SEKITAR PILIHAN-RAYA JORDAN 2010

Sering kali kita mengeluh, kesal memikirkan kes gangguan di Irbid yang semakin kronik. Pernah juga terlintas di hati, saudara-saudara Arab kita di sini, seolah-olah tidak berkasih-sayang dengan kita. Sakit, derita, dan demam kita tidak diambil tahu. Persoalannya, adakah kita mengambil berat dengan sakit, derita, dan demam mereka? Sejauh manakah kita bertanya khabar mereka apatah lagi mengetahui isu-isu yang sedang melingkari mereka?  

FAQ PILIHAN RAYA JORDAN 2010

Apa

Mutakhir ini, saya sering ditanya “Jordan ada parlimen ke kak? Bukan sekadar sistem monarki ke?” Benar, Jordan mempunyai raja yang bertindak sebagai ketua negara, kini dipegang oleh Raja Abdullah II bin Al-Hussein. Jawatan raja adalah secara warisan, daripada ayah kepada anak. Mungkin kerana gambar Raja Abdullah II yang lebih glamour terpampang di semua tempat menyebabkan tidak ramai pelajar Melayu yang mengenali Samir Al-Rifai, Perdana Menteri Jordan. Fungsi perdana menteri Jordan adalah untuk memimpin kerajaan. Namun, perdana menteri dilantik oleh raja, suatu pemberat yang menggambarkan kuasa raja di dalam pemerintahan negara.

Majlis Al-Ummah pula adalah komponen penting dalam kerajaan Jordan. Majlis Al-Ummah terbahagi kepada dua, Majlis Al-Ayan yang mempunyai 55 ahli yang dilantik oleh raja untuk berkhidmat selama 4 tahun, dan Majlis An-Nuwaab yang memiliki 120 ahli yang diundi dalam pilihanraya, juga untuk berkhidmat selama 4 tahun. Jika dibandingkan dengan tanah air kita secara kasar, Majlis Al-Ayyan diumpamakan seperti Dewan Negara dan Majils An-Nuwaab diibaratkan seperti Dewan Rakyat. Bezanya dalam konteks negara kita, hanya 44 daripada 70 ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Barangkali ada di antara kita yang masih pening memikirkan Batu Sapi dan Galas, sehingga terlepas pandang poster-poster yang digantung sekitar Irbid. Pilihan raya yang diadakan kali ini adalah proses bagi rakyat Jordan memilih ahli Majlis Al-Nuwaab. Saya sendiri julung-julung kali berpeluang menyaksikannya, malah sedikit teruja apabila melihat wajah doktor yang mengajar saya subjek Fisiologi di JUST menghiasi poster calon pilihan raya.

Bila?

Soalan ini mungkin mudah dijawab oleh kita kerana cuti umum yang diisytiharkan. Muhasabah kepekaan diri, adakah kita akan peka dengan tarikh 9hb November 2010 sekiranya kelas berjalan seperti biasa? Jika diteliti, sepatutnya pilihanraya Majlis Al-Nuwaab wajar diadakan pada November 2011, berdasarkan tempoh 4 tahun. Ini kerana pilihan raya lepas telah berlangsung pada 20 November 2007. Ada juga pihak yang nakal mengaitkan tarikh pilihan raya ini dengan peristiwa pengeboman 3 buah hotel di Amman yang berlaku pada tarikh yang sama pada tahun 2005.

Siapa?

Mereka yang berumur 18 tahun ke atas telah layak mengundi, 3 tahun lebih awal berbanding had umur kelayakan mengundi di Malaysia. Hati kecil saya mengharapkan pemuda Jordan telah sematang Usamah bin Zaid yang diberi kepercayaan sewaktu berusia 18 tahun untuk menjadi panglima tentera Islam melawan Rom. Hati kecil saya juga mendebatkan sama ada kerajaan Malaysia yang silap menilai dan menentukan usia untuk mengundi, atau sememangnya pemuda Malaysia yang belum menunjukkan tahap kematangan yang sepatutnya di usia 18 tahun.

Mengapa?
Berbicara dengan rakan-rakan dan masyarakat sekeliling, tidak ramai yang optimis dengan pilihan raya ini.

“Pakcik, pilihan raya selasa ni kan?”
“Erm, saya tak nak terlibat..malaslah saya nak keluar mengundi.”
“Tak nak mengundi?!”
“Yalah, kalau saya pilih calon yang saya nak pun, akhirnya kerajaan yang tentukan calon mana yang menang. Kalau saya pilih mana-mana calon pun, akhirnya apa yang dia buat untuk saya? Tak ada apa-apa pun!”
“………………………………………………….”

