Berhati-hati Menyentuh Hati

Mungkin ramai yang sudah ma’ruf dengan kata-kata ini, “Cantik itu subjektif.” Maka sudah jelas subjektif itu jika hendak diinterpretasikan akan menghasilkan konotasi dan tafsiran yang sangat luas. Bagaimana perkataan itu diekspresikan bergantung kepada mata yang melihat, pancaindera yang meneliti dan akal yang mentafsir. Dan kualiti setiap tafsiran yang pelbagai itu bukan disandarkan kepada skema jawapan semata, tetapi kesemuanya boleh diterima kerana yang berfikir itu akal yang dikurniakan oleh yang Maha Sempurna. Tafsiran yang diberikan tidak akan ada yang salah. Yang berbeza itu, kualiti dan sudut pandang tafsiran yang diberi. Dan perbezaan itu puncanya dari hati yang mengawal pancaindera si pemberi jawapan.Dalam bahasa mudahnya, hati yang dikurniakan kepada setiap orang itu berbeza. Baiknya berbeza dan buruknya juga berbeza.

Sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya:

“Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging ( segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kawalan dan isi hati setiap orang itu berbeza, maka tugas dakwah akan menjadi lebih mencabar. Penyampaian kita perlulah berbeza selari dengan penerimaannya. Jika kita hendak berbicara soal penyampaian dakwah melalui kelembutan atau ketegasan, pada hemat saya rata-rata kita dapat membezakan metodologi manakah yang sesuai untuk kita terapkan dalam proses penyampaian dakwah kita mengikut kondisi semasa. Namun, di sebalik ketegasan dan kelembutan itu, kita perlu peka terhadap satu perkara lagi yang tampak sama tetapi sebenarnya berbeza iaitu hikmah dalam dakwah.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Sheikh al-Sabuni menafsirkan ayat tersebut dan memberi pengertian berdakwah dengan hikmah sebagai menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela. Ulama dakwah pula mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa yang sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.

Tatkala kita bercerita soal hikmah dan kesesuaian dalam menyampaikan dakwah & perasaan, hati dan sensiviti menjadi sesuatu yang sangat berkait rapat. Hal ini menjadi lebih mencabar apabila hati yang ingin menyentuh dan disentuh itu kedua-duanya milik insan yang sangat istimewa, dilahirkan dengan kelembutan jiwa tetapi disulami dengan ketegasan dalam tindakannya. Itulah hati wanita, belum tentu difahami oleh wanita yang lain.Jadi benarlah kata orang hati wanita ini sukar disentuh. Tetapi bila betul dan kena caranya, sentuhan pertama sudah memastikan kita memegangnya dengan erat.

Begitulah juga dalam dakwah kita. Kerana setiap orang itu dilahirkan berbeza, kita perlu menghadapi golongan sasaran dakwah kita melalui cara yang sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan di samping mengambil kira aspek pemikiran, perasaan serta sahsiah peribadi mereka supaya dakwah itu menjadi sesuatu yang indah bukan bersifat keterpaksaan.

Terdapat hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing).” (Hadis riwayat Muslim)

Cantiknya akhlak qudwah hasanah, bagaimana Rasullullah s.a.w menegur seorang wanita. Aisyah isterinya, seorang wanita muda yang sangat sensitif jiwanya. Di mana pada suatu hari  Aisyah r.a memasak makanan sangat masin. Lantas Baginda saw bersabda “Ingat tak masa mula kahwin dahulu,apa kita buat? “Ya..kita saling suap menyuap” jawab Aisyah.Lantas Aisyah dan Baginda s.a.w saling menyuapkan makanan dan sedarlah Aisyah bahawa masakannya terlampau masin. Hikmah Rasulullah s.a.w dalam menegur ini boleh kita jadikan contoh bagaimana untuk menyentuh hati wanita dengan baik dan sewajarnya kita boleh melakukan dengan lebih mudah apabila kita sendiri adalah seorang wanita.  Justeru, kita perlu berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana dia maju secara perlahan, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamatnya.

Ajaran Islam kaya daya tarikan, sebagai pendakwah, kita  mesti pandai memilih cara yang tepat dan kaedah yang unik untuk menyampaikannya dengan pendekatan yang menarik bagi mengajak khalayak mendampingi Islam. Kita sudah maklum, dakwah itu adalah jalan yang sangat panjang dan cita-cita kita sangat besar. Usaha membangunkan semula sesuatu yang telah jatuh daripada kegemilangan yang gah bukan kerja mudah yang boleh kita sandarkan hanya kepada tenaga kuat lelaki. Tetapi perlu kita ingat, dalam mengejar cita-cita, cara dan jalan kita perlu betul kerana kita tidak mahu membiarkan seorang pun tercicir selagi kita mampu kerana semua orang berhak mendapat nikmat Islam dengan izin Allah.

Jadi, berhati-hatilah dalam menyentuh hati yang lain.

Perlu ada kejujuran dan kekuatan dalam dakwah kita. Jadikan tarbiah sesuatu yang kelihatan sangat indah di saat ada yang mula berkenalan dengan jalan dakwah sunnah terbesar ini.

Siti Zafirah binti Mat Nawi

Tahun 2 Perubatan

Jordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s