Ucapan Tahniah buat Saudari Nurfadhilah Husin

Saudari Nurfadhilah Husin- barisan hadapan dua dari kiri Gambar ihsan dari Majlis Mahasiswa Yarmouk

Saudari Nurfadhilah Husin- barisan hadapan dua dari kanan
Gambar ihsan dari Majlis Mahasiswa Yarmouk

Irbid, 17 Feb. -  Warga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan mengucapkan sekalung tahniah buat saudari Nurfadhilah Husin, bekas ahli Biro Media ISMA Jordan atas kejayaan beliau membawa pulang segulung ijazah dalam jurusan Ekonomi & Perbankan Islam dengan pangkat Jayyid Jiddan.

Beliau yang merupakan Graduan 2013 semester 1 telah berjaya menamatkan ijazah tersebut 1 semester lebih awal dari tempoh tajaan asal oleh pihak JPA. Selain itu, beliau juga pernah mendapat pangkat Mumtaz ketika semester 2 pada tahun 3.

 

Apabila ditemuramah oleh pihak kami tentang petua untuk berjaya, beliau mengatakan perkara yang sering beliau lakukan adalah beliau sering membuat nota sendiri dan menerangkan kepada orang lain supaya mendapat kefahaman yang lebih.

“Untuk menguasai bahasa Arab, kita perlu mempunyai minat yang tinggi dalam memahami qawaid bahasa Arab serta perlu sentiasa perlu merujuk kamus, tambah beliau lagi.

Apabila ditanya tentang kepentingan dakwah dan tarbiyah berkata,

“Dakwah dan tarbiyah amat penting kepada mahasiswa, tambahan pula buat mereka yang berada di luar negara. Kerana pada mahasiswa terdapat semangat dan azam yang kuat yang sewajarnya dipandu dan digunakan dengan cara yang betul.”

Beliau juga mengingatkan bahawa disiplin yang amat tinggi diperlukan buat mereka yang ingin berjaya dalam bidang akademik serta dakwah dan tarbiyah.

 

Encik Mohd Haris selaku Pegawai Penasihat Pendidikan dan Latihan Amman telah mengucapkan setinggi tahniah buat Saudari Nurfadhilah Husin atas kejayaan beliau menamatkan ijazah satu semester lebih awal.

“Bagi pihak penaja iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, saya ingin merakam setinggi tahniah kepada pelajar bidang Ekonomi dan Perbankan Islam iaitu Nurfadhilah Husin daripada ‘pioneer batch’ Universiti Yarmouk yang berjaya menamatkan pengajian lebih awal daripada tempoh tajaan asal.”

 

Encik Mohd Haris juga meletakkan harapan agar kejayaan saudari Nurfadhilah ini akan menjadi perangsang dan dorongan kepada pelajar Malaysia di Jordan agar terus menumpukan perhatian kepada pelajaran serta berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal mendatang.

Warga ISMA Jordan sekali lagi mengucapkan sekalung tahniah buat saudari Nurfadhilah dan meletakkan harapan yang tinggi agar beliau meneruskan kecemerlangan di Malaysia dalam kerjaya serta dakwah dan tarbiyah.

 

Membangun Umat Beragenda

 

Pengumuman Perlantikan Jawatankuasa ISMA Jordan Yang Baru

AQABAH, 2 Februari – bertempat di Dewan Muaskar, Pantai Aqabah, Jordan, pertukaran kepimpinan Ikatan Muslimin Malaysia Jordan dari sesi lama kepada kepimpinan sesi baru telah diadakan. Majlis ini telah dihadiri oleh Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof Madya Dr Mohd Azidan bin Abdul Jabar bersempena dengan majlis penutup Odyssey 2013.

Pengerusi ISMA Jordan sesi baru, Saudara Hashemi Dahalan Bin Md Razip dalam ucaptamanya mengatakan bahawa ISMA Jordan bersedia untuk memimpin arus positif di kalangan mahasiswa Jordan dan mengamalkan dasar terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana persatuan di Jordan untuk menjayakan agenda tersebut.

