Musim Sejuk Syurga bagi Mukmin

“Best nya sejuk….malam panjang, siang sekejap saja.”

“Seronok lah bila musim sejuk dah bermula, malam boleh berehat lama-lama.”

Ya, memang tidak dinafikan keseronokan apabila kita berada di musim sejuk ini. Cuaca tidak panas dan tidak ramai yang mengeluh panas. Kita manusia biasa, merasakan bahawa pada musim sejuk ini banyak peluang yang kita boleh lakukan ketika siang melabuhkan tirainya. Malam-lah waktu yang paling ideal bagi seseorang hendak melakukan aktiviti mereka dan antaranya, tidur.Namun, kita juga perlu ingat dengan datangnya musim sejuk bererti kita-lah orang yang paling beruntung kerana kita muslim. Kita amat beruntung kerana di musim sejuk ini Allah memberi kita peluang yang cukup berharga di mana kita diberikan malam yang panjang bukan sahaja untuk berehat lama, malah dengan malam yang panjang itu kita boleh juga melakukan amal ibadah kepada Allah.

Kita harus akui yang iman kita sebagai manusia tidaklah sama seperti iman malaikat Allah, maka istiqamah-lah dalam setiap kebaikan walaupun tidak banyak. Yakin dengan kemampuan diri bahawa kita mampu melakukannya, sebagaimana kita yakin semasa membaca doa ini:

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta (Tiada Tuhan selain Engkau).”

(Riwayat Abu Daud, Ahmad)

Bagi sebilangan kelompok manusia di Jordan, malam adalah masa paling sesuai untuk mentelaah pelajaran. Namun di samping itu, apa kata kita berusaha menjadi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, menggunakan waktu malam mereka untuk beribadah kepada Allah. Praktikalnya, selang-selikan aktiviti belajar dengan solat dua rakaat.

Alangkah seronok jika malam-malam kita dipenuhi dengan bacaan quran dan solat qiam seperti sahabat dahulu selain daripada mengulang kaji. Hatta nabi kita Nabi Muhammad s.a.w seorang ahli syurga juga tidak putus beribadah kepada Allah. Daripada Aisyah r.a katanya:

“Nabi s.a.w itu berdiri untuk bersolat malam, sehingga pecah-pecah kedua tapak kakinya. Saya berkata kepadanya: “Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian ini, ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang dahulu dan yang kemudian?” Baginda s.a.w lalu bersabda, “Tidakkah saya ini wajar menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur?”

(Muttafaqun ‘alaih)

Dari Ibnu Mas’ud r.a katanya: “Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi s.a.w, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi – yakni tidak bangun untuk bersolat malam, lalu Baginda s.a.w bersabda; “Orang itu sudah dikencingi syaitan dalam kedua-dua telinganya” atau Baginda s.a.w bersabda: “di telinganya.”

(Muttafaqun ‘alaih)

“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah Ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau dia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi dia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Bagaimana Mudah untuk Bangun Solat Malam?

 Terdapat beberapa petua daripada Imam Al-Ghazali:

1.    Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2.    Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.

3.    Mengetahui dan menginsafi benar-benar keutamaan solat malam dengan mentadabbur selalu ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.

4.    Meningkatkan rasa cinta kepada Allah, rasa cinta yang sebenar-benarnya. Istiqamah dalam beribadah di waktu malam itu merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih-Nya.

 Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah-ibadah sebelumnya. Sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwat dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.

Daripada Abu Umamah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya.”

( Riwayat Muslim )

Membaca Al-Quran juga merupakan perkara penting dan antara amalan mulia untuk dilakukan pada waktu malam khususnya. Di saat manusia semua memejamkan mata, seronok dibuai mimpi indah, kita bangun membaca kalam Allah yang suci. Semuanya dilakukan kerana menyahut seruan hadith Nabi s.a.w, daripada Abu Umamah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya.”

( Riwayat Muslim ) 

Meskipun jika kita tergolong dalam golongan yang kurang pandai mengaji, kita juga perlu ingat tentang hadith Nabi s.a.w yang mengatakan ada ganjaran yang turut tersedia untuk kita. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: “Bersabda Rasulullah s.a.w: Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya dia mendapat dua pahala.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Daripada Umar bin Al Khattab r.a, bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran.” (Riwayat Muslim) 

Wahai rakan sekalian, ayuh kita kembalikan semula pengertian suasana malam panjang yang sebenar. Hiasilah malam kita dengan mengingati Allah s.w.t. Allah Ta’ala tidak menjadikan kita semata-mata untuk kita hidup dan merasakan nikmat keduniaan ini. Malah cari-lah sesuatu yang lebih bermakna daripadanya. Moga Allah membantu kita untuk sentiasa mengingati-Nya, untuk sentiasa berzikir kepada-Nya, dan untuk sentiasa melakukan amal ibadah kepada-Nya.

Nurfadhilah binti Husin

Tahun 3 Ekonomi dan Perbankan Islam

Universiti Yarmouk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s