Kita sebagai orang luar susah untuk menilai sejauh mana kebenaran bicara masyarakat tempatan. Tentunya setiap orang berbeza pandangan, dan kita kebiasaannya hanya sempat menanyakan pendapat empat hinggan lima orang. Namun berdasarkan analisa politik, ada beberapa faktor yang membuatkan sebahagian rakyat Jordan tawar hati dengan proses pilihan raya ini.

 1. Undang-undang Pilihan Raya
Walaupun beberapa perubahan telah dibuat, tetapi sistem satu undi untuk setiap pengundi tetap dikekalkan. Kawasan-kawasan besar dikenali sebagai zon pilihan raya, dan dibahagikan kepada 108 pecahan kawasan kecil, dan setiap kawasan kecil mendapat satu kerusi. Bayangkan, seorang pengundi boleh memilih untuk mengundi sama ada calon dalam kawasan kecilnya atau mana-mana calon dalam kawasan besar atau zon pilihanraya-nya.

 Rasa tidak puas hati juga timbul apabila kawasan yang bandar yang padat diperuntukkan jumlah kerusi yang sedikit berbanding kawasan kampung yang mempunyai bilangan penduduk yang sedikit.2. Pemboikoton Pilihan Raya
Akibat undang-undang pilihan raya yang dikatakan tidak adil, juga impak daripada pilihan raya 2007 yang dikatakan berlakunya pelbagai penipuan, جبهة العمل الإسلامي (Jabhah Al-Amal Al-Islami) telah memutuskan untuk tidak melibatkan mana-mana ahlinya menjadi calon dalam pilihan raya kali ini. Kesannya tentulah sangat besar kerana جبهة العمل الإسلامي merupakan parti politik yang paling tersusun dan mempunyai sokongan rakyat yang meluas. Suratkhabar-suratkhabar Jordan sendiri melaporkan bagaimana Perdana Menteri Jordan merayu kepada جبهة العمل الإسلامي untuk menyertai pilihan raya bagi menjaga nama baik proses demokrasi di Jordan dan bagi menjamin kredibiliti pilihan raya.Bagi جبهة العمل الإسلامي , pemboikotan pilihan raya kali ini adalah untuk memprotes polisi-polisi kerajaan. Setiausaha Agungnya, Hamza Mansour, menegaskan bahawa undang-undang pilihan raya kerajaan hanya menggalakkan semangat kabilah atau berpuak-puak, memperkecilkan demokrasi, serta gagal untuk menepati cita dan aspirasi rakyat. Selain itu, parti Wehdah juga turut mengambil langkah memboikot pilihan raya serta mengadakan rapat umum dan usaha-usaha lain untuk mengajak rakyat bersama-sama dalam pemboikotan pilihan raya.  3. Tak Peduli
Terdapat beberapa slogan-slogan calon pilihan raya yang bagi saya sangat mencuit hati. Rakan-rakan Arab juga menjadikannya sebagai modal jenaka harian mereka. Mungkin rakyat yang mengambil sikap acuh tidak acuh dengan pilihan raya ini tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Ketiadaan calon yang pada pandangan mereka mempunyai hubungan dengan masyarakat setempat, mempunyai agenda yang jelas, dan bersemangat untuk melaksanakan perubahan yang realistik sedikit sebanyak mempengaruhi mood untuk mengundi. Sebahagian rakyat Jordan lebih tertarik untuk berbincang mengenai harga barangan yang melonjak naik daripada berdiskusi tentang pilihan raya, sebagai contoh harga tomato yang sudah mencecah 2JD sekilo; 10 kali ganda harga biasa, tentunya itu yang lebih merisaukan sebahagian daripada mereka!  Bagaimana?Usaha kerajaan Jordan berkempen agak mantap dalam memastikan peratusan yang keluar mengundi tinggi. Poster-poster yang memberi motivasi untuk mengundi ditampal di seluruh tempat, sama ada universiti, pejabat, jalan-raya dan sebagainya. Kempen sm3nasotak juga agak canggih, lengkap dengan website http://sm3nasotak.blogspot.com/, facebook, twitter, mobile sms dan youtube. Setakat ini, terdapat seramai 853 calon yang bertanding untuk 120 kerusi. عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِىَ الله عَنْهُ ، خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَن
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: ((لاَ یُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى یُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا یُحِبُّ لِنَفْسِهِ )) رواه
البخاري Semoga kita sentiasa cakna dengan isu masyarakat setempat, bukankah kita mahasiswa kelas pertama? Nadhirah binti Sahri  Tahun 4 PerubatanJordan University of Science and Technology

2 thoughts on “SEKITAR PILIHAN-RAYA JORDAN 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s