Raya Dulu Baru Ramadhan?


Raya dulu atau Ramadhan dulu?  Apabila kita dengar perkataan Ramadhan itu sendiri, apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kita? Mungkinkah tentang peritnya melakukan ibadah puasa dan pada masa yang sama bekerja, atau fikiran yang melonjak gembira menantikan ganjaran yang menanti di bulan Ramadhan?


Atau mungkin  tentang perasaan yang tidak sabar-sabar untuk membuat persiapan raya masing-masing. Segalanya bergantung pada niat masing-masing kerana niatlah yang menentukan segala-galanya dalam kehidupan.

Hakikatnya, Syawal lah yang datang selepas Ramadhan. Namun, apabila mendengar bulan Ramadhan, yang terlintas dalam fikiran kita bukanlah ganjaran hebat yang menanti..bahkan bilangan hari yang berbaki kerana perasaan yang tidak sabar untuk berhari raya. Para ibu lebih bersemangat membeli perabot dan langsir baru untuk menyambut raya, padahal Ramadhan belum pun lagi menyinggah. Lampu kelip-kelip, biar dipasang untuk raya – bukan untuk menyambut Ramadhan dengan rasa gembira.

Situasi ini, boleh diterima akal jika dirasakan oleh anak-anak kecil yang masih mentah jiwanya..namun ia kedengaran agak aneh jika ianya berlaku terhadap yang sudah berumur.

Mengapa kita perlu tertipu dengan mainan dunia?

Mengapa kita perlu tertipu dengan media massa yang sering menayangkan keindahan berhari raya, dan bukannya menayangkan program-program yang mampu mencambahkan benih-benih keimanan dalam diri, seperti program-program yang mampu menggalakkan anak-anak muda untuk berebut ganjaran di bulan Ramadhan.

Seperti firman Allah s.w.t, mafhumnya:
“Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak…. dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan.” (57:20)

Bulan Ramadhan ibarat satu permulaan tahun baru. Jika kita di ambang tahun baru, kita sibuk merancang misi atau matlamat yang kita mahu laksanakan pada tahun baru tersebut. Begitu juga jika kita di bulan Ramadhan , kita sepatutnya sibuk merangka pelbagai aktiviti dan program untuk memastikan masa yang terluang sepanjang Ramadhan ini dimanfaatkan pada tahap yang maksima. Dalam usaha menyambut tahun baru, kita sibuk bertanya pada diri kita matlamat yang kita tidak mampu capai pada tahun lepas, maka perkara yang sama juga perlu diaplikasikan dalam bulan Ramadhan. Kita refleksi kembali apa yang belum mampu kita laksanakan pada Ramadhan lepas, dan kita rancang untuk memperbaikinya pada Ramadhan akan datang.

Mungkin kita dapat menghias rumah lebih awal sebagai persiapan menghargai nikmat Allah menjadikan kita tetamu Ramadhan sekali lagi, atau berniat menghabiskan tilawah satu al-Quran sepanjang bulan Ramadhan, atau mungkin kita sekadar bercita-cita untuk memperbanyakkan lagi sedekah. Tercapai atau tidak matlamat tersebut bukan persoalannya yang utama, kerana Allah tidak melihat pada natijah malahan Allah melihat pada usaha hambaNya.

Fenomena hari ini – apabila bulan Ramadhan menjengah tiba, kita bukannya dihidangkan dengan santapan rohani sesuai dengan ganjaran bulan mulia tersebut, namun mata kita telah dilitupi dengan jualan murah yang melanda seluruh negara. Bukan lah sesuatu kesalahan jika hendak membelinya kerana keperluan, tapi jika seluruh masa Ramadhan kita dihabiskan untuk jualan murah di Sogo / Midvalley / JUSCO dan lain-lain lagi – di mana keutamaan kita untuk iman kita?

Benar sabda Nabi Muhammad s.a.w : “Jika diukur keimanan seluruh manusia di dunia itu , namun masih tidak mampu menandingi keimanan Saidina Abu Bakar” . Jika dibandingkan ibadah mahupun keimanan kita dengan para sahabat yang hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w, mungkin iman milik kita ibarat kuman yang berada di lautan yang luas. Bukti hebatnnya keimanan para sahabat takkan mampu kita bayangkan, cukuplah dengan keadaan mereka yang mengalirkan air mata kesedihan kerana bimbang tidak sempat lagi bertemu dengan Ramadhan seterusnya. Subhanallah…

Namun saya tertanya-tanya, apakah keadaan kita sebegitu? Atau, jangan-jangan .. kita lah orang yang paling tidak senang duduk dengan kedatangan bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan ibarat satu institusi yang mengajar pelbagai perkara dalam kehidupan. Di bulan Ramadhan ini juga, kita mampu ‘bercucuk tanam benih keimanan’  dengan sepenuh hati supaya dapat memungut hasilnya di akhirat kelak dengan tenang. Bulan Ramadhan ialah bulan yang tepat untuk kita melatih diri dengan kesabaran, melalui proses menahan diri daripada lapar dan dahaga.
Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan. Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan..”

Khulasah kalam, hargailah Ramadhan yang akan datang ini dengan memanfaatkan setiap saat dengan ibadah-ibadah yang mampu membantu perhitungan amal kita di akhirat kelak. Usah bazirkan lagi masa yang ada dengan melakukan  perkara yang tidak mampu menambah amalan kita. Akhir kata , tepuk dada , tanyalah hati dan persiapkanlah diri untuk bertemu Ilahi.

Oleh;

Nur Izyan

JUST, Jordan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s