Membina Syurga Kecil Dunia

Pengurusan rumah yang baik sangat memberi kesan dalam hidup seseorang. Acap kali apabila ditanya tentang pengurusan rumah, pasti ramai yang mengaitkannya dengan golongan wanita yang sudah bergelar isteri. Alangkah baik sekiranya masyarakat dapat mengubah persepsi ini kepada tanggungjawab semua pihak, baik lelaki mahupun wanita, bujang ataupun yang sudah berkahwin.

Hal ini kerana kita masing-masing mempunyai rumah, tempat kita melepaskan penat lelah setelah seharian di luar maka sudah tentu kita mengimpikan suasana yang bukan sahaja zahirnya bersih malah ruang udaranya juga dipenuh dengan ketenangan, rasa cinta dan kasih sayang sesama ahlinya.

Umpama bekas yang menyimpan barang kemas, keadaanya sudah pasti sangat sesuai untuk diletakkan barang kemas agar barang kemas yang dihiasi berlian itu nanti tidak akan pecah apabila terjatuh. Begitu juga dengan rumah, dalam membina individu yang boleh memberi kesan kepada masyarakat, pusat pembinaannya sangat memainkan peranan yang besar. Jika diteliti, suasana rumah yang lintang pukang adalah antara faktor seseorang itu berat hati untuk pulang ke rumah dan perilakunya gagal memberi kesan kepada orang lain.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam mewujudkan suasana ini adalah kebersihan dan suasana rumah yang baik atau biah solehah . Ianya tidak bermakna keceriaan itu ditolak tepi tetapi rumah yang bersih sudah mencukupi untuk kita mengecas semula tenaga setelah berhabisan untuknya di siang hari. Kedua-dua faktor ini sangat berkait rapat dan banyak membantu dalam membina individu yang tindakannya dapat memberi kesan kepada orang lain.

KEBERSIHAN

Kebersihan rumah adalah perkara yang perlu dititik beratkan oleh semua orang.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Kebersihan itu adalah separuh daripada iman”. Allah juga mensyariatkan wuduk sebelum menunaikan solat menjelaskan kepada kita bahawa kebersihan dan kesucian zahir adalah perkara yang perlu diambil perhatian di dalam Islam.

Jadi, beruntunglah kita kerana jika kita menjaga kebersihan rumah, ianya menjadi ibadah untuk kita memberatkan timbangan amal kebaikan kita di akhirat kelak. Antara kebersihan yang perlu dijaga ialah kebersihan lantai, tandas, dapur serta susun atur rumah. Keseluruhan tempat ini adalah tempat yang mancakupi skop penglihatan kita.

Sebagai contoh, kebersihan lantai

Walaupun rumah kita dipenuhi karpet, tikar getah atau jubin sekalipun, tetap perlu disapu atau dibersihkan setiap hari atau sekurang-kurangnya dua hari sekali. Ini kerana, habuk-habuk yang berterbangan setiap hari akan membuatkan kaki kita berasa tidak selesa untuk memijaknya. Lebih-lebih lagi jika rumah kita dipenuhi dengan hamparan permaidani, ianya akan memudaratkan kesihatan ahli rumah seandainya jarang sekali dibersihkan.

Begitu juga dengan kebersihan dapur yang kita akan gunakan setiap hari

Perlu dipastikan susuan aturnya kemas, sampah tidak bertaburan, tidak ada pinggan atau alatan dapur yang kotor ditinggalkan di dalam sinki tanpa dibasuh. Tidak ada kotoran yang mencacatkan penglihatan dan lauk-pauk yang sudah dimasak atau ditinggalkan perlu ditutup dengan rapi.

Perkara ini perlu diambil perhatian kerana ia bukan sahaja mencacatkan penglihatan malah boleh mendatangkan penyakit jika dicemari oleh bakteria dan membawa kepada keracunan makanan. Kita juga perlu peka dengan kehadiran binatang-binatang yang akan merosakkan makanan dan mendatangkan penyakit seperti lipas, tikus dan semut. Jika  terdapat di dapur kita, ianya perlu dibasmi dengan segera.

Oleh sebab itu, kebersihan makanan dan dapur amat penting kerana dapur menjadi tempat untuk kita menyiapkan makanan yang akan menjadi sumber tenaga buat kita dan ahli rumah yang lain. Jika kesihatan diri dan ahli rumah tidak terjaga, maka akan banyak lagi perkara yang bakal tertangguh dan tergendala hanya bersebabkan kebersihan dapur yang tidak terjaga.

Melazimi suasana yang bersih juga akan melahirkan individu yang amat mementingkan kebersihan dan kekemasan seperti yang dituntut ke atas semua Muslim. Ia juga akan membuatkan semua orang selesa dengan kita dan berlapang dada untuk memberi kepercayaan kepada kita disebabkan kebiasaan kita dengan kebersihan. Untuk yang sudah berumahtangga, sifat ini juga akan mententeramkan hati suami yang pulang ke rumah setelah penat mencari nafkah di siang hari.

