Peristiwa Sempena Sambutan Hari Al-Quds Sedunia

Peristiwa Bersejarah pada 21 Ogos 1969; di mana seorang bangsa Yahudi warga Australia, Denis Rohan, telah mengambil tindakan membakar Masjid al-Aqsa. (Sempena Sambutan Hari Al-Quds Sedunia Pada 21 Ogos 2006 Bersamaan 27 Rejab 1427H)

21 Ogos 1969: Peristiwa Pembakaran Masjid Al-Aqsa oleh Zionis

Tanggal 21 Ogos setiap tahun merupakan tarikh memperingati peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Pembakaran tersebut berlaku di waktu subuh pada 21 Ogos 1969 selepas muslimin menunaikan solat subuh dan meninggalkan masjid. Dikesempatan itulah, pihak Yahudi memulakan perancangan mereka dengan membakar Masjid Al-Aqsa. Api marak dengan cepatnya dan terus membakar peralatan masjid dan dindingnya apatah lagi pada waktu tersebut muslimin telah meninggalkan masjid untuk meneruskan rutin harian mereka. Namun begitu, usaha memadamkan api yang terus marak telah dilakukan oleh pemuda-pemuda Islam dengan mengambil air dari telaga-telaga yang berada di kawasan lapang Masjid Al-Aqsa, memindahkan karpet dan tikar keluar dari masjid dan menghimpunkan cebisan-cebisan kecil Mimbar Solahuddin yang terbakar dan kini ia di simpan di Muzium Islam di Masjid Al-Aqsa.

Pada asalnya, rejim Zionis telah merancang untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1968. Seorang Yahudi dari Australia bernama Denis Michael Rohan telah ditugaskan untuk melaksanakan rancangan tersebut tetapi ia dapat dikesan oleh pihak Masjid Al-Aqsa dan Rohan ditangkap serta dihantar ke Australia. Namun begitu, Rohan dibenarkan datang kembali ke Palestin oleh pemerintah Israel pada tahun berikutnya dan berjaya membakar Masjid al-Aqsa dengan bantuan pihak Yahudi pada 21 Ogos 1969.

Kebakaran tersebut berjaya dilakukan dan tiga kawasan utama Masjid Al-Aqsa telah terbakar iaitu:

  • Masjid Umar yang terletak di penjuru sebelah selatan Masjid al-Aqsa. Ia adalah masjid terawal dibina oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa membuka Al-Quds pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636.
  • Mimbar Solahuddin Al-Ayyubi dan mihrabnya. Ia dibakar untuk menghapuskan tanda pembukaan Al-Quds yang telah dilakukan oleh Solahuddin Al-Ayyubi pada tahun 583H bersamaan dengan 1187. Mimbar tersebut dibina oleh Solahuddin Al-Ayyubi dan membaca khutbah di atasnya semasa membuka al-Quds.
  • Pintu atas yang terletak di penjuru sebelah baratdaya Masjid al-Aqsa yang ukuran tingginya ialah 10 meter dan susah untuk dinaiki dari dalam masjid tanpa menggunakan tangga yang tinggi. Oleh itu, pintu ini dibakar dari luar masjid dan terdapat individu lain yang mambantu Dennis melaksanakannya dengan bantuan zionis yang telah menguasai pintu besar sebelah barat Al-Quds.

Kesan pembakaran tersebut mengakibatkan terbakarnya mimbar Salahuddin, Masjid Umar, Mihrab Zakaria, Maqam Arbaein, 48 tingkap masjid musnah, dua tiang utama masjid tumbang, kesan-kesan sejarah, karpet, perhiasan ayat Quran dan selainnya terbakar. Dianggarkan Lebih dari 1/4 (seperempat) Masjid Al-Aqsa musnah terbakar.

Rejim Zionis sengaja membiarkan pembakaran ini bahkan pemerintah Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan dan membebaskannya tanpa mengenakan apa-apa tindakan dan hukuman dengan alasan dan hujjah bahawa Rohan seorang yang tidak siuman dan ‘gila’ walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan.

