Jasad Sihat vs. Musim Sejuk

 Roh dan otak adalah sasaran utama yang ingin kita tingkatkan dari hari ke hari. Akan tetapi jasad yang menjadi salah satu unsur manusia, juga tak boleh kita pandang enteng. Ulama’ suatu masa dahulu, pernah menyifatkan bahawa tubuh manusia ini adalah sangkar bagi rohnya. Jadi, untuk melengkapkan diri dengan segala aspek dan memenuhi tuntutan jasad kita setiap hari – adalah keperluan yang memang tak dapat kita elakkan.

Memelihara kesihatan badan adalah satu aspek yang tak kurang penting dalam diri seorang muslim, atau lebih spesifiknya .. seorang daie. Kenapa?

1-    Keberadaan daie di muka bumi ini adalah sangat penting, dan menjadi petanda bahawa Islam ada kemampuan untuk terus disebarkan. Jika daie tersebut tak jaga makan, tak mengadakan rutin riadah setiap minggu, tak memelihara perutnya dengan berpuasa – mana mungkin jasadnya akan mampu bertahan lama?

Jadi, ke arah mencapai matlamat dakwah yang masih lagi jauh, kita sebenarnya memerlukan orang-orang baik untuk terus bertahan lama di dunia ini. Yakni, panjang umur kerana menjaga kesihatan, dengan kesedaran bahawa penamat umur kita ini memang sudah ditentukan Allah. Dengan itu, baru-lah umat tak mudah kehilangan daie yang amat berpotensi begitu cepat – meninggal kerana sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan bermacam lagi penyakit yang asbab-nya mampu kita kawal.

2-      Jasad kita ini adalah amanah Allah Ta’ala. Bagaiman mungkin seorang yang telah meminjam barang orang lain, lalu memulangkannya dalam keadaan rosak ? Tentu kita malu, kan? Sebagaimana hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya untuk badan kamu ada haknya ke atas kamu, dan sesungguhnya untuk keluarga kamu ada haknya ke atas kamu, dan sesungguhnya untuk Tuhan kamu ada hakNya ke atas kamu.. maka berikanlah hak kepada pemilik hak itu.”

3-      Menjaga kesihatan tubuh sebenarnya membuka ruang beribadah lebih lagi selain amalan biasa yang kita lakukan? Mengapa tidak?

Dengan izin Allah Ta’ala – berjoging sambil berniat kerana Allah, sudah dikira pahala. Dengan memberi ruang masa kepada jasad untuk mengambil rehat yang berkualiti [tak semestinya rehat yang panjang itu berkualiti] akan memudahkan kita lebih selesa untuk beribadah selepas itu. Dengan mengurangkan makan, kita akan lebih mudah dan ringan tulang untuk beribadah lebih lagi. Dengan rajin beriadah dan rajin mengajak sahabat-sahabat beriadah sama – juga dapat pahala ukhuwah. Dengan tujuan melahirkan badan yang sihat, mungkin juga kita boleh memperbanyak puasa, solat sunat rawatib, solat tahajud, solat dhuha, solat sunat awwabin, solat sunat selepas wudhu’, solat sunat menghormati masjid, solat sunat witir sebelum tidur dan banyak lagi.

Jadi, di mana ruang untuk kita memberi alasan lagi untuk tidak memelihara kesihatan tubuh?

Siapa kata muslim adalah orang yang memisahkan aspek akhirat dan aspek duniawi? Di dalam hadith pertama yang diterangkan panjang di dalam Kitab Qabasaat Minar Rasul karangan Muhammad Qutb ada menulis, bahawa jalan dunia dan jalan akhirat ini adalah satu jalan yang sama. Tak patut kita memberatkan soal ruh saja, sedangkan sangkar kepada ruh [iaitu jasad] tidak kita ambil berat.

Persoalan bagaimana untuk memelihara kesihatan harus kita perhatikan pada makanan apakah yang masuk ke dalam perut. Bak kata orang putih, ‘We are what we eat’ .

Tips-tips makan di musim sejuk: –

1- Hendaklah makanan yang halal lagi tak syubhah, makanan yang tidak diboikot syarikatnya, dan makanan yang tinggi nutrisi menjadi pilihan kita.

2- Setiap kali menghadap makanan, letakkan had dalam minda : kita makan bukan untuk terlalu kenyang, tapi sekadar menghilangkan lapar. Bukankah ini juga yang telah Rasul s.a.w ajarkan?

3- Untuk yang tak mampu menahan nafsu makan, berpuasalah. Atau jika tak mampu berpuasa, murahkan hati untuk berkongsi makanan yang sepatutnya kita jamah seorang diri, dengan orang lain.

Ini pula adalah beberapa tips yang dapat dikongsi, jika hendak beriadah di luar semasa musim sejuk : 

1- Memakai pakaian dua tiga lapis; lapisan yang paling dalam sebaik-baiknya adalah yang melekat rapat ke kulit. Ini memudahkan tubuh kita berpeluh dengan cepat, selain menghalang udara sejuk menyentuh terus kulit.

2- Mulakan dengan warm-up, akhiri dengan cool-down. Pastikan mula dengan berdikit-dikit, supaya badan tak terkejut lalu menyebabkan kita jatuh sakit.

3- Memperhatikan kadar pernafasan semasa beriadah. Ini adalah sangat penting supaya sel-sel dalam badan dapat dibayar semula hutang oksigen yang telah banyak kita gunakan untuk menghasilkan tenaga. Lagi-lagi dengan menyedut udara yang sejuk untuk orang yang mempunyai masalah pernafasan seperti asthma atau emphysema.

4- Bawa bersama air minum. Sebenarnya setiap kali kita bersukan, badan akan menggunakan banyak air, walau kadang-kala kita terasa kita tak-lah berpeluh sangat. Jadi, untuk mengekalkan keseimbangan kandungan air, banyakkan minum air kosong atau air mineral.

5- Jika tak mampu untuk bertahan dengan udara pagi di luar yang sejuk, amalkan  riadah di dalam rumah. Beli-lah tali skipping, mengadakan senamrobik atau merajinkan diri mengemas rumah – asalkan output tenaga yang kita hasilkan adalah selari dengan seberapa banyak input makanan yang kita ambil hari-hari.

Sesetengah para pengkaji bersetuju dengan fakta bahawa bersukan semasa musim sejuk walaupun tak berpeluh adalah lebih baik daripada tidak bersukan tapi berpeluh semasa musim panas. Kita memberi perhatian kepada kesihatan badan, sama seperti kita memberi perhatian kepada islah ruh dan akal. Sepatutnya sang daie itu jika diperhati, dia adalah orang yang paling awal mengajak untuk beriadah. Sepatutnya sang daie itu jika diteliti, dia adalah orang yang paling selalu dilihat di padang atau gelanggang. Dan sepatutnya sang daie itu jika dikaji, dia adalah orang yang paling aktif di dalam sukan yang diceburi.

Oleh itu, jika ada kawan-kawan mengajak untuk keluar beriadah, pasang tekad dalam hati untuk membuang malas, mencari redha Allah dan membina ukhuwah sesama kita.

Selamat menjaga jasad!

Nabilah Mohd Yaakob

Tahun 3 Pergigian

Jordan University of Science and Technology

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s