Ramadhan, bersediakah kita?

Apa khabar iman kita? Sahabat-sahabat yang dihormati sekalian, sedar tidak sedar kita sekarang telahpun menjejakkan kaki ke dalam bulan Rejab yang selepasnya datang Syaaban,dan kemudiannya tibalah Ramadhan, tetamu yang kita tunggu-tunggu akan kedatangannya bersama rahmat Allah.

Apabila kita membuat sesuatu kesilapan, kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan yang mulia itu? Adakah rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi ‘petunjuk’ kepada kita?

Sesungguhnya telah banyak wasiat yang telah Rasulullah dan para salafussoleh wariskan kepada kita semua untuk mempersiapkan diri kita sebelum bakal menempuh madrasah Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Di sini kita kongsikan bersama :

I. Niat Yang Ikhlas

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra (bahawa Rasulullah saw) bersabda

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Allah menerangkan (peraturan-peraturan-Nya). Sesiapa yang berazam melakukan kebaikan, tapi ia belum sempat melakukannya, Allah swt tetap menuliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna ”. [HR Bukhari-Muslim]

Berapa banyak orang yang berhasrat melakukan puasa pada bulan Ramadhan di tahun ini, akhirnya mereka tidak dapat memenuhi harapannya kerana mereka telahpun dijemput Ilahi.Sebenarnya jika kita benar-benar melihat “ajal” atau kematian dan faktor penyebabnya, nescaya kita menjadi benci terhadap sikap suka panjang angan-angan.

Periksalah niat, periksalah keazaman dan periksalah keikhlasan kita.“Sekiranya mereka memang bermaksud keluar (pergi) niscaya mereka akan mempersiapkan perlengkapan” (Surah Al-Taubah :46).

II. Taubat Yang Murni

Taubat ini sebenarnya wajib dilakukan pada setiap waktu. Bahkan pada masa (menjelang Ramadhan) ini taubat adalah lebih penting dan lebih wajib kerana kita akan memasuki bulan yang mulia.

Di antara risiko dosa ialah seseorang terdinding dari rahmat dan hidayah Allah serta dihinakan Allah dengan khizlan. [“Khizlan” : adalah lawan taufiq, yakni bahwa Allah swt menutup pintu bimbingan dan ‘inayah. Bahkan seseorang terbiar di bawah kemahuan hawa nafsu sendiri]. Belenggu dosa akan mencegah hamba dari menempuh jalan ketaatan. Bebanan dosa menghalang hamba dari merasa mudah berbuat kebaikan dan dari bersegera melakukan ketaatan.

Pernah orang mengadukan perihal mereka kepada Imam Hasan Basri “Kami tidak mampu melaksanakan qiyamullail”.Beliau menjelaskan “Kamu dibelenggu dosa-dosa kamu sendiri”.

Dewasa ini, tadarru’ (bermunajat dengan khusyuk dan merendah diri) dan iftiqar (sikap di mana hamba sentiasa tetap memerlukan Allah), dan bermunajat di hadapan Allah dengan penuh rasa ketergantungan dan merendah diri, hampir hilang dalam diri umat Islam. Kebanyakan hamba menduga bahawa apabila seseorang mengatakan astaghfirullah atau rabbighfirli, Allah mesti menerima doanya. Akan tetapi kesungguhan taubat ini jauh lebih berat dan besar dari apa yang diduga. Kejujuran dan kemurnian doa dan permohonannya dibuktikan melalui:

  • gigih tanpa jemu
  • permohonan yang berterusan
  • istighfar yang banyak

III. Mengambil Berat Mengenai Masa

Masa adalah kehidupan. Unutk setiap masa yang berlalu tanpa diisi dengan amal saleh, seorang hamba itu akan kehilangan kebahagiaan sesuai menurut ukurannya. Sedarlah sesungguhnya kita berasa gembira dengan hari-hari yang kita tempuh, padahal setiap hari yang berlalu mendekatkan kita kepada ajal.

Ibnul Jauzi berkata “Sepatutnya manusia menyedari kemuliaan dan nilai masa yang dimilikinya. Ia jangan sekali-kali membuang masa walau sesaat jua pun dalam perkara yang bukan mendekatkan diri kepada Allah”.

Apabila hamba menyedari betapa singkatnya masa pada bulan Ramadhan, ia akan tahu bahawa kepenatan amal ketaatan akan hilang dengan pantas. Berapa banyak kesusahan dan kepenatan yang dialami hamba semasa berbuat ketaatan, akhirnya keletihannya akan hilang dan ganjarannya kekal disisi Allah dengan izinNya.

IV. Mengurangkan Makan

Mengurangkan makan adalah di antara matlamat puasa, yakni di antara tujuan Ramadhan adalah agar hamba melatih diri mengurangkan makan, untuk memberi peluang perut berehat dan jiwa untuk berbuat taat. Kerana makan yang berlebihan adalah di antara faktor utama yang menyebabkan hati jadi kasar dan keras, di mana akhirnya hati menjadi laksana batu, dan menyebabkan jiwa dan nafsu lemah untuk berbuat taat. Ia juga menyebabkan hamba kurang bermotivasi dalam bermunajat di hadapan Allah.