Beliau juga memberi penghargaan pada Jawatankuasa ISMA Jordan sesi lama atas segala kerjasama dan curahan tenaga yang telah diberikan selama ini. Moga dengan segala pengalaman yang telah dilalui dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk ummah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih pada semua ahli ISMA atas segala kerjasama pada sesi yang lalu dan juga menyeru ahli ISMA Jordan untuk memberikan sokongan yang padu pada kepimpinan ISMA Jordan yang baru.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa ISMA Jordan sesi yang baru :

Pengerusi : Muhammad Hashemi Dahalan Bin Md Razip
Setiausaha Agung : Ahmad Bin Khairuddin
Ketua Wanita : Nabilah Bt Mohd Yaakob
Bendahari Agung : Hanis Zakwan Bin Zainal Abidin
Timb Bendahari: Nur Sakinah Bt Mohd Tarmizi

Biro Tarbiyyah
Mohamad Ali bin Mohamad Zaki
Nadhirah Bt Sahri

Biro Dakwah
Ahmad Nu’man Bin Mazlan
Sakinah Bt Zulkarnain

Biro Media Dan Penerangan
Ammar Bin Roslan
Nurul Fauwiza Bt Mohd Fauzi

Biro Akademik dan Latihan
Mohamad Rusydi Bin Ahmad Zuhairi
Ainon Radhiah Bt Zamri

Biro Ekonomi
Muhammad Shahier Bin Sa’min
Farzana Bt Sharif

Musim Sejuk : Influenza H1N1 di Jordan

Sabil: Menteri Kesihatan Dr Abdul Latif Warikat mengumumkan seramai 49 individu disahkan telah dijangkiti wabak influenza H1N1 di Jordan sepanjang musim sejuk kali ini, yang mana 46 daripada mereka dalam proses pemulihan manakala 3 lagi sedang dirawat di hospital.

Beliau bercakap dalam perhimpunan Khamis lalu di kementerian kepada para pegawai dan ejen pemberita, bahawa kemunculan baru virus H1N1 ini tidak menimbulkan kebimbangan memandangkan kementerian sedang melaksanakan beberapa prosedur keselamatan serta belum direkodkan sebarang kematian akibat virus tersebut pada musim sejuk kali ini di Jordan.

Doktor Warikat menegaskan bahawa semua hospital di negara ini berkebolehan dalam merawat influenza, termasuklah H1N1 , di mana bekalan perubatan boleh didapati di kementerian kesihatan dalam kuantiti yang mencukupi.

Berhubung dengan rekod H1N1 yang dikenal pasti, 34 kes daripadanya di Hospital Kementerian Kesihatan, 1 kes di Unit Khidmat Perubatan Awam, 1 kes di Hospital University of Jordan, 9 kes di Pusat Rawatan Kanser Raja Hussin, serta 4 kes di hospital swasta.

Pengarah Pengurusan dan Penjagaan Awal Kesihatan, Dr Bassam al Hijawi menegaskan bahawa pihak mereka telah menjalankan operasi pemantauan di hospital-hospital yang akhirnya merekodkan 30 kes daripada jumlah kes yang dikenalpasti di seluruh negara, di samping penyediaan kader-kader perubatan untuk menguruskan kes-kes tersebut beserta alatan perubatan peribadi bagi melawan virus serta kemudahan diagnosis di makmal perubatan.

Beliau mengatakan bahawa virus H1N1 termasuk dalam kategori virus influenza bermusim setelah surutnya gelombang wabak tersebut pada bulan April 2010. Hal ini berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak menuntut laporan daripada negara-negara tentang kes yang dijumpai setelah tarikh tersebut.

Dr al Hijawi juga menekankan bahawa, semasa prosedur rawatan berjalan, pesakit hendaklah terus memulakan rawatan dengan anti-virus setelah diagnosis awal terhadap influenza, sebelum mengetahui keputusan ujian pengesahan daripada makmal.

Ketua Unit Rawatan Penyakit Berjangkit, Dr Ayyob Sayaideh melaporkan jenis-jenis influenza yang dikenalpasti diikuti program pemantauan terhadapnya serta fasa-fasa kemunculan wabak virus H1N1 di dalam negara dan secara global. Tebing Barat telah mencatatkan kenaikan kes sebanyak 280 kes dan 11 kematian sehingga pagi ini.

Beliau berucap bahawa sepanjang musim sejuk tahun 2010-2011, sejumlah 291 kes telah disahkan di makmal, manakala pada musim sejuk tahun 2011-2012 tiada kes dilaporkan. Ujian telah dijalankan terhadap 620 sampel semasa musim sejuk melalui proses pemantauan influenza dan keputusannya adalah semua negatif virus (selamat daripada jangkitan).

Tambah beliau lagi, sepanjang musim sejuk tahun 2012-2013, diagnosis telah dijalankan terhadap 3 kes influenza H1N1 pada 30 Oktober melalui beberapa pusat rawatan terpilih dalam proses pemantauan tersebut. Manakala berhubung dengan bekalan anti-virus yang ada, Dr Sayaideh menjelaskan bahawa pihak kementerian memiliki 8 ribu paket ‘refill’ bagi Tamiflu dan 66 ribu spray Relenza.

