10 Awal Zulhijjah

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم “ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر؟ فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد” رواه أحمد

Allah akbar, allah akbar, allah akbar.

Wa lillah alhamdu kulluh.

Segala puji bagi Allah yang telah menyampaikan kita kepada hari yang agung ini – 10 hari terawal Zulhijjah. Hari yang disucikan kerana berlakunya manasik haji di Tanah Haram, dan hari yang mulia sebelum berlakunya peristiwa teragung Ibadah Qurban pada Hari An-Nahr.

Mengapa kita sebagai muslim, menganggap 10 hari ini sebagai hari yang patut dimuliakan dengan takbir, tahmid dan tahlil? Mari kita henyakkan diri sebentar di dalam pentafsiran ayat 2 di dalam surah Al Fajr :

“Demi malam yang sepuluh”

Sumpah ‘Demi’ yang dilakukan oleh Allah s.w.t ke atas sesuatu perkara pasti menunjukkan bahawa perkara tersebut sangat signifikan dan besar nilainya kepada kita. Maka dengan adanya sumpah Allah s.w.t ke atas sepuluh malam ini, kita mengimani bahawa jika 10 malam ini disaratkan dengan amal ibadah, pasti besar ganjaran Allah tersedia bagi kita. Adakah lagi yang kita kejar selain Allah meredhai kita yang berlumba-lumba dalam beramal?

Kesepuluh-sepuluh hari ini lah yang telah ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Ibn Zubayr, Mujahid dan beberapa ulama’ salaf sebagai 10 malam pertama di dalam bulan Zulhijjah. Pendapat ini telah dikuatkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas di dalam Sahih Al-Bukhari:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ أَحَبُّ إِلَى اللهِ فِيهِنَّ مِنْ هذِهِ الْأَيَّام

Tidak ada hari yang lebih aku sukai untuk beramal kepada Allah padanya; selain hari-hari yang sepuluh ini

(maknanya 10 hari Zulhijjah)

Kemudian para sahabat bertanya,

“Walaupun berjihad di jalan Allah?”

Baginda s.a.w menjawab,

وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلَّا رَجُلًا خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذلِكَ بِشَيْء

Walaupun Jihad di jalan Allah; kecuali lelaki yang keluar berjihad di jalan Allah dengan seluruh dirinya dan seluruh hartanya lalu dia kembali tanpa kedua-dua itu.

Adapun sebahagian ulama’ lainnya ada berpendapat, 10 malam tersebut adalah 10 malam Ramadhan ataupun 10 malam Muharram. Pada pendapat Imam Syed Qutb pula di dalam Tafsir Fi Zilal mengenai ayat ini ialah ;

‘‘Walaubagaimanapun, mengekalkan ‘malam-malam yang sepuluh’ itu dalam pengertiannya yang umum itu lebih mendalam keberkesanannya dan lebih lunak ertinya, iaitu sepuluh malam yang berada dalam ilmu allah, dan dipandang mulia di sisi-Nya.’’

10 malam ini perlu disaratkan dengan apa?

1.  Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2.  Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah.

Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3.  Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah.

Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4.  Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa

Semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5.  Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6.  Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7.  Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8.  Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9.  Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10.  Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s