Hidupkan Sunnah Islam di Hari Raya

Sempena Aidil Fitri ini marilah kita melihat kembali beberapa petunjuk Seerah mengenainya.

Setelah Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, Baginda s.a.w mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya, “Hari apa ini?” Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak zaman Jahiliyah lagi.” Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mengantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).

Di Hari Raya, Nabi s.a.w pergi ke tempat solat melalui satu jalan dan kembali dengan melalui jalan yang lain (riwayat Abu Daud dari Ibnu Umar).

Berkata Ummu Atiyah r.a bermaksud, “Rasulullah s.a.w mengarahkan kami (para wanita) agar mengajak keluar (bersama ke tempat solat Raya) para wanita yang haid agar menyaksikan kebaikan (pada hari tersebut) dan doa orang-orang Islam” … “wanita yang haid berada di tempat yang berasingan dari tempat solat” (riwayat Abu Daud). Ada wanita yang mengadu tidak memiliki pakaian yang sempurna, lalu Ummu Atiyah meminta di kalangan adik beradiknya agar membantu meminjamkan pakaian. Semua wanita diminta keluar tanpa alasan. Oleh itu membancuh sirap, memasang langsir, menyusun juadah dsb di pagi Raya janganlah sehingga seseorang wanita itu tidak ke tempat solat Hari Raya dan menikmati kelebihan-kelebihannya.

Solat Hari Raya Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a adalah merupakan perhimpunan agung tahunan yang mengumpulkan semua penduduk termasuk semua wanita dan kanak-kanak tanpa kecuali. Ia hari kegembiraan bersama. Wanita haid juga diminta ke tempat perhimpunan. Jika saiz masjid terhad, maka dibuat di padang yang lapang, seperti di zaman Nabi s.a.w. Dengan ini kesemua mereka dapat menyaksikan kebesaran Dakwah ini dan kebaikan untuk penganutnya. Doa diaminkan bersama oleh semua. Abu Hurairah r.a ada meriwayatkan bahawa pernah berlaku hujan, maka Nabi s.a.w dan para Sahabat r.a bersolat Raya di dalam masjid (riwayat Abu Daud).

Malam Raya dan siangnya dihiasi dengan Takbir seperti athar yang berbunyi, “Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir (Allahu Akbar)” …dalam lafaz yang lain “dengan Takbir, Tasbih (subhanallah) dan Tahmid (alhamdulillah)“. Disunatkan menghidupkan malam Aidil Fitri dengan ibadah-ibdah khusus seperti solat, zikir, tilawah dan sebagainya.

Bermaafan di pagi Raya, terutama kepada ibu bapa adalah salah satu adat Melayu yang terbaik dan menonjol berbanding dengan umat Islam yang lain. Islam mengambil apa yang terbaik dari satu umat untuk dicontohi oleh umat yang lain.

Di pagi hari Raya Aidil Fitri, sunat menjamah makanan sebelum ke tempat solat Raya Aidil Fitri, manakala sunat menjamah makanan selepas solat Raya Aidil Adha. Nabi s.a.w bersolat Raya tanpa azan, qamat, sunnah qabliah maupun sunnah bakdiah. Baginda s.a.w bertakbir sebanyak 7 kali di rakaat pertama dan 5 kali di rakaat kedua dalam solat Aidil Fitri. Abu Waqid Al-Laithy ra berkata, “Nabi s.a.w membaca Qaaf Wal Quranum Majid (Surah Qaf) dan Iqtarabatis sa’ah wan Syaqqal Qamar (Surah al-Qamar)“.

Oleh kerana ia suatu perhimpunan tahunan terbesar, suara Nabi s.a.w terhad, maka selepas berkhutbah Nabi s.a.w mengajak Bilal bin Rabah pergi ke tempat kaum Muslimat dan memberikan kata-kata nasihat kepada mereka pula. Di akhirnya Nabi s.a.w mengajak kaum wanita bersedekah sempena Hari Raya, lalu mereka berlumba-lumba bersedekah dengan wang dan perhiasan yang dipakai dengan diletakkan di kain yang dihampar oleh Bilal. Kemudian sedeqah tersebut dibahagikan kepada faqir miskin di situ. Alangkah gembiranya mereka dapat bersedeqah di hadapan Rasulullah di hari Raya. Alangkah gembiranya faqir miskin di situ yang menerimanya untuk dibawa pulang seperti kanak-kanak Malaysia mendapat Duit Raya.

Fenomena positif Hari Raya di Malaysia di antaranya ialah ziarah menziarahi dan maaf bermaafan sesama sanak saudara dan masyarakat. Anak-anak pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan saudara mara mengeratkan lagi Silaturahim. Menziarahi tanah perkuburan, asalkan dengan cara yang makthur (adab yag ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w) mengingatkan kita kefanaan dunia dan kepalsuan godaannya. Menghiasi rumah dengan sederhana, membuat rumah terbuka, mencari dan menghubungi waris, sahabat handai dan teman lama dan apa sahaja yang boleh mengeratkan Ukhuwwah Islamiah (kasih sayang sesama Islam) ketika dan menjelang Hari Raya adalah sangat dialukan.

Bagi pelajar dan mereka yang berada di luar negara, menziarahi dan berkenalan dengan saudara seIslam dari bangsa-bangsa yang lain seperti Arab, Indo-Paki, Bosnia dan sebagainya merupakan salah satu hikmah Hari Raya yang utama.

Maksud hadis di atas, “Adalah para Sahabat Nabi s.a.w apabila mereka bertemu sesama mereka di Hari Raya, mereka akan mengucapkan sesama mereka “Taqabbalallahu minna wa minka” (Moga Allah menerima (ibadat yang dikerjakan) dari kami dan dari anda)” (hadis yang sahih sanad-sanadnya pada Imam Al-Bany).

Fenomena negatif di Malaysia yang boleh diperbaiki lagi termasuk sebahagian rancangan TV, sama ada nyanyian artis, tarian atau drama oleh mereka yang mendedahkan aurat, bergaul bebas apatah lagi ditontoni ramai, pembaziran dalam membuat persiapan terlalu berlebihan dalam membakar bunga api, membeli pakaian, perhiasan dsb dengan mencurahkan wang bukan kepada umat Islam. Syawal datang selepas Ramadan.

Matlamat Ramadan adalah taqwa (surah Al-Baqarah). Adapun melabuhkan tirai Ramadan dengan Syawal bersama-sama bentuk-bentuk yang bertentangan dengan taqwa, jelas mensia-siakan hikmah puasa, tarawih dan tilawah sepanjang Ramadan. Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Jibril datang kepada aku dan berkata (berdoa), jauhlah (dari rahmat Allah) orang yang sempat beramal di bulan Ramadan, tetapi dosanya tidak diampunkan. Aku (Nabi saw) berkata Ameen (perkenankanlah)” (Hadis).

Semoga Allah s.w.t menanam ketaqwaan dan kegembiraan kepada kita dan umat Islam sempena Aidil Fitri ini dan menunjukkan jalan PetunjukNya. Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Oleh:
Ustaz Abdul Halim Abdullah
Blog: Ini Jalanku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s