 

Sumber : AsSabeel

Diterjemah oleh :
Fatin Syahirah Mat Nawi
Tahun 3 Ekonomi & Perbankan Islam
Universiti Yarmouk

Tahniah Atas Kecemerlangan Akademik


IRBID, 22 DISEMBER – Seramai 47 orang pelajar telah menerima anugerah pada Malam Anugerah Kecemerlangan Akademik (AKA) baru-baru ini. Manakala 8 daripadanya pula adalah ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan. Program yang menempatkan pelajar tajaan JPA dan MARA ini bertujuan untuk meraikan pelajar-pelajar yang berjaya dalam pengajian akademik khususnya di Jordan University of Science and Technology dan Universiti Yarmouk.

Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan yang menerima anugerah pada Malam Anugerah Kecemerlangan Akademik (AKA) tersebut adalah:
Anugerah Dekan Perubatan Tahun  1
1- Nur Izzah bt Ghazali
2- Nur Nadhirah bt Razali
3- Yaz Atiqah bt Mohd Yusoff
4- Fatin Syahirah Shari

Anugerah Dekan Pergigian Tahun  1
1- Nur Fakhirah bt Ghani
2- Khairunnisah bt Mohd Rosli

Anugerah Mumtaz, Fiqh Usul Tahun 2
1- Ahmad bin Khairuddin

Anugerah Mumtaz, Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 2
1- Fatin Syahirah bt Muhammad Nawi

 

 

Wartawan ISMA   Jordan sempat menemu bual salah seorang penerima anugerah di Makan Malam Anugerah Kecemerlangan Akademik, saudara Ahmad bin Khairudin, tokoh akademik ISMA Jordan. Ketika ditemubual mengenai rahsia kecemerlangannya, beliau mengatakan bahawa perkara paling asas adalah menjaga hubungan kita dengan Allah.

“Seharusnya kita perlu sedar bahawa agenda kita sangat besar. Mahasiswa perlu sentiasa menyedari  bahawa mumtaz dan kejayaan kita adalah untuk ummah dan bukan kerana diri sendiri. Kita  juga perlu berfikir bahawa kepulangan kita di Malaysia nanti adalah untuk membantu dan membimbing masyarakat yang memerlukan kita”  tambah saudara Ahmad lagi.

Beliau juga mengatakan bahawa untuk menjadi cemerlang,  mahasiswa tidak perlu malu untuk berdamping atau berinteraksi dengan pensyarah kerana ianya akan merugikan mahasiswa itu sendiri.

Saudara Ahmad bin Khairudin merupakan pelajar tahun 3 Usul Fiqh di Universiti Yarmouk dan memperolehi keputusan mumtaz dalam akademik. Beliau juga merupakan Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia Jordan.

Ikatan Muslimin Malaysia Jordan mengucapkan tahniah dan berharap agar kecemerlangan ini diteruskan dan menjadi motivasi kepada ahli ISMA Jordan untuk terus cemerlang demi ummah.

Pelajar Jordan terbunuh di Syria

 


 

AMMAN- Seorang pelajar Jordan telah terbunuh ketika berjuang bersama angkatan jihad di Syria dan dilaporkan semakin ramai penduduk Jordan turut menyertai pergerakan menegakan Islam di Syria.
Pada hari jumaat lalu, seorang pelajar Jordan yang menuntut di Universiti Mutah, Mohammed Majed yang berusia 21 tahun , telah terbunuh semasa pertempuran antara kumpulan Islamis Jabhat Al Nusra Li Ahl Al Sham dan tentera rejim di luar Damsyik pada awal Jumaat yang lalu. Walaupun bukanlah  ahli pergerakan jihad Jordan, sumber menyatakan bahawa penduduk Karak kini telah rasa terpanggil untuk menyertai Al-Qaeda dalam mempertahankan umat Islam Syria dan menentang ketidakadilan.

“Mohammed, seperti pemuda Jordan yang lain, telah bosan melihat pembunuhan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah. Beliau telah menyatakan hasratnya untuk mempertahankan saudara Syria dan adik-beradik beliau,” kata seorang sumber dalam pergerakan itu, yang memilih untuk kekal tidak dinamakan kerana masalah keselamatan.

“Selepas berani melawan angkatan tentera Assad, kita kini boleh mengumumkan bahawa dia telah mati syahid.”

Mohammed merupakan penduduk Jordan yang kelima dilaporkan terbunuh ketika berjuang bersama-sama angkatan jihad di Syria dalam dua minggu lalu.