Pembakaran Masjid al-Aqsa sebenarnya adalah hasil dari dendam Yahudi terhadap Islam dan ia merupakan satu isu agama. Selepas pembakaran tersebut, Denis Michael Rohan mendakwa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan tuntutan Kitab Zakaria. Ia adalah satu kewajipan agama Yahudi yang mesti dilaksanakannya. Oleh itu, pembakaran ini merupakan sesi perancangan yang berterusan yang dilakukan oleh Yahudi bagi membina kembali Haikal Sulaiman.

Pembakaran Masjid al-Aqsa pada tanggal 21 Ogos 1969 telah mendorong negara-negara Islam menubuhkan OIC yang dianggotai 57 negara sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia. Semenjak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai Hari Al-Quds sedunia.

27 Rejab 583 hijrah: Pembebasan Al-Quds oleh Salahuddin Al-Ayyubi

Bumi Al-Quds telah dibebaskan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H bersamaan dengan 2 Oktober 1187 selepas 88 tahun di bawah jajahan tentera Salib. Pembebasan ini dilakukan oleh pihak muslimin di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemimpin yang kuat berpegang pada agamanya, berperibadi mulia dan seorang yang beramal soleh.

Pembebasan bumi Al-Quds ini tercapai setelah tentera Islam bejaya mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Jumlah tentera Islam ialah 12,000 orang sementara tentera salib 50,000 orang dipimpin oleh Guy of Lusignan dan Raymond III of Tripoli. Jumlah tentera Islam dalam pembebasan Baitul Maqdis pula tidak sampai 12,000 orang sementara pihak tentera salib 60,000 orang.

Peperangan ini dinamakan peperangan Hittin kerana ia berlaku di Kampung Hittin, di kaki Bukit Hittin, yang terletak di antara Tiberias dan An-Nasirah. Akhirnya tentera Salib telah tewas. Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan, dalam peperangan ini dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.


Dalam tempoh dua bulan selepas Salahuddin mencapai kemenangan di Hittin, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin mengambil keputusan untuk memasuki bandar dan ibukota Al-Quds. Sebanyak lima puluh buah bandar dan perkampungan yang pernah berada di bawah penjajahan tentera Salib telah berjaya dimerdekakan dalam tempoh yang terlalu singkat. Namun begitu, objektif sebenar yang dijanjikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi kepada umat Islam ialah untuk membebaskan Al-Quds (Baitul Maqdis) dari kongkongan musuh-musuh Islam.

Untuk tujuan tersebut Salahuddin meneruskan perjalanannya bersama dengan angkatan tentera ke arah Al-Quds (Baitul Maqdis) dan berjaya mengepungnya selama seminggu sehinggalah pasukan tentera pertahanan kota menyerah diri menyebabkan Salahuddin berjaya memasukinya pada hari Jumaat bersamaan 27 Rejab 583H.

Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saiyidina Umar bin Al-Khattab (r.a) semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds. Beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan hartabenda mereka.

20 Ogos 636: Peperangan Yarmouk

Peperangan Yarmouk berlaku pada 20 Ogos 636 Masihi bersamaan dengan 15 Hijrah di antara tentera Islam dan tentera Rom Byzantine. Peperangan ini dinamakan Peperangan Yarmouk kerana ia berlaku berdekatan dengan sungai Yarmouk di Jordan. Ahli Sejarah menganggap peperangan ini sebagai peperangan terpenting dalam sejarah dunia kerana ia merupakan pembuka tirai bagi kemenangan-kemenangan umat Islam yang seterusnya di Luar Semananjung Tanah Arab dan membawa kepada penguasaan umat Islam sepenuhnya di bumi Syam dan Iraq.

Tentera Islam dipimpin oleh Khalid Ibn Walid (r.a), manakala tentera Rom pula dipimpin oleh Theodore the Sacellarius dan Baanes. Seramai 70,000 orang tentera Rom telah keluar berperang berbanding tentera muslimin yang hanya 41,000 orang sahaja. Namun begitu, dengan izin Allah Ta’ala, tentera muslimin telah dapat mengalahkan tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan perangnya dan ini merupakan kemenangan yang cukup bermakna bagi seluruh umat Islam.

