Qutaibah Ibn Muslim, Panglima Berani

Hari ini kita akan selami sirah seorang pejuang dan apa yang dimaksudkan dengan sebuah perjuangan. Beliau antara panglima perang tersohor yang tercatat dalam sejarah Islam. Beliau telah mengetuai penaklukan Islam di negara-negara Asia Tengah pada kurun pertama hijrah.Kini, negara-negara taklukan Islam tersebut telah dipecahkan bermula dari Kesatuan Soviet sehingga sempadan China. Beliau
ialah Qutaibah Ibn Muslim Al-Buhaily.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Qutaibah Ibn Muslim dilahirkan pada 48 H, di Iraq, di rumah pemerintah dan pimpinan. Bapanya ialah Muslim bin ‘Amru bin Hussain Al-Buhaily merupakan seorang contoh teladan yang gagah dan berani. Qutaibah dididik dengan ilmu sains, perundangan, dan Al-Quran. Beliau juga mempelajari ilmu kepahlawanan dan seni peperangan. Sahabatnya ialah kuda, pedang, dan lembing. Beliau sangat meminati ilmu kepahlawanan mempunyai peribadi gemilang di usia mudanya.

KUALITI DAN PERIBADI

Qutaibah Ibn Muslim seorang panglima yang tegas, bijak dan berpandangan jauh. Beliau sangat menekankan prinsip bercakap benar. Diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husayn dan Abi Said Khudri, Ibn Kathir
telah menulis di dalam kitabnya Bidayah wa Nihayah, “Beliau merupakan seorang mujahidin fi sabilillah. Qutaibah antara ketua yang bijak dalam peperangan, mulia, dan sering menjadi pilihan para pemimpin.” Beliau fokus dan komited dalam jihad, membantu agama dan tidak mahukan apa-apa daripada kehidupan di dunia ini.

Antara kisah yang diceritakan oleh Ibn Athir di dalam kitabnya Al-Kamil fit Tarikh, bagi menunjukkan keimanan beliau kepada Allah, Qutaibah sentiasa bertawakkal kepadaNya. Semasa Qutaibah Ibn Muslim menakluk bandar Samarkand, beliau telah menetapkan dua syarat kepada penduduk. Pertama; membina masjid dan mimbar di bandar untuk bersolat dan berkhutbah di atas mimbar tersebut. Kedua; memecahkan semua patung berhala. Beliau mengumpulkan segala berhala sehingga kelihatan seperti sebuah bukit yang besar dan membakar kesemuanya sehingga menyebabkan penduduk bandar menangis dan menjerit.

PENAKLUKAN QUTAIBAH IBN MUSLIM

Qutaibah telah menyertai pasukan bahagian timur bagi Daulah Islamiyyah sejak usia mudanya. Sifat keberanian dan bakat kemahiran kepimpinan yang ada pada beliau telah menarik perhatian seorang pemimpin
besar , Muhallab Ibn Abi Safrah untuk disyorkan kepada Al-Hajjaj Ibn Yusof Ath-thaqofi.

Pengembaraan pejuang ini bermula sejak tahun 68 H apabila Hajjaj melihat para mujahidin di Khurasan perlu diganti dengan darah pemuda yang baru. Berikutan tidak ada pemuda yang lebih baik dari Qutaibah Ibn Muslim bagi memikul tugas tersebut, Hajjaj telah menjaga Qutaibah selama 10 tahun. Tempoh tersebut adalah peringkat penaklukan bagi Qutaibah. Bagi setiap penaklukan, beliau menetapkan matlamat serta destinasi tertentu, kemudian beliau mengarahkan semua kekuatan untuk mencapai matlamat tersebut.

Dalam fasa pertama pada tahun 68 H, Qutaibah mempersiapkan dan menyediakan pasukan muslimin untuk serangan terhadap selatan Tokharistan. Sekarang, selatan Tokharistan adalah sebahagian dari Pakistan dan Afghanistan. Dalam fasa kedua, Qutaibah telah mengetuai pasukan serangan terhadap Bukhara pada tahun antara 87-90 H. Beliau telah berjaya menawan Bukhara, kawasan kampung sekitarnya, kubu-kubu dan yang paling penting ialah bandar di mana bahagian belakangnya terdapat sungai dan kawasan penduduk yang padat.

Fasa ketiga iaitu antara tahun 91-93 H, membolehkan Qutaibah menyebarkan Islam dan menetap di lembah sungai Gihon. Beliau meluaskan penaklukan hingga ke wilayah Sajistan yang terletak di Iran sekarang, wilayah Khawarizmi, dan bandar Samarkand di tengah-tengah Asia dan menjadikan kesemuanya negara Islam.

Pada fasa keempat antara tahun 94-96 H pula, Qutaibah meluaskan penaklukannya ke lembah sungai Sihon, termasuk bandar-bandar, kemudian memasuki tanah China; Augul, hingga sampai ke bandar Kashgar, dan
mengislamkan kesemuanya. Inilah pencapaian terakhir tentera-tentera Islam di Asia Timur, dan tiada seorang muslimin pun berjaya mencapai penaklukan yang lebih jauh selepas itu.

Kita boleh katakan bahawa panglima Qutaibah Ibn Muslim adalah pemilik kemuliaan pertama selepas Allah Azzawajal dalam memperkenalkan Turki kepada Islam. Sakhsiah dan peribadinya telah mempesonakan
tentera-tentera Turki dan mereka telah memeluk agama Allah secara beramai-ramai. Sifat keberanian panglima ini telah menjadi jambatan Islam dan disukai kerana simbol sebenar Turki ialah keberanian dan kuasa pemuda.


KEWAFATANNYA

Menuurut Al-Hajjaj Ibn Yusof Ath-thaqofi, Sulaiman Ibn Malik membenci dan berdendam terhadap Qutaibah. Ketika majlis perwarisan khilafah, Walid Ibn Abdul Malik telah membuat keputusan untuk membuang Sulaiman daripada kerajaan yang dijanjikannya. Manakala, Qutaibah telah dilantik menggantikan tempat Sulaiman Ibn Abdul Malik. Berikutan itu, Sulaiman mengumpulkan pengikut-pengikutnya untuk memberontak, tetapi gerakan itu gagal dan berakhir dengan pembunuhan Qutaibah pada tahun 96 H / 715 M. Qutaibah telah dibunuh oleh seorang hamba bernama Ferghanah. Ibn Kathir menyatakan peristiwa pembunuhan tersebut disebabkan oleh perbezaan dan perselisihan antara kumpulan jemaah.

Oleh;

Farah Wahidah Musa

Universiti Mu’tah, Karak

diterjemah dari web ikhwanonline

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s