Ketua pergerakan jihad Jordan, Mohammed Abu Bateekh, 23 tahun berkata Mohammed Majed dibunuh awal pagi Jumaat ketika sedang berjuang bersama tentera Jabhat Al Nusra, di luar bandar selatan Syria, Daraa.

Bilangan penduduk Jordan yang menyertai angkatan jihad di Syria juga dilaporkan semakin meningkat. Melalui sumber Jabhat Al Nusra, dikatakan seramai 50 ahli penduduk Jordan telah menyertai mereka pada bulan Disember ini.

Penduduk Jordan kini merupakan penyumbang bilangan terbesar dalam ahli pejuang bukan rakyat Syria gabungan Jabhat Nusra Al, dan seramai 350 orang berkhidmat sebagai pejuang-pejuang Islam di bandar-bandar Syria Daraa, Idlib, Homs dan Damsyik.

 

Sumber : Jordan Times 

 

Diterjemah oleh:
Qurratu Aini Khairuddin
Tahun 4 Pergigian
Jordan University of Science and Technology 

Takziah Buat Saudari Fatiha Nadzirah dan keluarga

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Jordan mengucapkan takziah khusus buat keluarga seorang mahasiswi jurusan Perubatan Tahun 1, Jordan University of Science & Technology, Fatiha Nadzirah Mohd Roslan atas pemergian ibunda beliau ke pangkuan Illahi pada jam 3 petang tadi (waktu Malaysia).

ISMA Jordan mendoakan agar roh allahyarhamah sentiasa dicucuri rahmat dan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T. serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Semoga saudari Fatiha Nadzirah dan keluarga tabah serta tenang menghadapi ujian ini.

Al-Fatihah.

Takziah Buat Saudara Ammar bin Roslan

Ikatan Muslimin Malaysia Jordan mengucapkan takziah kepada saudara Ammar bin Roslan atas kemalangan yang menimpa beliau baru-baru ini. Beliau yang merupakan pelajar Tahun 3, Ekonomi dan Perbankan Islam, terjatuh berdekatan dengan rumah beliau ketika hendak turun dari bahu jalan raya di hadapan Markaz Ka’ab bin Malik. Beliau ketika itu dalam perjalan pulang dari kelas. Akibat daripada peristiwa itu, ligamen lutut kanan beliau terkoyak dan menyebabkan beliau tidak mampu bergerak . Beliau telah dirawat di Pusat Kesihatan Ibnu Nafis.

Pihak ISMA Jordan mendoakan agar saudara Ammar segera sembuh dari kecederaan yang dialaminya supaya dapat terus berkhidmat dan menyumbang dalam membangun jati diri Mahasiswa Malaysia di Jordan.

 

“dan apabila aku sakit, Dialah yamg menyembuhkan aku” -[As-Syua'ra:80]

Tindakan Kerajaan untuk Menyelaraskan Kembali Perbelanjaan dan Menyelamatkan Ekonomi

 
  •   Pindaan harga subsidi minyak.
  •  Perdana Menteri: Pampasan daripada mana-mana beban kewangan akan lebih ditanggung oleh golongan miskin.
  •  Kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada seluruh keluarga Jordan yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada 800 JD.
  • Kerajaan akan memberi bantuan kepada rakyat dalam masa 10 hari.
  • Kerugian sebanyak 5 Million disebabkan gangguan sumber bekalan gas dari Mesir.


Amman, Petra – Dr Abdullah Annasur, Perdana Menteri berkata bahawa penghapusan subsidi petrol tidak akan menjejaskan 70% kelompok masyarakat Jordan, tetapi perkara ini hanya akan ditanggung lebih oleh masyarakat miskin di Jordan.

Beliau menambah dalam ucapannya di Televisyen Jordan petang semalam, bahawa kerajaan akan memberikan bantuan untuk disalurkan kepada rakyat tempatan, dan bantuan ini akan disediakan kepada mereka yang layak, dalam tempoh tidak lebih dari 10 hari.

Beliau berkata pampasan kewangan dengan segera ini akan diberikan kepada keluarga yang berpendapatan kurang dari 800 JD sebulan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan mengambil keputusan yang tepat untuk kepentingan negara dan beliau menekankan juga bahawa ia merupakan antara prinsip kerajaan sejak beliau mengambil alih kuasa dimana beliau ingin menjimatkan kos perbelanjaan.

“Sejak saya menerima jawatan sebagai Perdana Menteri ini saya sudah memutuskan untuk mengkaji fail-fail besar dalam negara. Fail ekonomi negara adalah sebagai permulaan kerana ianya adalah yang paling sensitif dan berbahaya serta jelas membuktikan bahawa keadaan kewangan sangat memberikan kesan yang besar kepada negara ini sejak revolusi Arab.”