Kekalahan tentera Rom di dalam peperangan Yarmouk menjadikan jalan ke Baitul Maqdis terbuka luas. Lalu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah (r.a) meminta supaya Khalifah Umar bin Al-Khattab (r.a) datang ke bandar Al-Quds kerana penduduk bandar Al-Quds tidak mahu menyerah kecuali selepas kehadiran Khalifah umat Islam untuk menerima penyerahan kunci bandar tersebut. Lantas Khalifah Umar bin Al-Khattab (r.a) pergi ke Baitul Maqdis pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi serta memberi jaminan keamanan kepada penduduk di sana serta berjanji untuk menjamin keselamatan jiwa, harta dan tempat-tempat ibadat mereka serta tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk tinggal bersama mereka di bandar Al-Quds. Khalifah Umar bin Al-Khattab (r.a) telah memberi kebebasan beragama kepada penduduk bandar Al-Quds dengan cara membayar Jizyah. Beliau juga menolak permintaan salah seorang paderi untuk mendirikan solat di dalam gereja Kristian supaya masyarakat tidak terikut-ikut untuk melakukan tindakan yang sama. Kemudian beliau pergi ke kawasan Masjid Al-Aqsa lalu menyapu kotoran yang terdapat pada batu As-Sakhrah, dan seterusnya beliau membina sebuah masjid di sudut sebelah selatan tempat tersebut. Masjid tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh Yahudi dalam peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.

27 Rejab: Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Pada malam 27 Rejab tahun yang ke 11 selepas perlantikan Nabi Muhammad sallallahu’alaihiwasallam sebagai Rasul berlaku peristiwa yang bersejarah dalam Islam iaitu Isra’ dan Mi’raj. Ketika itu, Rasulullah berada dalam kesedihan di atas kematian dua individu yang banyak membantunya dalam menegakkan Islam iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan Isterinya Saiyidatina Khadijah (r.ha). Pada masa yang sama, umat Islam berada dalam tekanan dan pemulauan kaum kafir Quraisy. Pada saat kegundahan itulah Rasulullah SAW diperintahkan oleh Allah Ta’ala untuk menjalani Isra’ dan Mi’raj dari Masjidil Haram di Mekkah ke Baitul Maqdis di Palestin, kemudian naik ke langit yang tujuh hingga ke Sidratul Muntaha dalam tempoh hanya satu malam sahaja.

Allah Subhanahuwata’ala telah mengabadikan peristiwa ini di dalam Quran dengan firmanNya dalam surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Mahasuci Dia (Tuhan) yang memperjalankan hambaNya suatu malam dari Masjidil Haram (di Mekkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya pertanda-pertanda Kami. Bahawa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.”

Peringatan Isra’ dan Mi’raj akan selalu membukakan kenangan di Tanah Palestin, tempat yang menjadi tujuan Isra’ Rasulullah SAW dari Mekkah serta menjadi titik tolak Mi’raj ke Sidratul Muntaha. Dengan kata lain, setiap kali kita mengulangi kisah Isra’ dan Mi’raj, pasti ingatan kita tidak akan dapat dipisahkan dengan Palestin.

Palestin tempat yang disucikan, tempat Rasulullah mengimamkan solat bersama para anbiya’, tempat yang penuh dengan kesan-kesan sejarah suci umat Islam dan pernah menjadi kiblat pertama kaum muslimin seluruh dunia, kini berada dalam cengkaman negara Yahudi Israel. Ia didirikan di Palestin dengan rancangan konspirasi negara-negara Barat dan USA. Kini, ketika kaum muslimin sedunia kembali memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj, kita dapati suasana yang mengerikan sedang berlaku di bumi Palestin dan Lubnan. Beratus-ratus nyawa telah terkorban, beribu-ribu orang tercedera, rumah runtuh dan hancur dibom, kanak-kanak menangis di atas kematian ibubapa mereka, ratusan ribu menjadi pelarian dan seumpamanya yang berlaku kerana kekejaman Yahudi di bumi Isra’ iaitu Palestin.

Pada saat kaum muslimin mengagumi peristiwa Isra’ dan Mi’raj, sejarah Palestin tidak boleh dilupakan dan dipisahkan dari peristiwa tersebut kerana ia adalah milik seluruh kaum muslimin. Konflik Israel-Palestin adalah konflik yang terpanjang di dunia yang belum selesai. Yahudi akan terus memusuhi Islam dan tidak akan berhenti memerangi kaum muslimin sehinggalah kaum muslimin mengikut telunjuk mereka dan menjadi kafir.

Oleh: Aman Palestin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s