat kita. Ramai yang kurang peka dengan keadaan sebegini sehinggalah rakan-rakan kita kian lama kian jauh dan kian luput dari ingatan kita. Kadang tarikh hari lahir pun kita lupakan.

Pernah suatu ketika Saidina Umar al Khattab merasa sangat gelisah pada suatu malam hari. Setelah difikir-fikirkan, rupanya beliau dihimpit rasa rindu yang teramat pada sahabat baiknya. Kekangan tanggungjawab yang dialasnya menyebabkan kesuntukan masa untuk menziarahi sahabatnya. Lantas, beliau ke rumah sahabatnya dan memeluknya erat-erat. Terlepaslah segala beban, hilanglah segala gelisah seolah-olah dibawa lalu angin yang menyapa malam hari.

Jadilah sahabat yang sentiasa mengingati sahabatnya yang lain. Kalau payah bertentang mata, lazimkan mengirim mesej-mesej berunsur rindu dan ukhuwwah. Kalau gemar memberi hadiah, lazimi diri menghadiahkan setidak-tidaknya sebatang pen untuk peperiksaan sahabat kita. Kalau masih lagi sibuk hingga membataskan diri dari segala-galanya, titipkan nama sahabat dalam setiap untaian doa kita selepas solat. Mudah-mudahan doa itu menjadi penyambung rantai ukhuwwah yang berkekalan.

Akhir kalam, kata Hamka , “Jika engkau memberikan sesuatu kepada sahabatmu, bererti memberikan kepada dirimu sendiri” . Hargailah seorang sahabat sebagaimana kita mahu diri kita dihargai. Mudah-mudahan ukhuwwah yang dibina kekal terus mekar di jalanNya (:

Semoga yang menulis lebih dahulu beramal,

Sakinah bt Zulkarnain,

Tahun 2 Perubatan

Jordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s