Di sebalik pengorbanan agung

Alhamdulillah, sekali lagi umat Islam seluruh dunia berhari raya Aidil Adha atau dikenali dengan Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban bagi masyarakat Malaysia sangat sinonim dengan kisah Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah untuk mengorbankan anaknya Ismail sebagai bukti ketaatan. Semua maklum, susur galur kisah sirah yang hebat ini tanpa perlu saya huraikan panjang lebar. Tidak dapat dinafikan, hanya dengan keimanan yang tertinggi, mampu membawa kepada pengorbanan yang agung ini. Secara peribadi, saya sangat mengkagumi kisah baitul muslim (keluarga islam) ini yang sering menjadi inspirasi saya dalam membina keluarga.

Selain Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah, Nabi Ismail sebagai seorang anak, pastinya seorang lagi watak utama yang yang sangat saya hormati ialah Siti Hajar; Ibu kepada Nabi Ismail, Isteri kepada Nabi Ibrahim. Realitinya, tidak akan berlaku pengorbanan agung ini tanpa seorang wanita seteguh Siti Hajar. Beliau telah terlebih dahulu melakukan pengorbanan untuk memungkinkan berlakunya peritiwa besar yang terus menjadi simbol ketaatan seorang Hamba kepada Penciptanya yang kisah mereka diabadikan hingga ke hari ini.

Siti Hajar, wanita yang dikahwini oleh Nabi Ibrahim setelah sekian lama berkahwin dengan Siti Sarah dan tidak dikurniakan anak. Sejurus kelahiran Ismail, turun perintah Allah agar Ibrahim membawa Siti Hajar ke tanah Hijjaz. Ditinggalkan berdua dengan seorang anak yang masih kecil, di tanah gurun yang tandus lagi tidak berpenghuni, Siti Hajar redha dengan ketentuan Allah, mengetahui tindakan Ibrahim adalah atas perintah Allah Taa’la.

Siti Hajar,
Lambang keteguhan wanita muslimah,
Peribadinya wajar dijadikan qudwah.
Lambang ketaaan seorang Hamba kepada Allah,
Kesetiaan seorang isteri kepada suami
Kesabaran seorang Ibu mendidik anak yang Soleh.
Keyakinan seorang Muslimah dalam
berpegang pada prinsip meski hebat diuji.

Adakah mudah membesarkan seorang anak sebagai Ibu Tunggal, dalam masa yang sama berjaya memadamkan perasaan benci seorang anak kepada ayah kerana meninggalkan mereka tanpa perlindungan selain perlindungna Allah? Adakah mudah untuk membuang perasaan sedih dan kecewa apabila berlaku sesuatu di luar keinginan kita, dan redha sepenuhnya kepada ketentuan Allah serta meletakkan penggantungan hanya kepada Allah?

Berkorban. Satu manifestasi keimanan yang sangat tinggi kedudukannya dalam diri seorang Mukmin.Hakikatnya, setiap insan pasti akan berkorban. Persoalannya adakah pengorbanan itu adalah bukti keimanan, atau pengorbanan yang menjurus kemungkaran dan maksiat kepada Allah Taa’la?

KORBAN NAFSU

Baru-baru ini, menjelang Perlawanan Akhir Piala Malaysia, yang melibatkan perlawanan antara Negeri Sembilan dan Terengganu, riuh sebentar peminat bola sepak mendesak pihak FAM menurunkan harga tiket perlawanan dari harga RM50 kepada harga yang lebih rendah. Namun pihak FAM tetap meneruskan jualan tiket dengan harga yang agak mahal itu, dan ternyata peminat boleh sepak tetap sanggup berkorban apabila Stadium Shah Alam tetap penuh seperti biasa. Kerana minat dan semangat, pengorbanan material bukanlah penghalang. Stadium penuh dengan penyokong yang terpaksa menempuh perjalanan jauh datang dari negeri masing-masing.

Seminggu sebelum itu, satu perhimpunan dianjurkan oleh beberapa pihak NGO, di lokasi yang sama, Stadium Shah Alam. Pehimpunan Sejuta Umat, yang bermatlamat untuk menunjukkan solidariti masyarakat umat Islam Malaysia dalam menangani isu akidah yang semakin parah di Malaysia. Kes murtad yang semakin meningkat, dan cubaan demi cubaan golongan bukan Islam mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Perhimpunan ini adalah percuma, tiada tiket masuk yang dikenakan. Tiada pengorbanan material, namun menuntut pengorbanan nafsu, berkumpul demi satu isu yang mungkin bukan menjadi tumpuan arus kebanyakan. Sebahagian besar tempat duduk masih menunggu untuk dipenuhkan.

Tidak kira apa yang kita lakukan di atas muka bumi ini, hakikatnya setiap perkara memerlukan pengorbanan. Demi mengejar nama di bidang sukan lumba motosikal, seorang penunggang Honda, Marco Simoncelli mati di atas trek perlumbaan. Demi mengejar ijazah, seorang pelajar berkorban berpisah dengan keluarga tersayang, gigih mengulangkaji pelajaran mengurangkan rehat, tidur dan makan. Demi kerjaya, seorang pekerja sanggup keluar awal pagi dan balik lewat malam.

Masakan demi mengejar syuga Allah yang Mulia itu, kita hanya mengharapkan amal kerdil yang tidak menuntut pengorbanan? Mengapa begitu sukar berkorban untuk amal kebaikan?

Lebih sukar mengajak seorang sahabat menghadiri majlis ilmu dan program-program berbentuk kebaikan berbanding mengajak mereka makan-makan dan jalan-jalan. Sedangkan makan-makan dan jalan-jalan juga menuntut kita mengeluarkan modal. Mengapa?

Kerana untuk melangkah setapak menuju kebaikan, adanya tarikan nafsu, bisikan syaitan dan kecenderungan peribadi yang perlu dilepaskan. Sedangkan, banyak ajakan-ajakan di luar sana yang selari dengan keinginan kita, lantas pengorbanan material bukanlah penghalang. Ternyata, mengorbankan al hawa’ adalah pertarungan yang jauh lebih sukar.

Belenggu utama umat islam hari ini adalah masalah dalam meletakkan prioriti amal. Bukanlah salah untuk meraikan diri sendiri dengan melakukan apa yang kita suka.  Namun, mengapa begitu sukar memberikan masa, tenaga, wang dan mengorbankan kecenderungan peribadi demi melakukan sesuatu yang kita yakini manfaatnya lebih besar untuk kehidupan akhirat, yang jauh lebih kekal. Semoga Hari Raya Qurban yang bakal kita sambut Ahad ini, bukan sekadar menjadi satu titik dalam kalendar umat Islam, malah hakikat pengorbanan itu benar-benar kita hayati dan tegakkan di dalam diri.

Wahai pembaca budiman,
Korbankanlah nafsumu, kerana disitulah kemanisan iman.
Belajarlah berfikir untuk umat kerana itulah bukti keimanan
Tinggalkanlah keraguan dalam memilih jalan kebaikan.
Biasakanlah dengan kesusahan melawan pelbagai tarikan jahiliyyah
Berkorbanlah, kerana itulah yang dituntut oleh agama Allah.

Salam Aidil Adha,

Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim

Ketua Wanita

ISMA Australia

Sumber: Laman Web ISMA Australia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s