Perlu diketahui dan diingat oleh orang yang ingin memperoleh manfaat dan faedah ibadat dan munajat di bulan Ramadan, bahawa (di antara hikmat) mengurangkan makan ialah:

  • Menyebabkan hati jadi halus dan peka.
  • Memperkuat dan mempertajam daya kefahaman.
  • Menundukkan dan menjinakkan nafsu.
  • Menundukkan syahwat dan kemarahan.

Pernah seorang lelaki bersendawa di samping Rasulullah saw, Baginda lalu berkata “Jangan lah anda memperdengarkan sendawa anda kepada kami, kerana orang yang paling lama merasa kenyang di dunia ialah orang yang paling lama lapar di hari kiamat” [HR Tirmizi]

V. Mempelajari Hukum Hakam Mengenai Puasa

Supaya hamba dapat melaksanakan puasa menurut cara yang diredhai Allah. Agar ia layak beroleh balasan dan pahala, dan layak memperoleh buah yang diinginkannya dan mutiara berharga iaitu “ketaqwaan”.

Berapa banyak orang yang puasa akan tetapi tidak ada nilai puasanya di sisi Allah disebabkan kejahilannya mengenai kewajipan yang mesti dilakukannya semasa berpuasa. Berapa banyak orang yang wajib berbuka disebabkan penyakit berbahaya atau keuzuran menurut agama akan tetapi ia masih berpuasa kerana kejahilannya lalu ia berdosa disebabkan ibadah puasa.

Maka adalah satu kemestian mempelajari selok-belok dan hukum hakam puasa.Hal ini adalah fardu ain dan wajib ke atas orang yang wajib berpuasa.

VI. Melatih Diri Melakukan Puasa

Hal ini adalah sangat mustahak sekali untuk membiasakan diri melakukan puasa sehingga apabila datang bulan Ramadhan kita telah bersiap siaga melakukan puasa tanpa sebarang kususahan dan kepenatan yang akan menghalanginya dari melakukan amal ibadat dan yang akan menghalangi hamba dari memperbanyakan ibadat.

VII. Qiyamullail

Qiyamullail adalah satu cara hidup atau sunnah yang mulia dan utama yang diabaikan umat dewasa ini. Ia adalah satu kelazatan yang luar biasa yang belum kita nikmati. Ia adalah satu amal ibadat yang cukup berat yang tidak mampu melakukannya kecuali yang benar-benar hadir dalam perjuangan.

Wasiat Rasulullah : “Kamu hendaklah melakukan Qiyamullail, kerana ia adalah

  • satu sunnah barisan salihin sebelum kamu;
  • ia adalah salah satu cara untuk menghampirkan diri kepada Allah swt;
  • amalan yang dapat mencegah hamba dari dosa dan maksiat;
  • ia akan menghapuskan segala dosa dan kejahatan;
  • dan ia akan mengusir dan mencegah penyakit dari jasad”. [HR Imam Tirmizi]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda “Seafdal-afdal puasa setelah Ramadhan adalah puasa pada bulan Muharram. Dan seafdal-afdal solat setelah solat fardu adalah Qiyamullail”.Hadis riwayat Imam Muslim.

Melatih dan membiasakan diri melakukan Qiyamullail adalah sangat penting sekali sebelum dan sesudah Ramadan.Qiyamullail ini adalah satu perkara yang sangat mustahak sekali dilakukan oleh setiap individu, terutama sekali para da’i dan ulama.Di dalam Qiyamullail terdapat berbagai rahsia yang dapat membuka dan menyelesaikan berbagai kerumitan yang terdapat dalam hati.

Sesiapa di antara hamba yang keluar (tamat) dari “Madrasah Qiyamullail” ia akan mampu mengubah dan mempengaruhi generasi yang akan datang sesudahnya hingga jangka masa yang tidak ada batasnya. Sesiapa yang ketinggalan atau tidak memasuki “Madrasah Qiyamullail”, hati orang yang memandangnya akan jadi keras dan kasar.

VIII. Memperbanyak bacaan Al-Quran

Al Quran dan as sunnah adalah dua warisan Nabi saw yang ditinggalkan kepada umatnya. Tingginya kedudukan kalamullah ini dalam pentarbiyyah (didikan) umat terdahulu dah hinggalah sekarang ke akhir zaman.Rasulullah saw mempelajari Al-Quran bersama Jibril di setiap malam di bulan Ramadhan sepertimana yang terdapat dalam hadis Abdullah bin Abbas ra. Baginda juga memperbanyak membaca Al-Quran semasa solat di bulan Ramadhan sepertimana yang terdapat dalam hadis Huzaifah ra.Demikian juga generasi salaf dan barisan ulama sangat memberikan keutamaan kepada Al-Quran pada bulan mulia ini.

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Al- Baqarah : 185)

IX. Zikir & Sedekah

Setiap mukmin membiasakan diri melakukan zikir dan sedekah sebelum mamasuki bulan suci Ramadhan agar ia dapat melakukannya dengan mudah dan bermotivasi bila sudah berada di bulan Ramadhan.

Begitulah antara perkongsian bagi kita semua membuat persediaan awal sebelum datangnya Ramadhan. Usah ditinggalkan persediaan itu kepada saat-saat akhir.

“Ya Allah!Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban ini, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Mari mujahadah bersama.

Oleh;

Biro Pembangunan Insan

ISMA VICTORIA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s