Kami Lebih Dahulu Makan Garam?

“Ummi bilik ni tak de air-cond lah!”, keluh anak perempuan saya.

Tanpa usul periksa saya terus menjawab, “Ish kak lang, mana ada hotel yang tak ada air-cond”.

Saya terus menelefon kaunter hotel. “ Maaf puan semua bilik di hotel ini tidak dilengkapi dengan pendingin udara. Di tanah tinggi Cameron Highland ini suhunya cukup sejuk. Mungkin ini pertama kali puan menjejakkan kaki ke sini, diharap puan selesa”.

Terasa malu dan gagang talipon terus diletakkan. Dengan nada perlahan saya terus berkata sambil tersenyum, “Betullah kak lang, bilik ini tak ada air-cond’.

Saya memerhatikan pemandangan yang indah diluar tingkap. “Ye tak ye juga, sejak dari sekolah rendah lagi dah tahu yang Cameron Highland ini sejuk.” bisik hati saya. Ketika itu barulah dapat merasai kedinginan hotel di puncak Cameron Highland ini. Agak hairan tadi kenapa tak rasa sejuk? Biasalah bila seseorang itu terlalu ego dengan pendapat sendiri maka derianya kurang sensitive dengan rangsangan sekitar dan sukar nak dengar cakap orang lain.

Jawab anak saya, “Itulah ummi selalu tak nak percaya kak lang cakap. Ummi selalu rasa ummi je yang betul”. Tersirap darah saya bila diberi komen yang sedemikian. Tapi mungkin ada betulnya. Kadang-kadang kita terlalu yakin dengan pendapat sendiri berdasarkan kebiasaan dan pengalaman yang ada dan tanpa sebarang usul-periksa terus membuat andaian/keputusan. Maklumlah sebagai orang tua kononnya ‘Kami lebih dulu makan garam’.

Kehidupan hari ini dengan proses modenisasi, globilasasi dan dunia IT tanpa batasan. Ada di antaranya tidak pernah dialami oleh kebanyakan ibubapa ketika di zaman muda mereka. Garam pun dah macam-macam jenis, ada garam bukit dan garam laut, pendek kata, garam dulu dan garam sekarang tidak sama!

Berbalik kepada hotel tadi, pendingin udara merupakan alat yang penting untuk setiap hotel walau tanpa bintang sekalipun. Sesuatu yang biasa pada tempat atau keadaan tertentu tidak semestinya juga biasa pada tempat lain.

Analogi yang boleh dibuat ialah, usah terburu-buru, turunkan ego, dan telitilah pandangan anak-anak kita dengan hati yang terbuka. Gunakan semua deria yang ada seperti pendengaran, penglihatan dan sentuhan untuk menilai. Ini memberi ruang untuk kita melihat sesuatu isu itu dari perspektif yang lebih luas.

Biarpun mereka tinggal sebumbung, tetapi tanpa kita sedari anak-anak kita mungkin terpengaruh dan memiliki nilai hidup dan citarasa yang berbeza. Pengaruh pendedahan mereka pada rakan sebaya dan dunia IT mempengaruhi cara fikir dan tingkah laku mereka.. Gunakan kebijaksanaan yang ada untuk mencapai kesepakatan sambil memperbetulkan pandangan mereka yang tidak sesuai dengan agama dan adat resam kita.

Pernah seorang rakan sekerja saya memberi komen, “Tak fahamlah budak-budak sekarang, senang sangat terjebak dalam salah laku seks. Lepas tu buang anak merata-rata. Tak ada hati perut, tak tahu dosa ke. Kita dulu tak macam ni”. Ada betulnya, dahulu dengan tunjuk ajar ibubapa dan persekitaran yang baik membuatkan kita mampu menghayati kehidupan Islam dan terpelihara dari tindakan tidak bermoral, tetapi bagaimana pula dengan remaja di zaman ini?

Apakah masyarakat telah bersikap adil dengan membentuk persekitaran yang baik dan selamat?

Adakah ibubapa telah memberi pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak mereka?

Pada pengalaman saya sendiri yang pernah mengajukan soalan kepada seorang remaja lelaki yang cerdik yang mengalami kemurungan disebabkan putus cinta. Beliau mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan teman wanitanya iaitu, “ Awak tak takut ke ?”. Belum sempat saya menghabiskan soalan dia terus menjawab dengan rasa marah, “Nak takut apa pakai kondom lah!”.

Melalui pembacaan remaja ini dan maklumat lain yang diterimanya, apa yang dilakukan adalah selamat dan tidak salah. Tambahan lagi, beliau merupakan ketua kelas di sekolahnya. Baginya asalkan ‘safe sex’ maka perbuatan itu tidak salah. Langsung tiada rasa kesal di hatinya. Saya terus menambah,”Maksud saya tidak takut dengan azab Allah ke, bukankah ini zina namanya?” Remaja tadi nampak kebinguangan dan rupanya perkataan zina itu cukup asing baginya. Tidak mengejutkan jika dia langsung tidak rasa bersalah dan berdosa. Dia rasa tindakannya betul.

Tanpa disedari, sedikit demi sedikit dirinya dihujani oleh maklumat-maklumat yang kebanyakkannya dari Barat yang berorientasikan keseronokan dan materialistik. Biarpun beragama Islam, makan cara Melayu dan memakai baju Melayu tetapi sistem nilai Islam cukup asingnya. Sistem nilai tidak terbentuk dalam masa yang singkat. Ianya mengambil masa bertahun-tahun dan dipengaruhi oleh pendidikan, personaliti, persekitaran dan budaya. Sistem nilai pada seseorang kadangkala tidak diterjemahkan dalam perkataan dan sukar bagi ibubapa mengesannya. Sedar-sedar ianya dimanifestasikan dalam bentuk gejala sosial yang serius.

Bagi remaja yang masih memegang nilai Islam maka adalah mudah untuk ibubapa menasihatkan supaya segera bertaubat dan jangan lagi mengulangi perbuatan terkutuk itu. Tapi bagaimana pula mereka yang telah terpesong sisitem nilainya. Umpama kebun yang telah lama terbiar, ditumbuhi semak, tentu sukar dan memakan masa bagi membersihkannya. Jika kebun itu dibersihkan dari masa ke semasa tentu kerjanya lebih mudah dan cepat.

Unsur negatif yang mengganggu sistem nilai seseorang sukar dikesan oleh mata kasar dan juga oleh sistem deria yang lainnya. Ianya memerlukan penelitian yang lebih menyeluruh. Dengarlah rintihan hati anak-anak-anak kita dengan terbuka. Biar apapun kesalahan mereka terimalah mereka seadanya. Jangan mudah melatah dan berputus asa. Mohon pertolongan Allah supaya dapat memberi jalan penyelesaian yang terbaik untuk kita semua dan tidak semestinya ‘mesti ikut cara saya.’ Pantaulah mereka dengan penuh kasih sayang. Demi anak yang tercinta jangan malu berbuat sedemikian biarpun mereka telah dewasa.

Dr Nor’Izam Md Alias

Pakar Psikologi

Penulis buku bersiri Psikologi Seksologi Remaja

Blog: Bio-Ibadah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s