Hari Kemenangan Untuk Jiwa Yang Merdeka!

Alhamdulillah, hari ini 1 Syawal 1432 bersamaan 30 Ogos, semua Islam di Malaysia khasnya dan di dunia umumnya merayakan satu hari yang dikurniakan Allah Taala sebagai hari perayaan untuk umat Islam yang Berjaya menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Sekiranya Ramadan dikatakan bulan keampunan dan rahmat yang turun mencurah-curah kepada umat Islam, Syawal adalah bulan umat Islam menambahkan lagi amal ibadat supaya momentum Ramadan tidak hilang kerana keseronokan dan kegembiraan yang berlebihan.

Bulan Ramadan bukanlah bulan untuk berehat dari sebarang kerja dan tugas yang berat-berat. Malah melaksanakan tugas berat seperti berperang di Jalan Allah, membuka kota-kota, melaksanakan amar makruf nahi mungkar merupakan amalan para sahabat di bulan Ramadan.

Inilah jihad yang paling hebat pernah dilakukan oleh para sahabat, apabila mereka berjaya mengalahkan hawa nafsu untuk berehat, hawa nafsu untuk bersama isteri dan anak-anak, hawa nafsu untuk menikmati makanan yang enak-enak, hawa nafsu untuk bersantai dengan kawan-kawan, semata-mata menegakkan kalimah Allah di bumi tercinta.

Aidil Fitri adalah hari kemenangan kepada sesiapa umat Islam yang telah berjaya menundukkan hawa nafsunya dan kembali kepada fitrah kejadiannya sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Perjuangan menegakkan kalimah Allah masih berterusan sehingga sekarang, selagi syariat Allah tidak didaulatkan di muka bumi, selagi itu perjuangan umat Islam belum tamat.

Kembali kepada diri kita sendiri. Sejauhmana kita menghayati hari kemenangan ini sebagai hari kemerdekaan kita daripada ikatan dan belenggu nafsu yang tidak pernah puas dan haloba? Selama mana madarasah Ramadan yang kita ikuti selama sebulan berjaya mengawal kita daripada terikut-ikut dengan kehendak nafsu dan keinginan yang tidak berkesudahan?

Semuga Ramadan yang kita lalui itu mendidik kita untuk lebih semangat melaksanakan tugas-tugas sebagai seorang aktivis Islam, lebih kreatif dalam merancang strategi dakwah, lebih berinovasi dalam melaksanakan tugas dakwah dan masyarakat, lebih tinggi pengorbanan dan cita-cita dakwah, lebih giat dan aktif menghidupkan jiwa-jiwa yang hampir mati. Inilah nilai sebuah tarbiah di bulan Ramadan.

Membangunkan jatidiri ummah menjadi keutamaan tanggungjawab kita pada hari ini. Umat Islam termasuklah kaum wanita perlu disedarkan tentang pentingnya kembali menghayati kehidupan Islam yang sebenar. Para sahabiah pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam mencari nilai-nilai jatidiri sebenar seorang ukht muslimah.

Wanita pada zaman Rasulullah s.a.w. dikenali sebagai seorang yang sangat berani mempertahankan hak-hak kewanitaan yang telah dikurniakan Allah kepadanya, mereka juga seorang setia kepada rumah tangga dan suami serta menjaga institusi keluarga yang dibina dengan asas iman dan takwa.

Khadijah bt Khuwailid adalah contoh terbaik seorang wanita Islam yang sentiasa menyokong perjuangan suaminya dengan harta, tenaga dan moral sehinggakan kesetiaanya menyerahkan seluruh kehidupannya kepada dakwah mendapat pengiktirafan daripada langit.

Malaikat Jibril a.s. meyampaikan salam penuh takzim kepada Khadijah melalui Rasulullah s.a.w. di mana salam ini tidak diterima oleh isteri-isteri nabi yang lain. Malah kesetiaan dan pengorbanan Khadijah menyebabkan Rasulullah s.a.w. tidak terfikir untuk mengahwini perempuan lain sewaktu hayatnya.

Aisyah bt Abu Bakar adalah contoh wanita cekal yang sentiasa berusaha membina jatidiri sebagai seorang mukminah yang berilmu dan guru kepada muslimin dan muslimat pada zamannya. Peluang hidup bersama Rasulullah s.a.w. digunakan sepenuhnya untuk menimba ilmu dan kemahiran sehingga banyak perkara yang berkaitan umat Islam dan akhlak Rasulullah s.a.w. dirujuk daripada beliau.

Beliau memperuntukkan masa tertentu dalam kehidupannya untuk mengajar para sahabat dan kaum muslimin tentang hadis dan ayat Quran serta ilmu pengetahuan yang dicedok sewaktu hayat Rasulullah s.a.w. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang penyabar dan pasrah kepada ketentuan Allah Taala ke atasnya melalui peristiwa Hadisul Ifki yang mencabar kewanitaan dan kesabarannya sebagai seorang isteri.

Para sahabiah yang lain seperti Ummu Sulaim yang dikenali sebagai isteri yang cerdik dan pintar, wirawati yang berani dan cekal, ibu yang tegas dan penyayang dan Khaulah bt Azwar yang berani menegakkan kebenaran, Asma’ bt Umais yang menjadi ketua wanita kaum Ansar sentiasa menyampaikan hasrat dan pandangan wanita kepada Rasulullah s.a.w.

Contoh-contoh yang dibawa tentang kisah hidup para sahabiah boleh menjadi kayu ukur kepada kita wanita hari ini tentang bentuk jatidiri bagaimana yang ingin kita contohi dan menjadi ikutan. Merekalah ikon dan contoh terbaik yang hidup, boleh digunakan sebagai panduan membina jatidiri anak-anak gadis dan generasi harapan kita pada masa akan datang.

Kedatangan bulan Syawal kali ini lebih istimewa lagi apabila kita juga menyambut Hari Wanita Kebangsaan dan Kemerdekaan Malaysia pada bulan yang sama. Diharapkan kaum wanita diseluruh Malaysia menghargai nilai-nilai kemerdekaan tanah air yang memberi ruang yang besar kepada kita untuk terus melaksanakan tanggungjawab kepada Allah Taala.

SALAM AIDIL FITRI, MERDEKA!!!

Hasil nukilan:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s