Gambaran Kehidupan Daieyah : Dakwah vs. Rumah

 

Kita telah belajar bahawa kewajipan melakukan dakwah telah jatuh fardhu ain ke atas setiap muslim dan muslimah sehingga lah tertegaknya hukum dan syariat Allah di atas muka bumi ini. Bersama-sama kefahaman itu, di bahu seorang wanita telah tersedia ada sebuah tanggungjawab lain yang tidak ada pada lelaki daie – iaitu tanggungjawab menjaga rumah dan keluarga.

Di antara kedua-dua perkara ini, keseimbangan yang bagaimanakah harus diletakkan oleh seorang wanita yang juga seorang aktivis dakwah? Perlukah dia sang murabbiyah itu berhari-harian fikirkan urusan mad’u nya sahaja dan membiarkan kerja rumah dilakukan oleh orang lain, atau, sebermula kahwin sahaja – daieyah tidak layak lagi bergerak aktif di dalam harakah islamiyah?

Temu ramah bersama beberapa tokoh wanita dari Mesir ini mungkin dapat memberikan gambaran jelas bagaimana kah yang dimaksudkan dengan keseimbangan tanggungjawab antara dakwah dan rumah.

 

Bagi setiap pemilik hak itu, ada haknya

  Syeikhah Amniyah Hilal adalah seorang tokoh akhawat yang telah lama berkecimpung di dalam bidang dakwah ini – melebihi 30 tahun lamanya. Bagi beliau, keikhlasan dan kejujuran kepada Allah adalah kunci utama kepada keseimbangan tanggungjawab dakwah dan rumah. Dengan ikhlas lah, dakwah ini akan dibantu agar sampai kepada objek dakwah. Dan dengan ikhlas lah, urusan rumah dapat diselesaikan dengan rasa telus dan saling memahami. 

Contoh praktikal yang sangat menarik pernah dilakukan beliau adalah dengan menulis perancangan dakwah beliau ke atas kertas. Perancangan yang dinamakan sebagai ‘Agar Kita Memberi Hak Buat Yang Berhak’ tersebut kemudiannya akan ditampal pada pintu peti ais supaya mudah diingat. Pada setiap malam selepas berlalunya satu hari, Syeikhah Amniyah pasti akan melakukan muhasabah harian untuk semua urusan dakwah nya pada hari itu.

Amniyah Hilal adalah salah seorang wanita yang bertegas untuk tidak menggunakan pembantu rumah di dalam rumah nya. Menurutnya, kemampuan seorang wanita untuk menguruskan rumah dan dakwah itu adalah sebuah kemahiran yang mesti diperoleh oleh setiap daieyah yang ingin serius bekerja untuk Islam. Andaikan jika kita menerima tetamu di rumah, adakah kita akan membiarkan para tetamu untuk melihat pakaian anak-anak kita bersepah-sepah di atas lantai dan cebisan makanan di sana sini – lalu memberi alasan bahawa ‘saya sibuk berdakwah’ ? Jika begini, di manakah qudwah hasanah yang ingin kita bawa? Keseriusan kita menghadapi masalah-masalah ummah harus setanding dengan keseriusan kita mengurus kekemasan dan kebersihan rumah. Jangan sama sekali mengambil sikap tidak endah kepada rumah sendiri, kerana asas iman itu adalah kebersihan.

Sebab itu, apa yang penting di dalam pembinaan rumah tangga ini adalah keberadaan ahli rumah / suami yang memahami tanggungjawab kita, sekiranya ada lopong-lopong kelemahan yang tak mampu kita perbaiki pada mana-mana sudut. Sikap saling memaafkan itu juga penting, dan mesti beriringan dengan sikap berlumba-lumba untuk membantu.

Pada satu sudut yang lain pula, jangan lah kita yang mengaku daieyah ini hilang tidak dapat dikesan di dalam program dakwah – bilamana kita mula sibuk dengan urusan-urusan rumah. Sebagaimana pesan Amniyah Hilal;

“Sesungguhnya tidak adalah keuzuran bagi seseorang itu meninggalkan dakwah, sedangkan dia mampu untuk melakukannya. Tunaikan lah kewajipan dakwah di rumah walaupun melalui media internet.”

Perancangan & Berpagi-pagian

Pengalaman 25 tahun bersama dakwah telah banyak mengajar Syeikhah Huda Abdul Mun’im makna keseimbangan tanggungjawab. Bagi beliau, teliti dalam perancangan untuk hari esok adalah perkara utama yang beliau akan selesaikan sebelum berlalunya malam. Di samping itu, sikap berpagi-pagian iaitu memulakan kerja seawal lepas subuh setiap hari adalah rahsia kejayaan beliau. Syeikhah Huda sangat mencintai waktu selepas subuh, kerana padanya lah terdapat banyak barakah yang tak semua orang mampu peroleh.

Sikap menjaga masa ; adalah perkara yang ditekankan oleh beliau, sebagaimana Islam sangat memberi perhatian kepada menjaga masa. Syeikhah Huda sangat menyarankan setiap daieyah agar belajar dan mentelaah kitab Fiqh Aulawiyyat dan mengambil beberapa kursus pengurusan masa, kerana keadaan sekarang sangat mendesak kita untuk menjadi seorang wanita muslimah yang multi-tasking dan seorang daieyah yang mampu menjadi qudwah.

