Gegaran Bumi Getaran Hati

Dek kerana gegaran yang berlaku selama 10 saat pada 1 Januari 2011 yang lepas, Irbid dan penduduknya gempar seketika. Gempa bumi 4.5 skala Ritcher telah direkodkan jam 6.31 petang dengan jarak pusatnya sejauh 20 kilometer dari bandar Irbid dan sedalam 10 kilometer dari permukaan bumi.

Dr. Zaghloul El-Naggar, pakar geologi yang terkemuka pernah menegaskan bahawa walaupun saintis-saintis geologi memahami mekanisme kejadian gempa bumi, mereka sebenarnya semakin hilang keyakinan dan meragui kebolehan sebenar manusia untuk meramalkan akan berlakunya peristiwa gempa bumi secara tepat. Respons ahli-ahli geologi berhubung gempa bumi yang melanda Jordan baru-baru ini juga menguatkan lagi pernyataan ini. Najib Abu Karaki, profesor seismologi di Universiti Jordan memberitahu The Jordan Times bahawa perihal dan perilaku gempa bumi memang sulit untuk diramal.

Seharusnya gegaran yang berlaku itu menggetarkan hati-hati orang yang beriman. Allah telah memberi peringatan kepada kita di dalam al-Quran, “Maka apakah kamu merasa aman bahawa Dia tidak akan membenamkan sebahagian daratan bersama kamu, atau Dia meniupkan angin keras yang membawa batu-batu kecil? Dan kamu tidak akan mendapat sebarang pelindung pun.” [Al-Israa: 68]

Bumi dan seisinya adalah milik Dia yang Maha Kuasa. Seandainya Dia kehendaki, mungkin hari pertama pada tahun baru ini menjadi saksi bergelimpangannya mayat-mayat kita sebagaimana gempa bumi yang berlaku di Haiti telah mengorbankan 230,000 nyawa pada awal 2010. Andai amalan kita yang menjadi taruhan, tentunya bebanan dosa-dosa kita melayakkan kita untuk dihapuskan daripada muka bumi ini. Bukankah gempa bumi merupakan salah satu cara Allah mengazab hamba-hamba-Nya yang kufur akan nikmat, ingkar untuk taat, dan onar melakukan maksiat?

“Maka masing-masing kami azab kerana dosa-dosanya, di antara mereka ada yang kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil, ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan ada pula yang kami tenggelamkan. Allah sama sekali tidak hendak menzalimi mereka, akan tetapi mereka-lah yang menzalimi diri mereka sendiri.”

[Al-Ankabut:40]

 Kesalahan dan kesilapan kaum-kaum terdahulu bukan sahaja diulangi oleh umat manusia zaman ini, bahkan ditambahi kedahsyatannya. Jika persoalannya mengadakan hubungan sejenis seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut, maka jawapannya ‘Saya gay, saya OK!’ Sekiranya bingung memikirkan bagaimana kaum Firaun boleh membiarkannya bermaharajelela menzalimi rakyat jelata, maka boleh terus migrain memikirkan betapa penduduk dunia kini kronik dengan penyakit ‘aku-tidak-pedulisme’. Andai menangisi unta Nabi Saleh yang tidak berdosa dibunuh begitu sahaja, maka nasib-nasib bayi yang tidak berdosa dibuang ke lubang jamban dan tong-tong sampah patut diratapi. Tatkala mengenang kaum Nabi Nuh yang mensyirikkan Allah dan degil tidak mahu mendengar risalah suci, bagaimana pula dengan kita yang kadangkala mengutamakan redha manusia berbanding dengan redha-Nya, kadang-kadang memekakkan telinga kerana muak mendengar ajakan dan nasihat yang murni.

 “Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan tipu daya (rancangan jahat); maka Allah menghancurkan rumah-rumah mereka mulai dari asasnya, lalu atap (rumah itu) jatuh menimpa mereka dari atas, dan siksa itu datang kepada mereka dari arah yang tidak mereka sedari.” [An-Nahl:26]

“Maka apakah orang yang membuat tipu daya yang jahat itu merasa aman dari dibenamkan bumi bersama mereka oleh Allah, atau datangnya siksa kepada mereka dari arah yang mereka tidak sedari.” [An-Nahl:45] 

 Kedua-dua ayat cinta Allah daripada surah An-Nahl ini mampu menggetarkan hati apabila kita khusyuk membacanya, tulus menghayatinya. Cukuplah gegaran yang kecil ini untuk mengejutkan hati yang kadang-kala terlena, seterusnya membangkitkan azam kita untuk takut dan berharap hanya kepada-Nya. Allah telah menjanjikan gempa bumi yang maha dahsyat pada hari kiamat nanti, barangkali melangkaui ukuran skala Ritcher. Marilah kita sama-sama menginsafi janji Ilahi dalam setiap hari yang kita lalui.

 “Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu; sungguh goncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar. Pada hari ketika kamu melihat goncangan itu, semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras.” [Al-Hajj: 1-2]

“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat, dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat, dan manusia bertanya, ‘Apa yang terjadi kepada bumi ini?’ Pada hari itu bumi menyampaikan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok, untuk diperlihatkan kepada mereka semua perbuatannya. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya).” [Az-Zalzalah:1-8]

Nadhirah binti Sahri

Tahun 4 PerubatanJordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s