SUASANA YANG SOLEH

Umar al-Khattab pernah berkata: “Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah”.

Rijal-rijal yang dimaksudkan di sini tidak terhad kepada lelaki sahaja malah ditujukan juga kepada golongan wanita. Sudah tentu kita mengimpikan rumah yang terisi dengan ketenangan, yang perbualannya tidak terhad kepada perkara-perkara dunia, tempat kita meluahkan rasa sedih, berkongsi rasa gembira dan pendek kata, tempat kita mempamerkan diri dan sikap kita yang sebenarnya.

Walaupun kadang-kadang ianya terasa jauh namun ianya tidak mustahil kerana suasana rumah yang tenang ini pernah dibina oleh Rasululllah, sahabat dan salafussoleh tidak terkecuali generasi kini yang berpegang teguh dengan Islam. Mereka juga manusia seperti kita. Hanya perlu kepada usaha tanpa putus asa dan doa.

Antara usaha yang boleh kita lakukan ialah, cuba sebaik mungkin untuk iltizam solat jemaah bersama setiap waktu. Berlumba-lumba untuk mengajak ahli rumah bersolat bersama, berlapang dada  menunggu semua ahli rumah bersiap sedia untuk menunaikan solat bersama adalah antara kunci utama dalam istiqamah dengan solat jemaah.

Natijahnya, insyaAllah hati-hati yang berada di dalam sesebuah rumah itu akan sentiasa diikat oleh Allah kerana hati-hati ini sering bertemuNya bersama dan saat-saat bersama ini pasti akan dirindui suatu hari nanti. Juga digalakkan untuk tilawah dan membaca ma’thurat bersama selepas solat agar ingatan terhadap Allah ini akan menjadi sumber kekuatan ukhuwwah yang dibina.

Selain itu, kita juga perlu mencari waktu untuk duduk bersama seperti waktu makan tidak kira sarapan, bersahur bersama ataupun makan malam. Pada masa inilah, semua ahli rumah akan berkongsi cerita suka dan duka yang akan mengeratkan lagi silaturrahim dan mencambahkan lagi rasa sayang sesama ahli rumah. Jika terdapat perkara yang tidak puas hati, lazimilah sikap berterus terang tetapi dalam keadaan terkawal agar mawaddah yang ada di dalam rumah itu tidak tergugat.

Berlumba-lumba berbuat kebaikan juga adalah kunci kebahagiaan rumahtangga tidak kira bujang ataupun yang sudah berkahwin. Berebut-rebut untuk membasuh pinggan, berlumba untuk membasuh baju orang lain, bersegera menyediakan makanan walaupun bukan giliran memasak serta saling menasihati melalui perbuatan dan perbualan adalah antara perkara yang menambahkan lagi manis dalam ikatan kasih sayang sesama ahli rumah. Pendek kata, banyakkan memberi berbanding menerima. InsyaAllah, natijahnya kita akan rasa bahagia dan akan merasakan rumah itu seperti syurga dunia yang kecil buat kita.

Akhir kata, usahlah kita berpendirian bahawa pengurusan rumah hanya perlu diambil berat jika sudah melangkah atau akan melangkah ke alam rumah tangga kerana selain daripada fitrah wanita itu sendiri yang tempatnya di rumah, ia juga merupakan persediaan sebelum melangkah ke alam seterusnya. Jika tidak dibiasakan, kelak pasti akan merasa janggal.

Buanglah perasaan bahawa istilah ‘rumah’ bagi kita hanyalah rumah ibu bapa kita yang berada di Malaysia, selain daripada itu hanyalah tempat tumpangan dan singgahan sementara kita kerana belum tentu kita akan dapat menyumbang semaksima mungkin dalam membentuk “syurga dunia” di Malaysia, jadi rebutlah peluang yang Allah beri sementara ada masa. Ajal itu tidak kira masa maka hargailah tiap masa yang Allah beri untuk berbuat kebaikan dan merasakan kebahagiaan menjadi khalifah di muka bumi.

Sebagai kesimpulan, jika sesebuah perkahwinan perlu didasari rasa cinta untuk mengekalkan keharmoniannya, begitu juga dengan pengurusan rumah, perlu bermula dengan rasa cinta terhadap rumah dan ahli rumah serta keinginan untuk mewujudkan rumah yang boleh diklasifikasikan sebagai, “Rumahku Syurgaku”.

Mewujudkan suasana yang boleh digelar sebagai ‘syurga dunia’ bukanlah perkara yang mudah tetapi juga bukan perkara yang susah seandainya rasa ingin memiliki dan membina suasana rumah itu ada dalam diri kita beserta dengan kefahaman bahawa peranan rumah adalah sangat besar dalam membentuk diri kita dan ahli di dalam rumah tersebut. Kemudian, kekuatan kedua iaitu ‘rajin’ akan datang dengan sendirinya jika keinginan itu disertai dengan keikhlasan tanpa mengharapkan orang lain serta rasa ingin memberi  berbanding hanya menunggu dan menerima.

Selamat beramal!

dipetik daripada: ISMA Mesir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s