Beliau menambah juga, 18 bulan selepas revolusi Arab, Jordan telah mengalami kerugian sekurang-kurangnya 4 hingga 5 Million Dolar akibat gangguan sumber bekalan gas dari Mesir, kemelesetan ekonomi seluruh dunia serta kesan daripada gerakan kebangsaan dimana kesemuanya ini memberikan kesan kepada keadaan ekonomi dan kewangan negara.

Beliau berkata lagi, “Kerajaan berhasrat untuk menjalankan sebuah Pilihanraya Parlimen dan seboleh-bolehnya ia tidak boleh diadakan ketika mana isu yang sedang hangat berlaku seperti isu ekonomi ini dan saya dapati isu ekonomi ialah suatu perkara yang harus diselesaikan dengan segera.

 

Mengambil berat isu semasa kini, Pengerusi ISMA Jordan – saudara Hashemi Razip, memberikan saranan kepada masyarakat Malaysia di Jordan khususnya; agar menghayati keadaan yang dihadapi oleh masyarakat Jordan:

“Elakkan pemborosan dalam membeli belah dan berurus niaga. Dalam masa yang sama, belajarlah untuk menguruskan kewangan peribadi. Adalah penting bagi para mahasiswa mengadakan simpanan wang daripada sekarang untuk keperluan masa mendatang.

Warga Malaysia di Jordan juga dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam setiap rusuhan atau demonstrasi yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan demi keselamatan. Tidak menyertai demonstrasi bukanlah bermakna kita tidak ambil peduli, cuma terdapat banyak saluran yang boleh kita gunakan untuk menyatakan keprihatinan kita, seperti bersedeqah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Perkara yang lebih utama kepada warga Malaysia ialah memikirkan soal keselamatan mereka walau di mana jua mereka berada. Ini berikutan wujud laporan bahawa seorang perusuh yang membawa pistol telah dibunuh, manakala 12 orang polis cedera dalam satu siri rusuhan di sebuah balai polis di Irbid.”

 

Elakkan kontroversi, jaga keselamatan diri.

 

Sumber : Alrai.com

Statistik Kemalangan di Jordan

 

JORDAN, 29 Oktober – Pengurusan Sumber Media dan Pendidikan Pencegahan di Jabatan Ketua Pertahanan Awam telah menyatakan bahawa pihak Jabatan Ketua Pertahanan Awam telah melakukan analisa terperinci tentang statistik kemalangan yang berlaku di seluruh kawasan dalam Jordan bermula perayaan Aidil Adha sehingga ke hari ini kepada 538 kemalangan yang berbeza. Sejumlah 322 daripadanya adalah daripada kecederaan yang berbeza-beza dan 9 daripadanya adalah termasuk 7 kematian akibat kemalangan jalan raya dan 2 kematian disebabkan oleh kejutan elektrik.

Hasil daripada kajian, Skuad Penyelamat telah mengatakan bahawa 375 kes kemalangan telah berlaku dan ia juga merupakan nisbah tertinggi yang pernah direkodkan oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam.

Manakala kes kemalangan yang mengakibatkan kebakaran mencapai nisbah minimum sebanyak 163 kes dan 24 daripadanya tiada kemalangan maut yang dilaporkan.

Dan sebanyak 1477 jumlah kes penyakit yang berbeza yang berada dibawah pengawasan Jabatan Pertahanan Awam diantara ialah seperti kes diabetes, tekanan darah dan masalah buah pinggang.

 

Sumber : Assabeel

Tahniah Atas Kelahiran Generasi Harapan

IRBID, 16 OKTOBER – Alhamdulillah, tepat pada pukul 1.30 petang semalam bersamaan 29 Zulkaedah 1431, seorang mujahid bagi pasangan Muhammad Ali Muhammad Zaki dan Nadhirah Sahri telah selamat dilahirkan di Irbid Islamic Hospital, Jordan. Mujahid kecil ini telah dilahirkan dengan berat 3 kilogram melalui kaedah pembedahan Caesarean section. Keadaan ibu dan bayi dilaporkan berada dalam keadaan yang sihat.

Warga ISMA Jordan mengucapkan sekalung tahniah buat pasangan ini. Semoga keberkahan terlimpah kepada pasangan Akh Ali dan Ukht Nadhirah, atas kelahiran ini.

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik (diserahkan segala urusan kepadaMU) .” – (Surah Al-Anbiya’ :89)