Di antara pesanan beliau kepada kita;

Orang kafir berusaha keras, bekerja dan akhirnya mereka mendapat neraka. Kita muslim pasti akan mendapat syurga, maka kita lebih layak untuk berusaha dan bekerja keras lebih lagi daripada mereka.”

“Wahai anak-anak perempuanku (panggilan kepada anak usrahnya), jangan sama sekali kamu meninggalkan rumah untuk pergi ke program tarbiyah sedangkan di rumahmu ada banyak pinggan mangkuk yang tidak berbasuh, atau kamu keluar demi dakwah sedangkan kamu tidak menyediakan makan untuk anak-anakmu – lalu kamu berkata : (rumah) ini bukan kewajipan ku.”

 

Belajar Untuk Berkata ‘Tidak’

Syeikhah Asma’ Abdullah, 10 tahun di dalam dakwah, meyakini bahawa keseimbangan tidak akan dapat dicapai melainkan dengan perancangan yang jelas dan bertulis. Belajarlah untuk berkata  Tidak kepada sebarang aktiviti yang tidak termasuk dalam perancangan mingguan atau bulanan kita. Belajarlah untuk berkata Tidak kepada program-program yang datang secara tiba-tiba. Dan belajarlah untuk memahami hakikat bahawa keseimbangan itu sangat susah untuk dicapai melainkan dengan ketekunan.

Syeikhah Asma’ Abdullah adalah seorang pensyarah universiti yang sangat dikenali dan diikuti seri peribadinya, maka layaklah baginya digelar sebagai seorang daieyah mutamaiyizah. Beliau selalu memperoleh pangkat “جيد جدًّا” di dalam bidang Fizik yang diceburi beliau, walaupun di dalam kesusahan memelihara kedua ibu bapa nya yang sudah tua.

Beliau menasihatkan sesiapa sahaja yang berada dalam lapangan dakwah ini – hendaklah mengenali kemampuan diri masing-masing, menganalisa ruang masa yang dimiliki, serta sentiasa berlaku jujur dalam kedua-dua perkara (kemampuan dan masa) tersebut.

 

Perkara No 1 : Teman Hidup

Di dalam tempoh 24 tahun hidup untuk dakwah ini, Syeikhah Umaimah Haamed dapat membuat kesimpulan bahawa keseimbangan perlu wujud di antara kerja-kerja dalaman (rumah) dan kerja-kerja luaran (dakwah).  

Kata beliau; teman hidup (pasangan) akan menjadi sama ada penentang keras atau pun penyokong setia. Jika kita ingin kan seseorang yang mampu membantu urusan dakwah kita, maka perkara yang perlu dititikberatkan adalah pemilihan teman hidup. 

Beliau menambah; seseorang teman hidup itu – sekiranya dia faham akan dakwah ini, maka dia akan hidup di dalam dakwah ini dengan menggunakan segala anggota jasadnya. Dengan kefahaman itu, dia tidak akan menghalang kita dari menggunakan kebijaksanaan dan kewibawaan kita untuk dimanfaatkan oleh orang ramai (kerana urusan dakwah ini adalah yang terutama atas segala-galanya). Akan tetapi, pada masa yang sama, kehadiran teman hidup itu bukanlah perkara kedua. Di situ, tetaplah kita berada di atas kewajipan menjaga keperluannya secara berterusan, dan hendaklah kita menyelesaikan tanggungjawab kita kepadanya terlebih dahulu sebelum keluar melakukan amal da’awi. 

Buat pengetahuan para daieyah yang sudah menjadi isteri, bagi setiap lelaki itu – berbeza beza keutamaan mereka. Ada sesetengah mereka tidak kisah pun perihal makan dan minum, tapi sesetengah yang lain sangat mementingkan urusan ini. Sebahagian mereka mementingkan pakaian dan keadaan rumah, dan sebahagian lagi tidak. Maka, hendaklah kita mengenali di manakah keutamaan dia –  agar haknya dapat dilangsaikan dan urusan dakwah ini dapat dilunaskan dengan baik.

Ukht daieyah itu akan bersama dalam petunjuk selagimana dia memiliki kit bonus iman, iaitu menjadi (رهبان بالليل.. فرسان بالنهار) rahib pada malam harinya, dan singa pada siang harinya. Hambatan-hambatan dakwah ini tidak akan mampu dipikul oleh seorang ukht melainkan dia ditampung oleh kekuatan ruh. Di dalam kepenatan menguruskan hak-hak mad’u dan pasangan, tidakkah kita rindu untuk bangun bertahajud 2 rakaat dengan penuh rasa kehambaan?

Umar Al-Khattab pernah berkata;

“Sekiranya aku tidur pada waktu malam, maka aku takut jika aku mengabaikan hak Allah. Dan sekiranya aku tidur pada siang hari, aku takut jika aku mengabaikan hak rakyat.”

Diterjemah dan diolah oleh,

Nabilah binti Mohd Yaakob

Tahun 3 Pergigian

 JUST, Jordan

*Karya asal dalam bahasa Arab ditulis oleh Syeikhah Muslimah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s